Wednesday, February 16, 2011

Transformasi


Winter awal Januari 1985. Saya imbas kembali. Terkesan suatu transformasi. Kita selamanya berubah. Dari tiada menjadi ada. Dari yang ada kita berubah fasa demi fasa. Kita tinggalkan fasa-fasa lama. Ada yang baik dan tentu ada yang tidak enak untuk dijenguk kembali. Apa sahaja masih boleh berada di minda kita. Untuk diulang-ulang. Bersamanya kita kembali ke suatu masa yang telah berlalu. Masa yang telah menjadi sejarah. Masa yang menjadi asam garam hidup. Masa yang menemukan diri kita ke masa ini. Laluan-laluan, cerunan waktu yang telah lama diredah. Laluannya dihadap ranjau dan duri. Lintasannya untuk menggapai sinar cahaya yang diharap menerangi. Nun di hadapan sana. Masih jauh untuk disentuh jari dan digenggam erat.

Usia saya 39 tahun waktu mula berada di Pittsburgh. Suatu tempat yang sangat jauh dari kampung halaman saya.  Sebuah tempat asing di balik bumi. Worlds away. 12 jam perbezaan masa. Di sini tengahari di sana tengah malam. Di sini pagi di sana maghrib. Bumi ini bulat. Manusia menduduki di mana-mana pada bulatan itu. Sebuah negara yang asing. Asing dan sangat terasing. Saudara mara ditinggalkan. Sahabat handai ditinggalkan. Saya meninggalkan kebiasaan di sini. Paginya berbeza. Tengaharinya berbeza. Petangnya berbeza. Malamnya juga berbeza. Begitulah perbezaan yang tidak pernah surut. Berbeza antara bulan ke bulan. Antara musim ke musim. Maka tentulah saya mempelajari sesuatu yang baru. Untuk asimilasi dengan suasana baru. Menggagahi akomodasi diri dengan persekitaran baru.

Tentu sekali banyak peristiwa dan insiden yang baru. Banyak yang tidak kongruen dengan yang telah dialami di sini. Sebelum itu saya kira saya hanya seekor katak yang sangat selesa di bawah tempurungnya. Tempurung itulah dunia saya. Di situlah kebahagiaan saya. Aman damai saya di bawah gelapnya. Tidak pernah ada peluang menjengah keluar. Malah cahaya dari luar tidak pernah masuk ke dalamnya. Saya hanya mendengar riuhnya di luar tanpa mengetahui apa yang diriuhkan. Saya tahu ada pergerakan di luar tetapi tidak pernah mengetahui apa sebenarnya yang bergerak. Terdampar di suatu tempat yang asing belajarlah saya untuk mandiri. Berdikari. Belajar untuk menghidupkan diri. Dunia yang terbentang luasa ini terlalu banyak yang perlu dialami. Banyak yang baru menjengah mata, telinga dan deria yang lain. Sekelip mata sahaja tempurung lama sudah dilupakan. Tempurung kecil itu sudah tidak ada signifikannya lagi.  Dunia besar ini menjadi tempurung yang terlalu banyak gandaa besarnya. Tidak mampu lagi untuk dihitung.

Tempat yang asing banyak kejutannya. Ada sahaja yang baru. Setiap hari dan setiap saat boleh datang kejutan. Kadang-kadang kejutan itu terlalu kecil relatif  kepada kita di Malaysia. Namun di negara orang impaknya besar. Ianya mungkin amalan hidup yang biasa-biasa sahaja. Di sini, di negara sendiri saya mungkin tidak perasaan. Tidak terfikirpun. Dalam keselesaan ini kita alpa. Dalam zon selesa ini kita takes thing for granted. Tidak perlu memikirkan terlalu banyak. Biarkan segalanya berjalan sepertinya. Pemerhatian saya menunjukkan bahawa itulah pemikiran yang typical kepada masyarakat yang belum maju mindanya. Semuanya menjadi stereotype.  Tidak ada usaha untuk memikirkan yang lain. Yang lebih cekap dan berkesan. Yang memberi impak lebih besar. Lebih signifikan.

Semua keadaan ingin dikekalkan. Nostalgik. Sentimental. Tidak menyesakkan dada. Tidak perlu stress untuk memikir itu dan ini. Semuanya kerana jiwa kita tidak besar. Tidak mendongak ke langit untuk menerima yang baru. Yang lebih besar. Yang lebih gah. Kita selalu memikirkan kekerdilan diri kita. Lupa bahawa Allah telah menganugerahkan kit aakal yang istimewa. Akal yang sepatutnya untuk memakmurkan dunia ini. Itupun sebab kita  dicipta. Untuk memakmuran dunia ini. Jika kita berhenti berfikir maka kita kehilangan rentak untuk mencipta sesuatu yang lebih baik. Kita menjadi jumud. Akan nanti menjadi obsolete. lapuk minda. Jumud. Sebab itu perubahan tetap datang. Kita terus menerus mesti menerimanya. Memanfaatkannya. Muasabah diri rasanya mudah untuk dikaitkan dengan melihat proses perubahan diri.

Kebetulan saya masih menyimpan kad matrik saya waktu di UM dahulu. Ini sewaktu tahun 1977. Usia baru 31 tahun. Walaupun sudah beristeri dan memiliki dua orang anak, masih cun melecun. Muka bersih. Comel lagi. Jambang sudah tumbuh. Belum ada kekuatan untuk membiarkannya tumbuh meliar seperti sekarang. Gambar seperti ini diambil menggunakan kamera Polaroid. Kamera instant. Segera jadinya. Inilah gambar seorang mahasitua yang diistilahkan kepada orang-orang seperti saya. Umurnya jauh lebih tua berbanding rakan sekelas yang dianggap "budak-budak" lagi.

Pada tahun 1977 itu saya belum lagi bermimpi tentang negara orang. Negara di atas kayangan. Negara yang entah di mana letaknya. Pernah membacanya. Pernah melihat gambarnya. TV belum ada lintas langsung. Internet belum ada. Negara orang jarang dilihat kecuali melalui filem. Tidak ada satu isyarat bahawa negara orang itu akan ditandang pergi. Akan dihuni. Alhamdulillah. Syukur kepada Allah yang memberi saya ruang itu. Peluang itu. Rezeki itu. Lintsan rasa ingin keluar negara hanya pada tahun 1979. Saya memohon jawatan tutor di UM. Saya gagal walaupun telah mendapat biasiswa daripada kerajaan Belgium. Bukan rezeki. Allah gantikan dnegan pergi kie USA.


 
Gambar ini pula pada awal bulan Januari 1985. Lapan tahun kemudian. Imej saya sudah berubah. Sebenarnya jambang, misai dan janggut itu bermula di Politeknik Ungku Omar (PUO). Sejak tahun 1979 apabila saya ditugaskan di situ. Kekallah begitu hingga sekarang. Warnanya sahaja berubah. Dari hitam sekarang sudah beruban. Lumrah dan fitrah. Rambut hanya hitam semasa kita muda. Berubah bila berumur. Seperti saya sebut dalam entry terdahulu, saya tidak bersedia untuk diambil gambar. Kepada mereka posing tidak ada. Once you sit down you're deemed ready. Seharusnya sebelum duduk saya menyediakan diri. Tiada apa lagi yang perlu saya buat. Tidak faham budaya orang. Jadilah gambar di atas. Rambut belum disikat. Pakaian belum dikemas. Nampak berserabut. Semuanya tidak penting. Bagi mereka muka dan maklumat peribadi itu yang penting.




Membuka akaun bank merupakan kejutan awal yang terbesar. Saya ke Pittsburgh National Bank. Saya masuk untuk membuka akaun. Tidak ada bangku. Tidak ada kerusi. Tidak ada meja. Di hadapan saya ada tiga orang pelanggan seperti saya. Seorang sedang duduk mendaftar diri. Dua orang lagi berdiri di hadapan saya. Apabila saya tamat membuka akaun, masa yang saya ambil ialah selama empat jam. Sejam seorang pelanggan baru. Boleh anda bayangkan ianya berlaku di sini. Di Malaysia. Jika ada bank seperti itu pastinya ditutp kerana tiada siapa yang hendak membuka akaun. Orang kita masih banyak belas kasihannya. Ihsannya sangat tinggi. Banyak memikirkan untuk keselesan orang lain. Pada masa yang sama kita sebagai pelanggan tidak kisah pula dengan charges yant dikenakan ke atas kita. Setiap sesuatu ada kosnya. Bank tahu kosnya dan mengenakan kos itu kepada kita. Pengguna tidak tahu kos itu ditimpakan ke atasnya.


Bila saya risik jawapannya menjurus kepada ekonomi. Dikembalikan kepada pelanggan. Bukan untuk meningkatkan keuntungan syarikat semata-mata. Tanah atau ruang di bandar besar sangat mahal harganya. Sangat mahal sewanya. Setiap meter persegi memakan ribuan ringgit setahun. Jika disediakan meja dan kerusi, perlukan lagi kos tambahan. Perlu pula penyenggaraan. Kos lagi. Oleh kerana pelanggan selalu mahukan kos dikurangkan maka pelanggan menyumbang kepada usaha untuk menguarngkannya. Adilkan? Bukan hanya meminta. Kena juga memberi. Keadilan itu mesti ada timbal balasnya. Setiap neraca ada dua hujungnya.

Di sana tidak ada bermacam-macam akaun. Walaupun utuk pelajar akaun yang ada ialah checking account. di Malaysia dipanggil current account. Maknanya di sana, pelajar-pelajar memiliki akaun semasa. Boleh guna cek sendiri. Cek pula personalised. Dicetak terus nama pelanggan berserta dengan alamatnya sekali. Wow! Di sanalah kali pertama dalam hidup, saya membuka akaun semasa. Disertai pula dengan kad MAC. Money Access Card. kad ATM bagi kita di Malaysia. Cek itu pula digunakan dengan meluas seperti wang  tunai. Apa sahaja barang boleh dibayar dengan cek walaupun jumlahnya kurang dari USD10. Cek itu pula bukan disimpan di bank. Pekedai yang menerimanya boleh berbelanja dengan mengggunakan cek itu. Maka beredarlah cek itu dari tangan ke tangan yang lain sebelum ada orang yang akhirnya membawa cek itu untuk disimpan ke dalam akaunnya.

Seorang sahabat saya pernah belajar di USM. Dia membuat pinjaman MARA. setelah beberapa tahun membayar ansuran hutang itu pihak MARA tidak memberi maklum balas. Sahabat saya mengandaikan bahawa hutangnya telah selesai. Rupanya belum. Waktu dia di US, bapanya mengirimkan surat tuntutan yang dikirim oleh MARA ke alamat lamanya di rumah ibu dan bapanya. Tanpa berfikir panjang dia menulis cek untuk sejumlah USD40 dan menghantarnya kepada MARA. Dia sendiri terkejut apabila cek itu kembali kepadanya selepas dua bulan, cek itu telah ditunaikan oleh MARA. Wangnya sudah menjadi milik MARA. Bila disemak, di belakang cek itu telah penuh dengan berbagai tandatangan orang-orang yang pernah menerimanya. Sejak itu dia menulis cek setiap bukan untuk membayar hutang pinjamannya kepada MARA. Tiada masalah langsung. Beres kesemuanya. Maaf terlupa. Di US apabila kita mengeluarkan cek, cek itu akan kembali kepada pemilik akaunnya sesudah cek itu ditunaikan. Pemegang akaun akan tahu bilangan cek yang sudah ditunai. Yang mana belum. Boleh reserve dalam akaun mana-mana cek yang belum ditunaikan. 

Penggunaan cek di US sangat meluas. Sesiapa saha boleh menggunakan cek walaupun bukan miliknya. Seorang teman saya membeli barang secara pos. Untuk membayarnya dia menggunakan cek suaminya. Dia yang menandatanganinya. Bukan suaminya. Cek itu clear. Tiada masalah. Kepada bank pemegang akaun yang bertanggungjawab menjaga keselamatan ceknya. Bukan bank seperti di Malaysia. Di sana sangat mudah. Sangat memudahkan. Yang penting dalam akaun itu ada bakinya. Boleh dikeluarkan dengan cek. Pemegang akaun yang boleh mengarahkan bank menghentikan bayaran. Atau untuk membekukan akaun dengan arahan pemilik akaun itu. Bukan orang lain. Kerja bank Menerima permohonan  untu membuka akaun. Menerima cek untuk ditunaikan. Bayar seperti dituntut. No question asked. Semuanya lancar.

Itu sejarah 26 tahun dahulu. Di Malaysia keadaannya masih sama seperti dahulu juga. Bila kita guna cek, jenuh penerima cek itu discrutinised. Sentiasa sahaja syak wasangka. Pembawa cek sentiasa dicurigai. Saya membuka akaun di sebuah yang iklannya international local bank. Bank itu ada di mana-mana dalam dunia. Cawangannya ada di sini. Sebenarnya joint account dengan anak saya yang di Mesir. Senang. Saya masukkan wang di sini. Dia mengeluarkannya di sana. Saya sudah memaklumkan perkara itu kepada pegawai yang menguruskannya. Tetapi setiap kali anak saya mengeluarkan wang di Kaherah, pihak ibu pejabat bank itu menghantar sms memaklumkan terdapatnya pengeluaran yang meragukan mereka. Mereka meminta saya menghubungi pihaknya jika ada apa-apa kesulitan. Malas saya melayan mereka. Setelah beberapa kali, mereka berhenti menghantar sms kerana saya tidak peduli.

Begitulah padang yang berlainan, lain pula belalangnya. Pengalaman sebegitu tidak diperolehi tanpa menjadi pengembara dunia. Tanpa bermukim dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain. Benarlah jauh perjalanan banyak pemandangannya.

Label Yang Halal

Kebanyakan makanan diketahui halalnya. Bahannya halal. Secara nyatanya kita tahu ianya halal. Masalahnya dalam makanan ada bahan-bahan campuran. Ada bahan tambahan. Namanya bermacam-macam. Saintifik. Orang biasa memang tidak faham. Yang faham pula tidak berkongsi maklumat. Tidak berdakwah. Buat-buat tidak faham. Maka orang lain menjadi pengguna buta. Tidak dapat melihat yang halal secara hakiki. Tidak nampak yang syak. Yang disyaki ada campuran yang dikira tidak halal.

Di US perkara ini amat terhindar. Kita yang cerewet tentang halal dan haram ini, dibantu untuk memilih yang diyakini halal. Undang-undang dan peraturan label barang di sana sangat jelas. Sangat telus. Sangat meyakinkan. Setiap perincian isi kandungannya dinyatakan dengan pasti. Saya dapati USA adalah satu-satunya negara yang saya yakini labelnya benar. Yang halal diyakini halal. Yang lain diyakini haram. Dengan panduan-panduan itu orang Islam seperti saya dan keluarga berasa selamat. Rasa terhindar dari membuat pilihan yang salah.  Jika salah beli saya yakin memang salah beli. Rasa ragu itu tidak ada. Semuanya pasti. Positive. Sangat pasti.

Sebagai orang Islam, saya meyakini label barangan di sana. Sebenarnya keadaan terjadi begitu kerana besarnya pengaruh orang Yahudi. Mereka tidak makan babi dan lain-lain produk yang berkaitan babi.  Bilangan orang Yahudi di sana sekitar 15% sahaja. Walau bagaimanapun suara mereka kuat. Kehadiran mereka ada impaknya.  Semua label barang mengambil kira kehadiran orang Yahudi. Orang Islam menumpang manfaat dengan adanya label yang jelas ini. Suara orang Islam tiada siapa yang ingin mendengar. Apatah lagi mengikutnya. Kita bukan penentu ekonomi dunia.

Saya tidak melihat peraturan label ini di Canada. Tidak juga di United Kingdom. Lagilah di Malaysia. Kita dikaburi dengan istilah-istilah jargon. Orang awam tidak faham. Orang Islam lebih-lebihlah lagi. Pengetahuan kita tentang sains atau kimia sangat terbatas. Kita mungkin tahu namanya yang biasa. Namanya dalam bahasa pasar. Nama saintifiknya tidak. Memang banyak barang makanan yang dilabel halal. Hakiki dan hakikat halalnya tidak ada siapa yang dapat mempastikannya. Masih banyak lagi bahan campuran dalam makanan dan minuman yang tidak dinyatakan. Yang dianggap halal walaupun pada hakikatnya tidak halal. Kita selalu berhadapan dengan pewarna yang dibenarkan. Hakikatnya apa? Dibenarkan adakah sama dengan suci dan halal? Ubat penaik yang dibenarkan. Pengawet yang dibenarkan. Siapa yang membenarkan? Siapa yang menentukan bersih, suci dan halalnya. Adakah segala rukun dan syaratnya telah disempurnakan? Jika tidak ada kesungguhan mengenai hal itu, maka orang Islam selamanya terjebak dengan makanan yang diragui halalnya. Persatuan Pengguna Islam tidak terdaya untuk memantau semua. Cansumer Association of Penang tentu tidak terdaya. Kita perlukan concerted effort untuk menjamin halalnya sesuatu makanan dan minuman. Suatu usaha yang integrated.

Sewaktu di US saya yakin bahawa roti yang saya beli itu halal. Saya pilih yang benar-benar meyakinkan. Roti banyak yang megandungi lard (minyak babi). Ada disebut animal shortening. Bila disebut animal tidak ada yang lain kecuali babi. Begitu juga animal emulsifier. Dari babi juga. Lecithin pastinya juga dari babi. Lalu saya memilih yang mengandungi vegetable oil. Soy lecithin. Dan lain-lain yang berkaitan dengan sayur. Dalam aiskrim ada bahan dari minuman keras. Mungkin rum. Sejenis arak. Untuk tujuan pengawet. Begitu juga dalam kek-kek mahal seperti mix-fruit cake. Ada rum atau mungkin brandy di dalamnya. Maka saya pilih yang bebas dari arak.

Dalam susu segar ada bahan D3 added. Saya bertanya pelajar yang mengambi jurusan kimia. Katanya, bahan itu pati dari arak. An exract from alcohol. Saya tidak tahu fatwanya di sini. Jika kita ambil minyak wangi yang mengandungi alcohol dikira halal, bagaimana dengan susu? Minyak wangi tidak dimakan. Tidak diminum. Senarainya tidak berhenti di situ. Dalam ubat gigi ada beef tallow atau pig tallow. Dalam sabun mandi begitu juga. Bila di baca ada yang mengandungi beef tallow. Yang lain pula mengandungi pig tallow. Bagi yang tahu membaca mereka ada pilihan. Bagi yang memahami mereka ada pilihan. Bagaimana dengan kebanyakan orang kita yang tidak tahu tentang hal ini? Siapa yang perlu membantu? Apakah media yang dapat menyampaikan kepada mereka? Gawat sebenarnya kita. Gawat untuk orang Islam. Kita dikelilingi. Kita dikepung dengan banyak keraguan.

Sudah nampak ada usaha-usaha untuk mengeluarkan makanan halal. Usaha ke arah itu seharusnya digandakan. Selesaikan dulu makanan dan minuman asas. Yang mesti dibeli. Yang mesti dimakan. Yang tidak pernah dikecualikan. Yang memang dianggap kemestian kepada orang Islam Melayu. Yang adatnya mesti ada. Mesti dibeli. Mesti dimakan. Yang tidak pastinya ialah asal usul makan itu. Sumbernya. Bahan-bahan utamanya. Campurannya. Tambahannya. Warnanya. Awetnya. Begitu juga dengan hiasan-hiasan pada makanan itu. Itu belum lagi cerita tetang siapa yang menyediakannya. Tangan siapa yang memegang dan menyentuhnya.

D mana kita sebenarnya. Kita tiada kekuatan untuk mempastikan kita mendapat yang sebenarnya halal. Yang diyakini halal. Yang secara hahiki dan hakikatnya halal. Siapa yang dapat mempastikan tanpa keraguan.  Yang dilihat di kilang memang halal. Yang dipantau memang halal. Kita kena pantau yang berada dalam pasaran. Yang dijual di merata tempat. Yang melambak di sana sini. Yang memabeli orang kita. Yang makan orang kita. Yang melanggan tetap orang kita. Malangnya yang membuatnya bukan orang kita. Yang mengolahnya bukan orang kita. Kita hanya ingin makan dan minum. Tarikannya cukup kuat. Sekali lagi kita tidak ada kekuatan untuk menyatakan dengan pasti bahawa kesemuanya halal. Halal seperti tercatat pada labelnya.

Siapapun tidak memahami konsep halal sejelas-jelasnya tanpa merujuk kepada pakarnya. Di sinilah peranan ulamak. Sudah terlalu lama kita memendam rasa. Terlalu lama keinginan yang  tidak terlaksana.  Tiada siapa menjamin bahawa halal itu sebenarnya halal. Hakikatnya benar-benar halal. Pakar kimia harus tampil membantu. Para penyelidik harus chip in untuk membetulkan keadaan. Ini hal berat. Ini hal serius. Ini hal-hal yang menyangkut iman kita. Makanan dan minuman menjadi darah daging. Bagaimana iman kita jika disalut dengan benda-benda haram di sekelilingtnya. Iman itu tenggelam. Anak-anak kita jadi gelap jiwanya. Gelap matanya. Gelap telinganya. Gelap hatinya. Mereka anak-anak kita. Generasi kita. Pewaris kita. Keturunan kita bersusur gakur pada mereka. Kita yang perlu menyelamatkan mereka. Jika tidak mereka tidak dapat menyelamatkan diri mereka. Mereka sudah tenggelam ketka itu. Tinggalkanlah mereka dalam keadaan terapung. Dalam selamat sejahtera. InsyaAllah.