Semakin ditunggu
semakin mengusik fikiran. Terakhir pegawai Majlis Keselamatan Negara sudah
terbang ke Mesir. Berita dari anak, saya semak online. Tinjauan terakhir akan
dibuat esok. Sambil membuat kerja rumah intertnet dilayari. Pulang atau tak
pulang. Berat rasanya hati hendak meninggalkan bumi anbia ini. Bumi kelahiran
Nabi Musa a.s. Bumi Nabi Harun a.s. Bumi yang dihuni Imam Syafiee. Imam
al-Lait. Apakan daya, negara orang yang berkocak. Kita warga asing elok
menyingkir dahulu hinggalah keadaan mengizinkan semula. Kesemuanya bumi Allah.
Pertambahan manusia memerlukan sempadan negara dan sempadan politik. Antara
yang sukar ialah politik dalaman. Tidak mudah memuaskan hati semua orang. Orang
Islam sendiri perlu bijak berpolitik. Politik bukan jahat. Tidak juga kotor.
Politik ada lenggok dan lagunya yang tersendiri. Ada tari dan rentaknya yang
tersendiri. Cuma ramai orang yang bertingkah tidak kena irama. Itu yang
menjadikan politik tempang dan pincang.
Hampir dua bulan di
Kaherah. Baru sangat. Seronok belajar bahasa Arab di Markaz Nil. Banyak yang
menggembirakan pembelajaran yang saya lalui. Mungkin juga begitu yang dirasai
oleh pelajar-pelajar yang datangnya dari kira-kira 49 negara di seluruh dunia.
Maknanya Markaz Nil ini sangat established. Didatangi oleh ramai yang
berminat. Ada yang hanya beberapa bulan dan ada yang hingga melangkaui setahun.
Untuk menamatkan kesemua modulnya
memerlukan kira-kira 15 bulan. Setiap modul hanya sebulan. Diselang dengan bulan
untuk bercakap, berbicara, bersoal-jawab, bercerita, berhujjah, bersyarah dan
sebagainya. Terasa puas kerana setiap hari ada latihtubi yang banyak untuk memahirkan diri. Kerja rumah
yang juga kadang-kadang banyak. Latihan amali ini melatih minda supaya
mengingat, menangkap dan membiasakan dengan sistem bahasa. Kaedahnya. Mungkin
dari segi morfologi, syataks dan keperluan linguistik yang lain.
Yang pentingnya ada
keriangan dalam hati berada di Markaz ini. Yang dicari berada di hadapan mata.
Sistem pembelajaran yang teratur memberi laluan yang lebih segar dalam
mempelajari bahasa Arab. Teori atau kaedah diberi secara berhemah. Tidak
memeranjatkan. Tidak mendebarkan. Malah diterima dengan kefahaman yang lebih
tinggi sebab praktikalnya sudah dilalui. Barulah boleh memahami yang mana
berbaris hadapan (dhommah), berbaris atas (fathah) dan yang mana berbaris bawah
(kasrah). Banyak kali mempelajari bahasa Arab tidak lancar perjalanannya. Kali
ini baru dapat merasakan ada keserasiannya. Mudah-mudahan berpanjangan belajar
di sini. Malangnya keadaan seperti mengusik perasaan. Kemungkinan besar akan
diangkut pulang untuk beberapa ketika sehingga bumi anbia ini tenang kembali.
Pada awalnya ingin menggenggam bara api hingga menjadi arang. Api lain yang
menyala dan membakar. Maka kami perlu menyisih dahulu dari api itu. Menjauh
supaya tidak berlaku tempias dan panasnya. Hanya mampu melihat dan mentafsir.
Yang tersurat dan yang tersirat.
Terasa berat hendak
berkemas ala kadar. Persatuan Pelajar Johor sudah dihubungi. Persatuan Melayu
Mesir juga sudah dihubungi. Ada beberpa orang lain sudah maklum kehadiran saya.
Terima kasih Ustaz Haris dari IKRAM (JIM). Terjumpa di kedai buah beberapa hari
lalu. Selain daripada itu pelajar
Malaysia di Markaz Nil juga ramai bilangannya. Masing-masing tanya bertanya
setiap masa. Bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan. Bila pulang tentu
ada yang ditinggalkan.
1
Rumah
sewa dan barang-barang milikan yang ditinggalkan.
2
Berapa
lama pula harus ditinggalkan.
3
Bagaimana
jika melebihi tiga bulan umpamanya.
4
Pelajaran
terganggu pula kelancarannya.
Pada tahun 2011
dahulu saya menunggu dengan cemas anak saya diangkut pulang. Kali ini mungkin
saya dan isteri pula menerima giliran itu. Anak-anak di tanahair sudah tidak
sabar menunggu apa kemungkinan yang akan berlaku. InsyaAllah sehari atau dua
ini ada khabar penentu. Pulang atau tak pulang. Kalaulah, kalaulah boleh dielak
untuk pulang. Kalaulah boleh bertahan. Semuanya hanya kemungkinan. Yang
pastinya apabila orang lain diangkut pulang, kami perlu diangkut juga. Mustahil
ditinggalkan dalam keadaan negara orang tidak selamat dan aman. Tanggungjawab
pemerintah pula untuk menjamin warganya yang di luar negara selamat dibawa
pulang. Tidak ada jaminan keselamatan di negara yang sedang bergolak. Apabila
keadaan memuncak gawatnya berbagai perkara boleh berlaku.
1
Bekalan
makanan terputus.
2
Aliran
air terputus.
3
Bekalan
elektrik terhenti.
4
Bekalan
perubatan terputus.
Menakutkan juga kerana
pergerakan terhad. Banyak terhalang dari kebebasan. Itu belum pemeriksaan
kewarganegaraan dan sebagainya. Siapa sahaja boleh disyaki kehadirannya di bumi
anbia ini. Semakin difikirkan semakin gelabah juga hati ini. Terlalu banyak
kemungkin yang tidak baik berlaku. Yang baiknya belum nampak bayangnya. Mungkin
esok ada berita yang pasti. Pulang atau tak pulang. Bila difikirkan lagi
mungkin banyak baikny ajuga untuk sementara waktu pulang ke tanahair. Menatap wajah
cucu yang belum disapa wajahnya. Cucu baru yang akan lahir tidak lama lagi. Kenduri
kendara yang akan dihadiri. Bertemu semula sanak saudara yang sudah
berbulan-bulan ditinggalkan. Sahabat handai yang terpisah sementara. Apabila Allah
menentukan sesuatu ada hikmah yang perlu diterima. Pasti ada kebaikan dari
segala-galanya. Allah hanya memberikan yang terbaik mengikut kadar
masing-masing. Yang pentingnya bersyukur. Mensyukuri nikmatNya.
Pulang atau tak
pulang hanya suatu keputusan yang mudah. Yang mengiringi keputusan itu yang
mungkin menyukarkan bagi setengah orang. Bagi pelajar biasa yang masih muda,
penaja tidak keberatan untuk membayar tambang mereka kembali ke Mesir apabila
keadaan aman semula. Apabila keselamatannya terjamin. Bagi yang datang dengan
biaya sendiri banyak juga yang perlu difikirkan. Perlu berhemah dan berjimat.
InsyaAllah Allah mempermudahkan segala urusan. Datang kerana Allah. Kembali
kerana Allah. Pergi semula kerana Allah. Hidup ini untuk Allah. Mati juga untuk
Allah.