Al-Quran dan Ramadhan adalah gandingan yang sinonim.
Pada bulan Ramadhan berganda mereka yang membacanya. Ramainya berganda.
Kuantiti bacaan berganda. Diharapkan kualitinya juga berganda. Ambillah peluang
untuk memperbaiki penguasaan al-Quran supaya menepati kehendak membacanya. Ada
sesuatu yang lazim kita lakukan di Malaysia pada akhir bulan Ramadhan. Kita
tidak pernah lupa mengadakan majlis khatam al-Quran. Berbagai pula bentuk dan
pelaksanaannya. Ada yang menepati maksud khatam itu sendiri. Ada yang seperti
tidak menepati. Masing-masing ada tafsirannya yang tersendiri. Ulamak pula
tidak berkata apa-apa mengenai perkara khatam ini. Mungkin boleh kita sorot
bersama. Kita buat penilaian dan kemudiannya kita baiki mana-mana yang
selayaknya.
1
Siapa yang membaca al-Quran yakni bertadarus di masjid
dan surau? Al-Qurannya mungkin dikhatamkan tetapi adakah setiap pembacanya
mengkhatamkan al-Quran itu sepenuhnya sebanyak 30 juz sebelum majlis khatam
al-Quran diadakan? Mari sama-sama kita renungkan bahawa Sayyidina Uthman
mengkhatamkan al-Quran setiap malam seorang diri. Imam Syafie lazimnya
mengkhatamkan al-Quran dua kali dalam sebulan. Dalam bulan Ramadhan ia khatam
dua kali sehari semalam. Penuh 30 juz seorang diri.
2
Bagaimana jika al-Quran tidak habis dibaca tetapi
diadakan juga majlis khatam al-Quran kerana sudah biasa? Adat yang dipatuhi. Jamaah
tidak bertanya khatamnya tetapi bertanya majlisnya.
3
Bagaimana jika beberapa orang mengkhatamkan al-Quran
secara peribadi lalu jamaah masjid dan surau menumpang mengadakan majlis khatam
al-Quran itu?
4
Bagaimana jika majlis khatam itu diadakan selama
beberapa jam. Setiap kumpulan 10 orang pembaca. Seorang pembaca membaca
sebanyak sehelai atau dua mukasurat.
Maka setiap kumpulan tamat satu juz. Ada 30 kumpulan maka khatam 30 juz.
Benarkah begitu? Pada hakikatnya bagi setiap ahli kumpulan mereka membaca dan
mendengar sebanyak satu juz sahaja. Itulah yang dikhatamkan. Mereka tidak
khatam 29 juz lagi yang dibaca oleh ahli kumpulan lain. Andainya kesemua
peserta telah mengkhatamkan sendiri di rumah sebanyak 30 juz alhamdulillah.
Majlis khatam itu dikira sempurna. Sempurna untuk yang telah khatam 30 juz.
Yang tidak khatam maka tidak khatamlah dirinya.
5
Mari kita imbangkan antara bertadarus dengan bancaan
yang banyak salahnya dengan belajar membaca al-Quran untuk membetulkan bacaan.
Yang penting membaca dengan betul. Khatam adalah turutan dengan syarat
bacaannya betul dan sempurna. Dalam hal ini belajar dan mempelajari al-Quran
tentulah lebih afdhal. Tidak khatam tetapi membaca al-Quran. Tidak khatam
tetapi bacaannya betul. Khatam dan betul adalah suatu keistimewaannya yang tersendiri.
6
Kita tidak boleh lupa bahawa membaca al-Quran dengan
betul diberi ganjaran yang besar. Sebaliknya jika membaca al-Quran dengan
banyak kesalahan maka berdosalah pembacanya. Umpamanya salah makhraj maka salah
huruf. Salah huruf salah pula maknanya. Al-Quran bermaksud lain tetapi kita baca
dengan maksud lain. Bersalahanlah keduanya. Tidak selari. Berubah maknanya.
Banyak paradigma yang perlu diubahsuai dalam kebiasaan
kita dengan Ramadhan dan al-Quran. Alhamdulillah malam ini tadi penulis menunaikan
tarawih terakhir untuk Ramadhan 1435H. Sejak dari malam pertama imam membaca
dari surah al-Fatihah dan al-Baqarah. Malam tadi diakhiri dengan surah an-Nas. Tamat
30 juz dalam sebulan Ramadhan. Semasa solat witir imam bukan sahaja membaca doa
qunut malah imam membaca doa khatam al-Quran. Tidak ada majlis-majlisan. Tidak ada
nasi beryani. Tidak ada daging kambing. Tidak ada daging lembu. Tidak ada ayam.
Hidangannya hanya santapan rohani. Khatam
al-Quran. Doa khatam dan doa yang sangat panjang. Doa pengakhir Ramadhan. Sekarang
kita semak diri kita. Di mana kedudukan kita dalam keadaan berikut:
1
Solat di masjid atau surau yang mengkhatamkan 30 juz
atau hanya membaca surah Amma yang pendek seperti selaunya setiap tahun?
2
Maaf, soalan ini sensitif. Kita bermakmumkan Imam yang
hafiz atau jenis yang tangkap muat?
3
Kita bertarawih yang bacaan imamnya lambat dan cermat
tetapi betul atau yang imamnya laju dan melakukan banyak kesalahan tajwid?
4
Kita bertadarus bersama jamaah yang lain atau terus
meningglkan jamaah yang lain kerana urusan peribadi kita?
5
Antara puasa dan Ramadhan untuk akhirat dengan
mengejar dunia, yang mana pilihan kita?
6
Adakah kita merasa kehilangan Ramadhan pada malam
esok?
7
Adakah kita merasa belum puas bersama Ramadhan?
8
Apakah kita merasa rindu menunggunya pada tahun hadapan
jika diizinkan Allah panjang lagi umur kita?
9
Apakah kita memberatkan Ramadhan atau hari raya?
10
Apakah kita menyediakan diri untuk puasa enam pada
bulan Syawal?
Ada sesuatu yang ingin penulis kongsikan. Sebuah masjid
di Kaherah mengadakan musabaqah al-Quran sempena bulan Ramadhan. Masjid Ibad
al-Rahman yang terletak di Hayyi Sabi’ mengadakan musabaqah itu mengikut
beberapa kategori.
1
Untuk mereka yang hafaz 30 juz al-Quran. Tanpa mengira
jantina. Tanpa mengira usia. Tanpa mengira warganegara. Terbuka untuk semua umat
Islam.
2
Untuk mereka yang menghafaz 15 juz.
3
Untuk mereka yang menghafaz 10 juz.
4
Untuk mereka yang menghafaz 5 juz.
5
Untuk kanak-kanak pula yang menghafaz juz amma.
6
Untuk kategori menghafaz hadith.
Hadiah-hadian disumbangkan oleh NGO yang berupa badan
kebajikan. Mereka yang berkeupayaan dari segi kewangan. Hadiah paling istimewa
ialah menunaikan umrah. Berbaloi Ramadhan diraikan di Bumi Anbia ini. Ramadhan dan
al-Quran berpisah tiada. Sinar al-Quran disemarakkan setiap hari dan malam. Setiap
masa. Kita tercari-cari suasana sebegitu di negara kita Malaysia. Alunan al-Quran
yang bergema dan bersahut-sahutan. Mengagungkan kebesaran Allah. Supaya hati
kita menghebat cintakan Allah. Supaya hati kita sejuk dan redup mengasihi
Allah. Supaya kita sentiasa mengharapkan Allah. Supaya rindu kita tidak sudah-sudah terhadap
Allah. Semuanya disulam dengan kerinduan kepada junjungan besar Rasullah. Selawat
dan salam kepadanya. Kepada keluarganya. Kepada sahabat-sahabatnya. Kepada para
tabien. Kepada para tabi’ tabien.
Alangkah indahnya Ramadhan tanpa komersil. Tanpa hiburan.
Tanpa mengejar dunia dan keseronokannya semata-mata. Ramadhan yang di dalamnya
adalah puasa. Rukun Islam. Manifestasi iman kita terhadap Allah. Allahuakbar. Tamatlah
sudah kebersamaan kita dengan Ramadhan. Esok dia pergi, menghilang untuk
ditunggu setahun lagi. Masa 365 hari yang panjang. Beruntunglah bagi yang akan
menemuinya lagi. Berpisahlah bagi mereka yang usianya setakat tahun ini sahaja.
Ada sendu dalam jiwa. Ada tangis dalam rasa. Ada rindu dalam masa. Mudah-mudahan
Ramadhan membahagiakan kita di dunia dan di akhirat. Selamat menyambut hari
raya.
ﻋﺎﻢ ﻮﺄﻧﺘﻢ ﺑﺨﻴﺮ ﻛﻞ