Saturday, November 22, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Tukang Yang Mahir Menggunakan Peralatan Yang Pelbagai



Tukang dalam konteks apa sekalipun adalah mereka yang mahir dalam sesuatu bidang khusus. Lazimnya kemahirannya dalam satu konteks masa. Banyak perubahan berlaku dari masa ke semasa sehingga sekiranya mereka tidak turut berubah maka mereka akhirnya diubah menjadi tukang yang ketinggalan zaman. Pelanggan tidak memerlukannya lagi. Bagaimana perubahan berlaku?
1                    Teknologi berubah. Alat yang sama tidak boleh digunakan pada masa hadapan. Tercipta alat lain yang lebih memudahkan kerja.
2                    Persepsi dan konsep berubah. Pelanggan mahukan produk yang memiliki ciri-ciri tertentu. Yang menggambarkan situasi tertentu.
3                    Citarasa berubah. Pendidikan mencetuskan perubahan. Pengalaman menghasilkan perubahan.
4                    Perubahan untuk menghilangkan rasa bosan dengan sesuatu yang sama sepanjang masa. Ramai pelanggan mencari kelainan bukan persamaan.

Tidak ramai tukang yang peka dengan pentingnya perubahan. The forward thinking selalu terlepas pandang. Kerana itu tukang perlu sentiasa mengikuti perkembangan di persekitarannya. Kita bercakap mengenai world view dan bukan persekitaran kita sahaja. Kita perlu melihat persekitaran orang lain. Kotak orang lain. Dunia orang lain. Kita buat perbandingan. Perbaiki jika milik kita tidak setara dengan milik orang lain. Perbaiki juga walaupun milik kita adalah lebih baik. Perubahan bukan kerana milik kita tidak berkualiti.  Perubahan diperlukan setiap masa tanpa mengira apa sekalipun kriterianya. Selalulah berkursus. Menghadiri seminar dan forum. Mendengar debat atau ceramah. Membaca dan berdiskusi. Muzakarah dan tazkirah. Bertanya dan mencari jawapan kepada permasalahan yang kita hadapi. Usaha dan kerajinan banyak imbalannya. Sekurang-kurangnya kita bersedia untuk masa akan datang. Keduanya kita menaja kepuasan diri.

Mereka yang sangat perlu berubah ialah guru, ustaz, pensyarah, jurulatih, pengajar, pembimbing, motivator dan siapa sahaja dalam kategori mengajar atau mendidik. Mereka adalah benteng pertama membasmi kejahilan. Menjadikan orang di sekelilingnya pandai dan bestari. Berketerampilan dalam banyak hal.
1                    Ilmu perlu ditambah kerana anak didik semakin pandai. Semakin banyak tanya dan soalnya. Guru perlu dapat menjawab. Memberi penerangan. Memberi pencerahan. Merungkai yang kusut. Menunjuk jalan ilmu yang lebih baik.
2                    Kemahiran perlu ditambah kerana anak didik perlukan tambahan kemahiran dari masa ke semasa sesuai dengan perubahan teknologi.
3                    Perlu menambah pengetahuan dan maklumat supaya diri tidak berada dalam keadaan kaku, jumud dan ketinggalan zaman.
4                    Banyak mendampingi orang lain yang bukan kelompok kita supaya terdapat pertukaran pendapat, pertukaran pengalaman, pertukaran maklumat, percambahan fikiran.
5                    Anggap diri kita bukan yang terbaik. Masih banyak kelemahan. Masih banyak kekurangan. Masih banyak yang tidak kita ketahui.
6                    Falsafah mereka yang bijaksana ialah: Semakin banyak yang diketahui semakin banyak yang tidak diketahui.
7                    Memperbaiki diri seperti berjihad mengorbankan masa, tenaga, harta dan mengambil kesempatan sementara masih ada umur. Masih boleh melakukannya. Selagi belum menutup mata.
8                    Dalam memperbaiki diri fokuskan pemikiran. Bergerak berlandaskan kebenaran dan hak. Ilmu, kemahiran dan maklumat tambahan akan memberi manfaat kepada orang-orang di sekeliling kita.

Kita selalu terperangkap dalam dakapan keselesaan. Kita selalunya selesa dalam keadaan berikut:
1                    Bersama orang-orang yang biasa.
2                    Tempat yang biasa.
3                    Cara yang biasa.
4                    Masa yang biasa.
5                    Bercakap mengenai perkara yang biasa.
6                    Berfikir biasa-biasa sahaja.

Kita yang biasa-biasa sahaja lama-lama tidak lagi mendapat perhatian. Khalayak melihat kita yang biasa-biasa berasa tidak enak lagi:
1                    Audien kita jemu melihat kita yang tidak berubah-ubah dari dahulu hingga sekarang.
2                    Mereka mencari guru lain yang lebih banyak ilmunya. Yang lebih canggih cara menyampaikan pelajaran. Yang ada nilai tambah selain daripada ilmu yang ada.
3                    Mereka mencari suasana yang lebih kondusif berbanding dengan keadaan yang ada sekarang.
4                    Mereka menuntut kelainan-kelainan yang belum pernah mereka lalui.
5                    Betapa perlunya guru membina rangkaian. Berganding dengan mereka yang lebih arif. Yang lebih banyak pengalamannya. Datangkan mereka sebagai bantuan untuk menambah kehangatan suasana.

Dalam konteks dunia sekarang ini konsep inovatif dan kreatif menjadi sangat perlu. Mereka yang dilihat lebih baik akan lebih diberi perhatian. Akan diminta kelebihannya. Ingin dikongsi pengalamannya. Ingin ditimba ilmunya. Kerana itu guru yang ditimba ilmunya perlu menambah ilmu. Mereka yang menimba juga perlu menambah ilmunya. Di samping itu guru perlu pula reaktif dan proaktif. Selalu melihat peredaran masa dan tanda-tanda perubahan yang akan berlaku. Bertindak menyaingi perubahan-perubahan yang berlaku. Atau membuat jangkaan-jangkaan awal sebelum ianya berlaku. Setiap ilmu yang kita perolehi mungkin tidak diaplikasikan secara segera. Apabila tiba masanya diperlukan ianya sudah tersedia ada pada diri kita. Apabila perubahan berlaku kita sudah bersedia lebih awal lagi.

Dalam banyak hal kita tidak boleh menunggu orang lain melonggokkan ilmu kepada kita. Datang mengajar kita. Ulamak dahulu menanti kedatangan pelajarnya. Dari jauh dan dari dekat. Guru tidak mencari pelajar. Pelajar yang mencari guru. Konsep sekolah itu benar kerana anak-anak perlu sedikit paksaan untuk mencari ilmu. Orang dewasa pula berbeza. Kesedaran tentang kedaifan ilmu yang ada pada diri menyebabkan ia perlu mencari guru. Mendatangi guru. Mengejar guru. Mengharap pada guru. Sebab itu ulamak dahulu dikerumuni oleh pelajar-pelajarnya. Ilmu yang disampaikan menusuk ke jiwa. Bermanfaat besar dalam hidup. Membangun agama dan bangsa serta negara. Sebab itu juga ulamak selalu harum namanya disebut-sebut walaupun sudah tiada. Selalulah lihat diri kita sendiri. Cukupkah ilmu yang ada. Banyak mana yang kita ketahui.

Kembara atau rehlah ilmu menjadi suatu kemestian apabila kita mencintai ilmu. Mencari di mana guru. Dari yang dekat hingga yang jauh. Dari yang biasa hingga yang di luar kebiasaan. Seorang guru perlu banyak berguru untuk:
1                    Meningkatkan keupayaan diri ke aras yang lebih tinggi.
2                    Menambah keupayaan berhadapan dengan cabaran sebagai guru.
3                    Audien guru bukan hanya kanak-kanak kecil tetapi kanak-kanak yang berpengetahuan dan orang dewasa yang berpengalaman.
4                    Di luar sana ramai orang dewasa yang perlu belajar semula. Mereka mencari ilmu akhirat setelah letih dengan ilmu dunia. Tetapi mereka selektif iaitu mereka perlukan guru yang setaraf dengan mereka dari segi kelayakan. Atau mereka yang dilihat memiliki kelebihan mengenai ilmu yang mereka ingini. Maka guru yang memiliki kelebihan menjadi tumpuan pencarian pelajar.

Bila dan kenapa guru perlu mencari ilmu dan kemahiran baru?
1                    Apabila berguru tetapi ilmu tidak juga bertambah.
2                    Suasana di sekeliling kita semakin menjemukan.
3                    Orang-orang di sekeliling kita menjadi orang-orang yang tidak ceria, kelihatan letih tidak bermaya, timbul malas dalam diri.
4                    Kita melihat keliling kita, tiada siapa yang dapat membantu kita untuk menambahkan ilmu kita.


Kerana itu hijrah menjadi penting. Berubah itu penting. Menganjak paradigma itu penting. Mencari yang baru itu penting. Selalulah muasabah diri. Cukup atau belum. Jika terasa kurang maka carilah tambahannya. Dunia sudah akhir zaman. Ilmu membantu kita memahami apa yang perlu kita lakukan untuk berhadapan dengannya. Kita tidak boleh selesa dengan apa yang ada sahaja. Kita tidak boleh merasa cukup dengan apa yang ada kerana yang kita miliki terlalu sedikit. Perbaiki diri hingga akhir hayat. Sesunggunya berniaga dengan Allah akan sentiasa mendapat keuntungan yang berganda-ganda. Berjalanlah atas dasar barakah Allah. Memberi manfaat kepada insan lain dengan izin Allah.