Thursday, May 1, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Mencari Damai Di Hati

Selalu kita berdoa semoga Allah memberikan kita kesihatan. Sihat fizikal, mental, perasaan dan psikologi. Tiada nilai kesihatan yang Allah anugerahkan kepada kita. Dengan kesihatan kita mampu mencari rezeki yang halal tanpa gangguan. Kudrat yang disandarkan juga kepada stamina membolehkan kita bergerak dengan pantas dan lincah untuk menambahkan rezeki yang ada. Kesihatan juga menjadi kunci untuk kita bebas beribadat. Air bukan alahan. Wuduklah seberapa kerap. Seberapa banyak. Untuk solat semahu hati. Menrendahkan dahi untuk Ilahi. Merendah kehambaan yang ada pada diri. Kaki dan lutut masih segar untuk berdiri dan sujud. Berlipat kaki duduk syahdu di hadapan Allah. Dengan ihsan yang dituntut. Kerana kita tidak mungkin melihat Allah tetapi kita yakin Allah melihat kita. Kesihatan menjadikan kita menjadi insan yang berkewajipan untuk melakukan kesemua yang dituntut sebagai tanggungjawab. Mereka yang sihat sangat beruntung kerana hidup mereka berjalan lancar. Kerana itu ramai orang berlumba-lumba untuk mengekalkan kesihatan mereka. Yang lain berlumba-lumba untuk memulihkan kesihatan. Tidak kurang juga yang ingin menambah kesihatan. Dalam pada itu jangan pula sampai terlupa tentang aspek kesihatan dalam beragama. Trend yang kita lihat ialah banyaknya cacat cela dalam mentafsir dan menterjemahkan agama menjadi ibadat dan tatacara hidup seperti yang dituntut.

Menjadi trend sosial pula untuk mempertikai berbagai aspek agama. Sayangnya kita selalu melihat dari luar. Atau dari jauh. Maksudnya kita tidak mengetahui dengan sebenar-benarnya tuntutan agama. Benar kita bersyahadah setiap waktu, kita solat, berpuasa dalam bulan Ramadhan, membayar zakat dan menunaikan haji. Rukun Islam yang lima ini lebih kepada aktiviti fizikal. Syahadah diungkapkan. Solat dengan rukunnya. Puasa dengan menahan lapar dan dahaga. Membayar zakat bagi yang berkaitan. Menunaikan haji ke Makkah bagi yang berkemampuan. Ramai mereka yang tidak arif tentang rukun iman. Tuntutan dari rukun iman yang enam itu. Setelah beriman kepada Allah, MalaikatNya, KitabNya, RasulNya, Hari Qiamat dan Qada' serta Qadar aspek tuntutan dan tanggungjawabnya yang selalu menjadi masalah. Beriman wajib dengan lisan, dengan perasaan, dengan hati dan seluruh jiwa raga kita. Ianya secara total atau tuntas mengikut istilah Indonesia. Sesudah beriman kita tidak boleh banyak alasan untuk menerima sebahagian yang kita suka dan menolak apa yang kita tidak suka. Dalam kebanyakan masalah sebenarnya kita tidak suka sebab kita tidak faham. Tidak kenal hingga tidak mencintai apa yang kita imani. Kita tidak mencari jawapan-jawapan kepada apa yang tidak kita fahami. Maksudnya kita dituntut supaya belajar apabila tidak mengetahui. Banyak bertanya. Banyak membaca. Banyak berbincang. Banyak merujuk. Banyak hadir dalam kuliah-kuliah mengenai aspek yang berkenaan.

Kita tidak boleh lari dari agama kerana kita tidak boleh merasakan bahawa agama adalah milik ustaz dan ustazah sahaja. Milik orang tua-tua. Milik imam-imam sahaja. Kita perlu berada sama ada dalam zon fardhu kifayah atau zon fardhu ain. Tiada ruang untuk mengelak sehingga kita ingin berada di luar kedua-duanya. Atau ingin pula berada antara kedua-duanya. Tidak mungkin. Agama tidak melarang kita mengambil adat (urf) sebagai gandingan. Umpamanya penganut Islam memakai pakaian negara masing-masing asalkan menutup aurat dan memenuhi syarat menutup aurat. Memakai pakaian orang Arab adalah satu alternatif. Mengaitkan agama dengan Arab kerana agama Islam datang dari mereka. Oleh yang demikian tiada pakaian yang khusus untuk orang Islam. Yang dipentingkan menutup aurat seperti yang digariskan di dalam al-Quran dan dalam al-Sunnah. Membuang atau menolak tuntutan tersebut bermakna kita memaksa diri untuk mengambil pakaian barat umpamanya sehingga kita melanggar tuntutan menutup aurat. Melanggari hukum larangannya. Malang juga apabila ramai antara kita yang menolak yang hak. Mengambil pula yang bukan hak sehingga mendedahkan aurat. Malang lagi apabila dikatakan pakaian tidak dinisbahkan kepada agama. Tidak dinisbahkan kepada iman. Al-Quran dari Allah. Dibawa turun oleh malaikat Jibril. Disampaikan kepada Rasulallah. Bertenang sebentar. Kita beriman kepada Allah, malaikat, kitab dan Rasul. Perintah dan larangan termaktub di dalam al-Quran. Menolak perintah bermakna menolak Rasul, menolak malaikat, menolak Allah dan menolak al-Quran itu sendiri. Di mana status iman ketika itu?

Sejak negara ini tertakluk pepada penjajahan, norma-norma bukan Islam telah banyak sangat yang kita ambil. Perlahan-lahan ianya meresap menjadi darag daging. Dalam kehidupan kita ini ramai orang-orang yang profesionnya adalah menjadi contoh masyarakat. Tingkahlakunya menjadi contoh. Pakaian mereka dijadikan contoh. Kehidupan mereka dijadikan contoh. Apa sahaja yang berkaitan dengan diri mereka dijadikan berita dan kemungkinan besar dicontohi. Public figure mungkin sesiapa sahaja seperti guru, imam, penghulu, kadi, pelakon, penyanyi atau pemimpin politik. Mereka diteropong setiap masa. Ada sahaja yang merakamkan aktiviti mereka sama ada dengan lisan, dengan coretan atau dengan gambar dan video. Mereka yang Muslim tentulah wajib melaksanakan kesemua yang Islamik. Pilihan kita itu sahaja. Tiada pilihan lain. Pilihan yang telah digaristentukan oleh Allah. Bukan oleh manusia. Bukan ditentukan oleh ibu dan bapa. Bukan juga ditentukan oleh ustaz dan ustazah. Islam bertandakan nama yang ibu bapa kita beri pada kita semasa kita dilahirkan. Kewajipan kita sebagai Muslim untuk melaksanakan kesemua tuntutan Islam dan menjauhi kesemua larangannya. Tiada ruang alasan. Tiada ruang dalih. Tiada ruang untuk mencari pilihan lain. Allah telah sempurnakan Islam sebagai agama yang diredhaiNya.

Mengetahui mengenai selok belok agama bukan juga suatu alternatif. Ianya pilihan tunggal. Mereka yang secara sedar mengetahui dirinya adalah Muslim berkewajipan mengetahui tentang agamanya dengan jelas. Apabila timbul permasalahan kita semua boleh menjawabnya. Boleh menyelesaikannya. Andainya jawapan-jawapan yang diperlukan tidak kita ketahui maka kita tangguhkan untuk menjawabnya. Mungkin bukan bidang kita. Atau kita belum mengetahui secara pasti. Apabila ada keraguan maka perkara itu hendaklah diserahkan kepada pakarnya. Bukan sebarang orang yang boleh menjawab. Media juga harus dikendalikan oleh mereka yang memiliki latarbelakang agama. Mencari maklumat hendaklah bersumebrkan kepada mereka yang ahli. Yang pakar. Sekiranya jawapan yang diberikan bukan menjawab maka jawapan itu tidak wajar dikeluarkan dalam siaran media. Tindakan seperti itu tentulah merosakkan agama. Salah representasi. Menyebar luas sesuatu yang sepatutnya dikawal. Yang tidak wajar dihebahkan. Yang hak atau benar diberi nilai benar dan yang batil atau salah disalahkan. Bertanya mengenai hal agama yang khusus atau rumit tidak boleh melalui sesiapa sahaja yang beragama Islam di tepi-tepi jalan. Jika mereka memang ada latarbelakang agama mungkin ianya sesuai.

Ketidakarifan tentang agama boleh diatasi dengan pendidikan agama yang lebih merentasi aras yang lebih tinggi. Pengajaran dan pembelajaran agama di negara kita masih lagi berbentuk tradisional. Di negara Arab ianya berkesan tetapi di negara kita yang sedang mabuk dengan teknologi maklumat, kaedah tradisi kurang menarik minat. Peranti elektronik perlu menjadi kebiasaan. Wujudkan penguasaan kinestetik. Pendengaran sahaja sudah di luar kotak pembelajaran yang biasa. Melihat sahaja juga tidak memberi impaknya yang diharapkan. Sampai masanya kita bergerak kepada animasi. Matapelajaran animasi sepatutnya sudah berada di sekolah menengah atas iaitu tingkatan empat dan lima. Matlamat jangkapanjangnya semua bakal eksekutif boleh menggunakan peralatan berkomunikasi dengan selesa. Kerana itu ustaz dan ustazah sewajarnya terlibat dalam arus perdana teknologi. Bukan lagi hanya penonton. Tidak pula menolak untuk mencuba dan memahirkan diri. Zaman sudah berubah jauh. Langkah kita perlu pula the fast way forward. Sangat wajar sekarang ini penglibatan mereka yang arif dengan teknologi untuk juga menjadi pendakwah agama. Bantuan anda semua diharapkan sangat-sangat. Semarakkan agama kita dengan teknologi. Bangunkan perisian yang sekadar menutup kos. Jihad mereka yang mahir teknologi. Rujuk ulamak yang syadid untuk mendapatkan input yang sewajarnya.

Persekitaran kita penuh dengan banyaknya masalah dan maslahah. Ianya berpunca dari masalah individu tetapi merebak menjadi masalah ummah. Sudah meruncing sehingga sukar dirawat. Mencegahnya juga sudah di luar kawalan. Ramai orang mengatakan sekarang sudah akhir zaman. Dahan untuk berpaut semakin rapuh. Ulamak ternama semakin ramai yang meninggal dunia. Jika kita tidak bergerak untuk memperbaiki keadaan, maka kita juga terseret sama untuk menjadi tidak bermanfaat. Waktu yang masih ada perlu dimanfaatkan mengikut kemampuan kita secara individu dan secara jamaah. Masing-masing mencari wadahnya sendiri untuk memberi yang terbaik. Yang tidak mampu membantu. Sedekahkan tenaga atau wang ringgit atau nasihat yang baik. Ke mana kita? Ayuh kita orak langkah menuju jalan lurus yang ada di hadapan kita sekarang

Tuesday, April 29, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Malangnya Bangsa Yang Mudah Dijual

Hampir semua orang Melayu menonton filem-filem P. Ramlee. Penulis teringat filem Tiga Abdul. Pertama, sesiapa yang marah hartanya dirampas. Kedua, berniaga manusia lebih untung dari berniaga unta. Ketiga, ketamakan kepada harta menjadikan manusia hilang pertimbangan. Keempat, rasuah memungkinkan apa sahaja. Kelima, perdamaian adalah lebih baik dari persengketaan kerana air dicincang tidak akan putus. Keenam, P. Ramlee menyarankan peningkatan kekuatan ekonomi dan perancangan keluarga. Allahyarham Tan Sri P. Ramlee telah pergi meninggalkan kita 40 tahun yang lalu. 40 tahun dahulu dia telah mengenalpasti punca kegagalan bangsa yang banyak cacat-celanya. Banyak berebut harta yang sedikit. Tidak memikirkan generasi yang akan datang. Anak dan cucunya sendiri. Kegilaan memenuhi perut sendiri merosakkan sebuah bangsa yang dahulunya bermaruah. Yang mampu dikatakan hanya: Ini tidak adil. Cukup sekadar itu sahaja.

Melaka bukan calang-calang empayar pada ketika kegemilangannya. Sekutunya adalah negara Cina dan Majapahit. Dua empayar besar di Timur yang tiada tolok bandingnya. Begitu hebatnya politik Melaka yang dipimpin oleh Tun Perak. The king maker yang sangat terkenal dalam sejarah tanahair. Tetapi legasinya terhenti apabila Tun Perak tiada. Kedatangan Portugis meruntuhkan Melaka. Sebuah negara kecil yang lebih licik politiknya. Ramai orang mengatakan bahawa Melaka kalah kerana berperang dengan keris dan parang sahaja. Siapa yang berkata begitu? Tentulah mereka yang menyokong penjajah. Kita berehat sebentar. Lihat kembali Melaka pada zaman kegemilangannya. Pertahanan Melaka bukan sahaja di darat tetapi juga di laut. Armada Melaka bukan calang-calang juga kebalnya. Senjata yang bernama lela dan rentaka bukan sedikit berjajaran di pantai Melaka. Di atas bukit. Di kapal-kapalnya. Maknanya peperangan telah menggunakan senjata yang hampir serupa. Saiznya sahaja mungkin kecil berbanding meriam orang Portugis. Melaka bukan tidak pernah berperang. Angkatan perangnya telah teruji.

Bagaimana sebuah empayar yang besar tumbang kepada Portugis yang kecil? Sejarah memaparkan adanya Si Kitul dan Mandaliar. Apabila dalam sebuah bangsa ada watak-watak tamak maka bangsa itu akhirnya hancur. Musuh akan menyerang dari penjuru yang tidak dijangka. Banyak pintu-pintu dengan sendirinya terbuka. Dibuka dengan relahati oleh anak bangsa sendiri. Habuan yang diterima akhirnya hanya sebuah kehancuran sebuah bangsa yang gah. Apakah tragedi tersebut berulang lagi? Peperangan bukan lagi dengan meriam atau keris tetapi teknologi dan maklumat yang mengancam. Harta benda mudah alih yang menjadi taruhan. Tanah jajahan bukan keutamaan tetapi apa yang ada di dalam sesebuah negara yang menjadi idaman. Lanskap negara dan bangsa akan berubah. Akan tercipta hamba-hamba baru yang bertuankan dengan tangan-tangan yang berkuasa besar. Apabila diteliti ada ciri-ciri akhir zaman. Kau ikut aku, selamat. Kau tolak aku, musnah. Rasanya pembaca dapat meneka siapa yang berkata begitu. Kita selalu terleka dengan kemewahan sementara. Benarlah dunia ini hanya pinjaman. Terlalu sementara. Terlalu sekejap. Esok atau lusa kesemuanya mungkin tinggal sejarahnya sahaja.

Sejarah yang hitam untuk sebuah bangsa yang dibina dengan keringat tetapi tidak dibangunkan dengan kesedaran yang tinggi. Bahawa di belakang sejarahnya banyak tangan-tangan yang berusaha menggagalkannya. Apabila mereka yang di atas selalu cry wolf, akhirnya datang bencana tanpa siapa dapat membantu. Apabila serigala besar datang menyerang dengan gagahnya apalah yang dapat dilakukan oleh mangsanya yang kerdil dan kecut. Kepercayaan yang telah tergadai menjadikan sebuah bangsa tidak tahu siapa lagi yang boleh dipercayai. Ketika kita bangun jaga dari tidur lena kita, mata kita melihat bahawa kesemuanya sudah menjadi milik orang. Kita terkepung sendiri dari segenap penjuru. Dari segenap aspek. Bagaimana kita menamakan diri kita tuan tetapi tanpa memiliki tanah. Tanpa memiliki rumah. Tanpa memiliki ladang. Tanpa memiliki sumber untuk kelangsungan generasinya. Dari bandar hingga ke desa kesemuanya tergadai kerana gelap mata. Jalanraya hanya memudahkan kesemuanya terlepas dengan kesegeraan yang tidak dapat dikawal. Yang tinggal hanyalah kita-kita yang diibaratkan seperti peribahasa sepuluh jung masuk anjing tetap bercawat ekor juga. Teknologi hanya untuk memerangkap minda supaya patuh tanpa had. Pendidikan lebih banyak hanya untuk secukup hidup. Jalan fikir kita singkat dan sempit. Kotak kita terlalu kecil, tertutup dan terasing.

Dunia kita itulah sahaja. Dipertahankan tanpa sebab yang menasabah. Yang lain dirampas orang satu demi satu. Lihatlah sekeliling kita, apa lagi yang tinggal. Mungkin nama dan barisan yang tidak dikenali lagi. Yang tinggal hanya kerangka zaman yang berlalu. Kita diajar untuk sayang. Malangnya erti sayang tidak dapat diterjemah dan ditafsir dengan bijaksana. Sayang kita melulu sehingga menutup mata dan telinga. Paling menyedihkan ialah sayang kita menutup akal dari berfikir dengan saksama. Dengan wajar. Dengan kebijaksanaan yang betul. Kita hilang kewarasan berfikir. Jarang melihat apa yang tersirat. Golong yang melihat yang tersirat terlalu sedikit. Ramai hanya mampu melihat yang tersurat. Itu pun hanya cebisan-cebisan yang dipertontonkan kepada mereka. Drama tanpa diketahui maknanya. Momokan yang akhirnya memakan diri sendiri. Sangat mengecewakan apabila nasihat ditolak sebagai berhasad dengki. Teguran ditolak sebagai tidak berterima kasih. Peringatan ditolak sebagai menghalang. Kerana tidak memiliki kearifan, orang di bawah mengiyakan sahaja apa yang dibicara.

Sekarang ini kita di persimpangan. Adakah kata-kata Hang Tuah masih relevan? Takkan Melayu hilang di dunia. Kita tidak memiliki kekuatan ekonomi. Kerana itu kita menjadi bangsa yang terjual. Mudah dibeli. Bak barang di pasar malam. Kadang-kadang boleh dibeli secara borong. Benar. Kadang-ladang tawaran yang diterima sangat lumayan tetapi terlupa yang terjual adalah sebuah bangsa. Sebuah maruah. Sebuah kelangsungan bangsa itu sendiri. Sebuah nilai yang tidak akan kembali lagi. Suatu prophecy yang disogokkan kepada kita bahawa bangsa kita tiada nilai asal usulnya. Apabila anak-anak muda kita diracuni dengan hedonism seluruh harapan kita musnah. Harapan kita tidak berbaki lagi. Mereka yang diharap membina mereka juga gagal menjalankan amanah. Jeritan kita hanya menghalau puaka. Kata-kata hanya jampi mentera. Senyum hanya banyak puranya. Ketawa kerana helahnya. Kesemuanya memperdaya. Sebuah bangsa yang hilang nama. Hanya kerana dunia yang fana. Apabila nanti anak bangsa kita menjadi minoriti menangislah bersama seperti orang kita di sebuah negara di selatan. Seperti sebuah bangsa di negara besar di seberang pasifik dan Atlantik. Kita telah lama diperingatkan. Tiada siapa yang mahu mendengar. Dianggap pula sebagai pendengki. Cemburukan kejayaan orang lain. Sekarang kita menerima kerumitannya yang sukar dirungkai. Hanya menunggu sat-saat musnahnya. Mudah-mudahan iman kita yang dapat membantu membangkitkan kekuatan. Allah bersama kita. InsyaAllah.

Saturday, April 26, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Keangkuhan Jalan Kemusnahan

Andainya kita menelusuri kisah-kisah dalam al-Quran kita dapati kemusnahan yang Allah timpakan kepada kaum manusia adalah kerana keangkuhan mereka. Terdapat kecenderungan mempercayai bahawa diri mereka atau kuasa mereka yang menentukan hidup atau mati mereka yang dikuasai. Yang dikuasai pula taksub percaya bahawa mereka dilindungi. Mereka dibela. Mereka diberi kehidupan yang selayaknya. Paling ketara ialah mereka yakin manusia yang memberi mereka rezeki. Kesemuanya dinisbahkan kepada manusia iaitu mereka yang berkuasa. Sesungguhnya manusia selalu terpana dengan cahaya yang bergemerlapan. Tertipu dengan kilauan kaca yang bukan permata. Segala pesanan dan panduan yang terdapat di dalam al-Quran dan al-Sunnah diketepikan. Tidak dilihat dan jauh sekali dari dirujuk. Apabila diperingatkan mereka menempelak kembali. Jengkel kerana dinasihati. Mereka yang memberi nasihat dipertikai ilmunya. Ditanya motifnya. Kumpulan mana yang diwakilinya. Pertimbangan untuk melihat sesuatu dengan saksama sudah tidak ada pedulinya lagi. Insafilah bahawa pada akhirnya manusia seperti itu Allah musnahkan kesemuanya kecuali mereka yang beriman. Bilangannya sedikit. Hanya minoriti sahaja. Kaum Nabi Nuh a.s. Allah musnahkan kecuali yang patuh berada di dalam kapal. Yang lain musnah kerana enggan kembali menyembah Allah. Kaum Nabi Syuib a.s. di Madyan Allah musnahkan kerana enggan meninggalkan perbuatan mereka yang mencuri timbangan dan sukatan. Kaum Nabi Salleh a.s. (Kaum Thamud) Allah musnahkan kerana mereka menolak kuasa Allah. Amanah tidak dipedulikan. Unta kiriman Allah dibunuh walaupun telah dilarang. Kaum Nabi Luth a.s. Allah musnahkan kerana enggan meninggalkan kehidupan mereka yang songsang. Kaum Nabi Hud a.s. Allah musnahkan juga kerana mereka enggan kembali menyembah Allah. Banyak lagi kisah di dalam al-Quran yang berkaitan dengan kemusnahan yang Allah timpakan ke atas mereka. Firaun di Mesir. Begitu juga Namrud yang enggan menerima dakwah Nabi Ibrahim a.s. Talut yang akhirnya dibunuh oleh Nabi Daud a.s.

Jika kita teliti kemusnahan yang Allah timpakan kepada mereka semua adalah setelah datangnya keangkuhan. Pertamanya, mereka telah mencapai kemajuan ilmu sehingga mencabar kekuasaan Allah. Keduanya, kemajuan fizikal yang mereka bangunkan seolah-olah tiada kaitannya dengan Allah. Ketiganya, mereka telah menikmati kekayaan yang mereka anggap atas usaha mereka sendiri tanpa izin Allah. Mereka menganggap kekayaan itu bukan dari Allah. Keempatnya, mereka mabuk dunia sehingga bergelumang dengan maksiat dalam kategori dosa besar. Membunuh, mencuri, meminum arak, berzina, bertenung nasib dan terlibat dengan riba' yang berleluasa. Nilai baik pada anggapan mereka ialah apabila yang kuat menzalimi yang lemah. Mereka berseronok apabila dapat melakukan maksiat. Penindasan sudah tidak terbilang banyaknya. Dalam keadaan seperti itu sangat sukar melihat kebaikan. Yang berkuasa ketawa sekuat rasa. Yang di bawah didera dengan azab kehidupan yang menyiksakan. Di luar perbincangan al-Quran kita mempelajari sejarah tentang kemusnahan yang Allah timpakan ke atas manusia. Dari Timur hingga ke Barat terlalu banyak kisah itu. Betapa kuatnya empayar Yunani dari Greece hingga ke seluruh Jazirah Arab dan utara Afrika. Empayar Rom mengambil alih kehebatan Yunani. Empayar Farsi pula di Timur Jazirah Arab. Kita lihat pula tamaddun Indus di India. Tamaddun Cina. Empayar Sri Vijaya dan Mahajapahit. Kehebatan orang Tartar. Begitu juga orang Inca di Amerika Selatan. Orang Yucatan di Mexico. Dalam masa yang dekat dengan kita ialah Britain. Suatu masa dahulu hampir keseluruh dunia adalah milik mereka. Amerika Syarikat dan Canada milik mereka. Australia dan New Zealand milik mereka. Benua India milik mereka. Negara-negara Islam tunduk kepada mereka. Malah negara Cina pernah berada di bawah cengkaman mereka. Termasuklah negara kita yang kecil mongel ini.

Apabila negara-negara jajahan mereka merdeka sebuah demi sebuah, Britain dikatakan tinggal singa yang kehilangan gigi. Mereka kehilangan sumber kekayaan yang memperkaya dan mengukuhkan diri mereka. Tanpa kekayaan itu mereka hilang kuasa. Dalam dunia ini tidak ada negara atau bangsa atau kaum atau kelompok tertentu yang kekal selamanya. Apabila mereka beranggapan keterlaluan tentang diri mereka, ketika itulah kemusnahan Allah timpakan. Pertama, kemusnahan berlaku setelah mereka dianggap kuat. Malah kadang-kadang terlalu kuat. Kedua, mereka menganggap diri mereka maju sehingga tidak perlukan Allah untuk disembah. Ketiga, mereka percaya hanya diri mereka sahaja yang terbaik. Orang lain tiada nilai kepada mereka dari kacamata kekayaan dan kehebatan. Keempat, agama dianggap hanya ceremonial. Adat-adatan. Bukan cara hidup yang sempurna. Kelima, mereka yang alim dari segi agama tidak ada tempat dalam hati, dalam masyarakat atau dalam sistem. Mereka wujud tetapi kewujudan mereka tidak diiktiraf. Mereka hanya diperlukan untuk menjadi imam solat, juru nikah kahwin, mengurus jenazah dan doa mendoa. Selain daripada itu tidak ada pengiktirafan kepada mereka. Kadang-kadang mereka yang alim dan dekat dengan Allah ini tiada siapa yang tahu. Tanda pengiktirafan Allah yang penulis lihat ialah apabila mereka yang alim ini meninggal, manusia hidup yang datang menziarahi jenazahnya, yang menghormati jenazahnya dan yang mengiringi jenazahnya ke tanah perkuburan tersangat ramai sehingga kita gempar kerana terlalu ramainya. Mereka pula datang dari tempat jauh. Jiran sekampung tidak tahu dan tidak kenal si mati. Hanya jauhari sahaja yang mengenal manikam. Jika kita tidak mendekati kelompok itu maka kita tidak kenal siapa mereka.

Kemusnahan yang Allah timpakan bukan sukar bagi Allah. Hanya dengan kun fayakun. Kita diperingatkan dan diperingatkan. Nasihat demi nasihat. Rujuk al-Quran dan al-Sunnah. Rasullah meninggalkannya sebagai amanah kepada kita semua. Wahai orang-orang yang beriman, andainya kita kembali mengikat diri kita dengan kedua-dua tinggalan Rasulallah itu nescaya Allah peliharakan kita. Kita dituntut supaya pandai dengan banyak ilmu. Menguasai teknologi. Kaya dengan harta benda. Tetapi dengan syarat kesemuanya kerana Allah. Kesemuanya itu datangnya dari Allah. Maka untuk Allah digunakan. Allah pinjamkan kepada kita hanya sementara sahaja. Mungkin Allah ambil kembali sebelum kita mati. Mungkin juga kita tinggalkan kesemuanya setelah kita mati. Rasanya kita semua maklum bahawa yang kita bawa bukan itu semua. Secara fizikalnya kita hanya bawa kain kapan yang membaluti tubuh kita. Yang lain kita bawa ialah dalam bentuk pahala yang tidak kita lihat. Beruntung mereka yang membawa banyak pahala. Mudah-mudahan kita dalam golongan seperti itu. InsyaAllah.

Friday, April 25, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Yang Mana Pemimpin Untuk Memimpin

Kita selalu memperlekeh tentang kualiti pemimpin. Apabila disentuh tentang kepimpinan Islam ramai pula yang mencebik. Suatu keyakinan yang sudah banyak pudarnya. Penulis teringat Muadz bin Jabal r.a. seorang sahabat Ansar yang dipercayai Nabi S.A.W. Kualiti awal Muadz ialah dia mendekati agama sewaktu usianya muda. Sewaktu penduduk di Yathrib (Madinah al-Munawwarah) belum kenal Islam. Dia seorang pemuda yang terkehadapan membai’ah Rasulullah melalui Perjanjian Aqabah Pertama di Makkah setahun sebelum Hijrah Rasulallah. Dia pemuda yang bersama-sama golongan yang lebih dewasa menyahut cabaran Islam. Sekembalinya dari Makkah dia berjaya meramaikan Muslimin di kalangan penduduk Madinah. Kualiti yang berkaitan ialah:

1 Berganding dengan mereka yang lebih dewasa atau lebih tua.

2 Mendampingi mereka yang berhak kerana usianya, ilmunya dan juga kedudukannya.

3 Tidak memihak kecuali yang hak. Tidak condong tanpa hak.

Apabila Rasulallah berhijrah ke Madinah, Muadz selalu mendampingi Rasulallah. Lalu Rasulallah memperakui bahawa Muadz adalah muridnya yang paling baik. Apabila berada di mana-mana majlis agama mata audien selalu memandang Muadz. Ia bukan sahaja memahami permasalahan agama bahkan boleh menyelesaikan kekusutan yang berkaitan dengannya. Maka untuk menjadi antara mereka yang hebat kita perlukan kualiti tambahan.

4 Bergurulah dengan mereka yang hebat. Cari mereka yang syadid dari satu peringkat ke satu peringkat yang lebih baik dan lebih tinggi. Kita perlu berguru dengan ramai pendidik. Mereka yang berbagai cabang ilmunya.

Muadz dianggap murid yang terbaik kerana ia belajar dari guru yang terbaik di atas muka bumi ini. Tiada siapa yang lebih baik dari Rasulallah. Untuk meningkatkan ilmu kita perlu mencari guru dari tahap yang rendah. Guru yang kita fahami ilmunya. Pada tingkat yang lebih tinggi cari guru yang lebih alim. Lebih tinggi ilmunya. Lebih mencabar hujjahnya. Begitulah seterusnya. Setiap pendakian itu kita akan menemui tambahan nilai. Ianya mungkin dalam bentuk perbezaan. Mungkin percanggahan. Mungkin tambahan. Kita perlu mencari guru untuk mengharmonikan kesemua perbezaan itu. Ianya mungkin berkaitan dengan tafsiran dalil yang ada. Mungkin perbezaan masa. Mungkin perbezaan adat dan tempat. Mungkin perbezaan qiraat. Muadz bin Jabal melalui kesemua proses itu. Dia juga menjadi antara penulis wahyu. Apabila kita sedang belajar. Guru kita memerhatikan potensi kita. Guru kita yang mengenalpasti jangkaan-jangkaan masa hadapan kita. Guru kita itulah yang juga yang mendoakan kejayaan kita pada masa hadapan kerana sayangkan kita dan kerana melihat potensi besar yang dilihat ada pada diri kita sewaktu di bawah kendaliannya. Cubalah berusaha untuk mendapatkan doa guru kita. Ungkapan pujian. Ungkapan harapan. Ungkapan yang memotivasi diri kita ke arah yang lebih berjaya. Doa guru banyak masinnya. Banyak makbulnya. Dari guru itulah kita didewasakan dengan ilmu untuk menikmati keindahan hidup berilmu. Yang lebih penting ialah kita berkeupayaan menjadi pemimpin yang hak dengan menggunakan secara saksama ilmu yang ada dan dengan restu guru.

Muadz tidak meminta apa-apa dari Rasulallah kecuali ilmunya. Walau bagaimanapun selepas pembukaan Makkah pada tahun ke-8 Hijrah Muadz dilantik sebagai pembantu gabenor di Makkah. Sebelum beres urusan di Makkah itu, berita dari Yemen menyatakan bahawa Muslimin telah mula ramai di sana. Permohonan dari Yamen supaya dihantar mereka yang boleh mendidik agama di kalangan mereka. Kerana itu Muadz dipanggil oleh Rasullah untuk dijadikan gabenor di Yemen. Satu lagi kualiti tambahan:

5 Pemimpin dilantik oleh ketua yang arif. Rasulallah arif tentang keupayaan Muadz.

Jawatan tidak dipinta tetapi ditawarkan kepada yang layak dan mampu memikul tanggungjawabnya demi agama dan kerana Allah. Mereka yang selalu meminta-minta jawatan ditakuti kerana ada tujuan lain. Ada tujuan sampingan. Bagi Muadz kualiti kepimpinan yang ada pada dirinya yang diperhatikan oleh Rasulallah sudah amat mencukupi. Sebagai pandauan dan untuk mempastikan bahawa Muadz sudah siap sedia dengan bakal tanggungjawabnya sebagai gabenor, Rasulallah masih lagi bertanya. Apabila berhadapan dengan masalah, bagaimana Muadz akan menyelesaikannya. Dialog berikut sangat masyhur:

Rasulallah : Bagaimana nanti kamu akan berhukum?
Muadz : Dengan al-Quran.
Rasulallah : Jika tiada dalam al-Quran?
Muadz : Aku rujuk sunnahmu?
Rasullah : Jika itu juga tiada?
Muadz : Aku akan berijtihad dengan ilmu yang aku miliki.

Seorang pemimpin adalah insan pilihan yang kepimpinannya akan pastinya dipertanggungjawabkan hingga ke akhirat. Benarlah kata Muadz, kepimpinan bersumberkan terlebih dahulu kepada al-Quran. Hukum Allah melebihi dari segala-galanya. Sesuai untuk semua manusia. Pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Allah Maha Mengetahui. Hukum Allah tiada syarat yang menyusahkan. Semuanya sesuai. Manusia sahaja yang selalu berhelah. Sumber ahkam yang kedua ialah sunnah. Apa sahaja yang berkaitan dengan perlakuan Rasulallah. Apa yang dikatakan Baginda. Yang dilarangnya. Yang tidak diberi sebarang komen. Yang digalakkan. Yang dipakainya. Yang digunakannya. Konsep ilmu yang ada pada Muadz ialah memiliki ilmu al-Quran dan ilmu al-Sunnah. Berijtihad bukan bermakna menggunakan akal sendiri. Gunakan akal tetapi berlandaskan apa yang terdapat dalam al-Quran dan al-Sunnah. Sesungguhnya Rasulallah mengasihi Muadz. Diiringinya Muadz beberapa ketika sehingga keluar kota Madinah. Seorang Rasul mengiringi sahabatnya. Mengiringi muridnya. Mengiringi gabenornya. Cuba kita visualkan dalam mata kita. Seorang Rasul beriringan dengan sahabatnya. Berjalan sambil berbual yang hak. Sampai pada ketikanya untuk berpisah bersabdalah Rasulallah, sampai di sini Muadz. Sekembalinya kamu nanti ke Madinah aku mungkin sudah tiada. Ini perpisahan kita yang terakhir. Bayangkan kita yang menjadi Muadz. Yang berada dalam diri Muadz. Apakah perasaan kita ketika itu. Begitulah Muadz meninggalkan Rasulallah dengan kesayuan yang syahdunya sangat memberatkan hati. Namun tugas dan amanah Rasulallah wajib ditunaikan.

Benarlah sekembalinya Muadz setahun kemudian Rasulallah telah tiada. Hanya tangis dan air mata yang mampu untuk Muadz. Rasulallah, sahabatnya telah tiada. Telah pergi menemui Rabbnya. Dalam zaman kita ini kualiti kepimpinan bukan lagi bersandarkan kepada kepimpinan Islam. Accountability kepada Allah tidak diberi perhatian. Bahawa mereka akan kembali kepada Allah tidak diperingatkan. Bahawa kepimpinan mereka akan dihisab juga tidak dipertimbangkan. Ramai pemimpin yang terkeluar dari garis Islam. Dalam dunia yang serba tidak kena ini ada pula mata-mata dunia yang memerhatikan. Berlaku banyak kali pemimpin dunia yang mereka percaturkan. Yang mereka naikkan. Yang mereka turunkan. Yang kuat pegangan Islamnya diganggu-gugat. Yang tidak amanah diberi pilihan untuk ikut telunjuk. Yang ingkar banyak bala yang ditimpakan. Dunia semakin kacau. Kerana itu Islam kita wajib diperkukuhkan. Hadhari dalam Islam direalisasikan. Kesarjanaan Islam yang dahulu diberi nafas baru. Kita wajib di hadapan. Mendahului dan mengungguli dalam banyak bidang. Bukan di belakang dan tunduk mengikut tanpa haluan. Jalan kita dari dunia ke akhirat. Kita wajib ikut jalan itu.


Thursday, April 24, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Bahasa Arab Bahasa Ke Akhirat

Agama Islam milik kira-kira 20% penduduk dunia. Tidak semua Muslim bercakap dan menulis dalam Bahasa Arab (BA). Cuma diperakui bahawa kesemua Muslim menggunakan BA untuk membaca al-Quran, membaca hadith, solat, syahadah dan berdoa. Mungkin ramai yang terkejut jika dikatakan bahawa seluruh penduduk dunia menggunakan BA sama ada banyak atau sedikit. Kita biasa dengan nombor ini 1, 2, 3, 4, 5, 6, 7, 8, 9, 0. Cuba cari kamus Bahasa Inggeris. Tidak kira kamus British atau American atau Australian atau Canadian. Di dalam kamus-kamus itu nombor-nombor tersebut diistilahkan sebagai nombor Arab. Yes, Arabic Numbers. Tidak ada sesiapa pun yang boleh menafikannya. Semua sarjana walau dalam bidang apa sekalipun akan memperakui bahawa nombor itu adalah nombor Arab. Wahai manusia kesemua kamu telah menggunakan sebahagian dari BA. Wahai orang-orang yang beriman pula kamu menggunakan lebih banyak BA dalam kehidupan kamu sehari-hari. Sesungguhnya BA menyatukan kesemua Muslim tanpa mengira mazhab yang mereka anuti. Solat berjemaah boleh bersama-sama walau di mana mereka berada. Mereka membaca al-Quran yang sama. Qiraat sahaja yang mungkin berbeza. Maknanya BA bukan sahaja menyatukan kesemua Muslim bahkan ianya juga menyatukan kesemua manusia di atas muka bumi ini. Agama Islam lahir bermula dengan BA. Allah telah menyediakan BA sejak dari Syam bin Nuh alaihi salam. Jazirah Arab tempat asalnya. Cabang qabilah Arab yang istimewa BAnya ketika kemuncak keindahannya ialah Quraisy. Rasulallah S.A.W. lahir dalam keindahan BA Quraisy. Wahyu diturunkan dalam BA Quraisy. Allah menjamin bahawa al-Quran akan berkekalan. Allah yang menurunkannya dan Allah jua yang menjaganya. Selagi al-Quran terjaga bermakna BA juga terjaga dengan rapi. Apabila agama berkembang dengan baik maka BA turut sama berkembangnya. Setelah hampir 15 abad ada tanda-tanda bahawa BA tidak mendapat tempat yang sewajarnya. Ramai Muslim yang tidak tahu berBA walaupun mereka solat dengan BA. Membaca al-Quran dangan BA. BA hanya keperluan untuk menunaikan ibadah yang khusus tetapi tidak dijadikan sebagai bahasa yang menjunjung ilmu. Memperkukuh kesarjanaan Islam. Banyak telah diceritakan bahawa kita boleh menterjemah berbagai bahasa ke dalam bahasa-bahasa lain. Namun begitu setiap terjemahan tidak pernah 100% sempurna menepati maksud yang hendak disampaikan. Tidak ada bahasa yang benar-benar dapat diterjemahkan dengan setepat-tepatnya. Kerana itu untuk sempurna mempelajari agama Islam, kita wajib kembali mempelajari BA. Menggunakannya. Mengamalkannya. Memperkembangkannya. Di dalam bahasa terdapat adat dan peradabahan yang khusus kepada pengguna bahasa itu sahaja. Bahasa diperlajari bersama budayanya. Tidak pernah terpisah. Kita telah terlalu lama dijajah. Minda dan semangat kita hilang bersama penjajahan. Di negara Arab BA bukan lagi satu-satunya bahasa yang mereka gunakan. Banyak yang menggunakan Bahasa Inggeris selain dari Bahasa Perancis. Bukan tidak ramai yang mempelajari BA tetapi bukan lagi sebagai bahasa yang diberi keutamaan di dunia. Kepada orang kita BA bukan bahasa komersil. Perut tidak kenyang dengan BA. Begitulah karenah manusia memperlecehkan BA. Percayalah di alam barzah dan di akhirat nanti kita akan hanya berBA. Hilang semua kebanggaan berbahasa ibunda di dunia. Sebab itu ulamak menggesa untuk kita yang Muslim mempelajari dan menggunakan BA. InsyaAllah mendapat pahala kerana mempelajarinya. Mendapat pahala kerana menggunakannya. Sertakan dengan niat yang murni bahawa kesemua usaha itu kerana Allah. Cuma kadang-kadang pengajaran dan pembelajaran (P&P) BA di negara kita dilihat payah. Dirassa payah. Barangkali pedagoginya perlukan pendekatan baru. Kepada orang dewasa umpamanya, BA hendaklah dengan memperbanyakkan latihan. Latihan menulis digandingkan dengan latihan menuturkannya. Dengan lahjah dan intonasi BA yang wajar betul. Seperti ketika membaca al-Quran apa-apa teks dalam BA hendaklah dibaca dengan bunyi dan lahjah yang sama. Cuma BA tidaklah bertajwid seperti membaca al-Quran. Ganjil pula nanti jadinya. BA yang penulis pelajari di Markaz Nil di Kaherah ini menyakinkan diri penulis sendiri. Boleh diikuti dengan usaha yang bersungguh-sungguh. Jangkamasanya selama 15 bulan. Atau 15 mustawa. Tingkatan. Empat minggu setiap mustawa. Setiap dua minggu ada peperiksaan. Peperiksaan pertengahan mustawa dan peperiksaan akhir mustawa. Kelas harian hanya selama dua jam. Namun begitu pengisiannya sangat padat. Setiap hari banyak kerja rumah dalam bentuk latihan. Jika hendak rajin biasalah tidur hingga lewat malam. Kadang-kadang hingga pukul satu atau dua pagi. Andainya hendak santai terpulang kepada individu. Jika hendak bermalas-malasan juga terpulang kepada individu. Konsepnya belajar tetap belajar. Perlu ada sistem. Perlu ada disiplin. Rugilah jika kegagalan untuk hadir sehingga tidka boleh mengambil peperiksaan. Bermakna menulang mustawa. Atau jika gagal dalam peperiksaan juga perlu mengulang mustawa. Belajar perlu istiqamah. Ada objektif yang jelas. 1. Niat yang betul dan kerana Allah. 2. Yakin diri dan menolak semangat mudah putus asa. 3. Usaha yang tidak mengenal penat. Disertai dengan kesabaran yang sepenuhnya. 4. Meninggalkan maksiat. Apa sahaja yang dikategorikan sia-sia perlu ditinggalkan. 5. Banyak membuat latihan. Banyak membaca, banyak mengingat dan banyak menghafal. 6. Cari ilmu, amalkannya, berdakwah dengannya dan bersabar dengan kekangan, cabaran dan tentangannya. Sepintas lalu memanglah BA sangat sukar dipelajari. Walau bagaimana sekalipun sekiranya dibina sistem yang baik ianya boleh mempermudahkan P&Pnya. Apabila sudah memulakannya terasa sangat keindahan BA. Benarlah al-Quran mu'jizat paling agung dalam sejarah manusia. BA di dalamnya sangat halus. Satu kalimah yang berbagai tafsirannya. Malah kadang-kadang huruf yang sama diberi tafsiran yang berbeza. Sebab itu membaca terjamahan dari BA tidak dapat memberi kepuasan yang mendalam seperti memahami BA itu sendiri.

Bingkisan Dari Kaherah: Suatu Analogi Serba Berkemungkinan

Kampung itu jauh di pedalaman. Aman dan damai. Warganya secukup hidup. Keperluan hidup mudah diperolehi. Walaupun di pedalaman, terdapat juga antara warganya yang dikategorikan kaya. Biasalah di negara kita mereka yang kaya diberi permit untuk memiliki senjatapi. Begitu juga Tok Ketua mungkin diberi izin untuk memiliki senjatapi. Menjaga keselamatan kampung. Bukan ancaman musuh tetapi mungkin ancaman haiwan liar yang banyak di sekelilimg kampung itu. Termasuk juga tupai dan monyet yang selalu memusnahkan buah-buahan. Tidak lupa kawanan babi yang datangnya bak gelombang pada waktu malam. Hiduplah warga kampung itu menjalani kehidupan biasa penduduk Malaysia yang tidak banyak ragamnya. Asalkan dapat makan dikira alhamdulillah. Tempat tinggal dan pakaian bukan perkara yang merumitkan. Semua penduduknya memiliki tempat tinggal. Ada yang besar dan ada yang kecil. Namun demikian mereka bahagia menjalani kehidupan biasa mereka. Suatu ketika kecohlah kampung tersebut. Senjatapi milik orang kaya dan Tok Ketua telah hilang dari simpanan mereka. Waktu itu pula bukan musim buah. Soalan besar yang berlegar ialah untuk apa senjatapi itu dicuri? Kecoh juga kampung-kampung di sekitarnya. Malah dalam dunia siber yang mengecilkan dunia ini sampai juga berita itu ke ruang yang lebih luas. Mungkin akhirnya satu dunia mengetahui akan kehilangan itu. Di negara lain kehilangan seperti itu bukan isu luarbiasa kerana senjatapi pada mereka biasa-biasa sahaja. Di benua India dan Pakistan senjatapi malah dibuat sendiri. Begitu juga di Afghanistan dan negara-negara lain yang berakhir dengan tan. Di banyak negara lain di dunia ini senjatapi sangat lumrah. Di Amerika Syarikat ramai rakyatnya yang memiliki senjatapi untuk tujuan berburu. Tetapi senjatapi tetap senjatapi. Boleh digunakan untuk mengancam nyawa. Atau untuk membunuh. Untuk melakukan berbagai jenayah yang membahayakan nyawa. Bukan lagi setakat mencederakan. Di negara kita kehilangan senjatapi merupakan suatu peristiwa besar. Ianya mengancam keselamatan negara. Sejak dari zaman British hingga sekarang larangan memiliki senjatapi terus berterusan. Hanya mereka yang terkecuali sahaja diizinkan memilikinya. Memenuhi syarat-syarat yang ditentukan. Kisah kehilangan senjatapi itu belum reda walaupun sesudah berbulan-bulan lamanya. Banyak spekulasi mengenai kehilangannya. Banyak teori amatur yang diketengahkan. Kesemuanya tidak ada jawapan. Cebisan-cebisan maklumat tidak ada yang meyakinkan. Tiba-tiba tercetus suatu berita lain bahawa di kampung tersebut ada beberapa kumpulan samseng. Terpinga-pinga warga kampung. Mereka meneropong ke sana dan ke sini. Cuba mencongak-congak siapa agaknya antara mereka yang dilabel sebagai samseng. Kepada mereka tidak ada siapa yang meragukan. Mereka selalu bersama. Berjemaah bersama. Hidup rukun dan damai. Mungkin juga berlaku perselisihan pendapat tetapi tidaklah sehingga mengeruhkan suasana. Berita dari luar yang melampaui jangkaan itu sangat-sangat menggangu pemikiran Tok Ketua. Apa yang boleh dilakukannya. Bagaimana di kampungnya yang dikenalinya sejak ia dilahirkan terdapat kumpulan samseng. Tidak ada tanda-tanda yang boleh menjurus ke arah itu. Sebagai politikus kampung Tok Ketua tidak memikirkannya secara jauh dan mendalam. Mungkin orang hanya bercakap main-main sahaja. Selang beberapa bulan kemudian berlaku hal-hal yan tidak terduga. Sebuah kampung berhampiran mengalami tragedi berdarah. Beberapa penduduknya tercedera dan mati ditembak. Pihak yang berwajib membuat siasatan rapi. Peluru yang digunakan dikesan menggunakan senjatapi yang telah dicuri di kampung lain sebelumnya. Rekod polis mengesahkan begitu. Semua mata tertumpu ke kampung yang kehilangan senjatapi. Bukankah sebelum ini telah ada cerita bahawa di kamung itu terdapat beberapa kumpulan samseng. Pastinya mereka yang melakukan jenayah pembunuhan tersebut. Mereka menyerang kampung lain. Kecoh satu dunia. Kampung itu dihuni oleh kumpulan samseng yang mengamcam dunia. Mengancam dunia orang lain. Teori awal mengenai kehadiran mereka seperti disahkan dengan serangan berdarah tersebut. Pasukan perisik dihantar ke kampung itu. Kesemua warganya menjadi suspek. Tanpa mengira jantina. Tanpa mengira usia. Tetapi kerana teori yang diada-adakan samseng memang tidak ada. Mulalah proses penggeledahan dilakukan. Semua rumah diperiksa. Termasuk persekitarannya. Entah bagaimana selaras senjatapi yang hilang dahulu ditemui berhampiran dengan sebuah rumah penduduk. Warga yang berusia 45 tahun itu dituduh mencuri senjatapi dan dituduh juga menggunakannya untuk meyerang kampung lain. Warga kampung sepertinya tidak berdaya mempertahankan hujjah. Tidak pandai berhujjah. Dua cerita telah disahkan. Pertama, di kampung itu terdapat kumpulan samseng. Keduanya, mereka melakukan jenayah dengan menggunakan senjatapi yang mereka curi. Warga kampung yang naif percaya bulat-bulat kesemua cerita tersebut. Kisah ini belum tamat. Mana ahli samseng yang lain? Dipendekkan cerita banyaklah nama yang disabitkan. Dalam jemaah yang tidak dijamaahkan banyak kelonggaran perhubungan. Akhirnya kampung itu dikepung. Nama-nama yang disebut secara rambang ditangkap. Kampung itu diserang dari segenap penjuru. Yang tinggal hanya mereka yang lemah, yang sakit, yang sudah hilang upaya, yang tua dan kanak-kanak. Telah berlaku matlamat menghalalkan cara. Sesuatu yang asalnya hanya ilusi dijustifikasikan sebagai realiti. Segala tindakan diarahkan untuk justifikasi tersebut. Dalam dunia serba mungkin segala-galanya boleh dicipta dalam minda manusia. Begitu kuatnya pengaruh media. Hanya cetusan yang tidak seberapa boleh merebak tanpa kawalan. Grapevine yang dicipta menyubur untuk memusnahkan. Bukan untuk memberi manfaat. Tentu ramai yang bertanya akan sekuennya. Akan konsekuennya. Kita kembali kepada ilmu dan maklumat. Bagaimana kita menyaring yang hak dan yang batil. Bagaimana kita membezakan yang benar dan yang salah. Itulah malang warga sebuah kampung yang naif. Berpuas hati hanya dengan adanya makanan. Cukup dengan kenyang. Ancaman yang datang dalam berbagai bentuk tidak dapat dilihat. Tidak dapat diterjemah. Tidak dapat ditafsir implikasinya. Kesedaran selalunya datang apabila segala-galanya sudah terlambat. Nasi sudah menjadi bubur. Kita terlena dengan janji yang muluk-muluk. Harapan yang rupanya hanya bersalut belon. Besar, cantik dan berwarna-warni tetapi kosong, ringan dan pecah akhirnya. Yang tinggal hanya pemegang belon yang terpana dengan bunyi tanpa isi. Terlalu banyak yang telah kita dengar. Yang telah kita baca. Yang telah kita lihat. Yang telah kita alami. Apakah ilmu tidak dicari. Apakah kebijaksanaan bukan keperluan. Apakah pengajaran tidak diibatratkan. Kita tetap menunggu harapan yang dijanjikan. Malas membaca yang tersurat dan tersirat. Apakah cerita Pak Pandir mendahului zamannya? Menang sorak kampung tergadai? Allahua’lam.

Bingkisan Dari Kaherah: Nilai Sebuah Impian

Tidak semua orang memiliki impian. Malah ada orang telah lama malas untuk bermimpi. Kepada mereka mimpi sudah bukan realiti lagi. Suatu kepayahan yang tidak perlu difikirkan lagi. Cukuplah dengan apa yang ada. Datang yang diterima. Mengharap tidak mampu terlalu lagi. Cuba lihat diri kita. Berapa berat mata memandang tentu berat lagi bahu yang memikul. Kehidupan sebenarnya semakin menyempit. Pendapatan yang ada mungkin cukup untuk makan tetapi bukan untuk menikmati taraf hidup yang setara tinggi. Penulis masih berada dalam zaman kanak-kanak sewaktu perjuangan untuk menuntut kemerdekaan sampai di kemuncaknya. Pilihanraya pertama pada tahun 1955 cukup kuat dalam ingatan. Suatu janji telah diuwar-uwarkan.Tanahair tercinta ini milik kita. Kemerdekaan bererti kita yang perintah. Kita boleh buat apa yang kita suka. Ironisnya arwah datuk penulis sendiri menyanggah usaha hendak merdeka itu. Apalah merdeka jika sebatang jarum pun kita tidak mampu untuk membuatnya. Pada hakikatnya bukan seorang dua yang berkata begitu. Namun kemerdekaan menjadi hahikat. Penulis ingin kembali ke zaman itu. Pilu juga mengingat sanggahan arwah datuk sebegitu. Cuba pembaca tanya diri masing-masing, ada atau tidak orang kita yang sudah pandai membuat jarum. Sudah mahir membuat jarum. Sebatang pun cukuplah, jika ada. Sedih barangkali. Sesudah lebih setengah abad kita merdeka kita memang masih sesungguhnya belum pandai membuat jarum! Bagaimana hal sebegini masih terabai. Apa yang kita lakukan sehingga kita mengabaikan sesuatu yang kecil dan murah. Barangkali juga mudah. Sepertinya tiada sesiapa yang memikirkannya. Baik pemimpin, baik rakyat. Apabila kita melihat sekeliling kita, yang terpapar ialah kepayahan yang masih banyak. Kepayahan baru yang bertambah. Di desa kekal dengan keberadatannya. Hidup tidak seberapa. Malangnya mereka yang tinggal di bandar juga terkapai-kapai berusaha mencukupkan apa yang ada. Di kampung masih ada yang dua kali kais untuk sekali makan. Bukan lagi kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Di bandar mungkin peribahasanya berubah. Kejar pagi makan petang. Kejar petang makan pagi. Pergerakan yang tidak menjanjikan apa-apa kemewahan. Mungkin ramai jadi pesimis kerana kesinambungan kemerdekaan tidak merealisasikan janji awal bahawa negara ini kita yang perintah. Di atas kertas memang begitu. Legally yes. Malangnya kita lupa perut yang perlu diisi. Rumah untuk dihuni. Kenderaan untuk bergerak. Kesihatan untuk dijaga. Pendidikan untuk ditambah. Keperluan hidup yang semakin mendesak. Banyak yang di luar kemampuan orang biasa-biasa. Situasinya semakin membesar. Kerumitannya semakin banyak. Permasalahan asas dari dahulu masih banyak yang belum selesai. Paling parah ialah majoriti orang kita yang jauh tertinggal di belakang. Penulis teringat istilah ergonomic terlalu biasa di USA pada tahun 1985 tetapi di Malaysia hanya baru-baru ini disebut orang. Maknanya kita tertinggal selama kira-kira 30 tahun. Orang di kampung tertinggal lebih setengah abad. Tentulah menjadi kerisauan kerana yang tertinggal itu orang kita. Hanya sebahagian kecil sahaja orang kita yang melihat dunia. Yang keluar dari kepompong kemiskinan. Yang mindanya terbuka luas meneroka alam. yang lain kekal begitu. Peningkatan yang sangat sedikit secara relatif dengan orang lain yang bangunannya mencakar langit. Yang gedungnya melebihi beberapa padang bola. Orang kita masih terlalu ramai yang belum pandai dan tidak pandai. Mereka hanya pengguna teknologi yang patuh tanpa mengetahui. Patuh pada pemimpin hingga tidak upaya membuat perubahan diri dan keluarga. Lyndon B. Johnson pernah datang ke Malaysia. Yang ditinggalkan hanyalah FELDA Lyndon B. Johnson. Lusa datang Barrack Hussein Obama. Kita tidak tahu apa yang akan ditinggalkannya. Kedatangan khas itu tentunya membawa "keistimewaan" yang tidak dapat dijangka oleh orang di desa dan di peringkat bawah. Tidak semua orang akan memahami apa yang tersirat. Apakah benar domino theory menjengah kembali. Malaysia antara yang rebah seperti rebahnya negara Islam dalam kelompok Arab Spring. Ekonomi kit asedang sakit. Maka USA membawa ubatnya. But there is always a catch. Tidak ada yang percuma. Mesti ada cagaran. A reciprocal gain kepada USA. Kit atelah banyak kehilangan segala-galanaya kerana compromise yang terlalu banayk. Kita akan banyak kehilangan yang lebih banyak lagi pada tahun-tahun yang akan datang. Untuk berfikir menjadikan penulis berasa takut. Jik akita banyak fikirkan ketakutan datang menghambat. Penulis terfikirkan anak dan cucu penulis sendiri. Apa lagi yang tinggal untuk mereka apabila sampai masanya penulis tiada nanti. Hutang memang banyak untuk ditangggung. Yang lebih menakutkan ialah mereka kehilangan tanahair tercinta. Penjajahan modern bukan lagi secara ketenteraan. Politik dan ekonomi. Dibantu dengan teknologi. Apa sahaja kemungkinan boleh berlaku. Seperti Dajjal sudah berkeliaran. Ikut aku, hidup. Tolak aku, mati. Kita berhenti di sini untuk tidak bermimpi lagi. Hiduplah dalam jaga. Curiga pada yang ada. Semoga Allah melindungi kita semua. Selamat dari fitnah dunia. InsyaAllah.