Sejak kita mencapai kemerdekaan kehidupan orang Melayu
semakin terhimpit. Tanah orang Melayu semakin banyak yang terlepas dari tangan
mereka ke tangan orang lain. Sewaktu orang lain membina empayar besar dalam
perniagaan, orang Melayu menjadi kuli dan papa kedana. Malah kerja-kerja yang
dahulunya mereka lakukan diambilalih oleh pendatang asing yang hinggap di
Malaysia berduyun-duyun ramainya. Di mana silapnya? Orang Melayu suatu ketika
dahulu adalah:
1
Pahlawan-pahlawan terbilang yang setia kepada negara
dan rajanya.
2
Mereka adalah orangkaya. Bukan gelaran tetapi realiti
ketika itu. Usaha dan peluang yang diberi pemerintah menjadikan mereka kaya.
3
Mereka menyeberang lautan dan mendaki bukit-bukau
untuk membina kekayaan.
4
Mereka tidak lupa tentang agama mereka walaupun sibuk
dengan dunia.
Tahun 1509 menjadi tarikh yang tragis kerana datangnya
Benggali Putih ke Tanah Melaka. Tahun 1511 Benggali Putih yang sama menawan
Melaka. Datang pula Belanda dan Inggeris. Perang Dunia ke-II menyaksikan Jepun
mengalahkan bangsa Eropah. Membuka mata rakyat tempatan khususnya pribumi
menghalau terus orang putih kembali ke Eropah. Terdengarlah laungan. Tanah ini
kita yang punya. Kita daulatkan diri kita di sini. Nenek dan moyang kita
bersemadi di tanah ini. Kita merdeka dan kita kongsi bersama susah dan
senangnya. Sama-sama kita menuju kejayaan.
Titik darah bangsa tidak habis di situ. Banyak pengorbanan
untuk membina bangsa. Setelah 59 tahun merdeka kita banyak mengelamun mengenang
nasib diri. Banyak tanah kita bukan lagi milik kita. Orang kita banyak yang
fikirkan perut. Untuk kenyang bukan untuk kaya. Barangkali orang kita tidak
jauh wawasannya. Hanya 59 tahun hampir kesemuanya tergadai. Menjadi milik orang
lain. Kita selalu memikirkan yang sementara. Asalkan perut kenyang. Atau bagi
setengah yang lain alas perutpun jadilah. Pada satu pihak kerajaan memotivasi
supaya orang kita membangun diri. Menerima pambangunan yang dibawa pemerintah.
Menyokong segala perancangan. Terdapat satu aspek yang terlepas pandang. Orang kita
yang tidak bijak tidak dibantu dari segi berfikir. Tidak diajak untuk memelihara
warisan nenek dan moyang mereka. Alangkah baiknya jika 59 tahun dahulu orang
kita diajak berfikir pada aras tinggi. Melihat dari kacamata wawasan yang jauh.
Membina warisan turun temurun untuk anak dan cucunya.
Apabila pembangunan dilaksanakan terlalu banyak tanah
orang kita yang terjual. Yang tergadai. Sifat lemah kita tentang wang ringgit
dan kekayaan dieksploitasi oleh mereka yang “celek” merancang masa hadapan
untuk diri mereka sendiri tanpa memikirkan nasib bangsanya. Di luar sana ramai
jerung-jerung ekonomi yang menawarkan bungkun kertas tunai. Sekali lagi orang
kita terperangkap. Mereka tidak arif tentang wang. Bagaimana memeliharanya. Bagaimana
menjana kekayaan dengan wang. Mereka menyangka wang adalah segala-galanya. Hanya
beberapa ketika yang singkat mereka kehilangan segala-galanya. Dari tuan tanah
yang mewah mereka menjadi orang kaya baru. Kemudiannya mereka menjadi mereka
yang kehilangan tanah dan kehabisan wang ringgit. Tragedi Melayu yang melayu.
Fikir dan lihat kembali. Mana tanah yang asalnya bukan
milik Melayu. Dari sultan hingga rakyat marhaen. Kesemuanya memiliki tanah. Satu
demi satu terlepas kepada orang lain. Pemimpin pula melihat ini sebagai peluang
memajukan negara at the expense of orang Melayu. Mungkin jika kita berfikir
secara waras sejenak kita dapat menilai semula apa yang perlu kita lakukan. Kenapa
mesti dijual tanah yang sangat tinggi harganya. Orang Melayu mungkin tidak
mampu membina bangunan bertingkat-tingat tingginya. Tidak memiliki wang berjuta
atau berbiliun. Tink-tank Melayu boleh membantu dengan membuat garispanduan
ekonomi kepada mereka yang memerlukannya. Kita perlu ada penilai berwibawa
untuk membantu bangsanya sendiri. Tanah orang Melayu tidak perlu dijual. Usahakan
supaya dihalang dari dijual. Mereka yang bertanggungjawab di Pejabat Tanah umpamanya
perlu peka dengan perkara ini. Tanah orang Melayu hanya boleh disewa. Ya, perlu
disewa. Bukan untuk dijual.
Tidak kira bangunan yang hendak dibangunkan di atas
tanah itu. Asalkan patuh syarie. Maksudnya untuk kegunaan yang halal. Bukan premis
judi umpamanya. Maknanya tanah orang Melayu di mana sekalipun lokasinya perlu
disewa dan bukan dijual. Pemiliknya boleh pindah ke tempat lain asalkan segala
perjanjian dan kontrak sewanya dipantau oleh tink-tank Melayu yang sayangkan
bangsanya. Aspek yang berikut perlu diambil perhatian:
1
Nilai sewa yang menasabah mengikut lokasi.
2
Kenaikan nilainya dari masa ke semasa.
3
Kadar semasa yang adil kepada pemilik dna penyewa.
4
Semakan kenaikan sewa setiap lima tahun umpamanya
dengan kadar kenaikan semasa.
5
Ada peruntukan undang-undang yang membenarkan kontrak
dan sewaan itu boleh ditamatkan.
Tanah yang
disewa mendatangkan pulangan tetap yang meningkat dari masa ke semasa. Pemilik
tanah tidak kehilangan hakmilik ke atas tanahnya. Tidak ada tanah yang terlepas
kepada orang lain. Kita masih belum terlambat sebelum segala-galanya menjadi
bubur. Sebelum orang Melayu benar-benar mengemis di negaranya sendiri. Fikirkanlah
dengan seadil-adilnya. Sewaras fikiran yang ada.