Thursday, November 11, 2010

Madinah al-Munawarah - Mengisi Masa

Benarlah, sesungguhnya untuk melakukan sesuatu mestilah dengan ilmu. Haji dan umrah tidak boleh ikut-ikut. Tidak boleh mengikut arus. Tidak boleh tumpang-tumpang. Seharusnya ilmu haji dan umrah itu dipelajari sejak dari kecil lagi. Diberi penekanan. Diberi penjelasan. Memang masa dan ketikanya untuk menjadi tetamu Allah itu tidak dapat dipastikan. Entah pergi entah tidak. Namun persediaan fizikal, mental dan spiritual itu ditanam dahulu dalam jiwa. Bahawa bila tiba masanya, kita sudah siap siaga. Semuanya sudah diketahui. Sudah mahir tertibnya. Sudah tahu prosedurnya. Sudah dimaklumi susah dan senangnya. Hakikat cabaran dan kekangannya sudah diketahui.

Pergi haji dan umrah adalah mudah bagi yang memiliki syarat-syaratnya. Yang paling sukar pada kebanyakan orang ialah ongkosnya. Tetapi jangan lupa bahawa ongkos itu hanya luaran. Dalaman kita itu lebih penting lagi. Seperti kereta, diisi minyak hingga melimpah sekalipun jika ada hal-hal asas pada enginnya yang tidak beres kereta itu tidak akan hidup. Tidak mungkin berjalan, memecut dan sampai ke destanisinya. Begitulah, ongkos menunaikan haji dan umrah tidak memberi makna jika rukun-rukunnya tidak difahami. Jika hal-hal wajibnya tidak difahami. Jika sunat dan harusnya tidak diketahui. Takut nanti bercampur aduk yang mana rukun, yang mana wajib dan yang mana sunat. Takut pula melebihkan yang sunat sedangkan yang rukun dan yang wajib terabai.

Orang Malaysia bermazhab Sfafie’i. Pada dasarnya begitulah. Kita diajar begitu. Kursus haji juga begitu. Semuanya dikatakan Shafie’i. Maaflah saya tidak pasti sama ada ramai atau tidak orang yang memahami mazhabnya. Tuntutan-tuntutan mazhabnya. Keperluan mazhabnya. Rasional mazhabnya. Hujjah-hujjah mazhabnya. Jika perkara asas ini tidak diketahui, maka akan berlaku bermacam-macam karenah jemaah haji Malaysia bila sampai di Madinah dan Makkah. Di sana mereka diperlihatkan berbagai-bagai hal yang tidak pernah mereka alami sewaktu di tanah air. Mereka belum pernah bersama jemaah yang bermazhab Hanafi atau Maliki atau Hanbali. Bila ilmu tidak seberapa, mereka mula keliru, mula was-was adakah cara mereka yang betul atau cara Malaysia yang betul. Bagi mereka yang pernah ke luar negara dan mereka yang mendalami tentang agamanya, hal-hal yang berbeza itu tidak mendatangkan kegusaran.

Perhatikan sahaja apabila imam tidak didengar membaca baasmalah. Orang Malaysia jadi bingung. Jangan terkejut ada yang akan mengatakan imam itu salah. Solat jemaah itu batal. Mereka ini solat semula kerana tidak berpuas hati berimamkan imam lantikan kerajaan Arab Saudi itu. Alangkah indahnya jika semua orang memahami tuntutan mazhab masing-masing. Memahami hujjah-hujjah mazhab. Alasan mazhab. Pandangan mazhab. Sandaran nas dan hadith yang dipegang oleh mazhab. Pengalaman pendokong-pendokong mazhab.

Nanti akan ada jamaah Malaysia yang ditegur kerana berwuduk dengan menggunakan aiar yang sedikit kuantitinya sedangkan mazhab lain bewuduk dengan bermewah-mewah air. Wuduk itu sendiri menjadi teguran. Kenapa kita mengusap rambut sedikit sahaja sedangkan ada jemaah yang membasahkan rambutnya dari depan ke belakang dan dari belakang ke depan. Ada jemaah yang tidak membaca apa-apa ketika solat sedangkan kita membaca surah al-fatihah selepas mengaminkan imam. Imam tidak qunut subuh sedangkan kita berqunut. Dan macam-macam lagi perbezaan yang kita lihat, dengar dan perasan. Tanpa ilmu kita keliru sekelirunya.

Bagaimana dengan pengisian sewaktu di sana? Minta maaf sekali lagi. Suami tidak boleh bergantung dengan ilmu isterinya. Isteri tidak boleh bergantung dengan ilmu suaminya. Bila praktikal haji atau umrah itu dilaksanakan masing-masing melakukan mengikut apa yang telah dipelajari. Yang telah dimahiri. Jika tidak mahir, ketika prakrikal itu tidak ada siapa yang akan membantu. Semasa tawaf umpamanya suami dan isteri biasa terpisah kerana asakan dan tolakan manusia. Ibu dan anak terpisah. Bapa dan anak terpisah. Rakan terpisah. Di sinilah ilmu memainkan peranan. Warna, nombor dan tulisan adalah anugerah Allah. Untuk kegunaan manusia. Dengannya manusia yang pandai dan yang tidak pandai boleh mencari panduan.

Yang boleh membaca, bacalah apa-apa tulisan yang ada. Mungkin nama. Mungkin arahan. Yang tidak tahu membaca mungkin kenal nombor. Ingat pintu nombor berapa kita masuk dan keluarlah ikut pintu nombor itu. Atau jika keluar pada pintu lain cari nombor pintu kita masuk tadi. Dari situ kita mencari jalan pulang ke maktab. Ke apartment. Ke hotel. Ke asrama. Jika nomborpun tidak kenal, silalah gunakan warna. Di Masjid al-Haram ketiga-tiganya ada. Ada tulisan. Ada nombor. Ada warna. Jadikan kesemuanya sebagai panduan.

Semasa musim haji keadaan memang penuh sesak. Paling sesak ialah selepas solat. Semua orang seperti meluru keluar. Jika Zohor, mereka mengejar makan tengahari. Jika Isya’ mengejar makan malam. Lazimnya saya keluar paling awal setenga jam selepas solat tamat. Di sana tidak ada wirid. Jika adapun solat jenazah. Maka pandaipandailah kita berzikir sendiri. Solat sunat sendiri. Habiskan waktu sesak itu dengan menambah ibadat. Nanti selepas setengah jam kita dapati perkarangan masjid sudah lengang walaupun di jalanraya suasananya masih sesak dan padat. Sekurang-kurangnya kita tidak berasak-asak untuk keluar masjid. Tidaklah tertanggal selipar. Tidak terjepit di puntu.

Datang ke masjid tidak boleh bersantai-santai seperti di Malaysia. Kita biasa dengan melewat-lewatkan masa. Di sana pergi ke masjid itu hendaklah awal. Jauh lebih awal. Jika waktu Zoror itu 12.30 tengahari datanglah ke masjid pada pukul 10.30 atau lebih awal. Kita hendak mengejar saf di hadapan. Jika boleh di Raudah. Atau yang berhampiran dengannya. Kita merancang supaya tamat sahaja solat fardhu kita masuk ke Raudah untuk solat sunat. Pengisian begitu perlukan pengamatan, pengalaman dan dengan sedikit ilmu. Sementara sebelum keluar dari masjid banyakkanlah membaca al-Quran atau berwirid. Atau solat-solat yang dibenarkan. Selain daripada itu banyakkan berdoa. Mintalah apa sahaja yang baik dari Allah. Di tanah haram itu banyak kelebihannya untuk berdoa.

Madinah al-Munawarah Yang Selalu Dikenang

Kembali cerita makam Baqi’ di Madinah al-Munawarah. Aarwah-arwah di situ sangat beruntung kerana mereka berjiran dengan Rasulullah. Alangkah bahagianya mereka kerana pada hari kiamat nanti mereka adalah yang keempat dibangkitkan selepas Rasulullah, Abu Bakar dan Umar. Begitulah dekatnya mereka dengan Rasulullah. Di alam barzah lagi mereka sudah berdamping. Di akhirat semoga mereka terus bersama. Orang Malaysia selalu mengimpikan supaya dapat meninggal di Makkah. Mungkin ada kekeliruan di situ. Sebenarnya meninggal di Madinah yang sepatutnya dicari. Yang kedua barangkali Makkah. Ikutlah rezeki masing-masing. Allah yang menentukan semuanya.

Pada pengamatan saya orang Madinah agak lebih damai. Lebih sopan. Lebih santun. Lebih tenang. Baik peniaganya. Baik penduduk setempat. Baik pekerja asing sekalipun. Inilah ajaran dan didikan Rasulullah. Mereka memiliki rasa hormat kepada Rasulullah yang amat tinggi. Kasih dan sayang yang sangat mendalam. Saya dapati beberapa hari di Madinah memberikan rasa damai yang menusuk qalbu. Tenang setenangnya. Jarang ada hiruk pikuk. Tidak ada manusia yang mengambil kesempatan untuk membuat hingar. Bagi jemaah haji atau umrah Madinah adalah suatu kedamaian abadi. Di situ, di Masjid Nabawi Rasulullah sentiasa menunggu. Pertemuan yang tidak secara fizikal itu memberi kesan mendalam. Kita diajar untuk mengasihinya secara spiritual. Itupun sudah cukup mendamaikan. Nantilah kedamaian dan kebahagian mutlak apabila kita bertemu dengan Baginda di syurga. Tidak kiralah sama ada di Janntun Naim atau di Janntul Firdaus. Allahu Akbar. Rindu sangat-sangat.

Bila haji dan umrah, lazimnya kurma tetap dibeli. Bertan-tan dihantar balik ke kampung, ke rumah, ke Malaysia. Waktu di sana makan juga. Tetapi saya hairan juga. Tidak banyak yang mampu dimakan. Kadang-kadang saya beli sekilo atau dua. Untuk dimakan dengan rakan sebilik. Jamah sebiji dua. Lepas itu terpaksa bungkus untuk dibawa balik. Tidak ramai yang berminat. Nasi juga yang dicari. Roti juga yang dimakan. Mulut, lidah dan tekak payah sungguh mengubah selera. Cuma waktu itu (1999) tidak banyak pengetahuan tentang kurma. Tidak membuat kajianpun. Yang saya tahu kurma boleh dibeli dan dimakan. Tidak terfikir hendak makan yang segar, yang lembut. Terlalu naif tentang kurma. Jika sekarang rasanya semua hendak dirasa, dibeli dan dibawa balik.

Peniaga-peniaga bukan kesemuanya orang Arab. Ada Cina. Ada India. Ada juga bangsa lain. Namun kesemuanya Islam. Yang itu memang pasti. Tiada seorangpun yang kafir kerana mereka telah dikeluarkan sejak Rasulullah wafat. Yang mendamaikan hati ialah mereka kesemunya baik-baik belaka. Saya tidak pasti sama ada mereka baik kepada semua orang atau kepada orang Malaysia sahaja. Selalunya kemesraan kepada orang Malaysia melebihi layanan kepada orang dari negara lain. Begitulah bila kita berbudi orang berbahasa. Bila kita berakhlak baik semua orang menunjukkan rasa suka. Polis dan petugas kerap memberikan sunyuman. Menunduk kepada. Memandang tenang. Kita benar-benar menjadi tetamu mereka dan tetamu Allah.

Kali pertama berada di Madinah tentulah banyak peristiwa yang dialami. Saya sebenarnya banyak berjalan di sekeliling kawasan yang berhampiran. Berbelanja mudah di Madinah kerana perancangan bandarnya agak teratur. Mudah berjalan dari satu jalan ke satu jalan yang lain. Matapun menjadi rambang di kiri dan kanan jalan. Ada sahaja yang menarik perhatian. Biasalah pada musim haji semua harga barang melam bung sekali ganda sekurang-kurangnya. Jika waktu umrah sehelai jubah berharga Rial 30, pada musim haji harganya mungkin Rial70. Thalathun jadi sab’un. Kadang-kadang jadi samanun. Saya tertarik kepada jubah yang bersulam di lehernya. Tetapi tidak terbeli juga hingga sekarang. Harganya ketika itu sehingga Rial 150 sedangkan jubah biasa jauh lebih murah. Cuma cantiknya masih saya ingat hingga sekarang. Nantilah jika ada rezeki.

Membeli barang di Madinah atau di makkah sekalipun tidak sama dengan di Malaysia. Setiap sebutan harga mesti dituruti dengan halal. Jika minta kurang akan dikatakannya haram. Tawar menawar mungkin berjaya menurunkan harga sehinggalah ia mengatakan halal. Saya pula suka menawar secara lembut. Jika pekedai itu tidak menunjukkan minat saya tinggalkan kedai itu. Sehinggallah saya berjumpa kedai yang layanannya sedikit lembut. Tetapi itulah. Saya perasan juga akhirnya. Semua yang saya lakukan ada balasannya secara kontan. Begitulah janji Allah. Jika hari itu saya banyak sedekah, saya dapati mudah tawar menawar denga pekedai. Jika tidak memang haram semata-mata. Sukar hehdak dipujuk. Beginilah jika kita ikhlas memberi maka Allah akan kembalikan keikhlasan itu. Hanya selangkah dua dari tempat kita memberi ikhlas itu. Subhanallah.

Tidak lupa saya, ada hal-hal lucu yang diamali. Suatu pagi saya dan anak saudara saya memesan sup dan roti. Dalam minda saya sarapan pagi itu mesti meliurkan. Sudah lama tidak makan sup. Di Madinah pastinya sup kambing. Terbayang harumnya. Terasa sedapnya. Buila sup itu dihidangkan, terbeliak mata saya. Terkedu sebentar. Terdapat dua batang kaki kambing. Masih memakai kasut. Tapak kakinya tidak dibuang. Jika di Malaysia memang saya tolak sebab kaki itu selalu memijak tahinya sendiri. Tentu serta merta geli geleman.

Tetapi tidk di situ. di padang pasir kita tidak melihat jijiknya tahi kambing. Malah di Muzdalifah ada jemaah yang terkutip tahi kembing kering yang keras seperti batu. Sebab itu batu yang sudah dikutip hendaklah dibasuh untuk mengesan jika ada tahi kambing yang terkutip sama. Sekarang kaki kambing itu ada di depan mata. Saya pandang anak saudara saya. Sopntan dia pandang saya juga. Sesaat dua kami terdiam. Terhenti segalam pergerakan anggota badan. Kemudian secara serentak kami capai roti dan cecahkan sup itu. Sekali lagi terasa haru. Sup itu hanya rasa masin sahaja. Mana bawang gorengnya. Mana kayu manisnya. Mana bunga lawangnya. Mana cengkihnya. Mana buah pelaganya. Mana, mana. Mata mencari-cari. Sah, memang tidka ada. Dalam hati berkata, rezeki. Kami cecah dn cecah. Aneh. Habis dan terasa lazat pula sup kosong itu. Kaki yang dua batang kami kikis dengan jari dan gigi. Betul-betul tinggal tulang kurus.

Rupanya kejutan kami tidak berakhir di situ. Waktu kami hendak membayar disebut harganya Rial 25. Amboi! Mahalnya kata hati kecil saya. Berkali-kali kami minta kepastian. Malangnya pekedai itu tidak berapa fasih berbahasa Melayu. Saya waktu beku lagi belajar Bahasa Arab. Untuk memudahkan keadaan saya keluarkan beberapa keping wang yang saya bawa. Perlahan-lahan pekedai itu mengambil dua keping wang kertas Rial 5. Tersenyum saya dibuatnya. Rupanya dua keping wang Rial 5. Saya ingatkan Rial 25. Bila keluar kedai kami ketawa kerana teras lucu berkomunikasi yang tidak sempurna antara sesama Islam tetapi berlainan bahasa.