Kebanyakan orang mengatakan bahawa negaranya sendiri
adalah yang terbaik di dunia ini. Tiada negara yang sebaik negara sendiri. Kebaikan
negara sendiri dicanang ke merata tempat. Kita galakkan pelancong datang
berziarah. Kita pula sibuk merancang dan menentukan mana yang boleh dilihat dan
mana yang tidak boleh dilihat. Mana yang perlu dikenakan bayaran dan yang mana
pula percuma. Bagi mereka yang selalu melancong mungkin dapat menggambarkan apa
sebenarnya yang ingin dilihat oleh pelancong. Ketika itu pemikiran kita akan
menelusuri sejarah negara. Orang ingin melihat sejarah kita. Asal usul kita. Pencapaian
kita dari dahulu hingga sekarang. Apa yang boleh dibaca dan dimengerti mengenai
sejarah bangsa kita. Apabila kita membicarakan sejarah maka ada kaitannya
dengan budaya. Dengan agama. Dengan asal usul kita. Kita adalah Monggoloid jika
ditinjau dari perspektif Barat. Dari segi sejarah Islam kita adalah keturunan
Yapith. Seorang daripada anak Nabi Nuh a.a. yang terselamat dari banjir besar
zamannya. Monggoloid dan keturunan Yapith adalah keturunan yang sama. Perspektifnya
dibezakan. Mengenepikan perspektif Islamnya.
Apabila jauh berjalan banyaklah pemandangan. Jika kita
melihat dengan rapi apa yang kita lihat, kita pasti meneropong jauh melintasi
banyak sempadan berfikir. Kita melihat banyak ruang untuk menambahbaik keadaan.
Ruang untuk meningkatkan kekuatan yang ada. Untuk menghapus kelemahan keadaan. Kita
tidak boleh melihat dalam kotak kita sahaja. Pun begitu kita tidak boleh
melihat dalam kotak orang lain sahaja. Kedua-dua kotak mungkin bukan yang
terbaik. Sekiranya kelebihan dan kekurangnya pada ruang dan kotak-kotak itu
diberi nafas baru tentulah kita membina kotak yang lebih besar. Lebih cantik. Lebih
selesa. Lebih membahagiakan. Secara lumrahnya orang mencari dan membina
kebahagiaan. Apa sahaja yang menambah kebahagiaan. Jika boleh kebahagiaan yang
berpanjangan. Yang melestarikan impian.
Banyak yang kita pelajari dari kekurangan. Negara kita
cantik. Negara orang mungkin lebih cantik. Kita tidak perlu memikirkan
pertukaran musim. Di negara orang pertukaran musim itulah yang mencetuskan dinamism.
Yang menjana aktiviti tanpa henti. Yang menunggu ramalan dan kejutan. Bahawa iklim
dan suhu menjadikan manusia tidak boleh selamanya berada dalam zon selesa. Tidak
ada yang namanya kekal tanpa berubah. Perubahan itu bersifat tabii. Kerana iklim
dan suhu di negara kita tidak dibimbangi berubah maka kita tersadai dalam
keselesaan palsu. Pada ketika-ketikanya ianya hanya ilusi semata-mata. Manusia di
negara lain berubah dan dinamik tetapi kita meneruskan sifat statik kita. Kadang-kadang
faktor pemikiran statik ini melemaskan. Kita tidak mengusahakan perubahan yang
lebih membahagiakan. Akibatnya yang kita rasa ialah himpitan rasa yang bertimpa-timpa
ke atas diri kita. Menghakis rasa bahagia yang dahulunya kita take for granted.
Negara kita kaya tetapi kekayaan itu tidak melimpah ke bawah. Banyaknya berkurangan
relatif dengan penduduk. Kualitinya menurun
berbanding dengan yang dicapai oleh orang lain. Nilai tambahnya terlalu sedikit
dan terlalu perlahan. Kita selalu berada di simpang yang menyulitkan. Kuasa,
politik dan individu. Kita tidak fikirkan kuasa yang melimpah turun ke bawah. Kita
mencari Khadijah yang menginfakkan hartanya untuk Islam. Kita mencari Abu Bakar
yang menyerahkan segala-galanya untuk Allah dan RasulNya. Kita mencari
manusia-manusia yang cukup dengan sedikit. Lebih yang dimiliki untuk orang
lain.
Kebetulan negara Islam berada di kawasan panas. Mengalami
perubahan musim tetapi masih dianggap negara panas. Ada padang pasir. Ada empat
musim. Islam telah mengembangkan tradisi ilmu. Banyak ciptaan yang diawali oleh
orang Islam. Detik masa seperti terhenti. Apabila politik lebih mendasari
negara naungan Islam maka agama dan tradisi ilmu hilang tapaknya. Orang Barat
memindahkan kesibukan ilmu ke negara mereka. Sistem hidup dibangunkan
berdasarkan musim. Pada musim sejuk dan sederhana mereka bekerja
bermati-matian. Pada musim panas mereka berehat. Mereka memperbesarkan
kelebihan mereka. Jurang itu semakin lebar. Akhirnya kita yang beragama Islam
dianggap mundur. Terperosok jauh di belakang.
Agama dan pendidikan seharusnya seiring. Kita perlu
menambah kemahiran sumber manusia. Mengekalkan status teknologi. Membangunkan teknologi
baru. Pemikiran kita seharusnya tidak mengikut pola tradisi. Mengikut jalan fikir
orang lain. Lihat semula al-Quran dan al-Sunnah. Banyak idea di dalamnya yang
belum diserlahkan manfaatnya. Kita boleh menyimpan keunggulan yang ada. Al-Quran
adalah sumber tamadun. Kita bangunkan semula tradisi mengkaji. Terlalu banyak
yang Allah pertunjukkan tetapi tidak menjentik hati dan perasaan kita untuk menjadikannya
bukti bahawa ilmu Allah adalah tiada tolok bandingnya. Kuncinya ialah berfikir.
Memperguna akal yang Allah anugerahkan kepada kita. Untuk manfaat umum bukan
diri sendiri. Untuk agama bukan kebesaran diri. Melihat dari luar kotak
menjadikan kita peka dengan banyak kelemahan yang ada pada diri kita.
Melihat kotak lain tidak boleh semasa kita berada
dalam kotak kita. Kita tertipu dengan suasana kotak kita sendiri. Lontaran padangan
kita tersasar dari kebenaran. Banyak mengembara banyak yang mengajar kita. Tidak
semestinya ke luar negara. Tidak ramai antara kita yang memandang ke langit
pada waktu malam. Kita sudah tidak mengerti ilmu falak. Yang kita tahu hanya
menunggu anak bulan Ramadhan dan Syawal yang sukar kelihatan di negara kita. Maka
rukyah diganti dengan falak. Tidak ramai pula yang memahaminya. Tidak ramai
yang mengkajinya. Tidak ramai yang mempelajarinya. Kita tidak memanjat gunung
untuk melihat paksinya. Kehijauan dan ufuk laut yang memberi luas berfikir. Untuk
sedar dari lamunan bahawa kita bukan yang terbaik. Bukan yang paling besar. Bukan
yang memiliki apa-apa kuasa. Cukup masanya usia kita tamat. Ajal kita datang. Kembali
ke asalnya. Dari tanah kembali ke tanah. Tidak ada alternatif selain dari
tanah.
Cabaran dalam hidup kita terlalu banyak. Amalan
hidup kita perlukan perubahan sesuai dengan segala perubahan di sekeliling
kita. Banyak yang perlu diperbaiki. Banyak nilai tambah dalam berbagai aspek
yang perlu diambil dalam diri. Berkeras dengan amalan dan pegangan lama
perlulah disesuaikan dengan berbagai peredaran. Statik bukan penentu yang membawa
kebaikan. Berada dalam zon selesa yang terlalu lama boleh memudaratkan agama, diri,
bangsa dan negara. Amalan kita berbahasa perlu difikirkan semula. Bahasa Melayu
kita banyak dirosakkan. Kita tidak tahu
bahasa kedua kita. Mana yang lebih penting Bahasa Arab atau Bahasa Inggeris. Setakat
mana gah kita dengan Bahasa Inggeris. Aduhai! Banyaknya yang yang perlu kita
fikirkan. Yang perlu kita laksanakan. Yang perlu kita dasarkan untuk dicapai. Malanglah kita diganggu dengan hiburan
semata-mata. Lari dari masalah. Akhirnya kita terperengkap dalam nasalah yang
tiada jalan keluarnya. Kita lemas dalam kedaifan kita sendiri.