Pasangan ini telah bersama sejak 72 tahun yang lalu. Di samping seorang suami seperti Haji Abas, Hajjah Aminah menjadi tulang belakang kelangsungan hidupnya. Bersamanya lahirlah lapan orang anak Haji Abas yang masih bersama hingga sekarang. Seorang wanita yang tabah menghadapi banyak dugaan keluarga.
.
Anak sulung Haji Abas, Ismail, bersama isteri keduanya. Ibunya meninggal dunia ketika Ismail masih kecil. Ismail juga telah meninggalkan Haji Abas untuk bersama Rabbnya. Gambar ini dirakam ketika majlis sambutan hari keluarga Haji Abas pada tahun 2002. Allahyarham Ismail sedang memberikan ucapan. Rupanya ini kali terakhir seluruh keluarga bersamanya. Semoga Allah mencucuri rahmatNya ke atas rohnya.
Anak sulung Haji Abas, Ismail, bersama isteri keduanya. Ibunya meninggal dunia ketika Ismail masih kecil. Ismail juga telah meninggalkan Haji Abas untuk bersama Rabbnya. Gambar ini dirakam ketika majlis sambutan hari keluarga Haji Abas pada tahun 2002. Allahyarham Ismail sedang memberikan ucapan. Rupanya ini kali terakhir seluruh keluarga bersamanya. Semoga Allah mencucuri rahmatNya ke atas rohnya.
Suatu ketika seorang anak lelakinya mendapat peluang
untuk belajar di sekolah vokasional (sekarang Kolej Vokaisonal). Seperti biasa
surat tawaran disertakan dengan senarai barang-barang keperluan yang perlu dibeli
dan dibawa. Yurannya pula dalam angka yang menakutkan seorang ayah seperti Haji
Abas. Sistem pendidikan kita menjadi terlalu mahal kepada mereka yang kurang
berada. Angka RM300 di luar kemunasabahan sebuah keluarga dari kampung
yang pendapatannya terlalu kecil. Walaupun ketika itu ada anaknya yang sudah bekerja tetapi angka sebanyak itu masih di luar kemampuan. Hasrat hati ingin juga mencari sumber untuk membuat pinjaman dari mereka yang boleh memberi. Tetapi hati terasa berat kerana jumlahnya agak terlalu besar. Mungkin orang tidak pula terdaya meminjamkan sebanyak itu. Keinginan untuk Haji Abas memberikan pendidikan yang terbaik untuk anaknya terbantut kerana sistem pendidikan yang tidak mesra rakyat berpendapatan rendah. Hingga sekarang tidak banyak berubahnya. Kerana itu anak Haji
Abas terlepas peluang keemasan untuk mendapat yang terbaik dari sistem pendidkan yang ada. Alternatif pendidikan yang tidak tergapai. Sedih Haji Abas kerana kedaifannya. Apatah lagi si anak yang harapannya punah. Takdirnya mungkin
begitu. Sudah ditentukan Allah. Lagipun masa sudah berlalu. Tiada siapa yang
boleh dirujuk untuk membantu.
Haji Maslan dan isterinya Hajjah Saafiah bersama anak-anak mereka. Gambar ini pada tahun 2002.
Dalam usaha untuk memandaikan anak-anak, Haji Abas
berhadapan dengan berbagai pilihan. Ada yang positif dan mungkin ada yang
tidak. Anak sulung dan anak kedua Haji Abas bersama Hajjah Aminah terpaksa diberhentikan
sekolah. Desakan ekonomi memerlukan seorang kakak untuk berada di rumah menjaga
dan mengurus adik-adik yang masih kecil di samping membantu kerja menoreh. Remuk redam hati anak-anak itu kerana
terpaksa meninggalkan sekolah. Meninggalkan harapan untuk mendapat yang terbaik
dari sekolahnya. Pada masa itu jika lulus darjah enam sudah boleh memohon untuk menajdi guru pelatih untuk sekolah kebangsaan. Yang lulus darjah khas (sekolah agama) boleh menjadi guru sekolah agama Negeri Johor. Ramai rakan anaknya yang menjadi guru.
Rezeki yang bukan milik. Ketentuan Allah yang banyak hikmahnya. Bukan kesilapan
teknik. Bukan kesenghajaan. Pada zaman itu, itulah sahaja langkah terbaik untuk
membantu keluarga. Tidak semua impian menjadi kenyataan.
Anak kedua Haji Abas juga diberhentikan sekolah untuk berada di rumah. Dua orang anak gadis di rumah.
Melunaskan kerja-kerja rumah. Menjaga adik, memasak, berkemas, membasuh dan
melayan karenah adik-adik yang ramai. Ringan sedikit beban Hajjah Aminah. Bila balik ke
rumah selepas menoreh sarapan sudah
tersedia. Anak-anak sudah dimandi, dipakaikan pakaian dan sudah diberi sarapan.
Yang bersekolah sudah beres ke sekolah. Tengaharinya pula makanan sudah
terhidang. Rumah sudah kemas teratur. Pada petangnya halaman rumah ada yang
menyapu. (Pada masa-masa yang terluang anak gadis Haji Abas turut membantu menoreh getah. Mempercepatkan proses menoreh.) Haji Abas dan Hajjah Aminah pembersih orangnya. Untuk melakukan
kesemuanya selepas menoreh getah tentu tambah meletihkan. Kedua anak gadisya
sudah boleh diharap. Cuma malangnya kerana kemiskinan keluarga, terhalang
pendidikan mereka untuk pergi lebih jauh.
Selepas bersara Haji Maslan dan isteri sempat mengembara ke Indonesia. Kebetulan keramahannya mewarisi ciri-ciri Haji Abas. Ramai rakannya datang dari seberang. Pasangan ini mahir membuat bakso.
Cerita lara anak kampung cukup banyak. Anak-anak di luar
bandar tersangat jauh dari kemewahan. 10 atau 20 sen sukar tersangkut di dalam
poket. Mungkin sekali sekala. Ada anak kampung yang menjual bacang. Ada yang
menjual duku. Ada yang menjual kuih. Ada yang menjual ciku. Bagi anak Haji Abas
ada yang menjual getah keping. Mungkin sekeping atau dua. Dijual kepada sebuah kedai Cina yang dikenali sebagai Yama. Maaf namanya yang sebenar tidak diketahui dengan pasti. Letaknya di Parit Laman, Dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Parit Sulung. Bukan sahaja untuk belanja
sekolah bahkan juga ada pesanan dari Haji Abas supaya sebahagian wangnya
dibelikan sesuatu keperluan keluarga seperti gula atau tepung. Getah itu pula
kadang-kadang belum cukup kering. Mungkin dengan linangan airmata sekeping atau
dua getah itu disalai pada petang atau malamnya supaya berkeadaan lebih kering. Bara api perlu dikawal dengan menimbus abu ke atasnya supaya api tidak marak dan getah tidak terbakar. Asap dan bahangnya yang mengeringkan getah. Asap, letih
dan lara diri pasti mengalirkan airmata. Meneruskan hidup dalam payah dan
memayahkan.
Cerita-cerita seperti ini bukan mimpi. Bukan fiksyen. Bukan
dongeng. Bukan sesuatu gurauan zaman. Ianya realiti hidup waktu itu. Isu sosial
yang memanjang rentetennya. Merdeka bukan bermakna segala-galanya dihidang
dalam dulang emas. Tidak juga di atas dulang perak. Mereka yang di kampung jauh
dari arus untuk maju dan membangun. Mereka cukup mengerti dengan kesusahan dan
kepayahan. Negara bergerak maju tetapi tidak selari dengan mereka yang
tertinggal di kampung. Ramai sebenarnya anak kampung yang terlepas pendidikan
kerana desakan hidup yang sentiasa banyak menghimpit. Ada abang atau kakak yang
berjaya tetapi adik-adik tidak ke mana. Ada abang atau kakak yang dibebankan
dengan tanggunggan adik-adik. Demi kelangsungan sebuah keluarga bukan sahaja
ibu dan bapa yang perlu berkorban. Malah anak-anak yang besar diperlukan untuk
berkorban sama. Demi membela adik-adik. Sebab itu dalam tradisi orang Melayu
adik-adik perlu sedar akan pengorbanan kakak dan abang mereka.
Walau apapun, kerana kesempatan itu datang juga, Haji
Abas memberi peluang kepada anak-anaknya yang lain untuk menamatkan pendidikan
menengah. Dengan pendidikan yang diterima itu ada antara mereka boleh berkerjaya. Keluar dari
kepompong kemiskinan yang melanda keluarga sekian lama. Keluar dari rasa hina
kerana miskin. Keluar dari malu kerana serba kekurangan. Pendapatan yang bukan
berasaskan ekonomi kampung lebih menyakinkan anak-anak Haji Abas untuk segera
keluar dari garis kemiskinan yang selalunya mengakibatkan anak-anak merasa rendah
diri. Keluar dari kampung juga suatu pengalaman baru kepada anak-anak Haji
Abas. Parit Mohamad sudah lama ditinggalkan. Hanya nostalgia yag masih tinggal.
Pepohon buah-buahan yang masak ranum hanya kenangan.
Berlari, berkejar dan bermain hanya tinggal di laman kenangan. Parit dan air
pasang sudah terlalu lama tidak membasahi badan. Hujan dan menadah air bukan
lagi satu keperluan. Pelita minyak tanah yang banyak karenahnya sudah berbalam
dalam kenangan. Pokok getah sudah hilang. Mesin getah sudah terhenti dari
berpusing. Peredaran zaman merubah lanskap keluarga. Haji Abas lebih tenang
kerana kepayahan masa lalu sudah lama berlalu. Sudah tiada lagi mengganggu
fikir. Tidak lagi menuntut usaha. Inilah masanya Haji Abas untuk tidur lena
tanpa ganggu gugat kerana kemiskinan lama.
Menikmati sesuatu yang tidak pernah ada pada zaman mudanya. Pasca merdeka yang selalu mengkagumkannya.