Insan paling
beruntung di Malaysia (mungkin di dunia) ialah mereka yang berada dalam
industri hiburan. Paling menonjol ialah pelakon dan penyanyi. Jika kita pergi ke laman sosial mereka
seperti facebook, twitter dan sebagainya jumlah rakan mereka
selalunya oversubscribed. Terlalu ramai. Rakan baru sukar mendapat
ruang. Beribu-ribu. Ada yang beratus ribu. Tentu ada yang mencecah juta.
K-e-b-a-n-y-a-k-a-n-n-y-a adalah remaja dan anak muda. Sangat sedikit orang
dewasa. Jika ada tentunya ahli keluarga sahaja. Ianya merupakan suatu kegilaan.
Teknologi menjadi sesuatu yang menakjubkan. Mungkin boleh kita kongsikan
sebentar. Apa sebenarnya manfaat menggabungkan diri bersama artis pujaan. Terlalu
banyak yang diperkatakan tentang artis baik yang positif di samping yang
negatif. Ada baiknya jika kita bawa artis ke arus perdana supaya kehadiran
mereka mewakili bangsa yang bermaruah dan bertamaddun dari segi agama dan dari
segi sejarahnya yang dicipta. Barangkali boleh kita lihat dari segi:
1
Agama.
2
Ilmiah.
3
Politik.
4
Sosio-ekonomi-budaya.
5
Pendidikan.
6 Skrip dan arahan.
7 Panel patuh-syarie.
Agama
Rasanya rindu
juga watak pendakwah atau ustaz seperti allahyarham M. Rajuli. Dia boleh
membaca al-Quran dengan baik. Betul makhrajnya. Betul sifat hurufnya. Betul
tajwidnya. Latarbelakang pendidikan agamanya diserlahkan dalam lakonannya. Ada
impaknya yang tersendiri. Kita harus berhenti memaparkan watak-watak antigonis
terhadap agama. Kembangkan pendidikan dan psikologi agama dengan cerita yang
plotnya positif dan mendidik. Jika dalam bentuk kritik sekalipun natijahnya biarlah
positif. Mendidik dan membina agama dan penganutnya. Apabila ada watak-watak
berlatarbelakangkan agama usahakan supaya watak-watak itu boleh menyebut kalimah
Arab atau al-Quran dengan betul berlahjah Arab. Makhraj dan sifat hurufnya
betul. Tajwidnya sempurna. Begitu juga tafhim dan tarqiqnya. Setiap lakonan
adalah untuk ditonton. Yang menonton merasakan lakonan itu berkesan. Yang
mendengar berasa puas. Pelakon itu sendiri seharusnya berlatarbelakangkan
pendidikan agama. Diketahui kebaikan watak peribadinya. Ini bermakna pelakon
itu melakonkan wataknya yang bersahaja. Bukan dibuat-buat. Ia mengukuhkan
perwatakan. Bukan berlakon semata-mata. Lakonan itu adalah dirinya sendiri. Kita
perlukan lakonan yang bersandarkan agama. Banyak yang perlu dirawat dalam
masyarakat Islam. Di sana dan di sini kita melihat terlalu banyak yang
menyesakkan nafas. Perlu ada usaha untuk membertulkan keadaan. Industri hiburan
boleh membantu. Bukan memburukkan keadaan.
Ilmiah
Antara masalah
besar anak-anak muda kita ialah kelayakan ilmiah yang banyak boleh diperbaiki
dan dipertingkatkan. Ramai anak-anak sekolah yang terlalu jinak dengan alam
hiburan. Ibu dan bapa tidak kisah. Masyarakat seperti merestui. Industri pula
sangat menggalakkan. Malangnya ramai yang kecundang hanya dalam beberapa tahun.
Ilmu sangat sedikit. Pengalaman terbatas. Akademik pula hanya cukup makan. Ke mana
selepas tidak maju? Cerita malang artis yang bantut berulang-ulang. Barangkali pencari
bakat perlu selektif. Berhati-hati supaya masa hadapan anak bangsa tidak
teraniaya. Keuntungan biarlah berbaloi dalam konteks agama. Barakah dan ada
lorongan ke akhirat. Bakat yang diasah diberi masa supaya memiliki kelayakan
akademik yang wajar. Andai mereka gagal dalam industri mereka masih memiliki
banyak ruang untuk mencari rezeki dalam bidang lain.
Di luar sana
ramai juga graduan yang berbakat dalam lakonan. Atau yang boleh diperkembangkan
bakatnya. Kita sudah ada Fahrin Ahmad, Zizan Nin, Jihan Miskin, Azhar Sulaiman
dan beberapa orang lain yang memiliki kelayakan akademik. Lebih ramai penggiat
seni yang berkelayakan IPT adalah lebih baik. Di IPT mereka lazimnya dididik
untuk mengurus diri, memartabatkan jatidiri, berkepimpinan, mengurus masa,
mengurus aktiviti, mengurus masalah, menyelesaikan masalah dan membuat
keputusan yang rasional. Ada kematangan berfikir. Ada kematangan bertindak.
Mereka dalam golongan ini mampu melakonkan watak-watak yang sinonim dengan
kelayakan ilmiah mereka. Dalam hal ini akademi seni wajar dipertimbangkan
supaya mereka yang ingin terlibat dalam industri hiburan mengetahui etika seni.
Maklum perundangan yang berkaitan dengan seni. Mengerti tentang perlunya patuh
syarie. Bolehlah nanti kita lihat artis yang menjaga aurat. Berpakaian yang
menunjukkan keterampilan pakaian. Akhlaknya manis dilihat. Manis dicontohi.
Sejuk mata memandang. Tatalaku seseorang artis adalah cerminan masyarakat.
Apatah lagi kebanyakan mereka adalah penganut Islam. Watak Islam perlu wujud
pada diri mereka. Penulis skrip, pengarah dan penerbit perlu memiliki kesedaran
terhadap agamanya. Terhadap maruah bangsanya. Tentang adab dan sopannya pelakon
yang membawa bersama mereka Islam dan Melayu.
Politik
Politik menjadi
tunggak tempat berpaut dalam banyak hal. Pada politik terdapatnya dasar dan
strategi membangunkan masyarakat. Ini bermakna kepimpinan politik harus juga
menjenguk ke dalam permasalahan industri hiburan. Menghiasnya dengan wajah
Melayu-Islam. Hal yang dianggap remeh-temeh ini boleh menenggelamkan rupa
bangsa. Menenggelamkan wajah budaya. Menghilangkan jatidiri. Akhirnya boleh
menghapuskan tamaddun bangsa yang dibina ribuan tahun. Kita tidak boleh lupa di
sini telah pernah tertegak Empayar Sri Vijaya. Persekitaran Majapahit. Raja
Suran dan Gangga Nagara. Langkasuka. Aceh. Perlak dan Pasai. Pengaruh Barat dan
Islam yang menyatu telah membina bangsa yang unik. Binalah benteng agar hiburan
tidak memusnahkan kesemuanya. Kepimpinan yang ada harus memikirkan kelangsungan
suatu budaya besar sebuah bangsa yang dilambung ombak badai kemajuan yang
menjadi tsunami budaya. Menghapuskan kesemua yang indah tetapi termusnah kerana
kelalaian sebuah bangsa itu sendiri.
Sosio-Ekonomi-Budaya
Kita sedang
mengembara maju. Jauh meninggalkan kepapaan. Kesengsaraan masa lampau. Memacak
bendera merdeka yang Gemilang Jalurnya. Jalur Gemilang yang pancawarna itu
perlu dibawa jauh ke hadapan merentasi zaman mewah yang bermewah-mewahan. Social
fabric kita teranyam larut sehingga rupa asal kita telah tidak lagi
kelihatan. Pakaian kita menungkah arus agama. Gaya hidup kita sudah ke Barat.
Makanan kita berbaur antara halal dan haram. Kita mahu maju. Siapa yang
menolaknya. Tetapi garis panduannya mestilah jelas. Ke mana pun kita perlu
pergi ada warisan yang perlu dijaga. Dipelihara. Diperkembangkan selari dengan
majunya ekonomi. Perut yang kenyang perlu disalut dengan lapisan budaya yang
asalnya nyata. Ada induk dan semangnya. Dasar memajukan negara perlu seiring
dengan dasar memajukan agama. Memajukan bangsa. Memajukan budaya. Kepincangan akan
meruntuhkan bahagian yang lain. Tempang tidak seimbang. Dalam kita berlari
membina menara kita selalu lupa membina dasar kukuh bersandarakan agama dan
bangsa.
Pendidikan
Pendidikan
bukan sekadar untuk distandardkan pandai. Pendidikan harus juga dilihat sebagai
kemampuan membuat pilihan yang relatif
menasabah. Semua yang beraspirasi untuk menjadi artis perlu terlebih
dahulu memiliki pendidikan akademik yang wajar. Mungkin sains dan teknologi. Mungkin
dalam bidang agama. Mungkin dalam bidang seni halus seperti lakonan, penulisan
skrip, pengurusan seni dan sebagainya. Dalam setiap aspek pendidikan itu akan
disusun aspek etika, seni, perundangan, pengurusan, penyelesaian masalah dan
membuat keputusan. Mereka yang terlatih akan lebih matang berfikir untuk
membuat keputusan yang bermanfaat untuk dirinya. Untuk industri. Untuk agama
dan bangsanya. Lebih tinggi kelayakan seseorang itu lebi besar ideanya. Lebih tinggi
garapannya. Lebih besar nilai seni yang diraihnya. Bing Cosby umpamanya
memiliki Ph.D. dalam bidang pendidikan. Sebab itu lakonan dan siri TVnya bersalut
psikologi. Mendidik dan berfikir dengan kritis. Malah kanak-kanak yang terlibat
dalam sirinya dibenarkan bersuara menyatakan isi hatinya seperti mereka yang
dewasa. Kanak-kanak dilatih untuk menjadi lebih matang dari usianya.
Skrip dan
Arahan
Kadang-kadang
kita berhadapan dengan cerita yang baik. Mendidik dan memiliki nilai
pendidikan. Cumanya pengarahannya selalu memasukkan unsur negatif. Remaja yang
kenakalannya di tahap melampau. Perlakuan lucah dan di luar batas akhlak mulia.
Senario yang tidak menggalakkan seperti di disko. Pakaian yang hilang nilai
agama dan nilai bangsa. Pemarah, biadap, kasar dan kurang berfikir. Skrip dan
pengarahan perlu mengambil apa-apa yang baik dan perlu untuk mengembangkan
minda khalayak. Audien yang berbagai tidak kesemuanya boleh dipuaskan. Tetapi biarlah
sebahagian besar dari mereka berasa tertarik dengan falsafah, tatabahasa yang
berseni, garapan plot dan subplot yang relevan. Perlu difikirkan sekuen yang santai
dan natural. Bersandarkan realiti yang menasabah. Jangan biarkan Lembaga
Penapis Filem sentiasa memegang gunting tajam untuk memotong mana-mana adegan
yang tidak relevan tetapi lucah, ganas tahap melampau, pakaian yang terlalu
menjolok mata, ungkapan mencaci agama, bangsa atau peribadi. Pengarah sendiri
perlu arif dengan sensitiviti politik, agama, budaya dan masyarakat.
Panel
Patuh-Syarie
Banyak yang perlu
dilakukan untuk menjadikan industri hiburan bersandarkan kemunasabahan dari
aspek agama, bangsa dan budayanya. Yang paling besar perlu dijaga ialah nilai
agama. Menjaga hukum-hakam dan mendidik menjadi Muslim yang taat. Bukan sahaja
pelakonnya dikenali sebagai patuh agama malah penonton dibawa ke arah itu. Kerajaan
perlu membentuk panel patuh-syarie supaya skrip dan lakonan sejajar dengan
ajaran Sunnah Wal-Jamaah. Bagi garapan di Malaysia sandaran kita ialah Syafie. Pengarah
perlu belajar kewajaran Mazhab Syafie supaya arahannya tidak lari dari
keperluan agama. Tidak menyimpang dari landasan budaya bangsa. Jangan menganggap
agama sebagai mengekang. Anggap ianya sebagai peluang membina jambatan ke
akhirat. Mencari redha Allah. Mencari rezeki yang halal. Ramai ulamak di
sekeliling kita. Manfaat mereka supaya penglibatan mereka lebih menyihatkan
industri hiburan tanahair. Secara jujurnya penulis tersangat lemas berhadapan
dengan apa yang ada. Ramai juga orang lain berpendapat begitu. Ulamak sudah
lama bersuara. Kenapa tiada yang hendak mendengar. Mengubah yang perlu. Apa salahnya
meninggalkan yang tidak baik dan ambil pula yang baik. Tambah kebaikannya. Bukankah
nanti bertambah nilai baiknya. Carilah redha Allah dan bukan redha manusia
semata-mata. Ingatlah kita semua akan mati sudahnya. Kesemuanya akan berakhir
walau apapun pegangan kuat kita. Yang akan kita temui akhirnya tentunya Allah.
Allah tempat kembali.