Friday, December 24, 2010

Psikologi Untuk Pelajar Menengah Rendah

Pelajar tingkatan satu, dua dan tiga adalah pelajar-pelajar yang selalu mencabar untuk dididik dan diasuh. Banyak ragamnya. Banyak keletahnya. Banyak songelnya. Banyak peningkan kepala. Banyak menimbulkan stress. Banyak masa dan tenaga dihabiskan untuk mereka. Setiap masa ada sahaja hal yang perlu dibereskan. Hal disiplin banyak ceritanya. Hal akademik banyak lagi pahit maungnya. Hal sosial lagilah banyak di luar kawalan. Itu belum hal-hal yang belum sepatutnya mereka terlibat tetapi sudah terlibat pula.

Manakan guru tidka hilang punca. Dalam umur semuda itu mereka bercinta gila. Tidak kurang yang termengandung. Mana lagi yang bersalin di sana-sini. Yang buang bayi pun semakin sukar dikira. Itu belum dadah. Curi lagi. Ragut pun. Gaduh dan samsing. Mereka bukan sahaja menjahanamkan diri mereka sendiri tetapi juga kehidupan orang lain yang ada di sekeliling mereka. Kalaulah mereka boleh faham. Malangnya memang mereka tidak dapat memahami. Kaulah gurunya nanti yang perlu memberi kefahaman itu. Kau yang kena didik hati nurani mereka. Kau yang kena bimbing cara mereka berfikir. Saahsiah memanglah top priority. Rosak akhlak rosak semua yang dibina untuk kemanusiaannya.

Umur antara 13 tahun hingga 15 tahun adalah umur yang penuh cabaran. Penuh pancaroba. Pada umur ini sepatutnya ibu bapa menjadi pendisiplin yang paling baik. Paling ampuh. Paling berkesan. Paling efisien. Masalah. Ibu bapa tidak berdaya berhadapan dengan anak-anak seusia begitu. Ramai ibu bapa yang lentok. Yang layu. Yang pudar peranan keibubapaannya. Mereka menoleh kepada guru untuk mengambil peranan itu. Bagaimana ya. Itu anak orang. Bukan anak kau. Maka kenalah layan macam anak orang. Tidak mungkin jadi anak sendiri.

Ibu bapa sekarang serah anak ke sekolah bukan serah jiwa dan raga anak. Mereka hanya serah nama. Jangan sekali anak-anak mereka disentuh. Jangan dicubit. Jangan dijentik. Jangan letakkan tanganmju di pipi mereka. Di kepala mereka. Walhal kau hanya boleh mengetap gigi. Memerah telinga. Menjegil mata. Bercakap sepatah dua. Awas. Jaga mulutmu. Jaga tuturmu. Jaga bicaramu. Jangan laser. Jangan kesat. Jangan kasar. Beli insuran untuk mulut. Kau adalah guru. Maka jaga keguruanmu. Banyak batas-batas tatalaku yang mesti dipelihara. Kau hanya mampu pada batas-batas tertentu. Yang selebihnya bukan urusanmu. Ada pihak yang lebih kanan. Yang lebih atas. Yang lebih tinggi. Itu bidang kuasa mereka.

Pelajar tingkatan satu sedang memuncak kenakalannya. Mereka ini sedang dalam transisi dari sekolah kebangsaan. Yang lelaki belum ada yang baligh. Yang perempuan mungkin sudah separuh yang baligh. Namun mereka kesemuanya sedang bergolak dengan tumbesaran mereka. Ada bahagian-bahagian anggota tubuh badan mereka yang membentuk sifat-sifat kejantinaan mereka. Mereka melakukan apa sahaja. Bising yang membingitkan. Pakaian mereka yang cepat kotor. Selepas waktu rehat sukar untuk mendekati mereka. Kau pasti menahan nafas. Menahan hidung yang kembang kempis. Macam-macam ragam bau yang mereka import kembali ke kelas. Cabaran. Cabaran. Banyak bersabar.

Pelajar tingkatan dua lain pula ceritanya. Mereka sampai di puncak keanak-anakan mereka. Peralihan mereka menjejak alam remaja yang sebenarnya. Yang lelaki sudah ramai yang baligh. Yang perempuan mungkin hampir semua sudah baligh. Nakal mereka ketika di tingkatan dua ini memuncak habis. Masalah disiplin paling banyak berlaku. Calang-calang guru baru terkapar dek kelaku mereka. Ada sahaja karenah mereka. Memang menggeramkan. Menggelegak kepala memikirkan mereka. Sabar, sabarlah sahaja yang mampu kau lakukan. Anak orang. Jangan sampai ada parang sampai di sekolah. Jangan sampai ada peguam berhujjah di sekolah. Jangan sampai ada ibu yang berceramah di sekolah. Ada had yang mesti kau patuhi. Jangan langkau had itu. Padahnya tidak ada siapa mengukur tahu.

Tingkatan tiga barangkali lebih boleh ditoleransi. Kewarasnnya sudah mula mendatang. Kecerdsannya boleh dibimbing. Ketekunannya sudah boleh diharap. Ada kawalan diri yang meresap kepada mereka. Lebih mudah dikawal. Mendengar kata. Mengikut bicara. Memahami bahasa. Sementelahan pula mereka sudah diarah untuk fokus periksa. PMR mereka di hujun tahun. Mereka diletakkan di landasan untuk lebih siuman. Belajar menghargai diri. Menghargai masa. Menghargai peluang. Mereka baru mengenal cita-cita. Sudah merancang pilihan masa depan.

Pelajar-pelajar menengah rendah ini ibarat gembalaan yang liar. Sukar dilepas. Sukar ditambat. Dipegang juga menyukarkan. Guru sebagai gembalanya hendaklah mengetahui apa kehendaknya. Apa yang tersirat di sanubarinya. Psikologi mereka. Aspek sosial dan kemanusiaan mereka. Penghayatan agama yang wajib baginya. Kau ada peta. Kau ada garispandunya. Kau ada haluan untuk mereka ikut. Kau yang kena meneroka jalan, lorong dan denai. Kau yang menerobos laluan yang sukar mereka cari. Kau yang menunjuk jalan agar mereka nampak cahaya di hujung terowong.

Itulah kerjayamu sebagai guru. Di bahumu terletak satu tanggungjawab besar. Misi agung yang mesti dilaksanakan. Di bahumu tanggungjawab untuk membina insan-insan warganegara yang memberi nafas segar kepada negara. Membina kemanusiaan sarwajagat. Kau membina negara. Keberhasilan didambakan. Kejayaan dinantikan. Nanti namamu dinobat sebagai pembina bangsa.