Orang lelaki yang bersolat Jumaat di masjid mendengar ayat al-Quran ini berulang-ulang setiap hari Jumaat. Allah berfirman yang mafhumnya:
Maka janganlah kamu semua mati kecuali kamu semua mati dalam Islam.
(Al-Baqarah 2: 132)
Kita dilahirkan Islam kerana ibu dan bapa kita Islam. Alhamdulillah kita mempelajari manhaj Islam. Ilmu tentang Islam terlalu banyak. Yang kita ketahui hanya sedikit. Terlalu sedikit berbanding dengan air di lautan. Ayat pertama wahyu yang disampaikan oleh Jibril a.s. kepada Rasulullah s.a.w. bermaksud:
Bacalah, dengan nama Tuhan kamu yang menjadikan.
(Al-Alaq 96:1)
Mereka yang terlebih dahulu menemui Allah sebelum kita tentu bergembira. Begitulah para anbia, para aulia, para suahada, dan ramai lagi yang sewaktu hidup mereka dahulu mereka sangat dekat dengan Allah. Para mufasirin menghuraikan bahawa wahyu pertama tersebut sebagai titik tolak kepada kelangsungan manusia yang dijadikan sebagai khalifah. Khusus untuk memakmurkan alam. Maka manusia belajar dan mempelajari apa sahaja yang perlu dengan menggunakan kepintaran akal yang Allah anugerahkan kepada manusia.
Intelek manusia perlu digunakan semaksimumnya. Berfikir dan menroka minda untuk menyelesaikan masalah manusia. Untuk membantu meringankan tugas manusia di mukabumi ini. Mencari jalan beribadat dalam segala hal. Kesemua aktiviti yang dilaksanakan kerana Allah. muslim dan negaranya telah melalui masa yang panjang. Pernah menebarkan keunggulan Islam ke merata dunia. Pada masa yang sama dilemahkan oleh kuasa Barat dan Yahudi. Banyak negara Islam yang dijajah fizikal dan mindanya. Begitu juga budayanya. Maka sedikit demi sedikit jatidiri Islamiayyah hilang ditelan masa. Anak-anak kita menjadi janggal dari agama. Saban tahun yang gagal bersyahadah semakin ramai. Penulis takut hendak meramalkan peratus yang tidak menunaikan solat. Walaupun pada waktu-waktunya masjid dan surau agak penuh namun yang berada di luar sana melebihi dari yang di dalam masjid atau surau.
Banyak peluang yang Allah berikan untuk menjadikan diri kita sebaik-baik kejadian. Sebaik-baik makhluk dari segi akhlaknya. Dari segi tingkah lakunya. Dari segi manfaat yang dapat disumbangkan kepada manusia lain. Atau makhluk lain. Manusia banyak melakukan kesilapan. Allah pula sentiasa memberi ruang kepada kita untuk bertaubat dan memperbaiki diri. Mudah-mudahan kita semua mati dalam Islam. Dalam iman. Mati dalam redha Allah. Barangkali kita perlu melalukan yang lebih banyak dari kita lakukan sekarang. Dakwah kita perlu berlipat kali ganda. Musuh-musuh yang nyata dan tidak nayata sentiasa memerangi Islam. Antaranya media hiburan yang tidak henti-hentinya menambah program untuk memerangkap minda anak-anak muda menjadi lalai agama. Memang itu kerja musuh Islam. Tetapi apabiila orang Islam sendiri berlumba-lumba mengendalikan program yang lebih hedonism maka seolah-olah sempurnalah kerja musuh Islam. Orang Islam sendiri menghancurkan iman orang Islam. Saudaranya sendiri. Darah dagingnya sendiri. Apa lagi yang tinggal. Syaitan dan iblis tertawa kegirangan.
Dunia semakin hampir ke penghujungnya. Kita seharusnya memacu diri ke garisan akhir. Semakin laju mendekati agama. Semakin banyak ilmu agama dan amalannya. Semakin baik dari segi akhlak. Gangguan dari musuh yang sangat nyata semakin mengancam. Kita selalu menisbahkan musuh kita sebagai syaitan dan iblis. Kita selalu lupa gangguan manusia yang memakai akhlak syaitan dan iblis. Kita menganggap manusia bukan musuh nyata. Manusia ramai yang mencabar Islam dan mencabar iman. Paling besar tentulah hiburan yang melalaikan. Hedonism yang sudah sampai ke kemuncaknya. Hiburan realiti yang sudah tidak lagi boleh ditapis. Tidak boleh dibendung. Hanya iman dan hanya iman yang dapat menangkisnya. Ibu dan bapa, tanggungjawab anda berdua untuk membina tembok kukuh pada diri dan hati anak-anak anda. Bukan guru dan bukan orang lain. Jangan suka main serah-serah kepada orang lain. Ibarat kata bijak pandai, buat sendiri tanggung sendiri. Tidak boleh dipindahkan kepada orang lain.
Pengakhiran yang kita inginkan ialah Islam. Mati dalam Islam. Bila-bila sahaja dunia boleh kiamat. Allah Yang Maha Mengetahui, tanda-tandanya semakin banyak. Semakin menyerlah. Tanda-tanda besarnya sudah mula menampakkan diri. Sorotan kembali peristiwa 2013 menunjukkan berbagai kejadian yang dahulunya belum pernah berlaku. Kita sangat khuatir kerana ramai orang Islam yang lemah dari segi agama. Kerana itu kita hilang sifat hadhari. Tidak memajukan diri. Mati dalam zon selesa yang kelihatan selamat tetapi pada hakikatnya palsu. Anak-anak kita lemah kemahiran. Mereka lemah teknologi. Lemah cara berfikir. Tentu sahaja lemah dalam amal ibadat. Apa yang akan penulis catatkan berikut ini mungkin menjebak minda. Mungkin kita perlu membuat penilaian semula pendirian dan pandangan kita terhadap orang bukan Islam. Ada hal-hal yang mengganggu penulis. Suatu equation: Yang bukan Islam menerima Islam sebagai agama terbaik. Yang Islam mencari agama lain yang tidak diredhai oleh Allah. Malah seorang model yang bukan Islam memakai hijab cukup mencabar minda. Yang Islam masih tidak ada keberanian untuk mamakainya. Malu kepada manusia dan tidak terfikir malunya kepada Allah.
Kita kembali ke sekolah dan pendidikan. Apa sebenarnya yang kita hasilkan. Apakah natijah warganegara yag ingin kita tinggalkan sebagai pewaris agama dan bangsa. Sekarang ini yang kita lihat ialah buih-buih seperti yang diceritakan dalam hadith nabi. Banyak tetapi hanya gelembungan angin. Tiada isi. Tiada substance. Pecah apabila ditiup angin walaupun sepoi-sepoi bahasa. Mengikut arus yang tiada destinasi. Jurang kepandaian antara warganegara di negara maju dan di negara belum maju semakin besar. Di negara maju mereka meneroka segala bidang ilmu. Kerana itu mereka berada di dalam air, di daratan dan di angkasa. Penerokaan dan penemuan bijak pandai mereka semakin tidak dapat diharmonikan oleh minda mereka sendiri. Alam ini memberikan jawapan-jawapan yang bukan dijadikan oleh akal manusia. Maka ramai antara pakar matematik, saintis, pakar fizik, pakar falak dan sebagainya menemui jawapan dari kajian mereka apabila mereka merujuk kepada al-Quran.
Nah, di manakah kita dari segi al-Quran. Yang menghafaznya semakin kurang berbanding dengan ledakan umat Islam di seluruh dunia. Kita tidak memiliki teknologi canggih. Untuk mengira bintang di langit kita hanya melawak dengan Abu Nawas mengira bulu seekor kambing. Berapa ramai anak-anak kita yang memahami tentang bintang, supernova dan planet. Ini bermakna kita semakin tertinggal jauh di belakang. Kita sibuk untuk mencari makan untuk mengenyangkan perut. Orang Barat sibuk mencari jawapan-jawapan misteri dalam minda mereka. Hal-hal kakiki dari segi agama. NASA umpamanya sentiasa di hadapan dalam penerokaan angkasa. Banyak ramalan dan perkiraan yang kadang-kadang sangat mengejutkan. Umpamanya NASA membuat perkiraan bahawa dari trend pergerakan cakerawala yang ada besar kemungkinannya suatu hari nanti matahari terbit dari barat. Kita telah lama mendengarnya tetapi kita tidak mengkajinya. Tidak menyelidik bagaimana kejadian seperti itu pasti akan berlaku dengan kuasa Allah. Untuk kita insafi. Kita ambil peringatan dan pengajaran. Supaya kita lebih dekat kepada Allah. Lebih menyerah diri. Lebih tunduk dan lebih lama sujudnya. Lebih mengingati Allah berbanding dari mengingat yang lain.
Ramai pakar-pakar dari Barat yang menginsafi adanya Yang Maha Kuasa mengadakan alam ini. Ramai juga antara mereka yang menerima Islam bersandarkan keinsafan itu. Berdasarkan kepada ilmu yang mereka miliki. Alhamdulillah ilmuan dan sarjana di Barat menerima Islam. Mereka menemui Islam. Mereka menemui Allah melalui ilmu mereka. Semakin mereka maju semakin ramai antara mereka yang memeluk Islam. Apakah anda berkongsi dengan fikiran saya?
Maknanya orang yang bukan Islam semakin ramai menerima Islam. Mudah-mudahan mereka mati dalam Islam. Lalu, lalu kita pula khuatir. Ramai umat Islam yang lari dari Islam. Maka mereka yang dahulunya Islam hilang Islamnya. Mengapa? Kejahilan yang memanjang. Teknologi yang hanya pintar digunakan tetapi tidak dimanfaatkan. Ibu dan bapa, nilai semula pendidikan Islam yang diberikan kepada anak-anak. Guru-guru pula harus bertanya pada diri sendiri. Setakat mana dakwah anda kepada anak-anak didik anda. Pemimpin, bagaimana anda menjaga agama? Allahuakbar.