Anugerah Allah yang besar kepada manusia
ialah akal. Dengannya kita boleh berfikir untuk memilih yang terbaik.
Menginsafi segala kekurangan. Memanfaatkan segala kebaikan dan kelebihan.
Memahami keadaan yang berbeza. Apabila kita melihat sekeliling kita, kita
dapati tidak semua orang yang memiliki akal yang tinggi. Bahkan Allah
menjadikan kita dalam berbagai peringkat kapasiti akal yang berbeza. Ada yang
lebih dan ada yang kurang. Mereka yang berfikiran tinggi sangat kurang. Para anbia
Allah berikan kelebihan itu dengan izin Allah. Kita yang biasa-biasa ini perlu
pula mengasah bakat untuk berfikir. Belajar untuk menyusun jalan fikir.
Menyatakan fikiran dengan banyak belajar. Perbezaan kapasiti berfikir juga
menyerlahkan tindakan yang kita ambil. Tindakan kita sama dengan jalan fikir
kita. Mereka yang jalan fikirnya tinggi tindakannya sukar dibaca. Berbeza untuk
difahami. Tafsirannya berbagai. Kalimah yang digunakan berbagai makna. Ayat
yang diungkap berbagai maksud. Banyak yang tersirat dari yang tersurat. Hanya
mereka yang berfikiran tinggi sahaja lama merenung setiap yang difikir.
Mengambil tindakan yang sesudah difikirkan masak-masak. Tidak ada tindakan yang
memudaratkan. Menyusahkan. Apatah lagi menyesatkan. Cuba fahami maksud ungkapan
ini:
Di mana saya boleh basuh tangan?
Bagi kita yang biasa-biasa membaca ayat
tersebut tentulah maksudnya seperti tersurat. Hendak basuh tangan secara lafzi.
Seperti disebut. Seperti ditulis. Lalu kita tunjukkan bekas air. Singki. Parit.
Kolam. Sungai. Mungkin tasik. Habis cerita. Ayat itu mudah difahami. Maksudnya
diketahui dengan jelas. Semua orang memahaminya. Rasanya tiada yang tekecuali.
Kecualilah dia sedang mempelajari Bahasa Melayu dan belum khatam lagi.
Pemahamannya masih di tahap rendah. Kita yang lain tiada masalah. Orang Melayu
memang memahami ayat tersebut. Hari-hari kita menggunakannya. Mereka yang kita
tanya juga dapat memahami ayat tersebut. Pertanyaan itu dijawab dengan betul. Kita
yang bertanya diarahkan ke tempat yang ada air. Mereka faham kita hendak
membasuh tangan. Sangat mudah. As simple as that. Tidak ada apa-apa yang
sukar. Benarkah begitu? Betul? Baca seterusnya.
Sekarang mari kita berganjak sedikit ke
atas. Berfikir ke aras tinggi. Suatu perkara yang penulis alami ialah mereka
yang berada pada aras pemikiran tinggi menggunakan bahasa yang banyak tersirat.
Mereka cultured
and learned. Sukar hendak diterjemahkan secara harfiah. Mungkin
beradab dan berhemah. Tidak juga menepati maksudnya. Penulis belajar dari
seseorang yang terkenal di Malaysia. Satu-satunya yang berjawatan sepertinya.
Langsung dari Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agung.
Tokoh itu ialah Prof DiRaja Ungku Aziz. Membasuh tangan bukan bermakna seperti
yang diungkap semata-mata. Membasuh tangan bermakna berurusan di bilik air.
Prosesnya panjang dan diakhiri dengan membasuh tangan. Jika orang dahulu
menggunakan ungkapan ke sungai besar dan ke sungai kecil, membasuh tangan
bermaksud seperti berikut:
1
Ke bilik air.
2
Melepaskan hajat besar
atau kecil.
3
Melegakan diri.
4
Mengemaskan diri.
5
Mengemaskan penampilan.
6
Puaskan hati di bilik
air seperti membetulkan pakaian, menyisir rambut, membasuh muka dan memeriksa
gigi, janggut, misai dan mungkin kebersihan hidung.
7
Mempastikan penampilan
terbaik sebelum berjumpa dengan penyambut tetamu, sahabat, kenalan dan audien.
8
Akhir sekali membasuh
tangan.
Ungkapan membasuh tangan merupakan
penamat suatu proses aktiviti yang panjang. Yang perlu dilakukan dengan teliti
dan penuh sabar. Perlu banyak latihan supaya dapat melakukannya tanpa teragak-agak.
Siapa Prof DiRaja Ungku Aziz? Rasanya mereka yang sebaya dengan penulis amat
mengenalinya. Ramai orang Malaysia mengenalinya. Orang muda juga ramai
mengenalinya. Dia tergolong antara tokoh yang berfikiran tinggi. Menjana
pemikiran untuk maslahah ummah. Maknanya mereka yang semakin tinggi
ketokohannya wajarlah mempamerkan pemikiran tinggi. Bertindak selaras dengan
pemikiran tinggi itu. Mereka yang mendengar diperlukan berfikir panjang. Mereka
yang membaca perlu menyingkap bait demi bait yang tersurat. Terlalu banyak yang
tersirat di sebalik yang tersurat. Bukan double meaning tetapi perlu dilihat dari aspek
yang berbeza sebelum difahami. Sebelum mengambil tindakan yang selari dengan
ambilan fahaman itu.
Dalam perkara ini bahasa amat penting.
Dalam profesion apa sekalipun bahasa adalah inti kepada pemahaman. Pencerakinan
bahasa dan maknanya. Penyampaiannya kepada audien. Huraian dah hujjah yang
memberikan ruang memperluas minda. Begitulah semua ulamak (dimaksudkan expert –
pakar) menguasai bahasa peringkat tinggi. Ilmu perlu dipelajari dengan bahasa
yang tinggi. Disampaikan dengan bahasa yang tinggi. Bahasa tinggi bukan pula
bermakna jargon,
bombastik atau ungkapan yang
tidak mudah difahami. Yang dimaksudkan ialah maknanya mendalam. Sedikit tajam. Bahasa
yang tinggi lebih kepada:
1
Menggunakan bahasa
harian tetapi diolah dengan sedemikian rupa sehingga maknanya memberi impak
besar. Contoh: Saya hendak tidur. Biasa sebab kita orang biasa. Jika
diungkapkan, saya istirehat sekarang. Kita tidak tahu maksud sebenarnya.
Berehat kerana penat atau hendak tidur. Tetapi jika waktu malam, masa sudah
lewat serta matanya kelihatan pejam dan celik tentulah ia hendak tidur. Tidur
adalah berehat. Fizikal dan minda. Sebelum digerakkan semula pada esoknya
sebelum solat Subuh.
2
Bahasa yang disusun
sangat mudah tetapi indah.
3
Semua orang memahaminya
sepintas lalu walaupun perlukan tindakan yang berbeza mengikut kefahaman
masing-masing.
Ingat Perjanjian Hudaibiyah? Ramai para
sahabat yang marah kerana Rasulallah akur dengan permintaan kaum musriqin
Makkah yang memberikan syarat-syarat tidak masuk akal. Itu yang tersurat dan
yang difahami pada zahirnya. Sesungguhnya Rasulallah lebih mengetahui
berbanding mereka semua. Akhirnya ternyata bahawa bantahan para sahabat itu
tiada asasnya kerana at the and of the day Muslimin mengatasi kaum
musriqin. Dalam semua hal. Dalam semua aspek. Hanya dalam masa lapan tahun
kebenaran terserlah walaupun perjanjian itu untuk jangkamasa 10 tahun. Malah
Makkah dibuka semula oleh Rasulallah dan sahabat-sahabatnya tanpa sebarang
tentangan. Selepas itu berbondong-bondong kaum musriqin menganut Islam.
Begitulah dalam hidup
ini kita kena banyak melihat ke dalam. Ke dasar yang tersirat untk memahami apa
sebenarnya yang tersurat. Banyak tindakan orang lain yang dilihat banyak
celanya. Apabila diteliti kita dapati tindakan itu memerlukan pemikiran tinggi.
Tindakan proaktif. Tindakan berwawasan. Perhatikan orang bermain catur. Mereka
yang hebat dan selalu menang selalu bercatur. Bukan sekadar mencatur bidak
sendiri. Melihat juga caturan orang lain. Gerak catur. Malah selalunya gerakan
yang dianggap innocent
itulah yang sangat berbahaya. Boleh checkmate pihak lawan. Kerana itu kita perlu
banyak berfikir peringkat tinggi. Perlu melihat yang tersirat. Perlu memahami
tindakan orang lain dengan minda yang terbuka dan tenang. Belajarlah untuk
memahami berdasarkan aspek yang berbeza. Melihat sesuatu dari luar kotak.
Keluar dari kebiasaan. Berbahasa dengan indah. Memberi makna yang berungkap dan
bermadah. Dibaca senang. Diingat mudah. Diulang melancarkan lidah.