Tuesday, October 9, 2012

Cleaveland: Mengetahui Aturan Perjalanan Dunia


Cleveland di US. Dari Narita kami singgah di Cleveland. Ada sesuatu yang saya rasa mengelirukan. Kami hendak ke Canada. Destinasi kami ialah Toronto. Saya sendiri berasa terkejut kerana bagasi kami diperiksa di Cleveland. Passport kami dicop di Cleveland. Kami belum mendarat di Toronto. Kami belum sampai di Canada. Bumi Canada belum kami pijak. Apa sebenarnya implikasi politiknya. Implikasi pentadbiran kedua negara itu. Banyak persoalan yang berlegar di minda saya.  Kali pertama ke US dahulu saya tidak melalui pengalaman begitu. Mungkin kerana saya dan keluarga memang ke US. Tidak singgah untuk ke negara lain. Di negara orang ikut sahaja apa yang diperlukan. Itu peraturannya. Mungkin ada kesepakatan antara mereka. Sebagai pengembara kita ikut sahaja. Namun sebagai orang yang sedikit tahu saya tertanya-tanya sendiri dalam hati. US jadi big brother kepada Canada. Sistem hidup dan pentadbiran mereka mirip antara satu sama lain.

Dalam kesibukan mengurus bagasi dan mengurus diri ada seorang guru yang dibawa masuk ke kamar imigresen. Untuk proses soalsiasat. Lama baru saya sedar. Itupun ada guru lain yang memaklumkan. Saya bukan ketua rombongan. Seingat saya memang tidak ada ketua rombongan. Kementerian Pelajaran yang menghantar kami tidak berbuat begitu. Menyalahi sunnah. Apabila sekumpulan manusia  berjalan jauh maka seorang daripada mereka hendaklah dilantik sebagai ketua.  Saya lihat seorang pegawai imigresen keluar masuk pejabatnya. Seperti ada kes. Lalu saya mendekatinya dan bertanya.  
What’s the probloem officer?
This guy is going to Canada. But he has no visa.
Sorry officer. We’re from one Commonwealth country to another Commonwealth country. We need no visa.
Are you sure?
Yes, I’m positive!
Let me check.
Dia menghilang. Menyemak fakta agaknya. Tidak lama kemudian dia keluar semula.
Ok. I guess you’re right. Jawapan yang nantikan.

Lega saya. Rakan tadi dibenarkan keluar. Pucat lesi wajahnya. Mungkin dia ditanya. Hendak ke Canada tetapi tiada visa tercatat pada passportnya. Visa ke US ada. Ke Canada tiada. Kita bersekolah tetapi kadang-kadang kita tidak tahu keperluan perjalanan antarabangsa. Sebab itu kita perlu banyak membaca. Mendapatkan maklumat. Mengetahui banyak perkara. Jika dalam negara banyak peraturan yang perlu dipatuhi inikan pula di luar negara. Sebagai warganegara kita perlu mengetahui peraturan bernegara. Perjalanan antarabangsa. Hubungan diplomatik. Protokol antarabangsa. Dan banyak lagi.

Persoalan saya tadi ialah mengapa bagasi kami diperiksa di Cleveland. Mengapa passport kami dicop di Cleveland. Soalan berikutnya ialah ‘Adakah Canada sebahagian daripada negara Amerika Syarikat?’ Setahu saya Hawaii yang terakhir menjadi sebahagian US. Bukan Canada. Saya dapati implikasainya setelah berada di Toronto selepas kira-kira sebulan. Banyak yang menyukarkan perjalanan antarabangsa jika tidak mengetahui peraturannya. Ramai orang yang ditahan tidak dapat memberi penjelasan. Tidak tahu apa yang hendak dijelaskan. Ibu pejabat tidak pula terfikirkan perkara begitu. Mengandaikan guru-guru juga sudah tahu. Berpengalaman sebagai pendidik. Maaflah kita selalu terikat dengan tugas kita hingga tidak keluar dari kepompong kita. Tidak mengetahui apa yang berlaku di luar lingkungan kita sendiri.

Penerbangan ke Cleveland merentasi Kutub Utara. Pandanglah globe yang bulat di atas meja. Jalan pintas paling dekat dari Narita ke Cleveland merentasi sebahagian angkasa Canada. Di bawah tentulah sejuk. Di udara kita tidak tahu di mana kita berada. Juruterbang dan navigatornya mengetahui kedudukan. Pramugara dan pramugari juga tahu. Penumpang ramai tidak tahu. Di dalam kapalterbang kita leka dengan diri sendiri. Mungkin membaca. Mungkin menonton TV. Mungkin mendengar radio. Atau mungkin tidur memanjang. Biasalah bagi pengembara jauh terasa jet lag. Sakir segala sendi. Dudak berjam-jam di kerusi yang sempit. Kaku tanpa bebas membuat banyak pergerakan. Sekali sekala berjalan di sepanjang aisle. Atau ke bilik air. Meregang otot kaki yang kaku. Melihat keluar hanya ruang kosong. Melihat ke bawah hanya awan yang menutupi ruang udara bumi.

Dalam rasa kagum berada di udara tersemat juga rasa takut. Seperti kengerian. Banyak berdoa. Mohon selamat. Perjalanan yang jauh dimudahkan. Penerbangan yang tinggi diselamatkan. Bagi mereka yang terbang tinggi banyak pengalaman suka duka di dalam kapalterbang. Begtu juga di lapanganterbang. Dari bawah kita selalu kagum apabila ada kapalterbang melintas. Di lapanganterbang kita kagum berbaris-baris kapalterbang menunggu giliran penerbangan. Rasanya kadang-kadang menaiki bas ekspress lebih selesa. Ruang penumpang lebih luas. Boleh bergerak kaki dan tangan. Boleh menggeliat sesuka hati. Tidak dalam kapalterbang. Semuanya terbatas. Lemas kadang-kadang. Bagi mereka yang terbang dalam kelas business atau kelas pertama tentulah berbeza. Hanya yang kaya merasanya. Hanya yang tinggi pangkatnya merasai pengalaman itu. Yang lain berangan-angan sahaja.

Terbang meletihkan juga. Pertukaran waktu melupakan waktu tidur dan jaga. Kita tidak tahu bila untuk tidur dan bila untuk jaga. Bagi yang lalai banyak waktu solat yang diabaikan. Bila waktunya  tidak diketahui. Untuk bertanya tidak mungkin. Kapalterbang itu seperti sebuah negara asing. Belajarlah mengenal waktu apabila terbang jauh tinggi di udara. Jangan lupa agama. Allah ada bersama kita selalu.

Narita Oh Narita


Narita bukan nama wanita Melayu. Barangkali nama Jepun. Jantinannya saya kurang pasti. Mungkin lelaki. Buat kali kedua saya transit di situ dalam perjalanan ke Canada. Pada tarikh itu 31 Ogos 1990 lapaganterbang Narita agak sunyi. Tidak seperti bulan Disember 1984 sewaktu saya ke US dahulu. Sibuk mereka hendak merayakan krismas. Dahulu terbang pada kali pertama banyak mengujakan. Semuanya pengalaman mengindahkan pengalaman. Letih lesu dipendam. Digantikan dengan pandangan-pandangan yang belum pernanh ditatap. Paparan hidup manusia berbagai tempat. Berbagai adat. Berbagai gelagat. Pengalaman memperkayakan diri. Sesuatu untuk anak-anak. Perjalanan mereka yang semakin jauh melintas waktu, benua, adat resam dan etika antarabangsa.

Gembira juga dapat menjejak kaki di Jepun. Tetapi kali ini tidak seindah dahulu. Bersama anak-anak saya ditempatkan di hotel melebihi 24 jam. Connecting flight yang dijadualkan pada esoknya. Dapat juga sampling Japanese life. Japanese food. Japanese hospitality. Kali ini saya dalam tugas rasmi tetapi laluan ke Canada tidak seperti pegawai tinggi. Hanya biasa-biasa sahaja. Teransit di Narita selama 8 jam memeritkan. Kami hanya boleh berlegar di lapaganterbang itu sahaja. Terlalu tersekat untuk banyak bergerak. Tidak tahu di mana tempat duduk yang paling selesa. Tidka tahu hendak makan apa. Tidak tahu hendak minum apa. Pegawai rendah bila ke luar negara tidak banyak berbekal wang. Ada sedikit-sedikit ditinggalkan untuk keluarga dai rumah. Pergi tiga  bulan menuntut juga perancangan untuk isteri dan anak-anak. Sementelahan pula isteri saya tidak bekerja.

Makan juga apa yang rasanya halal. Minum kopi beberapa teguk yang nilainya lebih RM10. Itulah nilai antarabangsa. Dibayar dengan USD. Dollar Amerika. Wang yang diterima antarabangsa walaupun kata pakar nilai sebenarnya tiada. Amerika sudah muflis. Mereka mencetak wang tanpa sandaran emasa. Teori yang tidak dipraktikkan. Perjanjian Bretton Wood yang selalu dimanipulasi Amerika untuk kepentingan dirinya. Ilmu tinggi yang disusup di bawah. Kuasa besar yang mendominasi manusia sejagat. 8 jam di Narita tentulah memeritkan. Badan letih lesu. Berjalan sekadar melepaskan pandangan. Kerana tidak tahan cari juga kerusi panjang untuk beradu. Malang sungguh kerusi yang ada semunya mungkum. Sukar hendak tidur menelentang. Tidur menyandar  terasa sakit tengkuk. Cari akal. Fikir sedikit. Susun beg untuk mengampu badan. Tidur juga berdengkur melepas lelah. Sampai di Narita jam 8.30 pagi. Connecting flight jam 3.30 petang. 8 jam yang terlalu lama.

Teman-teman seperjalanan ramai yang dari sekolah vokasional. Mereka dijadualkan mengikuti kursus-kursus teknikal di beberpa kolej komuniti di Toronto, Ontario, Canada. Bunyinya gah juga. Tempatnya gah. Nama-namanya gah. Toronto di Ontario. Ditepi tasik besar Amerika Utara. Ontario, Huron, Erie, Michigan dan Superior. Toronta di tepi tasik Ontario. State of Ontario. Saya suka iklan Ontario. Pada plet kereta mereka tertulis ’Ontario, yours to discover’. Sukar hendak menterjemahkannya. Catchy. Punchy. Down to earth. Ontario yang banyak indahnya. Banyak yang boleh diteroka. Ontario, here I come. Malangny adi Narita perit saya belum habis. Dalam tidur itu mungkin saya bermimpi berada di Toronto. Entah bagaimana rupa wajahnya. Lanskapnya. Strukturnya. Pencakar langitnya. Mungkin ada kelainan berbanding Pittsburgh, Washington dan New York.

Ramai international traveller yang kadng-kadang tidak peka dengan peraturan antarabangsa. International protocol. International prosedure. Merak menganggap luarnegara seperti negara sendiri. Antara yang selalu diabaikan ialah pengenalan diri. Di dalam negara kad pengenalan wajib perlu berada pada diri kita sewaktu keluar rumah. Pengenalan diri jika perlu diketahui. Macam-macam boleh berlaku di luar rumah. Tiada siapa yang tahu. Malang selalu tidak bebau. Di luar negara lagilah lebih tnggi keperluannya. Orang tidak kenal kita. Tanpa passport kita bukan siapa-siapa. Takut pula dianggap orang tanpa negara. Sesat dalam perjalanan antarabangsa. Banyak sukarnya untuk diselesaikan. Diplomasi antarabangsa. Itulah yang terjadi kepada seorang rakan yang tidak peka. Ia bersiar-siar di Narita tanpa membawa passport.

Biasalah untuk kali pertama di negara orang teringin juga merayau. Meninjau-ninjau. Melihat apa-apa yang lain. Yang tiada di negara sendiri. Dalam leka bersiar terlalai melihat sekatan dan sempadan antara satu ruang dengan ruang yang lain. Memasuki satu ruang tiada masalah. Hendak keluar dari ruang itu perlukan pengenalan diri. Pekerja ada pas keluar masuk. Pemgembara tentulah perlukan passport. Rakan tadi yang seorang guru berjalan tanpa passport di badan. Dia ditahan tanpa pengenalan. Nasib baik ada yang melalui kawasan itu. Berkejar rakan lain mengambil passportnya. Jika tidak tentu dia ditahan sebagai alien. Tanpa pengenalan diri. Tentu sekali banyak payahnya. Ceritanya nanti berjela-jela. Apabila berada di luar negara passport hendaklah sentiasa bersama. Bila perlu ada pengenalan diri.

Passport bukan sahaja untuk melepasi imigresen. Bukan untuk masuk dan keluar dari sesbuah negara. Ia pengenalan diri yang sebenarnya bagi pengembara antarabangsa. Di bank mereka minta passport kita. Di kedai sewaktu menggunakan cek mereka perlukan passport kita. Banyak tempat yang memerlukan kita menggunakan passport. Itu pengenalan kita. Perlu sentiasa berada dalam poket. Dalam beg. Perlu berada pada badan kita. Bila berda di luar negara sentiasa ingat bahawa tidka ada orang yang kenal kita. Saudara mara jauh di Malaysia. Rakan taulan tiada bersama. Passport itulah teman sejati kita. Tanpanya kita bukan siapa-siapa. Cerita di lapanterbang ada lagi yang lebih parah. Nantikan cerita saya di Cleveland nanti. Connecting flight yang kedua sebelum dapat menjejak kaki di Toronto.

Mulakanlah Kehidupan Berumahtangga Pada Aras Tinggi


Pernikahan bukan pengakhiran suatu episod hidup. Ia hanya sebahagian kecil dari rentetan episod yang banyak bertali-tali arusnya. Panjang dan lama. Dulu ada cinta monyet yang tidak pernah kekal. Mainan perasaan anak-anak yang menjelang remaja. Sewaktu muda cinta datang dan pergi. Yang dicari ialah pautan hati. Tidak ada yang kekal juga kerana usia menambahkan kerumitan memilih. Aspirasi dan idealism berubah. Pilihan juga berubah. Gadis pilihan tidak pernah serupa. Lelaki pilihan juga begitu. Yang mana. Yang mana. Sukar menentukan pilihan teman hidup yang secocok dalam semua keadaan. Hati mungkin berkenan tetapi keluarga berlainan pendapat. Hidup penuh dengan paradoks. Banyak yang ironis. Tidak mungkin seseorang itu menjadi idealis. Mungkin boleh berfalsafah. Untuk mendapat yang terbaik banyakkan berdoa.

Sekarang sudah sampainya masa yang terlalu lama dinanti. Masa yang banyak melimpahkan airmata. Itu belum tidur yang tidak lena. Makan yang sukar kenyangnya. Mandi yang tidak terasa basahnya. Semua menjadi tidak kena.  Siang yang suram. Malam yang kelam. Cahaya selalu terlalu jauh untuk menerangi. Hati rindu tiada penawar. Ngilu rindu yang berbalam-balam. Sebak gundah yang berbelah bagi. Kini cincin sudah disarung di jari manis belahan hati. Dahi licin yang dulu hanya kerinduan sudah dikucup indah. Terasa terbang semangat yang tidak seberapa. Matamu dan mataku sudah bertemu. Kasih kita bertaut sudah. Rindu kita berlabuh sudah. Sayang kita terikat sudah. Bulan seindah di langit tinggi. Cerah menawan. Mentari esok tibanya. Antara bulan dan mentari berlari perasaan menghiba. Tiba juga saat bersama. Aduhai penantian yang lama. Harap-harap nikmatnya berganda panjangnya.

Pandanglah ke langit. Awan yang berarak tampak rendahnya. Gerakannya yang lambat. Pandanglah ke atas lagi. Langit terlalu tinggi. Mungkinkah langit itu dapat digapai tangan. Terlalu tinggi. Tunduklah melihat ke bumi. Ia dekat. Di bawah telapak kaki. Kejap dipijak. Senang diinjak. Namun berdirinya antara langit dan bumi. Tinggi dan rendah. Terbanglah setinggi mana. Tidak mungkin hingga ke langit. Turunlah serendah mana, di bawah sana tetap tanah. Mungkin cetek dan mungkin dalam. Kerana itu berpijaklah di alam nyata. Dalam persekitaran yang realiti. Semua orang akan percaya adanya. Wujudnya di depan mata. Dapat disentuh dengan tangan. Dapat dihidu baunya. Dapat dilihat warna dan bayangnya.  Mana mungkin yang bukan-bukan dipinta. Payah dapatnya. Nanti kosong jiwa yang terlalu mengharap. Sekaranglah realiti yang menjelma. Saat bersama yang didoakan panjang ke anak cucu. Dari dunia hingga ke akhirat.

Setiap pasangan ada impian. Ada mimpi-mimpi indah di hadapan sana. Ada cita-cita membina yang tertinggi. Yang terbaik. Anak-anak yang menyerikan hati ibu bapa. Menceriakan sebuah keluarga. Soleh dan solehah. Indahnya sebuah istana cinta yang damai. Air pancuran di halaman berwarna. Jalan dan terbang tidak perlu dikira. Kenderaan darat, laut dan udara. Makan kenyang. Pakaian bersalut banyak gantinya. Tubuh isteri penuh dengan emas berlian. Sanak saudara semua senang bersemenda. Hidup dalam barakah agama. Redha Allah hendaknya. Namun semua itu bukan sekarang. Bukan lima tahun. Bukan 10 tahun. Ia jangka panjang. Paling cepat 15 tahun dari sekarang. Pada awal perkahwinan ini, perancangan dan unjuran hidup perlu direncana. Bagi yang belajar pengurusan ingat Gantt Chart. Ingat PERT (Programme Evaluation and Review Technique). Ingat CPM (Critical Path Method). Ingat Decision Tree. Dan banyak lagi. Itu belum Simplex. Belum lagi Euler Theory. Mainan pengurusan. Lebih saintifik.

Ingatlah semasa sendiri. Semasa tiada teman hidup dahulu. Semuanya bebas. Sekarang semuanya difikirkan untuk sentiasa ada orang kedua. Jalanmu ada yang mendiringi. Pergimu ada yang menunggu. Laparmu ada yang menghidang. Tidurmu ada yang mengulit. Jagamu ada yang membelai. Sakitmu ada yang merawat. Pakaimu ada yang merapi. Hartamu dikawalselia. Nyawanya dipertaruhkan kepada kamu. Sebagai pasangannya kamulah harapannya. Kamulah yang memberinya tempat bahagia. Memberikan apa yang seperlunya.  Mulakanlah langkah gagah. Langkah besar. Langkah tinggi menggapai awan. Usahakan yang terbaik untuk kesayanganmu. Semoga pasangamu damai bahagia hidup dan matinya. Anak-anakmu terbelai kasih sayangnya. Ada tempat bersanggar. Ada ruang berlegar. Ada lingkaran menari keliling.

Lihatlah ibu dan bapamu. Lihat rumah yang bakal kau tinggalkan. Pandanglah apa yang telah kau kecapi hingga kau berumahtangga. Segalanya bukan dalam sekelip mata. Semuanya telah diusahakan untuk jangka masa yang lama. Banyak payah jerihnya. Terlalu tidak terkira limpahannya. Maka lakarkanlah masa depanmu. Tulis satu persatu. Berikan keutamaan. Mana yang dulu mana yang kemudian. Selangkah demi selangkah. Ingatlah jauh mana sekalipun destinasi dan perjalanan mesti dimulakan dengan langka yang pertama.  Mulakanlah dengan langkah kaki kanan. Langkah orang beragama. Ekonomimu dijaga. Berpakatlah suami isteri untuk merealisasikan apa yang dicita. Di hadapan sana tetap ada harapan. Usaha, usaha, usaha dan berdoa. Mohon dan minta kepada Yang Maha Esa.

Banyak rumah besar di sekelilingmu. Rumah itu belum perlu keran kamu baru berdua. Namun ia menjadi perlu semakin ramai ahli keluargamu. Anak-anakmu perlu ruang untuk bersantai. Untuk membina intelek. Untuk berasa bahwa dunia keluarganya adalah luas. Ruang-ruang untuk tidak berlaga perasaan. Untuk tidak berlaga fizikal. Ruang legar yang melepaasi keperluan. Di sana ada natijah minda. Ada ruang untuk melepaskan udara. Melepaskan perasaan damai. Rumah besar adalah keperluan bagi keluarga besar. Umat Muhammad yang di tunggu di syurga. Besarnya membela agama. Mentarbiahkan umat. Dakwah sejagat. Semoga inteleknya membangun. Semoga sumbangannya menggunung. Amal jariah berpanjangan. Untuk maslahah umat.

Ramai orang yang senang. Ramai yang hidup mewah. Ramai yang tidak pernah kenal susah. Tetapi di belakang sejarah mereka banyak yang berlubang-lubang. Banyak yang koyak rabak. Mereka bermula dari bawah. Dari susah. Dari tidak ada apa-apa. Mereka menapak tahun demi tahun. Satu, satu dan dua mereka mulakan. Dari bawah mereka naik ke atas. Membina kerjaya. Membina status. Mereka sampai ke situasi sekarang. Berapa lama? 40 tahun barangkali. Aduhai. Ya. 40 tahun jika dikira memang lama. Tetapi 40 tahun yang dilalui tidak pernah memberi angka. Dirancang. Diusaha. Tidak perlu dikira. Pada usia 50an nikmatilah segalanya dengan santai. Orang hanya melihat apa yang dilihat. Yang tersirat tidak pernah diamati. Hanya yang punya diri mengerti. Semuanya bukan mudah. Berdikit-dikit membina bukit yang tinggi.

Anak-anakku, masa hadapan tetap ada. Cari bekal untuk menuju destinasi yang ada dalam peta. Perancangan perlu disemak dari masa ke masa. Mana-mana yang deviate hendaklah diperbetulkan. Rejuvinate mana-mana yang lesu. Jangan sampai burn-out sebelum masa. Perjalanan tetap panjang. Abah telah melaluinya. Abah sudah sampai di sini. Hari-hari terakhir bagi orang tua yang melepasi usia. Namun masih ada yang belum disempurna. Usia tidak kenal usaha. Semua yang mungkin boleh dicuba. Boleh diusaha. Tinggalkan zon selesa. Banyak ruang lain untuk beralih cita. Berubah paradigma. Pandang keliling untuk membuka mata. Membuka minda. Mohonlah bantuan Allah untuk mencapai hasrat hati. InsyaAllah Dia bersamamu.