Wednesday, August 31, 2011

Harapan Dan Kebimbangan

Hidup ini penuh dengan ketidaktentuan. Hak  yang mutlak  hanya milik Allah. Ketentuan itu sesungguhnya hanya dariNya sahaja. Manusia merancang, Allah merancang, perancangan Allah jua yang lebih baik. Selamanya lebih baik. Lebih baik itu hak Allah. Tuhan semesta alam. Yang Maha Pencipta. Yang memiliki segala sesuatu. Yang di bumi. Yang di langit. Dan yang di antara keduanya. Sesunggunya jin dan manusia diciptakan Allah semata-mata untuk beibadat kepadaNya.  Untuk mengabdikan diri kepadaNya. Untuk mencari redhaNya. Kesemuanya dilakukan keranaNya. UntukNya. Tanpa Allah mencipta kita, kita tiada. Allah mencipta kita ada misi dan visi yang mesti kita laksanakan. Yang wajib kita lakukan. Jika tidak kita hanyalah menjadi makhluk yang lebih hina dari sampah. Yang hanya layak untuk menerima azab Allah. Kita dikurniakan akal tetapi kita menzalimi diri kita sendiri dengan tidak menggunakan akal. Segala-galanya akan ditarik balik. Mungkin secara sedar. Mungkin melalui proses yang panjang. Mungkin secara mendadak. Segera. Semerta. Mungkin juga tanpa kita sedari.

Allah sentiasa memberi yang terbaik untuk  kita. Keberuntungan yang besar ertinya. Yang menggunung pahala dan ganjarannya.  Jasad kita milik Allah. Minda kita milik Allah. Perasaan kita milik Allah. Hati kita milik Allah. Sesiapa yang cintakan Allah maka Allah pasti lebih mencintainya. Sesiapa yang mendekatkan dirinya kepada Allah pasti Allah datang kepadanya  dengan cepat. Dengan pantas. Lebih mendekat dari yang kita sangka. Setalah beriman kepada Allah, malaikat, kitab, Rasul, hari qiamat, qada’ dan qadar maka kita serahkan diri kita kepada Allah. Segala landasan Allah yang kita lalui. Kita gunakan landasan syariah untuk nanti kembali kepadaNya. Dan jalan itu semakin hampir setiap saat. Hampir ke penghujungnya. Dalam hal ini kita lupa hakikat. Dunia ini hanya pinjaman. Hanya untuk singgah sementara. Di hadapan sana ada perjalanan yang panjang. Ada destinasi terakhir yang akan dituju. Moga-moga nikmat itu datang di sisi Allah.

Qada’dan qadar yang Allah berikan kepada kita tentulah dengan perkiraan Allah Yang Maha Bijaksana. Sesungguhnya Allah tidak membebankan manusia dengan hal-hal yang tidak selayaknya kepada manusia pilihannya. Semuanya adalah ujian yang berat tetapi dapat ditanggung dengan faculti yang ada pada manusia itu. Mengetahui hakikat ini akan meringankan perasaan berat dan sebal. Gundah gelana. Bimbang dan ragu. Keresahan. Kerisauan. Cengkaman rasa hati yang memeritkan. Yang berbuku dan sukar diurai. Harapan selalu berbunga dalam hati kita. Menunggu keindahan-keindahan yang diimpikan. Yang dicita-citakan. Yang diidam-idamkan. Yang azamkan. Yang selalu didoakan. Diharap-harap rahmat Allah. InayahNya. Kasih sayangNya.

Harapan kita selalu pada yang baik. Yang luhur. Yang memberi kegembiraan. Yang mendamaikan hati. Menenangkan perasaan. Menstabilkan psikologi. Mengembangkan akal fikiran. Dalam kamus diri, kita selalu menyisihkan hal-hal musibah yang kadang-kadang datang. Yang selalu memberikan kebimbangan yang merawan-rawan datangnya. Harapan kita tinggi. Mengharap kebaikan warna-warni kehidupan yang bergaya. Gemerlapan dengan cahaya kebaikan. Pancawarna bersinar yang memberi kepuasan. Membina harapan tinggi yang menggunung dan menjulang awan. Semuanya diharap yang baik-baik belaka. Yang positif. Yang akhirnya memberikan cahaya kebahagiaan yang mampan. Yang memberikan keindahan kehidupan. Harapan untuk lebih cerah ke akhirat. Ke raudatul jannah.

Namun sebagai manusia kita sentiasa diuji. Ujian yang jika mampu dihadapi pasti memberi kesempatan kebahagiaan yang selalu elusif dari kita. Ujian yang diharaf dapat memartabatkan diri. Memberi kemuliaan diri. Mengangkat darjat kemanusiaan. Darjat muslim atau muslimah. Darjat khalifah yang sudah dipertanggungjawabkan kepada kita. Datang juga kekesalan yang menghiris qalbu. Kesebalan yang mendalam lautan dasar hati. Lalu membentuk kesugulan yang menikam-nikam di dalam.  Allahuakbar. Genangan mata yang mahu dihambur membasah pipi. Sesaknya di dada dengan sarang duka yang menerawang luas tanpa tepi dan haluan. Terkapai-kapai mencari tepian yang jauh dilantun ombak kehidupan yang menjauh. Hanya ada dua pilihan besar. Kita selamat kerana usaha dan diselamatkan. Atau lemas dihukum kejahilan dan kedegilan. Kesemuanya kerana gagal mengawal diri dan perasaan. Gagal menempatkan diri di persada nikmat yang selalu ada di hadapan mata. Kita tertipu dengan kilauan kaca tanpa warna. Tanpa makna. Tanpa apa-apa. Hanya kilauan yang mempesona tetapi tiada erti.

Itulah gunanya akal. Dipanjang-panjangkan. Dicanai dan diperah manfaat berfikir. Didisiplinkan supaya panjangnya bukan sejengkal. Bukan sedalam lautan. Bukan setinggi gunung. Akal yang bermanfaat tetap mensejahterakan diri dan perasaan. Minda dan  akal budi perlu diguna untuk kembali ke pangkal jalan bila sesat. Bila terlanjur. Bila terperosok ke lembah yang jauh menghina. Kembali mengkoreksi diri kerana terbabas dari landasan benar. Kerana gagal memilih yang hak dan yang terbaik. Memilih bukan dengan akal tetapi dengan nafsu. Membuat keputusan dengan jalan yang bukan syariah. Apapun pilihan yang ada di hadapan kita, nilailah dengan akal budi. Dengan minda terbuka. Banyak membaca. Banyak bertanya. Banyak memikir. Akhirnya rujuk syariah. Patuhlah kepada ketentuan syariah kerana itu sahaja pilihan yang diredhai Allah. Pilihan lain hanya ditakuti menuju kesesatan sahaja. Iblis dan syaitan ingin benar kita terjerumjus ke lembah kehinaan. Untuk nanti ditertawakan dan diperlekeh kerana kebodohan diri sendiri mengikuti saranan keduanya.

Untuk menggunakan akal budi harus banyak muasabah diri. Memohon kepada Allah jalan pemikiran yang hak. Yang menuju kebaikan. Tetapi doa mestilah diiringi dengan usaha berterusan. Perancangan yang sentiasa disemak dan dipantau. Penilaian dari tahap ke tahap untuk kebaikan. Mencari redha Allah. Barakah yang dipinta selalu. Usaha yang dirancang perlu pula disertai dengan berbagai bentuk disiplin. Peraturan yang wajar. Undang-undang. Dasar dan strategi yang mencari kebenaran. Jalan pilihan memang banyak. Yang hak hanya satu. Jalan yang berlandaskan syariat Allah. Tiada yang lain. Allah memberi ruang. Pilihlah yang lain tetapi Allah berjanji bahawa pilihan selain pilinNya adalah terbatal. Kita akan kembali kepadaNya. Dan janji Allah itu benar.  Kita kembali kepadaNya untuk menerim balasan yang setimpal. Jika pilihan yang hak pahala dan syurga ganjarannya. Pilihan yang lain adalah azab konsekuennya.

 Kita selalu mengharapkan yang terbaik. Yang terindah. Yang bergemerlapan. Yang cahayanya dinikmati oleh orang lain. Dikonsi oleh keluarga, sanak saudara, jiran tetangga dan teman-teman. Kebahagiaan yang dilihat dan dirasa. Yang dilimpahkan keluar. Yang disebarkan melalui angin dan iklim masa dan tempat. Biar warnanya mewarnai. Biar baunya menyegarkan. Biar segarnya membahagiakan. Biar damainya mendamaikan.  Biar amannya mengimbau-imbau perasaan. Nun jauh di sudut hati siapalah yang tidak mengharapkan kebahagiaan dan kedamaian. Doa selalu dipanjatkan agar Allah menganugerahkan keindahan kehidupan. Keindahan berkeluarga. Keindahan berkerjaya. Keindahan bermasyarakat. Keindaan hakikat hidup yang sebenarnya.  Ya Allah hanya padamu segalanya dikebalikan. Hanya Engkau yang memberi kasih sayangMu tanpa batas. Tanpa syarat. Engkau yang memberi keampunan. Ampunilah diriku. Diri isteriku. Ana-anakku. Cucu-cucuku. Semua salsilah keturunanku. Hanya padaMu aku mengharap. Berilah aku kekuatan. Berilah aku perisiaiMu bagi menghadapi segala cubaan. Hanya padaMu ya Allah aku serahkan segalanya.

Sekali kita salah langkah, surutlah ke belakang dengan banyak langkah. Betulkan semula haluan. Laut tetap terbentang luas. Terpulanglah kepada kita. Dayung atau kayuh. Renang atau ke tepian. Mudah-mudahan tidak hanyut tanpa tepi untuk dituju. Apa-apa tidak datang sekelip mata. Tiada jayanya dalam sebentar jangkamasa. Mulakan dengan tekad dan niat. Usaha dan perancangan. Orang ingin melihat apa yang kita mulakan. Ke mana arah yang kita haluankan. Kesungguhan yang dipamerkan. Pelan tindakan yang nampak kejelasannya. Menghapus keraguan yang datang. Semoga Allah merahmati dan memberkati. InsyaAllah.