Monday, August 10, 2015

Langkah Pertama Mula Langkahnya

Apa yang hendak kita lakukan kesmeuanya perlu dimulakan dengan langkah pertama. Itulah yang paling sukar. Bila hendak memulakannya? Di mana? Siapa? Kaki terasa berat hendak diangkat. Minda terasa berat hendak berfikir. Perasaan berat hendak menimbang. Semangat selalu sangat lemah dan rendah. Kerana itu apapun yang hendak dimulakan sangat berat kepada sebahagian orang. Dianggap menyusahkan kepada mereka. Ajaklah mereka, jawapannya nanti. Pelawa lagi, masih bertangguh. Jemput khas, tiada respon. Pernahkah kita fikirkan bilakah Malaikatlmaut menemui kita. Menamatkan nafas dan nayawa kita dengan izin Allah. Tidak tertangguh walaupun sesaat. Tidak juga terawal walaupun sesaat. Maksudnya ketentuan Allah tetap titiknya. Malaikat tidak menangguhkan tugasnya. Jemputan Allah tiada siapa manusia yang dapat menangguhkannya. Tepat setepatnya. On the dot kata orang putih.


Tanya diri kita sendiri masing-masing. Paling sukar ialah apabila kita hendak menuntut ilmu. Kita rasa sibuk. Kita rasa banyak kerja. Kita rasa tiada masa. Kita rasa banyak tanggungjawab. Kita rasa tugas semasa kita sangat penting dan perlu. Kita rasa jika bukan kita yang membuatnya kerja itu seolah-olahnya tidak akan terlaksana dengan sempurna. Kita rasa kita sahaja yang menjadi focal point. Kita jadi self-centered. Sekarang berhenti sejenak. Pandang diding sebentar. Tanya diri sendiri. Cukupkah ini sahaja yang kita lakukan? Apa lagi yang banyak perlu kita lakukan? Al-Quran bagaimana? Sudah mahir? Betul bacaannya? Jika ada yang merujuk boleh membantu mereka? Bagaimana dengan hal-hal agama yang lain. Hal-Hal amal dan ibadat. Hal-hal agama. Hal-hal masyakakat dan kemanusiaan. Sebenarnya banyak lagi yang perlu kita lakukan. Bukan kerja yang biasa kita lakukan sahaja yang penting. Banyak lagi yang lebih penting tetapi selalu kita abaikan.


Ramai antara kita yang beranggapan bahawa masa boleh ditangguh-tangguhkan. Kita membuat dasar sendiri. Prinsip sendiri. Undang-undang sendiri. Kita berangan-angan bahawa usia kita akan panjang. Kita buat jadual dengan anggapan bahawa kita ada masa pada masa hadapan. Kita tangguhkan hal-hal yang kita lihat tidak penting sedangkan di sisi Allah dan RasulNya ianya sangat penting. Maksudnya perancangan kita sangat perlu akur dengan ketentuan Allah. Redha dengan apa yang Allah anugerahkan. Itulah yang sebaik-baiknya. Walau bagaimanapun kita perlu berusaha untuk mendapat anugerah Allah yang lebih banyak. Usaha yang ikhlas akan diberkati Allah dengan tambahan-tambahan yang di luar jangkaan kita. Mereka yang melukis sentiasa bertambah lukisannya. Mereka yang bertukang ada sahaja yang hendak ditukang. Yang mengarang ada sahaja idea untuk mengarang. Yang terlibat dengan perniagaan sentiasa terbuka di hadapannya peluang-peluang untuk meluaskan perniagaannya. Usaha itu mendapat balasan Allah. Nikmat yang sentiasa tiada hentinya.






Selalunya untuk mempelajari al-Quran atau ilmu baru langkah pertama itu yang paling sukar. Berbagai-bagai rasa yang melingkari perasaan kita. Psikologi kita selalu tidak membantu jika kita tiada kekuatan diri.


Malu
Takut
Tiada keyakinan diri
Gugup dan gagap
Gabrah dan panik


Mungkin  juga  ada antara kita yang sangat positif.


Teruja
Tidak sabar
Bekobar-kobar
Bersemangat


Kita tidak bimbang dengan mereka yang positif tetapi sangat bimbang dengan mereka yang negatif dari segi  pemikiran dan tindakannya. Tidak melakukan apa-apa sudah dikira negatif. Berdiam diri tentu sahaja tidak menghasilkan apa-apa. Negatif jadinya. Kosong atau sifar tidak memberi apa-apa makna. Tiada tambahan apa-apapun. Statik. Jumud. Sekarang marilah kita buka minda kita. Lapangkan dada supaya dapat kita masukkan banyak input berguna dan berfaedah. Sediakan minda untuk bertekad memulakan langkah pertama. Sediakan semangat untuk istiqamah. Sapu muka dengan dua taak tangan. Niatkan untuk hilang rasa malu dan berat hati. Mulakan dengan basmalah. Berdoalah kepada Allah untuk memohon bantuannya.


Mudahkan langkah pertama ini dengan tindakan positif. Sekarang juga. Jangan tangguh-tangguh lagi. Masa bukan menyebelahi kita lagi. Usia kita semakin pendek. Semakin singkat. Kerana itu gunakanlah masa yang masih berbaki ini untuk menuju ke akhirat. Jalan ke akhirat ini sangat panjang. Sangat lama. Malangnya kita hanya ada waktu yang sangat singkat. Isilah yang singkat itu dengan sebaik-baiknya. Mulakanlah dengan segera. Urgent. Malaikatmaut sedang menunggu.






Jadualkan urusan dunia kita. Setakat mana pendapatan kita mencukupi berpandukan agama. Jadualkan cita-cita kerjaya kita setakat mana yang termampu. Selalu beringat kita hany alalu dan singgah sebentar di dunia yang fana ini. Kita sedang menuju alam hakiki yang kekal abadi. Kita akan sampai pada satu titik masa. Cukuplah di sini. Kita akan tinggalkan dunia ini buat selama-lamanya. Nikmati kembara sementara kita di dunia ini dengan seindah-nya. Isi dengan ilmu dan kemahiran. Dengan pengalaman yang membina akhlak diri yang mulia. Insaf sepenuhnya  bahawa kita perlukan Allah setiap masa. Berusahalah untuk dengan kepadaNya. In sya Allah jalannya lurus. Ikutilah jalan yang satu itu. Berbahagialah dengannya.