Keajaiban pantai ini ciptaan Allah. Airnya berlapis warna. Pada ketika-ketikanya terdapat tujuh lapis warna dari tebing pantai hingga biru laut di bahagian yang dalam. Ianya menjadi keajaiban kepada orang Mesir dan pelancong yang datang.
Bumi anbia Mesir penuh sejarahnya. Pernah dijajah
bangsa Greek dan Roman pada zaman silam. Pernah diduduki oleh Perancis dan
British pada kurun ke-20. Sejarahnya
berlapis lapik untuk dijejak. Alexander The Great pernah berada di bumi ini.
Julius Ceasar dan rakannya Mark Anthony pernah di sini. Sepanjang pantai Laut
Mediterranean adalah sejarahnya yang tersendiri kepada Mesir. Bangsa Greek
lebih awal membina empayar besar di sekeliling laut Mediterranean ini. Tapak
mereka bukan di Greece. Tetapi di bumi anbia seperti di Mesir, Jordan dan di
bumi Palestin. Bumi Syam pada umumnya. Penulis temui tingalan Greek di Umu
Quis, Irbid, Jordan. Kali ini penulis menemui lagi jejak Greek di bumi Mesir. Begitulah
bangsa yang besar meninggalkan jejaknya. Meinggalkan sejarahnya. Diingat dan
dicari bekasnya.
Pagi Jumaat 29 Ogos 2014. Kami seramai 35 orang
bertolak ke Marsa Matruh arah ke barat dari Kaherah. Suatu perjalanan dengan
bas yang jauhnya kira-kira 450 kilometer. Kira-kira tujuh jam perjalanan.
Perjalanan yang bermula pada pukul 3.00 pagi itu membawa beberapa orang warga
emas, pelajar-pelajar dan empat orang kanak-kanak. Kesemuanya rakyat Malaysia
kecuali tiga peserta Arab dan seorang lagi sudah tentu pemandunya. Perjalanan
malam menyembunikan keindahan panorama padang pasir yang kosong dan sunyi.
Malam itu hanya indah untuk tidur tanpa diulit mimpi. Dalam minda membayang
indahnya Pantai Ajaib (disebut Agiba) dalam loghat Mesir. Bagaimana nantinya
yang dinamakan hamam Cleopetra.
Tempat Cleopetra mandi air laut. Itu belum lagi lawatan ke Siwa. Sebuah
wadi atau oasis di tengah padang pasir tetapi menghidupkan suatu tamadun dan
ekonomi yang besar kepada Mesir hingga kini.
Biasalah dalam perjalanan yang jauh. Pastinya
dirancang tempat sesuai untuk berehat. Merehatkan otot kaki yang kejang.
Mencari udara segar di luar bas. Pada alam yang luas. Tentunya melepaskan hajat
jasad yang penuh dengan air membuak. Ada yang kehausan. Teh dan nescafe dipesan
untuk memanaskan badan. Sejuk pendingin hawa hendak dibuang sebentar sebelum
sejuk semula apabila perjalanan diteruskan sebentar lagi. Malam itu kami
berehat di R & R yang dinamakan Café Umar Mukhtar. Ironi juga kerana Umar
Mukhtar berjuang di bumi Algeria dan bukan Mesir. Mungkin semangat juangnya
merentasi utara Afrika hingga ke Mesir. Untuk menyelamatkan sebuah bangsa dan
negara Umar Mukhtar mengorbankan nyawanya di tangan penjajah Italy. Di cafe ini
minda penulis melayang mengenangkan bangsa Arab yang banyak malangnya hingga
sekarang.
R & R di Mesir tidak seperti di Malaysia. R &
R di negara kita lengkap, banyak dan pilihan tersedia. Kekemasan dan kebersihan
jauh lebih terpelihara. Masalah kotor menjijikkan hampir tidak pernah berlaku. Tempat
yang dijangka kotor selalu dipantau dengan rapi. Ada pihak berwajib yang
menguruskannya. Di Mesir perkara seperti itu tidak wujud. Seorang pengusaha
melakukan yang sebaiknya mengikut budaya setempat. Jika bersih, bersihlah. Jika
tidak terpaksa kita hadapi seadanya. Kita hanya boleh merungut dalam diam. Selagi
taraf ilmu belum tinggi selagi itulah duduknya di bawah. Selagi taraf berfikir
belum tinggi maka banyak yang terabai dari jangkauan fikir itu sendiri. Selagi taraf
hidup belum tinggi maka harapan masih jauh untuk digapai. Barangkali padang
pasir tidak memungkinkan kita terlalu mengharap yang terbaik. Namun begitu
kemahuan dan usaha boleh dilakukan untuk mengubah ke arah kebaikan.
Beruntung juga mengikuti rombongan sesama Muslim. Waktu
solat dijaga. Solat jama’ dan berjamaah dicari kesesuaiannya. Selagi boleh
peluang itu diambilkira. Perjalanan untuk menyaksikan kebesaran ciptaan Allah
perlu melalui sesi penat dan letih. Perjalanan selama tujuh atau lapan jam
bukan calang-calang perjalanan. Perjalanan itu sendiri adalah pengalaman mahal
yang tidak semua orang dapat mengalaminya. Apatah lagi di sekeliling hanya
padang pasir malam yang sunyi. Jarang sekali berpapasan dengan kenderaan lain sama
ada yang sama arah atau yang bertentangan arah. Maknanya kenderaan yang
digunakan mestilah yang sudah diservis. Sudah teruji. Jika berlaku sesuatu,
bantuan hanya boleh datang dalam masa lebih tiga atau empat jam. Tanpa bekalan
air yang cukup semakin banyak masalah yang lebih besar. Memang perlu banyak
berdoa. Banyak mengharap rahmat Allah.
Setiap perjalanan sampai akhirnya di destinasi. Bandar
Matruh yang cantik di tepian pantai Laut Mediterranean memukau mata yang
keletihan. Laut Putih kata orang Mesir. Airnya membiru. Memancar dalam cahaya
musim panas. Kebetulan di Mesir masih musim cuti sekolah. Di akhir musim panas.
Maka ramailah pelancong tempatan berada di Matruh. Pelancong asing dari Eropah
masih belum ramai. Namun begitu pantainya meriah dengan pengunjung. Hotel dan
apartmen penuh dengan manusia silih berganti. Mereka menikmati musim cuti
panjang. Keduanya menikmati musim panas yang datang sekali setiap tahun. Minggu-minggu
mendatang ini suhu sudah mula menurun. Falling dalam istilah di Amerika
Utara. Fall is coming. Musim luruh (fall) di Mesir tidak terasa dan
tidak kelihatan tanda-tandanya yang nyata kecuali suhunya yang rendah. Daun berguguran
seperti di Toronta, Canada dahulu tidak ada. Tidak juga seperti di Pittsburgh,
USA dahulu. Lain padang lain belalangnya. Begitulah ketentuan yang Allah
berikan kepada kita. Tiga hari ini penulis di Matruh. Whatsapp dan facebook sahaja
yang menghubung sahabat dan keluarga.
Keindahan yang sukar ditemui.
Ciptaan Allah menjadi nikmat yang tidak terhingga. Mata dan perasaan menjadi syahdu.
Terbentang menjadi santapan rohani. Hanya dengan kun fayakun Allah hamparkan kecantikan yang tiada tolok bandingnya.
Pelancong dari dalam dan luar tidak putus-putus sepanjang masa.
Sesiapapun teringin berada di sini.
Suatu detik masa yang terakam abadi. Kebiruan yang menggamit rindu.
Berada di sini adalah suatu sejarah yang tersendiri. Detik itu di tempat itu abadi dalam kenangan.
Kebiruan yang memungkinkan kenangan mengusik jiwa.
Begitulah keindahan yang dicipta Allah. Warna-warna air yang seolah-olahnya panca warna sedangkan apabila didekati di mana bahagianpun warnanya adalah sama. Kedalaman air yang membezakan warna air itu.
Pagar ini bukan penghalang keindahan. Keselamatan untuk yang terlalu ghairah terutama kanak-kanak yang selalunya mudah terabai.
Masing-masing mengabadikan sesuatu yang langka dan nadir. Hanya di sini satu-satunya.
Tidak cukup dari atas dan dari jauh. Ramai yang ingin turun melihat dari dekat air yang banyak warnanya.
Di gigi air ramai yang berkampung. Berpayung di bawah terik matahari musim panas. Ramai juga yang berendam dan berenang. Angin pula bertiup nyaman. Bak dibuai mimpi indah.
Hamparan batu di tebing pantai memberikan warna kekuningan. Alunan ombak memukul pantai. Kocak air yang mendesir perlahan.
Melihat tidak cukup tanpa masuk ke dalam air. Berenang dan merasa masin airnya. Mungkin hanya sekali dalam seumur hidup berada di sini.
Warna biru muda yang beralun airnya. Indahnya hanya kepada mata yang melihat. Yang bersabung dengan apa yang ada.
Di tepi pantai ada juga yang berniaga kuda. Bukan untuk dijual tetapi untuk disewakan duduk di palananya.
Dari jauh hanya warna kebiruan Laut Mediterranean.
Selamat tinggal Pantai Ajaib. Agiba Beach.