Tuesday, January 28, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Di Mana Nilai Cintamu



Tanya diri anda sendiri. Sekarang. Jangan tangguh-tangguh. Bila kali terakhir anda jatuh cinta?

1                 Kali pertama bersua. Cinta pandang pertama. Aduh indahnya.
2                 Sebelum bertunang. Memadu kasih dalam gelombang lalu. Dengan komputer dan sms. Yang jauh jadi dekat. Wajah ditatap tiap waktu. Bangun tidur itulah wajah. Hendak tidur lelap mata bersama wajah kesayangan.
3                 Semasa bertunang. Masa yang terlalu lama ditunggu. Membasahi bantal setiap malam yang sepi dan sunyi. Menunggu saat yang terasa sangat lama.
4                 Sesudah diijab kabul. Penantian yang tiada lagi senggangnya. Bersama memadu kasih. Bulan madu yang tiada tolok bandingnya.
5                 Bila berjauhan. Ditinggal dan meninggalkan. Rindu menyayat hati.
6                 Tamat di situ.

Itulah cinta muda. Kurang fikirnya. Hanya rindu semasa yang disulam dengan senda gurau dan air mata. Masa terlalu  deras menjauh dan meninggalkan semua yang indah. Tiba masanya hidup bertiga, berempat hingga berjela panjangnya. Kulit yang gebu menjadi sedikit kusam dan layu. Tidak sempat menyapu losyen kerana sibuk dengan anak dan pasangan. Pinggang yang ramping penuh berisi. Kesempatan untuk riadah semakin terbatas. Rambut yang bagai mayang mengurai menggerbang tanpa angin bertiup. Pakaian hilang seri dan cantiknya. Rumah pula penuh dengan tanggungjawab siang dan malam. Di luar banyak juga tanggungjawab yang peru dibereskan. Profesion tempat bergantung mengisi perut. Masyarakat tempat berkongsi sekitar tempat. Agama dijulang kerana ianya milik Allah. Apakah cinta berhenti di situ.  Apabila rindu tidak menggamit lagi di hati. Apabila ayu dan cantik tidak seanggun dahulu. Apabila perut tidak berotot seperti dahulu. Apabila rambut menipis gugur bersama tambahnya usia. Apabila tulang yang lembut sudah tidak lagi termamah gigi. Apabila yang dekat sudah tidak lagi nampaknya. Apabila telinga banyak kali dipanggil dengarnya tiada. Apakah masih ada lagi cinta yang dahulu.

Ingat lagi ikrar semasa mula bersapa. Intan payung yang melindung diri. Kasih yang diulit dengan mimpi indah saban malam. Bahawa cinta itu putiknya akan dijaga ribuan tahun. Dimamah besi dan batu untuk menjaga amanah kasih. Setia yang berpanjangan hingga ke akhir zaman. Cinta itukah yang hanya bersandarkan gebu ayu. Gagah berani bak sang putera raja dengan pedang saktinya. Datangnya dengan kuda putih yang tangkas larinya. Apakah cinta pudar dan layu ditelan usia. Hanya nikmat muda yang entah bila-bila. Atau cinta itu hanya rindu-rinduan kerana belum bersama. Apabila di hadapan mata rindu itu hilang bersama usia yang memanjat tua. Kita lupa indahnya. Kita lupa nikmatnya. Kita lupa janji yang dipadu tanpa audit dan kira. Mulut bermain kata-kata indah itu. Sayup di telinga yang sentiasa meminta dengarnya.

Anak-anak menggantikan cinta. Harta benda mengurangkan cinta. Tua seperti memusnahkan cinta. Oop! Cuba pandang ke hadapan. Mungkin 1,000 tahun lagi. Adakah lagi harapan untuk hidup bersama. Untuk mati juga bersama. Nantinya untuk di syurga bersama-sama. Bukankah itu panduan cinta yang dinukil dan diungkap banyak kali. Dahulu yang mungkin dilupa kerana selang masa yang lama. Cuba surutkan masa ke belakang. Menjauh dalam minda. Lihat semula pasangan masing-masing. Lihat semula fizikalnya dari atas hingga ke bawah. Baca senarai semak ini:

1                 Dialah yang paling baik sepanjang hidup bersama. Hanya dia, hanya dia yang memberikan kebaikan itu. Kasih sayangnya. Rindunya. Belainya. Usapnya.
2                 Pandang lama-lama. Dialah yang paling anggun dan antun antara ramai di sekelilingnya. Terbaik antara yang sebayanya.
3                 Cuba teliti. Kasih sayangnya belum pernah terputus sejak lama.
4                 Anda masih terlalu rindu padanya. Jauhnya dirindui. Dekatnya merinduinya.
5                 Anda masih menanti kelibatnya. Di depan mata atau dengan ekor mata.
6                 Baunya sinonim kasih.
7                 Suaranya sinonim rindu.
8                 Geraknya mengangkat motivasi yang layu.
9                 Olahnya memudakan semangat yang perlu dijulang.
10            Hadirnya tetap memberi terpaan sayang.

Penulis teringat kata-kata Sayyidina Umar al-Khattab, isterinya adalah ibu kepada anak-anaknya. Begitulah agaknya seorang isteri akan berkata, suaminya adalah bapa kepada anak-anaknya. Tanpa gusar dan bimabang. Tanpa gundah dan bingung. Tanpa ada rasa sesal atau rungut merendah harap. Kasih itu tetap ada. Sayang itu tetap bersada. Kita yang wajar menjaganya. Yang pelru menggilapnya. Yang perlu meletakkannya di tempatnya yang tinggi. Dijulang tanpa tempat dan masa. Bahawa sayang dan kasih itu tetap bertahta di hati. Lara atau duka ia di situ. Senang atau indah ia di situ. Semestinya tiada siapa yang boleh merampasnya. Apatah lagi mencurinya.

Usia hanya kiraan angka. Tanaylah mereka yang sudah berumur banyak. Mereka tidak merasa tua. Tidak merasa menjadi kurang upaya. Maknanya hati dan perasaan sentiasa muda. Bermakna jika kasih dan sayang itu diingini, ianya kukuh pada hati dan semangat. Bukan hilang bersama usia. Ulamak tersohor Indonesia, allahyarham Agus Salim, sentiasa berpegangan tangan apabila berjalan bersama isterinya.

1                 Jika bukan suami yang memimpin isteri, siapa lagi.
2                 Jika bukan suami yang memberi kasih sayang, siapa lagi.
3                 Jika bukan suami yang memberikan yang terbaik, siapa lagi.
4                 Begitulah sebaliknya bagi seorang isteri terhadap suaminya.

Sebenarnya usia yang bertambah memberi ruang kepada pasangan untuk lebih intim. Lebih mengetahui kasih sayang yang dibina bertahan sekian banyak tahun. Melalui ujian dan cabaran yang bukan sedikit. Lagipun apabila usia memanjat tua:

1                 Masing-masing kehilangan diri. Tetapi tidak kehilangan kasih sayang.
2                 Usia hanya peredaran masa. Menambah bilangannya tetapi tidak meninggalkan yang punya diri.
3                 Semakin banyak ruang untuk bersama. Anak-anak sudah mendapat kedamaian dan kebahagiaan masing-masing.
4                 Kebersamaan yang selalu mengundang rindu. Ditatap bukan jemu. Ditinggal bukan lupa.

Namun semuanya perlu ada agenda. Perlu ada usaha yang istiqamah. Perlu ada perancangan yang rapi.

1                 Fizikal hendaklah dipelihara. Usia lazimnya membawa bersama kesegaran pada diri. Pada kulit. Pada bentuk tubuh badan. Pada keceriaan. Pada akhlak keseluruhannya.
2                 Penampilan perlu dijaga. Pasangan kita melihat kita dengan rasa sayang terbaik. Kitalah yang paling disayangi. Paling dikasihi. Maka penampilan kita diperlukan lebih baik dari orang lain yang sebaya. Tua bukan bermakna menjadi selekeh. Menjadi kumal. Menjadi lusuh.
3                 Kesihatan adalah resepi ampuh untuk menambah dan menambat kasih sayang. Kehilangan kesihatan bermakna meragut tenaga berkasih sayang. Hilang kesegaran bersama. Masing-masing keletihan kerana merawat fizikal dan spiritual masing-masing.


Tiga resepi ini menajdi inti kepada kekalnya kasih sayang. Tua yang menambah sayang. Usia yang mengangkat kasih. Mata tertutup pada yang lain. Ditutup untuk melihat yang ada di depan mata. Cinta tidak ada titik masa. Ia kesinambungan suatu titik yang panjang bak infiniti. Jauh dan sayup di hadapan harapan. Memanjangkan hasrat untuk selalu bersama. Mendambakan bahagia yang diusaha dan bukan datangnya sendiri. Kerana itu agenda hidup termasuk juga mengagendakan kasih sayang yang kekal lama hingga ke hujung usia. Jatuh cinta hanya sekali. Kasih sayangnya diabadikan sepanjang masa. Akhirnya kita berupaya mengungkapkan kata-kata keramat cinta, “I love you!”

Bingkisan Dari Kaherah: Jumaat Yang Hidup Segar



Hari Jumaat adalah hari raya mingguan umat Islam di seluruh dunia. Hari Jumaat adalah penghulu segala hari. Maka dianjurkan supaya jemaah yang datang berpakaian cantik. Bersih. Berwangi-wangian. Penganut Mazhab Syafiee disunatkan mandi dahulu sebelum hadir ke masjid. Bagi mazab-mazhab Hanafi, Maliki dan Hambali penganutnya diwajibkan mandi terlebih dahulu. Untuk mengetahui perbezaan ini banyaklah bertanya kepada ulamak yang pakar dalam ilmu fiqh atau usul fiqh. Cuma setelah banyak merantau ini penulis memahami situasinya yang berbeza. Sesungguhnya banyak berjalan banyak pemandangan. Hal yang sama tetapi dilihat dari berbagai aspek yang berbeza. Relevan dengan tempat, iklim, suhu dan persekitaran setempat. Kenapa minyak wangi itu sunat juga ada kaitannya dengan permasalahan persekitaran ini.

Semasa di USA dahulu penulis dapati khatib yang membaca khutbah tidak menggunakan teks. Kebetulan mereka orang Arab. Mereka kadang-kadang pemastautin atau peniaga atau pelajar. Tetapi warganegara lain yang berpeluang berkhutbah juga tanpa teks. Mungkin ada sedikit nota sebagai panduan. Di Jordan penulis dapati keadaannya juga begitu. Di Mesir lebih lagi kekagumannya. Walaupun masjid itu kecil imamnya tetap berkhutbah tanpa teks. Malah apabila imam utama tidak hadir sesiapa sahaja yang membaca khutbah menyampaikannya tanpa teks. Di negara kita khutbah tanpa teks  memang tidak mungkin. Penulis teringat semasa bertugas di Politeknik Ungku Omar, Ipoh dahulu. Penulis menunaikan solat Jumaat di Masjid Rapat Setia. Imamnya (Allahyarham Haji Damanhuri) jarang membaca khutbah menggunakan teks. Kesemua mereka di masjid-masjid di atas tidak pula menyimpang masuk ke laluan politik. Tidak pula terkeluar dari tajuk. Khutbah mereka segar. Memotivasikan. Mereka berinteraksi dengan jemaah.

Khutbah sangat penting dalam agenda mingguan. Topiknya semasa. Relevan. Membicarakan sesuatu untuk mengajar. Pada minggu yang lain merawat permasalahan agama. Minggu yang lain membetulkan kesilapan masa lalu. Minggu yang lain lagi menambahkan maklumat. Minggu ini bercerita tentang masalah umat Islam. Maknanya topik yang disampaikan dipelbagaikan untuk sampai ke sanubari jemaah dengan sesungguhnya. Ia tidak ditumpukan kepada pelajaran ibadat semata-mata. Khutbah disampaikan untuk menjadi renungan. Untuk membuka minda. Untuk menerawang masa hadapan. Untuk merenung laluan kita ke akhirat. Di dalam khutbah selalu diselit nas dari al-Quran dan al-hadith. Ungkapan dari ulamak dan hukamak besar dari dahulu hingga sekarang.

Penulis kadang-kadang terasa lesu setiap kali mendengar khutbah. Khatib terlalu menunduk. Hanya membaca kalimah demi kalimah. Ayat demi ayat. Hilang nyawa khutbah itu. Hilang kesegarannya. Hilang kelangsungannya kepada jemaah. Tidak ramai imam atau khatib yang suaranya segar. Semangatnya tinggi. Bicaranya ditujukan kepada jemaah. Memandang jemaah dari kanan ke kiri. Dari hadapan ke belakang saf-saf yang banyak di masjidnya. Eye contact sangat penting dalam penyampaian apa-apa yang hendak dikhabarkan kepada audien. Kepada jemaah. Waktunya pula tengahari. Panas. Kenyang selepas makan tengahari. Ada kelesuan. Ada kekenyangan. Fizikal jemaah sangat lemah. Mereka perlu disegarkan dengan suara yang lantang. Beralun dengan nada yang tinggi dan rendah. Disebut dengan jelas mana-mana bahagian yang perlu diberi penekanan. Dilembutkan suara untuk menangkap perhatian. Perlu berhenti sesaat dua supaya jemaah mengangkat kepala dari tertunduk terus menerus.

Mungkin kita perlukan pusat latihan imam dan khatib. IPT yang ada di sekeliling kita boleh memainkan peranan. Latihan vokal kepada imam. Kepada khatib. Kita bukan bercerita mengenai penyanyi yang perlu mantap vokalnya. Imam dan khatib juga perlu menguasai vokal mereka. Penyanyi hanya perlukan suaranya sesekali apabila menerima undangan untuk menyanyi. Imam pula profesionya menjadi imam lima kali sehari semalam. Membaca khutbah setiap Hari Jumaat. Pada dua hari raya. Latihan vokal memantapkan penyampaian suara. Bertenaga. Bergema. Masuk ke dalam minda dan mudah-mudahan tidak keluar-keluar lagi. Khutbah yang disampaikan dengan segar menggegarkan hati dan perasaan. Membawa jemaah merenung jauh ke hadapan. Menerobos ke masa-masa yang semakin banyak cabarannya. Semakin payah laluannya. Kekangan ilmu yang menyempitkan. Amal yang selalu terganggu. Ideologi dan pandangan yang selalu bercanggah. Agama yang lurus selalu diajak berbelok ke arah yang tidak ada penghujungnya. Agenda Allah adalah hakiki. Agenda Rasulallah juga hakiki. Agenda manusia biasa selalu menjadikan kita keliru membuat pemilihan jika ilmu di dada tidak mencukupi sebagai perisai. Yang melindungi iman. Yang mengukuhkan iman.

Kita perlu menggunakan teknologi dalam penyampaian khutbah. Teknologinya sudah ada. Ada setengah tempat teknologi dalam masjid sudah dilaksanakan berpuluh tahun. Cuba tinjau di masjid besar Ipoh umpamanya. Khutbahnya disiarkan menggunakan CCTV. Menggunakan skrin besar. Kita kena melangkah berani untuk berinteraksi dengan jemaah. Ada jemaah yang cukup dengan mendengar. Bukan pendengarannya bagus. Mereka sesuai dengan mendengar sahaja. Boleh memahami apa yang disampaikan. Bagi yang lain mendengar menjana kebosanan. Apatah lagi apabila imam khutbahnya monotone. Satu nada sahaja dari awal hingga akhir. Bagi mereka gambar yang bergerak dan berwarna menangkap imaginasi mereka. Mereka membaca sama khutbah yang disampaikan. Melihat gerak bibir imam di atas mimbar. Melihat baris-baris ayat yang dibaca.

Untuk merevolusikan penyampaian khutbah ini teknologinya perlu disediakan. Ada jurukamera. Ada juruteknik. Ada bilik rakaman. Khutbah telah disediakan awal. Di Jabatan Agama Islam negeri-negeri ada unit khutbah lengkap dengan kemahiran multimedia. Setiap minggu imam membaca khutbah melalui kopmputer riba atau notebook. Teks yang sama dipancarkan ke skrin besar di banyak sudut dalam masjid. Jika perlu tambah dengan gambar gerak dan gambar pegun. Apabila kita bercerita tentang Palestin jemaah tidak memahami kedudukan perkara. Mereka tidak mengetahui kesengsaraan orang Rohingya di Myanmar. Multimedia dalam khutbah akan memberi kefahaman yang betul. Membantu mereka untuk bertindak dengan betul. Yang penting beramal dengan betul. Mendengar suara imam dari minggu ke minggu kadang-kadang dilihat tidak memberi kesan. Mereka merasakan itu hanya rukun dan syarat sah solat Jumaat. Mendengar dua khutbah. Walhal mereka tidak memahaminya. Tidak menghayatinya. Tidak mengambil iktibar darinya. Tidak mempelajari apa-apa. Proses dakwah yang sepatutnya mengalir dari masjid ke rumah dan keluarga terhenti di masjid sahaja. Tidak keluar ke mana-mana.

Penulis ingin mencadangkan sesuatu yang mungkin baru:
1                 Rakaman khutbah dibuat dalam bentuk CD atau VCD. Jemaah membuat tempahan untuk mendapatkannya setiap minggu. Perlu ada pendaftaran. Perlu ada yuran yang menampung kos. Perlu ada perpustakaan untuk menyimpan koleksi khutbah di masjid.
2                 Difotostat untuk edaran kepada jemaah. Tetapi edaran ini hendaklah dihadkan supaya tidak berlaku pembaziran kertas dan pembaziran cetakan.


Kita perlu mendidik umat supaya menghargai ilmu. Menghargai maklumat. Menghargai sumber ilmu itu sendiri. CD, VCD dan edaran khutbah boleh dijadikan koleksi semua umat Islam yang menjadi jemaah sesuatu masjid. Perpustakaan dan khazanah umat. Darinya mereka boleh membuat rujukan. Ianya mungkin mengenai hukum. Mungkin fatwa. Mungkin larangan. Mungkin berbagai lagi. Yang penting ialah kita menggunakan teknologi untuk membangun minda umat. Mengubah sikap dan sifat. Membuat anjakan paradigma ke arah penghayatan agama yang membangun secara dinamik sifatnya.