Tuesday, June 1, 2010

Emas Pakaian Wanita

Bila memperkatakan tentang wanita, khususnya di Malaysia, tidak dapat tidak kita akan membincangkan tentang aksesori utama seorang wanita yang sudah bekerja atau dewasa. Seorang wanita tidak merasa dirinya sempurna berpakaian tanpa mengenakan barang-barang kemas yang diperbuat daripada emas. Emas yang melekat di jari, terlilit di leher, tergantung di telinga, melingkar di pergelangan tangan, yang di buku lali, di butang baju dan yang menyemat telekung.


Seorang wanita Amerika hairan apabila melihat seorang pelajar wanita Melayu memakai barang kemas yang diperbuat daripada emas. "My, you people must be rich. Your body is full of gold." Jika emas dipakai ditangan, leher dan telinga hatta kaki dan jari sudah tentu orang Malaysia kaya-kaya belaka. Orang di negara maju tidak lagi memakai emas di badan. Emas adalah sumber kekuatan ekonomi dan selalunya disimpan sebagai pelaburan. Semua matawang dalam dunia ini tidak dicetak sesuka hati. Semuanya bersandarkan simpanan emas negara berkenaan. Jika dicetak tanpa sandaran emas maka ekonomi negara tersebut tidak dapat dihalang dari menuju ke arah inflasi.

Barang-barang kemas daripada emas lebih banyak digilai oleh wanita di negara yang mundur atau membangun. Semakin maju sesebuah negara itu semakin berkuranglah wanitanya yang memakai barangan emas. Begitu juga semakin berpendidikan tinggi seseorang wanita itu semakin kurang kecenderungannya memakai barangan emas. Mereka lebih memilih intan berlian atau mutira dan batu-batu berharga yang lain. Atau aksesori tiruan. Hanya sebagai hiasan tubuh badan.

Cuba kita ambil contoh wanita Kelantan. Pada mereka tanpa barang kemas yang diperbuat daripada emas mereka rasakan diri mereka tidak berpakaian. Secantik mana sekalipun pakaian mereka jika tanpa emas mereka rasakan diri mereka telanjang. Begitulah tingginya penghargaan wanita terhadap emas. Ianya barang kemas yang paling diminati.

Kita lihat pula di Myamnmar. Wanita-wanita Shan memakai gelang leher yang diperbuat daripada emas secara berperingkat-peringkat. Semakin dewasa dan semakin kaya wanita itu gelang di lehernya semakin banyak hingga menjdikan leher mereka semakin jinjang. Budaya mereka memperakui bahawa semakin jinjang leher wanita itu maka semakin cantik dan berwibawa.

Begitulah emas bagi wanita Afrika, Cina, India dan Amerika Selatan. Penjajah barat seperti Portugis, Sepanyol, Belanda, British, Perancis, Jerman, Itali dan Amerika Syarikat sendiri menakluki negara-negara lain di benua-benua lain. Dalam proses itu mereka merampok kekayaan negara-negara tradisi ini di samping menyebarkan agama Kristian. Yang paling banyak harta rampasan mereka ialah emas. Dari piramid-piramid yang ada di Mesir, mereka membawa pulang ke negara mereka entah berapa banyak kapal agaknya. Yang tinggal dan mereka pamerkan hanya mumia yang bersejarah sahaja tanpa barang-barang emas yang disemadikan bersama mumia tersebut.

Dari tamadun Inca di Amerika Latin/Selatan terlalu banyak barangan emas yang dirampas dan dibawa kembali ke barat. Yang ditinggalkan hanya sejarahnya tanpa barang-barang sejarah. Orang-orang Inca kehilangan tamadun mereka. Orang Mayan d Mexico begitu juga. Puing-puing tinggalan kehebatan nenek moyang mereka sahaja yang diabadikan, dibaikpulih dan dipertontonkan kepada dunia. Isinya sudah tiada. Sudah kosong. Sudah lompong. Lompanglah sejarah hebat itu. Anak cucu orang Inca hanya mendengar dan membaca sejarahnya tetapi tidak melihat realiti kehebatan itu.


Di India begitu juga. Banyak patung-patung yang diperbuat dari emas. Banyak filem-filem Hollywood yang berlatar belakangkan India. Temanya ialah mencari harta karun yang ditinggalkan oleh tamadun India. Tamadun Indus dan Ganges dari zaman prasejarah. Semuanya telah habis dibawa ke barat. Negara-negara yang dijajah terpaksa membina tamadun mereka semula. Bermula dari bawah. Bermula dari tarikh mereka dijajah.

Tarikan kekayaan ini mendorong orang barat mengubah sejarah. Walaupun India sudah lama bertamadun, mereka katakan British yang membangunkan tamadun India. Tamadun Mesir sudah lebih 5,000 tahun tetapi Dr. Livingstone yang dikatakan menemui Afrika. Red Indian di Amerika Syarikat telah lama membina tamadun tetapi Columbus yang dikatakan menemui Amerika walaupun nama Amerika itu sendiri adalah sempena seorang pelayar yang bernama Amerigo Vespusi. Bukan dinamakan Columbus. Hanya sebuah tempat di Ohio yang dinamakan Columbus.


Saya ingin kembali ke Negeri Johor. Bagi orang Johor emas barangkali ada konotasinya yang tersendiri. Sekiranya seorang lelaki dari negeri lain meminang anak gadis Johor hendaklah ditanya dengan pasti berapa hantaran yang diperlukan. Ramai ibu bapa yang memudahkan hal tersebut. Walau bagaimanapun ramai yang masih mengikut adat. Ada yang menentukan serba satu. Ada yang serba dua. Ada pula yang menentukan serba berdiri.

Serba satu bermakna pihak lelaki hendaklah menyediakan sebentuk cincin dan seutas rantai. Selain daripada itu sepersalinan pakaian selengkapnya dari kasut hinggalah tudung. Yang lain-lain adalah iringan mengikut keikhlasan pihak lelaki. Antaranya termasuklah jam tangan, beg tangan, kasut, barang solekan dan kemasan diri dan lain-lain barang sekadar menyukakan hati dan memeriahkan suasana.


Jika serba dua maka ada antara barang-barang di atas yang digandakan. Yang paling berat ialah serba berdiri. Yang dipinta ialah subang, rantai bersama loketnya, gelang, cincin. Mungkin ditambah kerongsang, butang baju dan gelang kaki. Kesemuanhya emas bang. Mungkin yang dipinta ialah emas 916 bukan 716. Oleh itu bertanyalah. Mitalah kepaastian. Buat senarai lengkap. Jangan diambil ringan. Takut nikah tak jadi nanti.

Di mana-mana saya pergi, kedai emas selalunya dipenuhi pelanggan. Hampir 99.9% adalah wanita Melayu. Di bandar-bandar tertentu sahaja terdapat bukan wanita Melayu. Di Seremban dan Klang mungkin ramai wanita India. Di tempat lain pastinya wanita Melayu. Wanita yang paling kecil gajinya sekalipun tetap mengunjungi kedai emas. Emas dan wanita adalah sinonim.


Saya teringat zaman kanak-kanak saya dahulu. Orang perempuan jika hendak menghadiri majlis perkahwinan di rumah orang kampung atau saudara mara seperti wajib memakai barang kemas. Jika tidak ada mereka meminjam dari jiran-jiran. Seperti kata orang Kelantan jika tidak memakai barang kemas seolah-olah diri mereka tidak berpakaian. Baju dan kain serta tudung hanya menutup fizikal semata-mata. Barang kemas menjadi pelengkap. Kesempurnaan berpakaian. Sekarang ini hal seperti itu tidak lagi diberatkan. Zaman sudah berubah.

Sekarang ini ramai orang kaya yang dikelilingi emas. Bingkai cermin matanya emas. Pen yang digunakan emas. Jam tangannya emas. Bagi jutawan dan billiawan yang memiliki jet peribadi, kepala paip di bilik air jetnya diperbuat daripada emas. Jika kita mengerjakan umrah atau haji, kita dapati di Masjid Nabawi banyak alat perkakasnya yang diperbuat daripada emas. Lampu kandilnya, hiasan silingnya dan yang di sekeliling Raudah. Memang sangat mendamaikan. Tidak karat dan mengkaratkan. Mudah dijaga.


Baiklah. Dalam zaman sekarang ini wanita dan emas hendaklah dilihat dari perspektif yang berbeza. Memanglah emas itu satu keperluan peribadi wanita tetapi harus diambil pendekatan yang berbeza. Pertama emas sebagai pelaburan peribadi dan keluarga. Bila keadaan memerlukan boleh digadaikan secara Islam. Ar-Rahnu umpamanya. Alternatif Islam sudah ada. Gunakan mengikut syariat yang dibenarkan. Jangan gadaikan secara konvensional.


Keduanya, sentiasa ingat bahawa emas yang dipakai tidak melebihi had yang dibenarkan. Bagi orang yang mampu memakai emas yang banyak, maka pada emas itu ada hak orang lain. Hak orang miskin. Orang yang kurang berada. Maksudnya emas itu dizakatkan bila cukup haulnya. Cukup setahun. Zakatnya jangan diabaikan. Itu tuntutan agama. Tuntutan Allah. Pakailah seberapa banyak emas yang mampu. Pakailah seberapa berat yang larat dipakai. Pakailah seberapa besar yang sesuai. Zakatnya jangan lupa dijelasklan. Itu hak Allah dan hak manusia lain yang memerlukan.


Ketiganya, emas adalah barang berharga. Oleh itu emas menjadi tarikan perompak, pencuri dan peragut. Cara memakainya hendaklah memenuhi prosedur keselamatan. Jangan terdedah dan tertunjuk-tunjuk. Ramai orang keliling yang memerhati. Bila ada yan g teringin, padah jadinya.

Pada pengamatan saya emas memang rakan karib wanita. Malangngya ramai wanita yang memakai rantai tangan sebesar lipan. Rantai leher sebesar tali tambang. Memakai cincin yang matanya sebesar biji kelapa. Rantai pula panjang menjurai. Subang besar seperti gelang. Sebenarnya wanita nampak lebih manis, lebih cantik, lebih bergaya, lebih antun, lebih anggun dan lebih menyerlah jika barang kemas yang dipakai ialah yang paling kecil. Paling cantik untuk wanita ialah yang paling kecil. Cincin sekadar ada di jari manis. Rantai halus seperti benang. Gelang sekadar melingkar pergelangan tangan. Lebih kecil lebin cantik. Barang kemas untuk hiasan sahaja bukan untuk membebankan fizikal wanita itu. Yang besar untuk pelaburan. Bukan jadi perhiasan badan. Bila terlalu besar tentulah terlebih hias. Padahnya ialah barang kemas bukan lagi perhiasan tetapi beban. Beban berat, beban zakat, beban keselamatan dan beban sosial.

Begitulah wanita dan emas. Ia sebahagian dari dirinya. Nyawanya. Sebati dengan dirinya. Cuma pesan saya beringatlah tentang tiga perkara di atas. Emas sebagai pelaburan, tanggungjawab agama dan keselamatan sosial. Berpada-padalah. Jaga keselamatan dunia dan akhirat.