Sunday, March 20, 2016

Repositioning Al-Quran



Di manakah silapnya? Di manakah kurangnya? Di manakah malangnya? Peratusan Muslim yang tidak mahir al-Quran sangat tinggi. Di mana-mana. Hatta di negara Arab sekalipun. Ianya merentas berbagai lapisan usia. Dari kanak-kanak hingga mereka yang lanjut usia. Kanak-kanak baru hendak mengenalnya.  Kanak-kanak dianggap kecil dan seperti belum memerlukan. Itupun selalu dilengah-lengahkan. Kanak-kanak yang sudah bersekolah sudah tidak fokus lagi dengan al-Quran. Mereka disibukkan dengan tuisyen. Kerja sekolah. Bermain dan kokurikulum. Remaja sudah didominsi dengan kegilaan lain. Bukan al-Quran. Mereka yang bekerja sibuk dengan dunia mereka. Luang dan ruang untuk memahirkan al-Quran diketepikan. Siang dan malam sibu dan sibuk. Yang sudah bersara dan lanjut usia sudah hilang keinginan untuk kembali kepada al-Quran. Malu mungkin bukan kepalang. Malah yang berstatus tinggi dalam masyarakat sangat-sangat secara sedar menjauhkan diri dari majlis-majlis al-Quran.

Banyak perkara yang berselaput di sekeliling perasaan kita. Mungkin inilah agenda Yahudi dan Nasara supaya kita semua leka dari kembali kepada al-Quran. Mereka agendakan supaya kita melupakan al-Quran tetapi tidak lupa kepada dunia yang mereka ciptakan. Khususnya hiburan. Hedonism. Al-Quran adalah institusi asas agama yang selalu terabai. Rasanya hampir semua penganut Islam diajar untuk membaca al-Quran. Pada suatu ketika penulis ditanya oleh seorang pengajar al-Quran berbangsa Arab. Siapa yang mengajar penulis membaca al-Quran. Penulis menjawab secara jujur. Lalu tanyanya lagi, apa kelulusan guru itu. Penulis jawab lagi bahawa guru itu seadanya dalam masyarakat kita Melayu di Malaysia. Terkedu penulis apabila dia membuat pertanyaan maut. Mengapa penulis belajar dari mereka serupa itu!

Dalam masyarakat Melayu Islam, guru al-Quran bukan suatu entiti yang diwibawakan. Hampir kesemua para huffaz adalah guru al-Quran tetapi tidak kesemua guru al-Quran adalah huffaz. Tidak juga kesemua guru al-Quran memiliki kelayakan akademik yang tinggi sama ada dalam bidang akademik sekular atau dalam bidang agama. Rasanya kemahiran asas untuk menjadi guru al-Quran perlukan penguasaan al-Quran itu sendiri. Keduanya asas agama. Ketiganya asas Bahasa Arab. Asas agama dan Bahasa Arab adalah regu penting kepada al-Quran. Al-Quran merangkumi kedua-duanya selain dari tauhid, muamalah, munakahat, jinayah dan sebagainya yang dibicarakan melalui ayat-ayat al-Quran yang berlainan.

Membaca al-Quran dengan mahir, menguasai hukum hakam tajwid, melaksanakan bacaan berlahjah Arab di samping penguasaan makhraj huruf dan sifat huruf bukan sesuatu yang boleh diserap dalam masa sehari dua. Tidak juga seminggu dua. Tidak juga sebulan dua. Malah tidak juga setahun dua. Ia perlukan masa yang lama. Mungkin bertahun-tahun bergantung kepada kecerdasan al-Quran yang dimiliki oleh seseorang individu. Seorang qari atau qariah yang bertanding di daerah, negeri, kebangsaan atau antarabangsa mungkin telah terlibat dengan al-Quran berpuluh tahun. Belajar dari bawah. Dari asas. Belajar taranum sahaja tidak boleh setahun dua. Bertahun-tahun dipelajari dengan sabar dan tekun. Menerima teguran dan pembetulan yang bukan sedikit. Tajwid perlu sempurna. Suara perlu diperbetulkan. Lantunannya. Tenaga suara itu sendiri. Lenggoknya. Tekanan atau pitchingnya yang betul. Dalam hal tersebut penguasaan vokal adalah sangat penting.

Makhraj, sifat dan lahjah adalah gabungan yang selalu diambilkira sebagai perlaksanaan fasohah. Kesempurnanya bererti menyempurnakan sebahagian daripada tuntutan al-Quran. Malangnya ramai orang beranggapan membaca al-Quran sekadar membaca. Membunyikan apa yang tertulis. Malanglah kerana anggapan sebegitu sangat bersalahan dengan tuntutan membaca al-Quran yang dituntut. Al-Quran bukan kitab biasa yang boleh dibaca tanpa prosedur yang khusus. Tanpa tertib yang khusus. Tanpa melaksanakan bacaannnaya secara khusus. Kerana itu transliteration tidak boleh dijadikan sandaran 100% dalam mempelajari atau membaca al-Quran kecuali oleh mereka yang sudah mahir dengan hal-hal yang berkaitan dengan al-Quran. Tidak ada huruf rumi yang boleh menggantikan huruf-huruf  ص, ض, ط, ظ dan banyak lagi huruf lain. Paling baik hanya menghampiri tetapi tidak menyamai. Seperti tetapi tidak menepati. Bahasa Arab dan huruf Arab juga yang perlu diutamakan.

Secara akademiknya para huffaz mengambil masa antara 18 minggu hingga tiga tahun (36 bulan) atau mungkin lebih lama lagi. Untuk mendapat ijazah dalam bidang al-Quran dan Qiraat perlukan masa selama empat tahun. Itupun perlukan amali dan latihan yang panjang, tanpa jemu, sabar dan ketukanan yang luar biasa. Kadang-kadang ada yang beranggapan mempelajari al-Quran cukup sekadar dua jam seminggu. Tidak sampai bertahun. Masa selama 28 jam dikira mencukupi untuk mahir membaca al-Quran. Mungkin benar bagi mereka yang memang sudah mahir membaca. Andainya yang mempelajari al-Quran belum mahir menyebut huruf-huruf hijaiyyah, tidak tahu di mana makhraj sesuatu huruf, tidak mengenali sifat-sifat huruf,  tidak dapat lagi membezakan antara ikhfa’, idzhar, iqlab, idgham, wajibul ghunnah, berbagai mad yang banyak, tafkhim dan tarqiq, tashil dan naql, imalah dan saktah, sukun dan tasydid, maka mereka yang terlibat dengan al-Quran tidak dapat membaca dengan standard yang diterima umum.

Bagi mereka yang belum menguasai pembacaan atau ilmu-ilmu al-Quran, masa 28 jam tentu sangat daif untuk mempersembahkan bacaan di khalayak ramai. Mereka belum mengenal ghunnah secara khusus. Perbezaan panjang mad belum dikuasai.  Jika membaca di khalayak umum ia menjadi maruah yang mengaibkan. Al-Quran dimaktubkan dengan standardnya yang tersendiri. Tidak boleh dibaca sebarangan. Hanya semasa berlataqqi dan bermusyafahah sahaja ianya dapat diperbetulkan berulang-kali sehingga mencapai standardnya. Kesilapan membaca dikira berdosa kerana mungkin bertukar huruf, bertukar makhraj yang mengakibatkan bertukar huruf. Kerananya bertukar makna dan maksud. Mengubah huruf adalah kesalahan. Menambah atau mengurangkannya adalah kesalahan. Mereka yang tidak terlibat dengan al-Quran selalu membuat andaian mudah.

Mereka yang terlibat dengan teater umpamanya boleh mempersembahkan suatu cerita. Suatu lakonan. Kesilapan dialog hanya mencacatkan cerita. Tidak ada dosa dan pahala kerana kesilapan dialog tersebut. Begitu juga mereka yang terlibat dengan seni tari. Tingkah yang sumbang bukan melibatkan dosa dan pahala. Cuma wanita di hadapan khalayak perlu menimbang dosa yang mungkin terhadir bersama persembahan mereka. Sangat berbahaya apabila seseorang membaca al-Quran dengan kesalahan-kesalahan yang sangat banyak. Tidak dapat diperbetulkan dengan spontan di khalayak umum. Pertamanya kerana mungkin terlalu banyak. Keduanya kesalahan itu kritikal atau jaliyy. Ketiga kesalahan itu melibatkan aib kepada yang membaca, guru yang mengajar dan audien yang mendengar.

Institusi al-Quran perlu kembali ke rumah. Kepada ibu dan bapa. Merekalah guru terbaik yang sewajarnya hadir di rumah.  Sekiranya mahasiswa atau mahasiswi belum berkeupayaan menguasai pembacaan dan hal-hal yang berkaitan dengan al-Quran maka itu adalah isyarat awal malangnya sebuah keluarga Islam yang ingin dibina. Mereka sudah berada di peringkat akhir. Hanya beberapa tahun mereka perlu beramal dengan al-Quran dalam kerjaya mereka. Mereka perlu beramal dengan al-Quran dalam rumahtangga yang bakal mereka bina. Masa sudah sangat suntuk. Sudah terburu-buru menerpa. Ianya tidak perlu dinanti tetapi akan datang menerpa. Tanpa persediaan yang rapi al-Quran akan semakin terpinggir. Tersisih jauh. Diletak di tempat tinggi tetapi tidak dijengah. Diletak di tempat istimewa tetapi tidak diziarahi lembaran dan isinya. Tidak ditadabbur dan ditadzakkur sewajarnya dan seperlunya.

Yang indah itu jika dinikmati dengan perasaan. Yang baik itu jika dimanfaatkan. Maka al-Quran perlukan banyak prasyaratnya:

1                   Guru yang berwibawa.
2                   Berguru dan mencari guru dan guru dan guru dan guru……………..
3                   Bertalaqqi secara beristiqamah.
4                   Banyak membaca bahan rujukan yang berbagai dan pelbagai.
5                   Banyak bertanya dan berbincang.
6                   Belajar dan terus belajar.


Barangkali kita perlu melihat semula kedudukan al-Quran. It needs repositioning in our mind. In our action. An integrated effort. Always in-frame and not out of frame.