Pelangi hanya menjadi fakta pada waktu hujan.
Hakikatnya bila hujan panas. Hujan yang turun ketika bahagian lain langit
memancarkan cahayanya. Hujan dan cahaya mentari memancarkan warna yang bertujuh
tingkat. Kecuali warna putih. Yang lain memang indah berseni. Ciptaan Allah.
Wujud dan bukan ilusi. Boleh dilihat.
Boleh dirakam. Boleh diingat dan diabadikan dalam ingatan. Cumanya
pelangi bukan maujud secara fizikal. Ada rupa tetapi dipegang tiada. Ada warna
tetapi disentuh tiada. Manusia tidak boleh mengharap hanya pada pelangi.
Datangnya tidak menentu. Bergantung pula pada hujan dan pada masa yang sama
perlu ada cahaya matahari. Namun pelangi menjadi keindahan yang mencacah
harapan. Memberi bahagia dan membesarkan hati. Warnanya memukau rindu. Bayangnya menggamit yang jauh di hati.
Pelangi senja pula tidak lama. Cahaya mentari yang ada semakin pudar di balik
ufuk. Namun pelangi itu tetap berwarna. Tetap kelihatan jalinan warnanya. Tetap
seiring barisnya. Tetapi dengan lengkuk yang melingkar suasana. Pancaran dan
memancarkan. Cahayanya tetap kemilau.
Apabila kita menjadi semakin tua tidak banyak yang
dapat dilakukan secara fizikal. Kudrat tenaga memang sangat berkurangan. Susut
dan terhakis. Walau bagaimanapun kapasiti minda sangat kuat. Boleh melonjak
berganda-ganda. Syaratnya mendengar dengan bijaksana, banyak mengingat,
menghafal, membaca dan menulis. Kesemuanya menjadi amalan yang melengkapkan
proses atau kitaran hidup seorang insan berguna. Tidak ada manusia yang mampu
membuat matahari. Tidak mampu juga membuat hujan. Tetapi manusia boleh membuat
pelangi. Hadap ke mentari. Semburkan air melalui mulut. Atau gunakan alat
sembur yang halus airnya. Pasti kelihtan pelangi kecil. Pelangi juga. Setia
dengan susunan warna yang sama. Tidak mampu membuat pelangi yang besar dan
bercahaya. Pelangi kecil yang tidak signifikan masih boleh dilakukan. Diingat
tetap seni ada cantiknya. Bahawa dalam hati kita banyak lagi bunga wanginya.
Banyak warnanya. Yang kecil itu menghibur dan membahagiakan. Rangkaiannya
memanjang indah sepanjang jalan hidup yang terus panjang.
Ilmu yang sedikit bukan suatu kerugian. Setiap yang
bertambah tentulah banyak nilai tambahnya. Sedikit bukan ukuran setara. Sedikit
kepada seseorang mungkin terlalu banyak dan besar kepada seorang yang lain.
Mungkin juga tidak memberi apa-apa erti kepada orang lain. Kepada rakyat sekilo
beras bernilai sekitar RM2.50. Jika gaji mereka RM600 sebulan. Maka beras itu
nisbahnya 2.5:600. Ianya dianggap besar. Kepada orang besar, harga RM2.50
hanyalah 2.5:18,000. Kepada orang kaya 2.5:2,500,000. Tetapi orang kecil yang
tidak kaya tetap kaya pada dirinya. Memiliki ilmu yang mungkin tidak dimiliki
oleh orang besar atau orang kaya. Hidupnya tenang. Ada aman dan kebahagiaan. Tidak
banyak kegusaran. Bebas gerakannya. Aktif dengan ada sahaja yang dapat
dilakukan. Kekadang yang kecil itu menjadi besar signifikannya. Melingkari
seperti pelangi besar yang menaungi. Di bawah pelangi itu banyak yang dapat
dilakukan. Banyak kesempurnaan yang dapat dilaksanakan. Memang pelanginya tidak
dapat digarap rasa. Tidak dapat disentuh sasanya. Di bawah keindahan pelangi
itulah segalanya banyak membina. Memperkaya nikmat yang berganda-ganda. Bahagia
di bawah warna.
Pastinya tidak semua orang mendapat yang sama
belaka. Perbezaan banyak yang ketara dan mungkin tersembunyi. Merantau jauh
banyak yang dilihat. Jauh perjalanan banyak pandangan. Pandangan itulah yang
memperkaya. Kelainan yang kadang-kadang tidak diduga. Yang pentingnya iktibar
dan pengajaran yang diterima. Mengesahkan kebesaran Allah. Di kampung kita di
bawah kepompong. Lama di bawah tempurung. Budaya mengikat. Adat memerap. Resam kita
setempat. Berada di tempat orang membiasakan kita untuk melihat kelainan. Memahaminya.
Belajar untuk menjadi lebih baik dari dahulunya. Perubahan diri yang selalu
datang bersilih ganti. Menimbunkan lapisan-lapisan pengalaman diri. Tidak pula
perlu gah berbicara berjela-jela. Elok seperti padi yang penuh berisi. Tunduk malu
melindung isi yang banyak gunanya. Tidak kisah dipatuk pipit kerana pipit itu juga
membahagiakan. Menjadi pipit juga bahagia. Padi yang tunduk bergemal-gemal
buahnya. Isi. Hasil. Gunanya. Membahagiakan petani dan manusia yang makanan
rujinya beras dari padi. Darinya pelbagai ragaman makanan. Kuih-muih yang
berwarna warni. Ubat-ubatan dan kosmetik. Bahan kecantikan yang entah berapa
banyak dihasilkan. Hanya dari padi yang menunduk malu. Melestarikan generasi
manusia berzaman-zaman.
Apabila kita tua orang mengharap kita bahagia dalam
tua. Orang hanya banyak bertanya sihatnya. Berapa senarai cucu. Anak-anak kerja
apa. Persaraan dalam kerjaya selalunya menjadi penamat dalam banyak hal. Berehat
setelah berpuluh tahun menabur bakti. Benarkah begitu? Persaraan sebenarnya
ruang waktu yang santai. Tidak terikat dengan jadual dan adat. Tetapi sebagai
orang yang pernah bekerja kita masih memegang etika. Masih berprotokol. Masih beradab sopan. Menjadi
pesara sebenarnya banyak tuntutannya. Kita tidak boleh mematikan diri dari
aktiviti hanya kerana sudah bersara. Di luar sana banyak yang boleh diceburi. Sayang
jika persaraan membunuh segala-galanya. Pilihan dan alternatif terlalu banyak. Yang
masih bernafsu besar boleh berniaga. Yang ingin berkhidmat ramai yang berpersatuan.
Ramai juga yang membuat kerja amal. Yang penting diri pesara bukan kayu mati. Bukan
sudah tamat usia guna. Dalam diri seorang pesara masih banyak khazanah minda
dan pengalamannya yang perlu dikongsi. Yang perlu disampaikan kepada orang
lain. Yang masih boleh digurui. Yang masih boleh menjadikan orang lain lebih
membuka minda. Membantu yang memerlukan.
Jalan fikir tentu berbeza. Orang lama mungkin tidak
bijak teknologi. Tetapi ada kelainan yang jarang ditemui. Ramai pesara hilang dari
ingatan rakan dan taulan. Hilang dari senarai teman-teman. Alangkah baiknya
pesara semakin menyerlah diri. Ada dalam dirinya yang tidak pernah dilihat
orang lain. Ketika persaraan itulah potensi yang terpendam dapat dilahirkan. Saya
sendiri hanya mampu bercerita secara santai. Membebaskan fikiran dari berfikir.
Mengekspresi diri. Melihat keliling banyak yang boleh dicerita. Dulu sewaktu
bertugas, saya suka bercerita. Menggarap apa sahaja tajuk yang terlintas. Tetapi
yang mendengar hanya tidak seberapa. Mungkin dalam kelas yang hanya beberapa
puluh orang. Terhad dan terbatas. Menterjemahkan isi hati dalam tulisan lebih
senang rupanya. Kita boleh mengedit mana-mana yang tidak sesuai. Mana-mana yang
perlu diperbaiki bahasanya. Kelunakannya. Intonasinya. Bercakap selalu terlajak
kerana selalunya sepontan. Hanya latihan berpuluh tahun memberi keperhatinan
untuk memilih perkataan, bahasa dan mengarang ayat yang dimaksudkan lenggoknya.
Mudah-mudahan ada manfaatnya. Hidup ini terlalu indah untuk dilepas pandang.