Berapa ramai antara kita yang merancang untuk
hari-hari tuanya. Apa yang dijangka apabila usia melampaui 70 tahun umpamanya.
Kita selalu terlena dan barangkali terfana kerana selalu beranggapan bahawa
kita akan selamanya hidup dalam keindahan. Apabila kita tersedar dari lamunan,
zaman kanak-kanak kita telah lama berlalu. Zaman remaja kita telah lama pergi. Zaman
mula berumahtanga dan memulakan keluarga juga tinggal samar-samar dalam
kenangan. Yang tinggal hanya tubuh yang lemah seluruhnya. Sendi-sendi yang
seperti hampir bercerai. Kulit penuh dengan kedut, menggerutu dan mengeras.
Daging hilang kegebuannya. Tulang dan kulit itu yang menunjukkan kita terus
lanjut usia. Apa lagi yang tinggal. Ingatan dan kenangan. Harapan sudah semakin
pudar. Apabila tua menjelma yang datang juga berkait dengan siapa kita semasa
muda.
Benarkah orang tua banyak ragam? Itulah yang selalu
dilegarkan di minda kita. Sukar menjaga orang tua. Apabila kita teliti kesemua
ini adalah persepsi. Hanya orang tua yang memahami orang tua. Orang muda sukar
memahaminya kerana mereka belum mencapai usia itu. Terdapat tiga perkara yang
melingkari hidup tua.
1
Fizikalnya yang semakin lemah.
2
Ibadahnya yang perlu dijaga.
3
Sensitivitinya yang selalu menjauh.
Apapun yang kita bincang dan fikirkan hakikatnya
begitu. Semakin tua maka semakin lemah segalanya. Kekuatan fizikal yang dahulu agam
dan sasa, terhakis sedikit demi sedikit. Tiba-tiba segalanya sudah di luar
kudrat yang biasa. Jalannya semakin perlahan. Tangannya tidak sekuat dahulu.
Staminanya luput. Semangatnya pudar. Tanpa sakit berat sekalipun, kekuatan
fizikal terhakis kerana faktor usia. Malah kadang-kadang untuk bercerita
sekalipun sudah banyak malasnya. Tidak ada topik yang menarik minat lagi. Namun
begitu kita mengetahui bahawa bermals-malas juga mengundang musibah. Fizikal
kita tidak boleh dimanjakan. Perlukan rutin untuk mengekalkan sebahagian
penting dari tenaga yang ada. Untuk mengekalkan tahap kesihatan yang perlu.
Untuk hidup yang namanya hidup. Maka makanan menjadi penentu. Jadual makannya
dijaga. Pemakanannya disesuaikan dengan keadaan fizikal dan penyakit yang ada.
Tidur dan jaganya juga penting diambilkira.
Kekemasan dan kerapian menjaga orang tua tidak ada
komprominya. Mandi dan bersihnya diberi perhatian istimewa. Ia refleksi kepada
yang menjaganya. Khususnya anak-anak yang terlibat. Pakaianya apatah lagi.
Selalu diganti. Dibasuh mengikut keperluannya. Tempat tidurnya dirapi dan
disusun. Diwangi dan diharumkan. Ianya tidak boleh diambil mudah. Mereka di
sekeliling orang tua perlu mengawasi keadaan. Kekotoran atau ketidakrapian
boleh memurungkan keadaan. Maksudnya suasana hendaklah menceriakan. Hiasan
sedikit sebanyak boleh mengubah keadaan. Orang tua bukan bermakna harus dilayan
seperti tidak berguna. Mereka perlu berada dalam keadaan istimewa. Kesukaannya
diberi keutamaan. Ketidaksukaannnya dihindarkan. Ragamnya diredam di hati.
Marahnya didengar. Sayunya dihibur. Ceritanya diambil iktibar.
Semakin tua semakin lemah ingatan. Jadual rutin selalu
menjadi kacau. Solat lima waktu kadang-kadang tersalah kira. Malam dan siang
kadang-kadang seolah-olah sama. Menjadi tanggungjawab yang merawat dan menjaga
untuk mempastikan ibadah orang tua terjaga. Sebab itu perlu dipastikan bahawa
mereka berada dalam keadaan bersih dan suci. Terhindar dari hadath besar dan
kecil. Apabila sampai waktu solat pastikan mereka berwuduk dan siap untuk
solat. Yang boleh membaca al-Quran atau kitab atau buku, sediakan
bahan-bahannya untuk mereka baca dan rujuk. Tua mereka biarlah dengan ibadah. Dengan al-Quran.
Dengan kitab. Mudah-mudahan sakit mereka tidak melupakan ketiga-tiga aktiviti
tersebut. Kegagalan mereka beribadat tertanggung ke atas mereka yang menjaga
dan merawatnya.
Orang dahulu dan sekarang banyak bezanya. Orang dahulu
anak-anak mereka di sekeliling rumah. Ada yang di sisi dan ada yang di bahagian
belakang. Apabila ibu dan bapa tua dan uzur anak-anak tinggal berhampiran.
Setiap masa boleh dijenguk dan membantu mereka. Sekarang ini ekonomi menjadikan
anak-anak berjauhan dari ibu dan bapa. Mungkin ada anak-anak yang tinggal
berhampiran tetapi tidak di premis yang sama. Tidak di kawasan perumahan yang
sama. Tidak dalam kampung yang sama. Ada jarak dan masa untuk sampai di rumah
orang tua. Bagi semua orang tua, mereka yang paling dekat di hati ialah
anak-anak. Bukan cucu dan bukan orang lain. Apabila usia tua menjelma anak-anak
yang kerap bertentang mata yang selalu diingat. Andai ada anak yang datangnya
perlu dijemput maka lama-lama kelamaan orang tua letih menunggu. Datanglah
rajuk panjang yang mengerikan. Gurisan hati pada orang tua sebenarnya menjadi
azab yang mungkin di dunia dan mungkin di akhirat. Sepasang ibu dan bapa
berkeupayaan membesarkan seberapa ramai anak-anak. Walaupun mungkin tidak
sempurna namun anak-anak mendapat pembelaan ibu dan bapa. Malangnya kitaran itu
tidak selalunya kembali kepada mereka. Ramai anak-anak melupakan tanggungjawab.
Berkira dengan jadual dan giliran. Banyak berkira siapa hantar dan siapa yang
ambil. Sewajarnya masing-masing berebut-rebut untuk memberikan khidmat yang
terbaik di akhir usia mereka. Khidmat yang terbanyak. Yang teristimewa. Yang
menggembirakan. Ingatlah bahawa orang tua kita perlukan yang terbaik mengikut
kemampuan kita masing-masing. Berilah yang terbaik selagi peluang masih ada.
Jangan sia-siakan peluang yang ada. Sesalnya seumur hidup. Impaknya sampai
akhirat.