Wednesday, June 22, 2011

Menerima Kelahiran


Sembilan bulan sepuluh hari bukannya lama. Masa yang berlalu. Datang dan pergi. Saatnya tiba juga. Penantian yang bukan memenatkan. Banyak rencana mengisi masa. Mengisi sarwajagat yang luas terbentang. Mengerdilkan diri sebanding kosmojagat yang sukar dimengerti. Milik Allah yang sangat besarnya. Sangat hebatnya. Nantian masa yang datang juga. Saatnya tiba untuk menerima suatu kelahiran. Anakku ini umimu. Ini abimu. Datanglah kepada kami dengan luhurmu. Tangislah untuk menyedarkan kami tentang hidupmu. Berbuatlah untuk menjadikan kami dinamik mengasuhmu.

Bang, azankan anak itu di telinga kanannya. Iqamahkan dia di telinga kirinya. Alunkan semerdu-merdunya. Kau jela-jelakan panjangnya. Dayu-dayukan gemersik suaramu. Biarlah anak itu mendengar hanya yang hak. Biar sampai ke hatinya hanya yang hak. Biar diterima oleh akalnya hanya yang hak. Biar damai hatinya. Biar tenang sanubarinya. Biar sejahtera rohaninya. Biarpun ia mewarisi Islam dari ibu dan ayahnya jangan biarkan dia mewarisinya tanpa roh. Tanpa nyawa. Azan dan iqamah itu mengijazahkan kepadanya legasi Islam yang syumul dari ayahnya. Memperingatkan dia akan Allah yang menjadi segala-galanya kepada manusia yang dituntut beriman. Menjadi Muslim yang mumtaz. Berjuang untuk Allahnya, Rasulnya dan kesejagatan Islamnya.

Ingatlah proses tahnik. Anak comel itu yang mirip kau dan ibunya kau dakap penuh mesra. Penuh sayang. Penuh kerinduan yang mencengkam. Sentuhlah kulitnya yang halus mulus. Ciumlah pipinya yang mewangi semerbak. Wangian dari alam yang baru ditinggalkannya. Wangi itu akan kekal beberapa bulan. Beberapa tahun.  Ciumlah sepuas hatimu. Sepuas nuranimu. Wangi itu tidak kekal selamanya. Besarnya pasti menghakis bau itu. Ada bau lain yang datang bersilih ganti. Tanda perubahan usia dan tanggungjawabnya sebagai manusia. Bau semasa bayinya sangat mengasyikkan. Baunya semasa kecilnya sangat mengujakan. Bila kau berpergian untuk bekerja kau akan bawa bau itu. Kau terhidu bau itu. Petang itu kau akan berkejaran pulang untuk merindui bau itu. Begitulah bau cintamu bersama isterimu. Ibu anakmu. Itu bau bahagiamu bersamanya. Itulah bau syurga rumahtanggamu. Carilah bau itu. Ia tidak akan ada kecuali pada bayimu. Pada anakmu. Pada jalur keturunanmu. Pada zuriatmu.

Bau wangi itu amat mewangi. Merangsangmu untuk membesarkannya dengan wadah Islamiyyah. Mencorakkannya dari bak kain putih yang bersih. Corakkan dia supaya penuh dengan warna warni iman. Penuh dengan silangan dan selingan jihad. Penuh dengan jalur-jalur jariah. Pejuang yang mencarinya syahid. Menjadi muttaqin. Solihin. ‘Abidin. Asuhlah menjadi pengasih bak Abu Bakar. Asuhlah dia menjadi tegas bak Umar al-Khattab. Asuhlah dia menjadi ‘alim bak Uthman bin Affan. Asuhlh dia menjadi berilmu bak ‘Ali karamallah wahjah. Pada dadanya ada Khalid al-Walid. Ada darah pejuang. Ada kekuatan menegakkan Islam. Ada keghairahan mendakwah. Mengukuh dan memperkasa agama.

Susui dia wahai isteri. Alirkan kekuatan dirimu kepada anak itu. Kekuatan kasih sayangmu akan membesarkan dirinya. Fizikalnya. Rohaninya. Psikologinya. Alirkan kekuatan dirimu kepadanya agar dia menjadi sekuat kau. Anak yang mengerti keperitan ibunya yang mengandungkannya. Anak yang mengerti kesakitan agung kerana melahirkannya. Mengerti jerih perih membesarkannya. Mengerti kasih sayangmu yang mencurah-curah bak air terjun yang tidak pernah berhenti. Tidak pernah membeku. Makanan keduanya barangkali sedikit cicipan kurma yang sudah dikunyah lumat. Biar makan kegemaran Nabi itu masuk ke mulutnya. Ke  rongganya. Ke dalam siatem sarafnya. Kata ulamak proses itu menjauhkan dia dari terkena kanser usus. Biar dia membesar dengan sempena agamanya. Supaya hatinya dekat dengan agama. Dekat dengan Rasulnya. Dekat dengan Allahnya.

Panjatkan kesyukuran kerana limpah kurniaNya. Semoga Allah merahmati keluargamu. Merahmati kehidupan dunia dan akhirat anakmu. Zuriatmu. Sujud syukur yang pertama sekali. Segerakan bersyukur kepada Allah. Semuanya keranaNya. Tiada yang lain selain dariNya. Dituntut supaya rambutnya dicukur. Ditimbang dan dinilai dengan ukuran emas. Seolah-olah rambut itu adalah emas. Wang nilaiannya itu disedekahkan untuk mereka yang berhak. Adakanlah aqikah. Dua ekor kambing untuk anak lelaki. Seekor kambing untuk anak perempuan. Jamulah mereka  yang ada. Juga tanda kesyukuran yang tidak terhingga. Dikongsi dengan saudara mara. Dikongsi dengan jiran tetangga. Semoga kambing itu menantinya nanti di alam akhirat.

Adat dan undang-undang perlu dipenuhi mengikut haknya. Namanya diisytihar menggema. Anak itu sudah ada nama. Nama yang telah berbulan dipilih. Yang telah disepakati paling sempurna. Nanti sebutan namanya menjadi doa yang berulang-ulang. Lalu didaftarkan kepada yang berwajib. Syarat untuk nanti dibekalkan dengan pengenalan diri. Menjadi warganegara yang berhak dan dilindungi. Boleh bersekolah dan berurusan apa sahaja sebagai warganegara. Jaganya kau pesan dengan tanggungjawab terhadap Allahnya. Terhadap Rasulnya. Terhadap agamanya. Dodoimu mestilah dengan lagu iman dan Islam. Buai dia dengan lagu-lagu syurga yang indah mengesankan. Tidurnya kau uliti dengan mimpi-mimpi jihad. Selimuti dia dengan kasih sayangmu. Dengan kesyukuran yang memanjang.

Bermulalah tanggungjawabmu sebagai ibunya. Bermulalah tanggungjawabmu sebagai bapanya. Hanya kematangan mewaraskan pemikiranmu. Tindakanmu. Mengertilah bahawa perkahwinan bukan semata-mata nikmat keseronokan. Mengertilah nikmat itu sangat pendek hayatnya. Hanya kebahagiaan dan kesejahteraan berumahtangga yang memanjang usia.  Rumahtangga adalah gedung tanggungjawab. Tanggungjawab kepada Allah. Kepada Rasulullah. Kepada agama. Suami kepada isteri. Isteri kepada suami. Ibu bapa kepada anak. Tanggungjawabmu sekarang berganda. Maka belajarlah untuk mengurus kesemuanya. Tidak ada kepada siapa yang boleh kau pindahkan tanggungjawab itu. Kesemuanya di bahumu. Mutlak tetapi syahdu.

Ingatlah apabila kau berumahtangga dahulu Allah sangat merestui. Iblis dan syaitan mengeluh tidak henti-hentinya. Namun di sebalik itu Allah mengurniakan kepadamu kelebihan-kelebihan yang juga berganda. Ibadatmu berganda-ganda pahalanya berbanding dengan orang bujang. Yang pastinya 27 kali ganda lebih besar nilainya. Rezekimu lebih barakah berbanding sewaktu bujang dahulu. Percayalah semakin ramai anakmu nanti semakin banyak rezeki datang melimpah-limpah. Kurnia Allah yang datang dari berbagai penjuru.  Yang penting yakin dan redha. Rezeki dari Allah. Jika perkahwinan itu sunnah Rasulullah tentu ada kebaikannya. Kerana perkahwinan itu adalah sunnatullah, Allah pasti melindungimu dan keluargamu dengan mawaddah. Dengan kasih sayang.

Banyaklah bersyukur. Hanya dengan banyak bersyukur itu kau menyerahkan dirimu kepada Allah.  Memohon kebaikan atas kehadiran anakmu. Anugerah Allah yang tidak terhingga. Nikmat berkeluarga. Redhalah kerana kesempatan itu Allah anugerahkan kepadamu. InsyaAllah semuanya dalam peliharaan Allah jua. Amin.

Menanti Suatu Kelahiran


Kembara sebuah rumahtangga semakin membara menanti suatu kelahiran. Kedatangan cahayamata yang sangat mengujakan. Bagaimana nanti rupa parasnya. Wajah ayah atau ibunya. Walau apapun itu anak ayah dan ibu. Hari berganti hari. Menanti 9 bulan 10 hari. Pejam dan celik hari berganti. Saatnya tentu semakin hampir. Mendebarkan juga. Terutama bagi yang ingin mengalaminya pertama kali.  Banyak membaca belum tentu benar kerana itu pengalaman orang lain. Terlalu banyak bertanya malu juga. Takut nanti ada yang berkata, orang lain beranak juga, tidaklah sesibuk ini. Oleh itu bacalah apa sahaja tentang kehamilan. Tanyalah ala kadar sebagai mencari pengalaman orang. Mungkin nanti ada persamaan. Kepada ustaz dan ustazah ditanya juga. Ada doa dan petua untuk membantu memberi kemudahan. Dengan izin Allah tentunya.

Bukan ibu sahaja yang mesti banyak bersedia. Makan minum perlu dijaga. Rehat dan tidur perlu dipelihara. Senam dan pergerakan tubuh badan hendaklah berjadual. Bagi yang sihat walafiat jangan dimanjakan diri. Jangan ambil kesempatan untuk berehat. Seberapa boleh banyak bergerak supaya janin di dalam sentiasa longgar. Sentiasa betul haluannya. Supaya biasa nanti berhadapan dengan sakit yang lebih menyakitkan. Membiasakan diri dengan sakit lebih baik dari tidak pernah merasa sakit. Tidak ada orang bersalin yang dibius. Maka biuskanlah diri dengan kebiasaan merasa sakit. Memangpun sakit tetapi ada ganjarannya yang ditunggu. Suami memang tidak sakit tetapi dia akan lebih sakit secara psikologikalnya. Memandang isterinya sudah cukup menyakitkan perasaan. Nanti bila datang sakitnya isteri, jiwa suami yang terseksa. Bahawa isterinya bertarung dengan nyawanya. Antara hidup dan mati. Hanya kepada Allah berserah.

Bagi isteri yang agak lemah, selalulah berhubung dengan doktor. Bang, isterimu mungkin lemah dalam banyak segi. Mungkin jenis ibarat putik yang mudah gugur. Terpaksa kurang bergerak. Kurang membuat kerja berat. Berjaga selalu dalam semua perkara. Jika tidak janin selalu tidak bertahan lama. Minta nasihat pakar. Mereka lebih tahu. Semasa peringkat awal ini banyak bersabar supaya dapat merehatkan isteri. Sementara bang. Nanti bila sudah sihat buatlah apa yang patut. Jaga putik yang diharap menjadi buah. Sama-sama menunggu suatu kelahiran yang amat mengujakan. Jika mengidam usahakanlah. Kata orang anak di dalam banyak ragamnya. Kata orang. Yang sebenar ialah perubahan metabolism isteri. Kerana itu banyak dalihnya. Banyak rengeknya. Banyak mintanya. Anggaplah itu sebagai tanggungjawab. Kecintaan yang mesti melakukan pengorbanan. Sayang yang mesti dibuktikan. Setia yang mesti ditunaikan.

Hanya beberapa bulan lagi bang. Ia akan datang menerjah. Datangnya nanti seperti tiba-tiba walaupun sudah berbulan dijangka. Pengalaman pertama tentu banyak kalut dari teraturnya. Banyak yang perlu dibuat. Tidak tahu yang mana satu diutamakan. Belajar dan banyak belajar. Jika ada kursus menanti kelahiran, pergilah. Dengar dari mereka yang memiliki pengalaman. Banyak manfaatnya. InsyaAllah. Baiklah. Nama sudah dicari? Sudah dipilih? Jika diimbas nanti tentu sudah dijangka gendernya. Jika tidak tunggu kelahirannya. Walau bagaimanapun nama perlu dipilih dahulu. Bersedia awal lebih baik. Namakan yang baik-baik. Pilih nama yang memang sudah ramai mengetahuinya. Sudah dimengerti maknanya. Nama Islam yang membawa barakah. Jika lelaki jaga lupa bermula dengan Muhammad. Jika puteri pilihlah nama isteri nabi. Atau nama-nama lain yang memberikan makna positif. Memotivasi. Mendoakan. Jangan pilih nama yang sedap didengar oleh telinga Melayu Islam. Kadang-kadang maknanya sangat hina. Banyaklah bertanya.

Abang kenalah belajar  memasak mulai dari sekarang. Isteri yang dimanjakan akan berehat selama 44 hari. Adat Melayu. Abang kenalah memasak untuk selama hari itu. Nak buat macam mana. Susah dan senang bukankah bersama? Semasa senang bersama, sekarang berdua menanggung susah itu. Mudah-mudahan selepas susah itu ada bahagia menunggu. Saat keintiman yang akan semakin menebal. Masing-masing akan lebih mengerti nilai berumahtangga. Sebab itu abang kenalah memasak. Untuk sendiri. Untuk isteri. Belajarlah tentang piramid makanan. Khasiat sesuatu makanan. Nanti bayimu biarlah isterimu yang menyusukan. Beri isterimu makanan yang berkhasiat. Air susunya biarlah terus mengalir. Anakmu perlu menyusu selama hampir dua tahun. Biar dia kenyang  dengan susu ibunya. Biar dia sihat dan subur.  Biar dia dekat dengan ibunya. Selalu damai di bawah ketiak ibunya. Mengalir dalam tubuhnya DNA keluarga turun temurun. Melestarikan warisanmu. Zaman berzaman.

Bersedialah untuk banyak berjaga malam. Rengek anak bukan kerana kehausan sahaja. Ia mungkin banyak membuang air besar dan kecil. Isterimu sudah keletihan kerana sakitnya. Keletihan menyusukan. Tidurnya selalu terganggu. Anakmu manja kerana kecilnya. Abanglah yang bantu membersih kotoran. Basuh mana yang perlu. Tolong mana yang boleh. Nanti banyak anak itu perlu didodoi. Banyak pula minta dipangku. Minta pula untuk didokong. Tidak mahu lekang dari sentuhan bapanya. Isterimu telah sakit melahirkan. Ia sedang melupakan saat itu. Subhanallah! Isteri semuanya sama. Mereka Allah mudahkan untuk melupakan kesakitan itu. Ia redha untuk mengulanginya lagi. Dan lagi. Dan lagi. mungkin nanti berbelas kali dia melaluinya dengan redha. Dengan selalu berlapang dada. Kenangkanlah. Itu pengorbannya. Cintanya tidak pernah berbelah bagi. Semua untukmu. Kebahagianmu. Kesejahteraanmu. Kedamaianmu. Demi sebuah cinta. Susah senang bersama.

Belajarlah mengemas rumah. Bukan bilik tidur sahaja. Banhyak ruang dan tempat yang perlukan perhatian.  Ruang utama perlu sentiasa kemas.  Tetamu berkunjung bertali arus. Orang baru mahu dijengah. Banyaklah nanti komennya. Banyak sapanya. Lantai, perabot dan dapur perlu kemasa dan teratur. Perlu dinyah debu. Sinki dan dapur memasak memang sangat perlu dijaga kebersihannya. Untuk diperagakan sebagai kemas. Cantik. Kain baju basuh selalu. Sidainya biar betul. Lipat  dengan kemas. Simpan dengan teratur. Halaman rumah bang. Jaga juga. Sapu dari sampah sarap. Berus longkang dari lumut. Pokok bunga perlu disiram dan dibaja. Rumpur rampai perlu dicabut.  Pendek kata isteri sihat atau uzur sama sahaja keadaannya. Sentiasa dalam keadaaan tip top.  

Ruang yang selalunya paling terabai ialah bilik air. Jangan bang. Jangan biarkan walau sesentimeterpun yang dilihat kotor. Dipijak kotor. Dirasa kotor. Lantainya diberus. Dindingnya diberus. Apa yang perlu hadir di bilik itu diperkemas. Disusun. Diatur. Mana-mana yang tidak diperlukan  hendaklah dibuang. Menyemak. Dipandang tidak cantik. Merisaukan hati yang memandang. Lagipun itu imej abang sekarang. Abang yang akan dapat “nama baik” itu. Di dalam rumah itu hanya abang seorang sahaja yang sihat. Tidak mungkin isteri perlu membuat semua itu.  Nanti akan ada yang menuduh zalim. Memang benarpun jika begitu. Membersih rumah bukan pada yang luarannya sahaja. Bukan yang boleh dilihat dengan mata sahaja. Bawah karpet kena bersih. Bawa tikar kena bersih. Bawah meja dan gerobok kena bersih. Semua tempat yang sulit mesti dibersihkan. Jangan biarkan sesawang berselirat. Kotoran debu dan sampah sarap jangan biarkan hinggap.

Setelah berumahtangga cubalah tidak mengharap kepada orang tua. Bebaskan diri dari menyusahkan mereka. Hilangkan kebergantungan kepada orang tua. Berani buat mesti berani tanggung. Lagipun bang. Ibu masih ada bapa. Tanggungjawabnya kepada bapa. Keperluannya masih perlu dijaga. Air tangannya masih menyedapkan selera bapa. Ayam dan itek terjerit-jerit minta dijaga. Tanah sekangkang kerana perlu dipelihara. Belajarlah mengurus isteri. Mengurus anak. Mengurus anak dan isteri. Lagipun ibu dan ayah perlu hidup bebas. Kerja berat itu telah lama ditinggalkannya. Mereka ingin bebas bergerak. Anak-anak yang lain perlukan perhatian juga. Sehari dua bolehlah. Tetapi jangan sampai dua bulan lamanya. Yang paling senang buat sendiri. Urus sendiri. Tiada dakwa dakwi.

Mudah-mudahan lahirlah kau penghubung rasa. Anak soleh idaman ibu bapa. Nanti besarnya mengasihi dan menjagamu. Dekat seperti di bawah ketiak ibunya dahulu. InsyaAllah.