Monday, October 11, 2010

Yang Hilang dan Pergi

Tarikh 10.10.10 mungkin bersejarah kepada graduan saya dari UTHM. Dalam famili saya kehilangan seorang ibu saudara. Sepupu arwah ibu saya. Usianya sudah lanjut. Melebihi 80 tahun. Ia pergi menyusul suaminya. Menyusul mereka yang telah pergi sebelumnya. Saya masih kembali ke kampung halaman saya. Saya masih ada urusan di sana. Kuburan di belakang masjidnya disemadikan jasad-jasad yang dulunya dekat dengan saya. Di situlah datuk dan nenek saya. Di situlah bapa saya. Di situlah bapa dan ibu saudara saya. Di situlah sepupu-sepupu saya. Di situlah anak-anak saudara saya.

Setiap ada yang pergi saya berusaha untuk menatap wajah mereka. Cium dahi mereka mana yang mungkin. Itulah tatapan terakhir. Itulah kucupan terakhir. Saya tatap puas-puas. Saya amati setiap garis dan tompok. Setiap rekah dan bintik. Tatapan itu yang terakhir. Penamat segala pertemuan. Perpisahan yang dijangka tetapi tidak selalu dapat dipastikan bila. Tika sampai saatnya, tidak lewat dan tidak pula diawalkan. Tepat setepatnya seperti perancangan Allah. Sudah ditentukan harinya. Sudah ditentukan waktunya. Sudah ditentukan tempatnya. Sudah ditentukan jamnya. Sudah ditentukan minitnya. Sudah ditentulkan saatnya. Sudah ditentukan detiknya yang sebenar. Sudah ditentukan siapa yang hadir. Siapa yang menemani ajalnya. Sudah ditentukan siapa yang melihat. Siapa yang melepaskannya.

Wajah yang pergi itu pernah bersama suatu waktu dulu. Pernah bersamanya. Pernah senyum dan tawa bersamanya. Pernah bertegur sapa. Pernah senang dan susah. Pernah akrab dan bersama. Pernah berkelana bersama di alam maya ini. Banyak kali dipertemukan. Himpunan saudara mara yang selalu tidak putus. Himpunan sahabat handai dan taulan. Himpunan semua kenalan yang berpapasan dalam kehidupan. Lintasan waktu yang berjajaran.Saban minggu dan bulan. Saban tahun yang berganti. Kenduri kendara yang dihadiri. Pastinya saudara mara itu hadir bersama. Bertanya khabar berita. Melihat sihat dan sakitnya. Kebersamaan yang panjang.

Sampai masanya berpisah jua. Orang-orang yang dekat dengan kita. Orang-orang yang kita sayangi. Yang dirindui. Yang dinanti. Yang ditandang dan ditandangi. Ikatan darah dan keluarga. Ikatan sahabat dan handai taulan. Ikatan kebersamaan yang silih berganti. Bertemu dan berpisah adat manusia biasa. Itulah dengangan perpisahan. Lagu pilu bagi yang sukar bertemu lagi. Untuk kesekian kalinya saya berada dalam situasai itu. Sukar melepaskan hati yang selalu pilu. Teringat masa dulu-dulu.

Bila seseorang pergi dari khalayak kita. Bila dia hilang dari pandangan. Bila dia luput dari renungan. Bila dia jauh dari hadapan. Bila dia entah di mana. Bila dia sudah terbang menyelinap jauh, kita hanya mampu termangu sendirian. Saya sendiri hanya mampu mengingat. Mampu mengenang. Mampu menerawang masa silam yang berlalu. Masa yang telah menemukan diri dengan seseorang. Yang kemudiannya hilang. Sekadar menancap dalam ingatan. Dalam benak minda yang entah boleh bertahan. Satu demi satu ditindih dalam lipatan. Satu demi satu mungkin puput dari ingatan itu.

Bila seseorang dalam hidup kita telah hilang. Tiada lagi penghubung yang dapat mengembalikannya. Hilanganya abadi. Kekal abadan abada. Tidak mungkin kembali lagi. Dia pergi jauh dalam alamnya yang tersendiri. Dalam alam yang berbeza. Yang tidak mungkin ditembusi kecuali kita menjejaknya. Dan masa-masa yang berlalu ini mendekatkan saya ke situ. Apa lagi yang mahu dikenang kerana ia memang hilang. Apa lagi yang perlu diingat kerana ia sudah tiada. Apa lagi mahu dihambat kerana ia sudah pergi jauh.

Hargailah setiap pertemuan. Peliharalah setiap kebersamaan. Sejahteralah bagi yang masih ada ibu dan bapa. Sejahteralah bagi mereka yang bersaudara mara. Sejahteralah kerana masih bersama. Bahagialah bagi mereka yang ada segala. Sementara masih ada waktu dan ruang inilah ambil peluang yang terluang. Tataplah mereka sepuas hati. Dakaplah mereka sekehendak hati. Ciumlah mereka seseleranya. Renunglah mata mereka. Kecapilah senyuman mereka. Sambutlah tawa mereka. Sapukanlah air mata mereka yang jatuh berguguran. Suka dukanya adalah untukmu. Doa dan restunya adalah untukmu.

...................................

Saya tidak berkesempatan lama di kampung. Ada urusan hidup. Konvokesyen UTHM pada 10.10.10. Dalam sesingkat waktu itu bertemu juga dengan orang-orang lama yang masih hidup. Masih mesra dengan tegur sapa. Masa ada daya untuk tanya bertanya. Untuk khabar berita.

Kampung ini besar impaknya. Parit Mohamad, Parit Sulong, Batu Pahat ini banyak sejarahnya pada saya. Sesekali saya ziarahinya. Ingin kembali ke zaman itu. Zaman dulu-dulu yang sangat nostalgik. Mungkinkah segala hubungan itu akan terputus jua. Saya hanya mampu menukilkannya untuk anak cucu saya. Mereka akan tahu nanti bahawa induknya dari sini. Sejarahnya bermula di sini.

Kebersamaan hanya sementara. Pertemuan hanya sementara. Ingatan mungkin lama. Tetapi perpisahan juga yang abadi. Saya berdoa semoga saya akan bertemu semua orang yang dekat di hati saya ini di akhirat nanti. InsyaAllah.