Sunday, July 1, 2012

Menjadi Tua Yang Selayaknya


Ramai orang tidak pernah berfikir tentang tuanya. Usia yang lanjut dikira fitrahnya begitu. Tidak perlu difikir. Tidak perlu diambil pusiang. Pada yang lain ramai pula yang sangat takut. Tua menakutkan. Bukan takut mati tetapi takut hilang populariti. Hilang status selebriti. Hilang ketokohan. Hilang seri. Hilang puji puja. Pada yang lain tua maksudnya usia sudah lama terhakis. Tinggal lagi bakinya yang sedikit. Ajal semakin hampir. Dunia semakin jauh berlalu. Di hadapan sana dunia terkemudian yang pasti datang. Kepastiannya sahaja belum diketahui. Hanya mereka yang sampai ke tahap tinggi sahaja yang mengetahui bila ajalnya sampai. Menunggu penuh harap untuk kembali diredhai Allah. Rindu yang tiada tolok bandingnya. Tua jenis inilah yang seharusnya menjadi idaman. Semoga hidup penuh barakah. Dilindungi Allah selalu.

Tua selalunya sinonim dengan segala yang buruk. Malah ada yang menjadi hina. Seorang manusia yang dahulunya tampan bertukar wajah dan wataknya. Rambutnya mungkin sudah tiada. Atau menipis menampakkan kulit kepala. Atau memutih bak salju. Muka cengkung dengan kulit tua berkedut melekat di rahang dan kerangka muka. Mata sudah berlapis-lapis tebal. Kedutnya beribu. Bukan lagi gebu. Yang dilihat ialah kulit kusam. Kasar dan tidak enak disentuh. Segala yang dahulunya daging hilang entah ke mana. Ditelan usia yang memanjang. Mulut rapat kerana gigi yang tiada. Gigi palsu yang tidak pernah asli. Tidak dapat mengembalikan kepada yang asal. Jadilah gigi itu sekadar pelapik gusi. Penghias mulut. Ada fungsi untuk menikmati makanan. Namun wajah tua kekal begitu dengan tuanya. Itu belum yang bertongkat. Berpapah bila berjalan. Berkerusi roda ke sana ke mari. Belum lagi yang hanya mampu baring. Mata sahaja berkelip-kelip. Atau mungkin juga koma bak sayur kata orang putih. Vegetable. Camatose.

Ada semacam suatu gambar jelas yang rupanya tua. Ingatan mungkin menjadi kabur. Lupan alebih banhak dari ingatnya. Nyanyuk mendatang.  Ada sesuatu barangkali yang orang muda tidak suka. Orang tua lazimnya berbau tua. Hapak. Hangit. Bau yang tidak enak. Bau yang tidak gemar didekati. Bau yang selalu dijauhi.  Itulah tua. Itulah apabila usia berkurangan. Apabila usia tinggal berbaki sahaja. Semuanya menjadi tidak disukai. Seorang insan yang dahulunya dikerumuni kini dijauhi. Direnggani. Mungkin tidak disisih. Mungkin tidak terpinggir. Tetapi tidak ramai yang beersedia mendampingi lagi. Masa sudah berlalu. Zaman sudah berubah. Watak-watak dahulu sudah tiada. Yang tinggal hanyalah kenangan yang sukar diingat. Imbauan masa lalu yang semakin pudar. Masa hadapan pula tiada jelasnya.

Itu adalah juga gambaran diri kita yang masih belum sampai ke tahap tua. Suatu hari akan datang juga waktunya. Tiada siapa yang dapat menghindarnya kecuali ajalnya datang semasa muda. Orang tua yang bagaimanakah kita nanti. Pilihan di tangan kita. Ketentuan pada Allah sahaja. Segalanya kuasa Allah. Jika boleh diminta tentulah kita ingin menjadi orang tua yang hanya tua pada usia tetapi tidak dilihat tua dalam banyak aspek. Dalam banyak hal. Kita ingin kekal segar  bugar. Lincah bertenaga. Dunia ini masih kita yang punya. Kobaran semangatnya melepas luas. Menggapai awan. Mendakap gunung. Merenang lautan. Segala yang datang disambut tatang. Musuh habis ditentang. Masih kekal menjadi harapan. Pelindung yang tiada tandingan. Bantuannya berpanjangan. Alangkah indahnya jika saat-saat begitu kekal abadi. Namun semuanya hanya usikan jiwa. Segalanya sudah tiada.

Fizikal orang tua memang kudrat yang sudah lama terhakis meninggalkan sedikit sisa. Semuanya lemah, kaku dan perlu sangat dengan pertolongan. Itu belum sakitnya yang menghalang gerakan. Jalan memang sudah bukan lagi rutin. Ia banyak duduk dan baring. Tidur yang semakin tidak mendamaikan. Kematian diri yang sebelum ajal. Seingatnya ia sangat banyak bergerak semasa gagahnya dahulu. Tenaganya melimpah-limpah. Tidak lama kekal di rumah. Pulang mungkin kerana tidur yang menuntut mata. Itupun larut malam baru bertemu bantal. Masa yang ada dihabiskan untuk kegilaan zaman muda. Hiburan dan santai yang tidak pernah habisnya. Masa berganti masa nilai tambah tidak banyak positifnya. Dirinya selalu statik dari segi ilmu dan  pengetahuan. Dunianya terlalu sempit bak katak di bawah tempurung. Dalam kotak kecil yang sukar olahnya. Ia tenggelam dalam dunia yang itu-itu juga. Bila tua mendatang maka dirinya terperangkap dalam dunia sama yang sempit. Fizikalnya terlalu menguasai. Fikirnya tidak lagi bekerja kerana tidak pernah dilatih. Tulang yang rapuh dan reput. Kulit kedutnya beribu. Tiada lagi yang gebu.

Kesihatan selalu menghantui orang tua. Datanglah masanya batuk mengokol. Demam yang sebentar betah sebentar lagi datangnya. Darah tinggi berselang dengan darah rendah. Kolestrol bertimba-timba. Kencing manis bergula-gula. Ditambah pula dengan hilangnya pendengaran. Kekaburan mata yang memandang samar. Selera patah riuk. Semua yang dimakan hilang rasa enaknya. Sedikit menjamah hanya untuk meneruskan nafas yang ada. Bila sudah tua program kesihatan sudah terlambat untuk dilaksana. Piramid makanan sudah lama tiada gunanya. Ibarat rosak yang terlalu hingga tidak boleh diperbaiki lagi. Maka pada dirinya tinggal kerangka yang tidak lagi menjadi idola. Tidak lagi menjadi rujukan. Tiada lagi harga yang dahulunya mahal. Yang dahulunya tinggi nilai. Bila tua mendatang segala kebaikan yang dahulu tenggelam jika tiada kecemerlangan. Jika tidak mencipta nama. Jika tiada sumbangan bermakna. Menjadi manusia biasa-biasa menenggelamkan usia yang panjang tidak seberapa.

Orang memandang pakaian sebagai sesuatu yang lumrah. Dari muda jangan tidak pernah menggayakan pakaian sewajarnya. Memakai biasa menjadi orang biasa. Jika pakaian selalu diambilkira maka diri menjadi seorang yang lebih berwibawa. Dipandang berbeza dengan orang lain. Pakaian bukan sekadar yang menutup aurat. Bukan sekadar yang menyalut tubuh. Setiap suasana ada pakaian yang sesuai. Yang layak dipakai. Tidak semua pakaian sesuai untuk semua keadaan. Jika pandai berpakaian tentulah ada mata yang memandang senang. Setuju dengan cara pemakaiannya. Akur dengan segala yang berkaitan dengannya. Malang bagi orang tua yang melepas pandang pakaiannya. Kumal memualkan. Kotor mencemarkan. Kusam menjengkelkan. Renyuk menyakitkan. Semuanya bergantung kepada kebiasaan. Ia tidak datang tiba-tiba. Dari muda hendaklah dibiasakan berpakaian yang paling sesuai. Memprotokolkan diri. Menjaga adab berpakaian. Etiket yang sekecil rumit sekalipun diberi peka. Kebiasaan yang positif menampilkan ketuaan yang berwibawa. Bukan yang nanti dipinggirkan.

Sangat besarnya beza orang tua dengan orang muda. Suatu hal yang tidak dinafikan ialah orang tua berbau orang tua. Unik bagi orang tua. Bayi sentiasa wangi. Kulitnya wangi. Rambutnya wangi. Serba serbinya wangi. Apabila tua sebaliknya yang terjadi. Semuanya menjadi hapak. Mungkin hangit. Hanyir. Memualkan. Fitrah yang datang bersama usia tua. Wangi-wangian yang mungkin boleh mengubah keadaan. Sabun mandi yang sesuai. Minyak rambut yang sepadan. Minyak wangi yang pandai pakainya. Itu juga menuntut kebiasaan. Bukan apabila tua baru hendak mereka gaya. Semuanya sudah terlambat. Kekok dan tersasar. Dari muda hendaklah memulakan gaya hidup yang mewangi. Harum sepanjang masa. Hadirnya menyeri. Lintasannya mengharum angin lalu. Wangi selalu mendamaikan. Menjadi terapi kemurungan. Hati jadi selalu riang dan ria. Ceria kerana udara sekeliling yang memberi impak gembira. Wangi menyahkan segala yang sebaliknya.

Tiada kompromi kepada akhlak yang baik. Akhlak yang dipadankan dengan al-Quran. Akhlak Rasulullah. Akhlak yang diperakui sebagai yang terbaik. Richard the Lion Heart tunduk malu di hadapan Sallahuddin al-Ayubi kerana santunnya.  Bermusuh semasa perang. Sahabat ketika santai. Di medan pertempuran segalanya antara mati atau mematikan. Di luar medan itu semua orang adalah pendamai yang unggul. Akhlak itulah yang seharusnya diunggulkan. Menjadi orang yang pemaaf  bukan pendendam. Membantu bukan yang menyusahkan. Membina bukan yang meruntuhkan. Menyenangkan bukan yang merisaukan. Memberi harapan bukan yang menenggelamkan. Akhlak istimewa yang seharusnya ada pada mereka yang tua. Yang baki usianya hanyalah kebaikan. Sumbangan. Menjaga maslahah umum. Memberi yang terbaik. Sebelum sampai ke saat tua itu semuanya perlu membina amalan baik sedari muda. Dewasanya sudah mantap dengan segala yang baik. Apabila tua terserlah segala keindahan tua usia itu.


Hidup tidak boleh terlalu khusus. Hanya tahu satu atau dua perkara sahaja. Sewajarnya memiliki multi-skill. Banyak perkara yang boleh dibuat.  Macam-macam yang boleh dicapai. Semuanya memartabatkan diri. Meninggikan nilai diri. Berbeza dengan orang lain. Alangkah manisnya jika seseorang itu multi-discipline. Banyak rencamnya dari segi kemahiran. Pengetauan yang berbilang-bilang. Banyak topik yang boleh dibicarakan. Berbual bukan sesuatu yang membosankan. Bukan topik sama yang berulang-ulang. Tidak ada sesuatu yang hanya sama sepanjang masa. Ke tengah dan ke tepi semuanya boleh. Merentas semua yang boleh dibincangkan. Banyak idea yang menabur meluas melaut banyaknya. Cakapnya bernas. Ideanya praktikal. Selalu mencadangkan yang terbaik. Ekonomikal. Tua bukan penghalang untuk memberi sumbangan. Banyak pengalaman yang perlu dikongsi kepada generasi pengikut. Banyak hal-hal positif yang mungkin tiada pada orang lain. Susah senang yang dilalui hingga menjejak tua. Kejayaan dan kegagalan yang dilalui. Jauh dan dekat perjalanannya. Sosio-elonomi-politik yang dilihatnya. Perjalanan masa yang tidak pernah berhenti. Yang telah memberi input kepada dirinya. Yang bermakna tuanya bukan kosong. Banyak isinya. Sarat pengalamannya. Jika tidak dikongsi dengan orang lain pastinya semuanya hanya tenggelam dalam diri yang semakin dilupakan.

Nama yang baik selalu mengatasi segala keburukan. Tetapi sedikit keburukan mencacatcela segala kebaikan. ‘Ala kuli hal berusahalah untuk membina nama yang baik. Menggilap nama yang boleh dibaikkan. Gajah mati meninggalkan tulang. Harimau mati meninggalkan belang. Manusia mati meninggalkan nama yang harum mewangi menyerbak menyelubungi segala yang ditinggalkan. Aroma dan aura yang selalu menyenangkan. Biarlah tua menjadi kelapa yang pekat santannya. Buah yang manis isinya. Yang membenih isinya. Boleh mencambah melestarikan kitaran khidupan pokok. Tua yang mentuakan. Tua yang boleh dituakan. Biar orang maklum tuanya. Kerana tua itu adalah lurahnya manusia. Tualah dengan ketuaan yang menjadi tua bernilai tua. Mudah-mudahan menjadi tua yang tetap bermanfaat. Memberi guna kepada orang-orang di sekeliling. Paling rapat dengan orang-orang yang darah dagingnya mengalir dalam setiap urat dan saraf mereka. Terhindarlah hendaknya tua yang sangat dianggap tua. Mudah-mudahan tidak menjadi tua yang menghindar guna.