Thursday, May 26, 2016

Menambah Manfaat Diri



Berapa tinggi perlu kita melonjak untuk berada di tempat yang tinggi? Tiada hadnya. Tiada halangannya. Ikut kehendak dan usaha sendiri. Namun demikian tinggi yang ingin digapai wajarlah berperingkat-peringkat. Diukur  tahap kemampuannya. Kita tiada upaya untuk berada di tempat yang tinggi tanpa usaha. Tanpa berbuat apa-apa. Hanya beberapa orang tertentu pilihan Allah sahaja yang begitu keadaan dan kedudukannya. Maka kita sebagai insan yang sangat, sangat, sangat dan sangat lemah tidak boleh melonjak tinggi kecuali dari peringkat yang rendah terlebih dahulu.

Allah menukilkan dalam Al-Quran bahawa tidak sama mereka yang berilmu dengan mereka yang tidak berilmu. Ilmu pula terdiri:
1              Yang asas
2              Yang sederhana tinggi
3              Aras tinggi

Kita melihat kemalangan jalanraya. Reaksi kita menggambarkan siapa kita. Kita mungkin berada di peringkat asas atau sederhana tinggi atau pada aras tinggi.
1                     Mereka yang berada pada peringkat asas hanya banyak bertanya tentang apa yang terjadi, siapa yang terlibat, bagaimana keadaan kenderaan. Mereka reaktif. Tidak balas perasaan kebanyakannya. Dia berpuas hati kerana mengetahui fakta kritikal. Sibuk dengan yang dilihat di hadapan mata. Hard fact.
2                      Macam mana boleh berlaku? Adalah antara soalan pada peringkat sederhana tinggi. Ianya sepatutnya boleh dielakkan jika pemandu memiliki kecekapan pemanduan dan bertindak pantas. Pandangannya ke hadapan sedikit. Cuba menyelesaikan keadaan. Mereka lebih kritikal. Lebih halus jalan fikirnya.
3                     Kajian perlu dilakukan untuk mengelakkan kejadian serupa pada masa hadapan. Inilah pemikiran aras tinggi. Memandang ke hadapan untuk menambahbaik sesuatu perkara atau sekurang-kurangnya mengurangkan permasalahan.  Mereka proaktif. Mungkin positif. Ingin mencari penyelesaian jangka panjang. Bagaimana kemalangan serupa boleh dielakkan pada masa hadapan.

Ramai antara kita berada pada aras rendah. Mungkin ramai juga yang berada pada aras sederhana. Tetapi tidak ramai yang berada pada aras tinggi. Mereka yang berada pada aras tinggi selalunya jauh melangkaui orang lain dari segi fikiran dan tindakannya.
1                     Tindakannya difikirkan dari segi praktikaliti, ekonomi, jangkaan pada masa hadapan dan kelestariannya.
2                     Melibatkan perancangan jangka panjang. Apa yang akan berlaku. Kemungkinan-kemungkinan permasalahan yang dijangka berlaku.
3                     Membuat jangkaan-jangkaan masa hadapan untuk 10 atau 20 tahun di hadapan dengan izin Allah.

Untuk meletakkan diri kita pada aras tinggi, kita perlu mengusahakannya berperingkat-peringkat. Perlahahan-lahan sebelum menderaskannya sesuai dengan kemahiran yang kita miliki. Maksudanya kita wajar mahir dan selesa di aras bawah atau asas terlebih dahulu. Menyedari bahawa apabila berada di bawah kita merasa banyak kekurangan diri. Banyak yang tidak diketahui. Banyak yang tidak fahami. Banyak sangat yang dhaif pengetahuan. Ilmu kita selalunya dhaif. Sangat lemah. Kerana itu kita bergerak dari bawah. Memajukan diri dari satu tahap ke satu tahap yang lain.

Paling sukar ialah hendak menceburkan diri ke tahap yang paling rendah. Ramai antara kita tidak mengetahui banyak perkara. Terlalu banyak yang tidak diketahui. Kita pula tidak dapat memperingkatkan keadaan. Kita tidak tahu yang mana perlu disegerakan dan yang mana perlu dilewatkan. Lewat pula bukan bermakna melupakan dan melengah-lengahkannya. Ia hanya ditunda untuk sementra waktu sebelum segala persediaannya mustaid. Bersedia dari segi mental, fizikal, emosi dan psikologi. Banyak keadaan yang memerlukan kita melakukan langkah awal. Langkah pertama yang selalunya sukar. Ramai antara kita:
1                     Malunya mengatasi segala-galanya.
2                     Takut diketahui orang lain akan kelemahan diri.
3                     Merasakan tiada masa.
4                     Tiada pendorong dari kalangan mereka yang hampir.
5                     Tiada pembimbing yang berpengaruh.
6                     Persekitaran tidak kondusif untuk keluar dari zon selesa, zon naif, zon kejahilan.

Barangkali kita kurang mengamati keadaan sekeliling. Mereka yang daif tetapi berusaha memperbaiki diri sekarang berada pada tahap yang lebih baik dari kita. Mereka yang sabar berada pada tahap yang lebih bahagia. Mereka yang tekun lebih berjaya. Mereka yang fokus dalam usaha mereka lebih selesa berbanding orang lain. Banyak kelemahan kita apabila berhadapan dengan situasi yang berbeza dan berubah-ubah.
1                     Tidak peka bahawa keadaan tidak selalunya statik.
2                     Kita lambat berubah. Jika berubah sekalipun kita menyimpang dari arus perdana yang selalu dimanfaatkan oleh orang lain.
3                     Tidak mengamati faktor-faktor yang berubah. Masa terbuang begitu sahaja. Peluang terlepas begitu sahaja. Kesempatan yang ada tersia-sia begitu sahaja.
4                     Memerangkap diri dalam kejumudan berfikir. Tidak membuka minda seluas-luasnya. Tidak berlapang dada untuk menerima perubahan.
5                     Enggan membina rangkaian strategik. Tidak meluaskan kepelbagaian sumber ilmu.

Kadang-kadang kita melihat sumber ilmu sebagai satu. Dilihat tunggal. Apabila disebut seseorang yang dirujuk kita melihat pada dirinya hanya setereotaip. Maksudnya satu sahaja ilmunya. Kita lupa bahawa seseorang itu:
1                     Banyak ilmunya.
2                     Berlapis-lapis ilmunya.
3                     Luas bidangnya.
4                     Rencam ilmu yang dimiliki, disampaikan dan dkongsikannya.

Pada sesuatu ketika seorang pakar bercakap tentang sesuatu. Dia melihat siapa audiennya. Walaupun tajuk persembahannya sama tetapi kedalaman dan keluasannya tidak akan sama selamanya.
1                     Dalam suatu majlis seorang pakar menggariskan tentang hukum berpuasa pada bulan Ramadhan. Dia memberikan sumber rujukannya dari segi nas al-Quran dan hadith.
2                     Dalam majlis yang lain dia memberikan fakta saintifik mengenai puasa. Juga fakta sosial yang berkaitan.
3                     Dalam majlis yang lain ia memberikan dapatan-dapatan dari beberapa penyelidikan yang membezakan antara mereka yang berpuasa dengan mereka yang tidak berpuasa.

Tajuk asalnya berpusat kepada puasa dalam bulan Ramadahan. Tetapi olahan penyampaiannya berbeza dari segi kompleksitinya. Dari segi jangkauan skopnya. Dari segi kedalamannya tentang sesuatu yang ingin dikupas. Sebab itu ramai pengikut yang setia bersama pakar dan guru mereka. Ke mana sahaja pakar itu berada langkahnya dijejaki. Ingin bersama pakar itu kerana setiap kali pertemuan, ada sahaja yang baru. Yang unik. Yang signifikan. Begitulah pemilik ilmu menyampaikan ilmunya berdasarkan siapa audiennya.  Di mana ilmu itu disampaikan.

Menjejak ilmu bukan seperti menjejak harta karun. Bagi harta karun bila dijejaki maka kayalah yang menjejakinya. Seperti P. Ramlee menjadi kaya dalam filem Ahmad Al-Bab. Ilmu bukan dalam bentuk fizikal. Tidak dapat dipegang dengan tangan. Tidak boleh disimpan dalam setor. Tidak kelihatan bentunya. Walau bagaimanapun ianya:
1                     Boleh disenaraikan.
2                     Boleh diperingkatkan.
3                     Boleh disusun.
4                     Terdapat berbagai data mengenainya yang boleh disimpan, disisih, dikembangkan, dikaji semula dan berbagai lagi yang berkaitan.
5                     Boleh dilihat dari berbagai sudut. Setiap satu banyak pula olahannya.

Pemilik ilmu pula memiliki berbagai keistimewaan. Berbeza antara kepakaran masing-masing.
1                     Boleh dirujuk.
2                     Boleh diminta nasihat.
3                     Pemikirannya berangkai-rangkai.
4                     Banyak idea yang dapat disumbangkannya.
5                     Hidupnya penuh berencana. Tidak duduk diam menghabiskan masa yang tiada manfaatnya.

Untuk meningkatkan diri kita perlu melihat sekeliling banyak kali. Berulang-ulang kali. Di mana status kita?
1                     Paling pandai?
2                     Paling hebat?
3                     Paling alim?
4                     Paling banyak ilmu?
5                     Paling banyak sumbangannya?
6                     Paling banyak manfaatnya kepada orang lain?

Atau siapa kita sebenarnya?
1                     Mencintai ilmu. Mencari dan mencarinya.
2                     Gemar kepada mereka yang mencari ilmu. Gemar kepada mereka yang banyak ilmu walau dirinya tidak berbuat apa-apa untuk menambah ilmu dirinya.
3                     Atau kita menjadi orang paling tidak bermanfaat. Menghalang orang lain mencari ilmu. Tempat belajar dikotorkan. Mereka yang datang belajar dihalang-halang. Banyak karenahnya tidak menyukai ilmu dan tidak menyukai mereka yang mencari ilmu.

Mari sama-sama kita fikirkan sejenak.
1                     Pentingkah tempat mencari ilmu? Atau ilmu itu yang lebih penting.
2                     Pentingkah mereka yang menyampaikan ilmu? Atau ilmu itu yang lebih penting.
3                     Pentingkah makan dan minum yang disediakan semasa mencari ilmu? Pentingkah sedap dan tidaknya? Atau ilmu yang dicari itu yang lebih utama dan penting. Yang lazatnya mengatasi makanan yang subjektif lazatnya.
4                     Perlukan tempat ilmu itu banyak kemudahan? Di tingkat bawah umpamanya. Banyak kemudahan disediakan. Atau bukankah bahawa kepayahan mencari ilmu itu diberi ganjaran yang lebih tinggi. Setiap payahnya. Setiap sukarnya. Setiap kesusahannya. Kesemuanya ada ganjaran di sisi Allah Yang Maha Memiliki Ilmu.
5                     Bukankah setiap langkah mencari ilmu itu jihad? Pengorbanan masa, tenaga, wang ringgit, perasaan, keselesaan, ketenangan dan keutamaan.

Jika orang lain boleh pergi jauh, mengapa tidak kita jejaki rakan-rakan kita yang lain. Mereka yang melangkah lebih awal tentu sahaja sudah jauh di hadapan. Kita yang tidak berbuat apa-apa akan terus kekal di tahap lama.  Berdiam diri sebenarnya sangat berbahaya.
1                     Kita menyangka kita selamat tetapi kita terdedah kepada perubahan. Kita menjadi tidak sesuai dengan keadaan baru. Tidak selesa dengan natijah perubahan. Tidak sesuai dengan keadaan semasa. Kata orang putih, doesn’t fit the present situation
2                     Dirinya menjadi ganjil, janggal, bosan dan yang paling tidak enak ialah dirinya menjadi jumud. Lapuk. Ketinggalan zaman. Obselete. Tidak lagi relevan dengan keadaan semasa.
3                     Ilmu yang kita miliki akhirnya tidak banyak manfaatnya kerana kita tidak mengembangkannya. Tidak menambah nilainya. Tidak menambahbaik keadaannya.
4                     Mungkin kita tersisih dari arus perdana kerana kita sudah tidak lagi relevan.


Sebenarnya bukan susuah untuk berada di landasan ilmu. Buang prasangka. Buang penilaian yang tidak bermanfaat. Buang kesibukan yang kurang bermanfaat dari segi pembangunan diri. Kita perlu sedar dan bangkit dari tidur panjang  yang tersangat lena.  Tidak sedar dari segi kurangnya mencari ilmu yang terlalu banyaknya di sekeliling kita. Ayuhlah. Semakin lama masa semakin pendek. Semakin singkat. Semakin dekat dengan penghujung usia kita.  Mudah-mudahan Allah memberi ganjaran kerana jihad kita berusaha mencari dan menambah ilmu. In sya Allah. Allahuakbar.