Apa sebenarnya yang ingin kita wariskan
kepada anak cucu kita? Kadang-kadang kita terlupa tentang apa yang perlu kita
lakukan sebelum kita tinggalkan mereka untuk selama-lamanya.
1
Anak-anak yang soleh.
2
Ilmu yang bermanfaat.
3
Amal jariah.
Anak cucu kita adalah warisan kita.
Setakat mana harapan kita akan tercapai. Ini bukan harapan dunia. Ini adalah
harapan akhirat. Ramai antara kita sudah cukup dengan harapan dunia. Harapan
akhirat yang masih samar-samar lagi. Dalam negara yang pernah dijajah British
dahulu banyak harapan Islam yang tercicir. Tidak ramai anak-anak kita hafal
al-Quran. Tidak ramai yang menghafal al-hadith. Tidak ramai yang pakar dalam
bidang agama. Pada masa yang sama kita tidak pakar dalam bidang-bidang lain
sama ada fardhu ain mahupun fardhu kifayah. Apabila kita lihat sekeliling, kita
dapati orang kita tidak pula ramai yang menguasai dunia profesional. Tidak ramai
juga yang menguasai ilmu agama. Orang kita berada di persimpangan antara dekat
dengan jauh. Antara tahu dengan tidak berapa tahu. Antara terkehadapan atau
berada di pertengahan jalan. Larinya tidak laju. Jalannya tidak deras.
Tindakannya lambat. Lengah mengambil peluang. Selalu beranggapan bahawa
sesuatunya itu tersedia di hadapan mata. Psikologi British yang sangat licin,
licik, lembut dan menawan. Kita mengambil kesemuanya hingga kita tidak tahu
bahawa sikap kita terbentuk untuk menjadi Yang Manurut Perintah. Yes sir. Yours
truely. Kita menjadi jumud dan kaku.
Meninggalkan anak soleh dan solehah
tentulah dengan pendidikan agama. Tahu agama. Boleh memimpin dalam beribadat.
1
Boleh menjadi imam
solat.
2
Merawat ibu dan bapanya
apabila mereka sampai umur tua.
3
Memandikan jenazah ibu
dan bapanya.
4
Mengkapankan jenazah
mereka.
5
Menjadi imam solat
jenazah mereka.
6
Mendoakan mereka setiap
terluang masa.
Doa anak yang soleh mudah diterima
Allah. Banyak iktibar dari zaman dahulu yang boleh dijadikan iktibar. Uwais
al-Qurni adalah seorang darinya. Seorang lagi ialah seorang pemuda di zaman
nabi Musa a.s. juga contoh yang terbaik.
Anak-anak yang soleh ini membantu kedua ibu dan bapanya dari tidak
selamat kepada selamat. Malah ada yang dari neraka akan dipindahkan ke syurga. Memanusiakan
seorang anak yang soleh tidak seperti membuat kuih. Bukan kek. Bancuh ikut
sukatan. Bakar. Cukup masa masak untuk dimakan. Acuan anak soleh berbeza dengan
acuan membuat kuih.
1
Rugi tidak memikirkan
acuan anak soleh.
2
Rugi tidak mendapat
anak yang soleh.
3
Betapa ruginya tidak
meninggalkan anak-anak yang soleh setelah meninggal dunia.
4
Rugi tidak mendampingi
orang yang soleh.
Kita katakan bahawa untuk menjaga kedua
ibu dan bapa yang sudah tua adalah tanggungjawab anak. Rasanya tidak ada
kurikulum khusus untuk melahirkan anak soleh. Ibu dan bapa tidak melakukannya.
Sistem pendidikan tidak menyediakannya. Kita hanya berkata tentang anak soleh.
Banyak yang belum difikirkan atau tidak terfikirkannya.
1
Acuannya tidak ada.
2
Kurikulumnya tidak ada.
3
Kerangkanya tidak ada.
4
Prosesnya tidak ada.
5
Prosedurnya tidak ada.
6
Strateginya tidak ada.
7
Dasarnya tidak ada.
8
Skemanya tidak ada.
9
Standardnya tidak ada.
10
ISOnya tida ada.
(Mereka yang pakar dalam bidang agama
sahaja yang lebih mengetahui. Kita selalu lupa untuk merujuk kepada mereka.)
Semua kita hanya beranggapan bahawa kita
perlu melahirkan anak-anak yang soleh. Kita toleh kanan dan toleh kita, tiada
siapa yang boleh membantu. Semua orang berharap antara satu sama lain. Penulis
merasakan bahawa selama ini kita hanya bercakap tentang topiknya sahaja. Kita
jarang membentangkan peracangan strategik atau perancangan taktikalnya. Mungkin
ramai yang tahu bahawa sistem pendidikan kebangsaan bukan acuannya untuk
melahirkan anak-anak yang soleh. Terlalu banyak kes membuang orang tua.
Membunuh orang tua sendiri. Menipu orang tuannya sendiri. Bergaduh dan
mencederakan bukan lagi perkara yang dianggap luarbiasa. Berlaku di mana-mana.
Mungkin juga pembaca perasan bahawa kebanyakan kejadian sebegitu berlaku di
luarbandar. Di kalangan mereka yang berada dalam aras sosial yang rendah.
Tanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anak
seperti mudah selesainya. Kesemuanya nampak mudah. Beri makan. Kenyang dan
menjadi besar. Sediakan pakaian. Sekira-kiranya menutup aurat. Hantar ke
sekolah. Pandai atau tidak sistem yang menentukan. Kita pusing ikut manapun
kita dapati tiada kurukulum untuk melahirkan anak yang soleh. Wariasan yang
hendak kita tinggalkan seperti tiada dalam perancangan. Seharusnya kita bukan
sahaja memikirkannya tetapi mengusahakannya sehingga kita melahirklan kesemua
anak-anak kita yang memiliki ciri-ciri dan sifat-sifat soleh itu. Dari kecil
lagi sudah dipamerkan wajah solehnya. Akhlaknya. Keperihatinanya. Aktif,
reaktif dan yang paling penting proaktif terhadap orang tua masing-masing.
Proses itu berterusan sehingga anak soleh itu benar-benar terjelma dalam setiap
keluarga.
1
Cintakan Allah. Beriman
kepadaNya dan tanpa syirik. Sempurnakan semua perintahNya dan menjauhi segala
laranganNya.
2
Cintakan Rasul sebagai
utusan Allah. Berselawat sebanyak mungkin. Laksanakan ajarannya. Amalkan sunnahnya.
3
Cintakan kedua ibu dan
bapa tanpa sebarang halangan. Semasa tuanya mereka bergantung harap kepada
anak-anak. Tanggungjawab anak-anak untuk memberikan yang terbaik untuk mereka. Mereka
telah menyediakan yang terbaik untuk anak-anak mereka setara dengan kemampuan
mereka. Tidak pernah ada jemunya sama ada sakit atau sihat. Penat atau santai. Malam
atau siang. Kesemuaya telah dilakukan untuk anak-anak. Doakan mereka sama ada
masih hidup atau telah tiada. Tanya apa mahunya. Tanya apa sakitnya. Tanya apa
masalahnya. Bicara dengan baik. Tidak mengeluh. Banyak bersabar. Hormati mereka
sebaik-baiknya.
4
Cintakan al-Quran. Baca,
kaji dan huraikan maksudnya. Ambil pengajarannya. Amalkan perintah Allah. Jauhkan
larangannya. Baca setiap hari. Seberapa boleh menghafalnya. Agendakan supaya anak-anak
hafal al-Quran. Besar manfaatnya kepada keluarga dan kepada jiran tetangga serta
masyarakat tempat tinggalnya.
5
Cintakan sahabat-sahabat
Nabi. Mereka dicintai Rasulallah. Penyambung warisan Rasulallah. Dari mereka
kelangsungan agama. Mereka pula antara umat yang dijamin masuk syurga.
6
Cinta kepada keluarga
Rasulallah. Mereka adalah ahlul bait. Mencintai ahlul bait seperti mencintai
Rasulallah. Kehadiran ahlul bait seperti kehadiran Rasulallah.
7
Mencintai guru, orang
tua, jiran tetangga dan manusia keseluruhannya. Cinta sesama makhluk. Begitu juga
dengan haiwan dan alam sekitar.
8
Cinta solat lima waktu.
Tiang agama yang tidak boleh diabaikan. Dari berdiri boleh duduk. Dari duduk
boleh baring. Dari baring boleh hanya mengedip mata. Namun meninggalkannya
tidak boleh. Tidak boleh. Noktah.
9
Cintakan masjid. Cintakan
rumah Allah. Beribadat di dalamnya. Memakmurkannya. Mengimarahkannya. Munajat di
dalamnya. Berdoa di dalamnya.
10
Cintakan keluarga. Dari
nenek dan datuk hinggalah ke anak cucu. Utamakan keluarga. Dahulukan keluarga. Doakan
kesejahteraan mereka. Beri yang terbaik untuk mereka. Kasihi mereka supaya
mereka mengasihi kembali.
11
Cintakan fakir miskin. Anak-anak
yang memiliki hati yang lembut. Pengasih dan penyayang. Simpati dan emati. Selalu
berbudi luhur.
12
Rajin belajar untuk
memperbaiki diri. Mencari nilai tambah yang diredhai agama.
Ibu dan bapa, itulah agenda kita untuk
melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah. Jika berat, ringankan. Jika susah,
senangkan. Jika rumit, usaikan. Tanam benih kasih dahulu untuk menuai hasilnya yang
indah dan berseri. Cantiknya dari dunia hingga ke akhirat. Tugas ibu dan bapa
untuk membentuk anak-anak yang soleh dan solehah. Banyak belajar. Banyak bertanya.
Mintalah nasehat. Belajar dari kejayaan orang lain. Bergurulah sebanyak
mungkin. InsyaAllah banyak manfaatnya kepada keluarga tersayang.