Tuesday, December 17, 2019

Berserah Kepada Allah


Saat kita dalam situasi santai, kita menyangka bahawa kitalah yang paling damai. Paling bahagia. Paling harmoni dengan persekitaran kita. Memangpun kita selalu mengharap kesemuanya itu milik kita. Kita berusaha untuk mencari atau menciptanya. Namun dalam liku-liku hidup kita ada suratan yang tidak kita ketahui. Sebesar mana sekalipun kita merancang, perancangan Allah jua yang mendasari kehidupan kita. Sebenarnya apabila kita berpegang dengan qada’ dan qadar Allah kita mendapat kebahagian yang lebih indah dan bermakna mendalam. Emosi kita tenteram. Psikologi kita stabil. Fikiran kita terancang cantik.

Kita adalah kita. Manusia biasa yang selalu terfana apabila berhadapan dengan situasi negatif. Kita selalu merasa berat. Hati berat. Fikiran berat. Tindakan juga mungkin berat.  Impak negatif ini menyulitkan sebenarnya. Kita naik angin. Kita berang. Kita marah. Kita mendengus. Kita menjadi tidak keruan. Kita merasa seolah-olahnya persekitaran kita memusuhi kita. Andainya kita boleh bertenang, tentu kita boleh mengimbas kembali bahawa titik-titik indah yang berwarna pelangi adalah lebih banyak dari titik hitam yang kelihatan satu atau dua. Kita tahu yang hitam itu apa. Kita tahu yang hitam itu hanya terlalu sedikit berbanding yang berkilau dan berpelangi.

Andai kita selalu positif, kita akan terus bahagia dengan warna-warna pelangi di sekeliling kita. Yang menerangi hati. Yang membelai sanubari. Tetapi andai kita berhenti melihat yang indah maka kita tenggelam dalam melihat yang hitam legam walaupun hanya sebagai titik kecil yang tidak signifikan dalam taburan pelangi yang berwarna-warni. Hati kita perlu selalu dipujuk supaya memandang yang baik-baik akan apa yang ada di hadapan kita. Bukan melihat yang buruk yang sudah kita tinggalkan. Jadikan sejarah sebagai panduan untuk melonjak ke hadapan. Memburu keindahan yang masih banyak di hadapan sana.

Kita mungkin rasa sakit kehilangan sesuatu. Bagi yang redha, Allah gantikan dengan yang lebih banyak dan yang lebih baik. Syaratnya redha dan redha. Kembalikan segalanya kepada Allah kerana semuanya adalah milik Allah jua. Kita juga milik Allah. Yang hilang itu Allah ambil untuk diganti yang lebih baik. Jika kita sedar hakikat ini, maka hidup kita penuh bahagia sebenarnya. Bukan duka lara seperti yang kita rasa. Cuma sisi pandang kita perlu diubah supaya apa-apa yang negatif dilihat dari sudut positif. Ia perlukan disiplin yang bergerak dari asas. Mendisiplinkan diri supaya banyak bergantung kepada Allah. Menyerahkan diri kepada Allah. Biar akal menguasai diri. Bukan emosi yang selalu membawa kita kepada situasi payah.

Kadang-kadang untuk bahagia itu tidak memerlukan kos yang tinggi. Itupun jika kita kira sebagai kos.
1                     Solat. Yang wajib dan yang sunat.
2                     Doa dan zikir.
3                     Puasa. Banyak manfaatnya.
4                     Infaq harta, masa, tenaga, buah fikiran dan banyak lagi. Bawa harta ke syurga dengan        cara ini.
5                     Banyak sedekah.
6                     Banyak senyum.
7                     Bawa diri unutk bertenang. Bukan kepoh dan berfikiran kacau.
8                     Hidup ada SOP (standard operation procedure). Ada panduan umum dan khusus.
9                     Kenalpasti tiap situasi. Bina proses berhadapan dengan situasi yang berbeza.
10                 Kembangkan kebaikan dan tinggalkan keburukan.

Kita melayari kehidupan yang bukan diri kita yang mencorakkannya. Masa hadapan tidak ada yang kita ketahui. Kita akan mati. Pasti. Tetapi banyak ketidakpastiannya.

1                     Bila? Tarikh dan saatnya.
2                     Di mana kita akan mati.
3                     Sebab musabab kita mati.
4                     Di mana kubur kita.

Jika urusan ini kita serahkan kepada Allah, fikiran kita akan pebih tenang. Tidak perlu banyak difikir perkara-perkara yang bercapah. Yang penting:
1                     Hidup berusaha.
2                     Banyak doa dan zikir.
3                     Banyak istighfar.
4                     Banyak tawakkal.

Hidup kita ini perlu diteruskan dalam agenda Allah. Bukan agenda kita. Agenda Allah adalah hak. Agenda kita pula perlu ditapis dan disejajarkan dengan syariah beragama. Patuh syarie. Kita lemah. Kita serba kekurangan sebagai manusia. Kepada Allah kita berserah.  

Monday, September 16, 2019

Mengangkat Diri




Menghadiri temuduga adalah untuk semua calon yang layak. Banyak elemen penyingkiran (elimination) dilakukan terhadap calon-calon sebelum mereka disenaraipendekkan. Walaupun mereka layak, masih terdapat calon yang gagal dari awal hingga akhir kehadirannya. Memang benar calon-calon:

1                    Memiliki kelayakan akademik dan mungkin profesional.
2                    Memiliki kemahiran yang diperlukan sama ada teknikal atau seni.

Kesemua itu tidak membantu jika calon tidak memiliki kemahiran sosial (soft skill). Kemahiran berinteraksi dengan orang lain. Panel penemuduga adalah mereka yang berkemahiran. Berpengalaman dalam berbagai bidang sama ada teknikal ataupun kemanusiaan. Mereka boleh mengenalpasti calon yang berpotensi pada pandangan pertama.

1                    Langkah calon memasuki bilik temuduga sudah memadai untuk menentukan calon itu boleh dipertimbangkan ataupun tidak.
2                    Cara mereka duduk juga memberikan petunjuk tentang keperibadian calon.
3                    Cara bercakap, intonasi suara akan mendedahkan kekuatan dan kelemahan calon. 
4                    Jawapan-jawapan yang diberi, hujjah yang dikemukakan adalah kunci penting sama ada seseorang calon benar-benar layak sebagai bakal staf sesebuah organisasi.

Jangan sekali-kali berfikiran stereotaip. Temuduga adalah formaliti sahaja. Sudah ada calon yang ditentukan lebih awal. Jangan dan jangan. Anggap kesemua itu tidak benar. Setiap calon mempunyai peluang sama rata. Setiap calon ada harapan untuk berjaya. Jika kit amembuat stereotaip, kita menjadi lemah dan ianya dikesan oleh panel penemuduga. Ianya menjadi alasan untuk menyingkirkan calon. Oleh yang demikian calon perlu berusaha untuk menjadi yang terbaik. Lebih baik dari calon-calon yang lain. Calon-calon perlu mempamerkan:

1                    Kecerdasan luarbiasa.
2                    Berwibawa.
3                    Berimpak tinggi.
4                    Berhujjah aras tinggi.
5                    Berwawasan jauh ke hadapan.
6                    Sensitif dengan isu semasa.

Ramai calon yang tidak bersungguh-sungguh dalam menghadiri temuduga. Antara kelemahannya:

1                    Tidak mengetahui tugas jawatan yang dipohon.
2                    Di mana kemungkinan akan ditugaskan.
3                    Masalah-masalah yang berkemungkinan akan dihadapi.
4                    Kemahiran menyelesaikan masalah.
5                    Kemahiran membuat keputusan kritikal.
6                    Kemahiran memutar pendapat bersesuaian dengan topik yang sedang dibincangkan.

Perhatikan dialog berikut:

Panel: Apakah jawatan yang tuan pohon?
Calon: Pegawai pertanian.
Panel: Apakah bidang kepakaran tuan?
Calon: Penyelidikan.
Panel: Apakah tugas yang akan tuan lakukan jika berjaya menjawat jawatan ini?
Calon: Saya rasa saya akan membuat berbagai tugas yang sinonim dengan jawatan saya.
Panel: Contohnya?
Calon: Antaranya saya rasa ialah mengkaji baja yang sesuai untuk semua jenis tanaman. 
Panel: Ada had masa dalam membuat kajian?
Calon: Saya rasa bergantung kepada kajian yang dibuat.

Tugas tidak bergantung dengan rasa. Ia telah termaktub. Telah disistemkan. Ada prosedur dan ada SOPnya. Standard operation procedure. Kajian dan penyelidikan ada had masa. Bakal pekerja wajar membuat semakan atau penyelidikan tentang tugas-tugas am dan khusus sesuatu jawatan. Barulah berkeyakinan tinggi apabila dilontarkan soalan-soalan yang relevan dengan jawatan yang dipohon. Jangan dilihat sebagai malas, tidak ambil peduli, acuh tak acuh dan tidak serius. Calon memberikan jawapan tetapi cara ia menjawab diberi pukulan maut oleh panel penemuduga.

Calon tidak boleh kelentong. Tidak boleh main teka-teka. Atau agak-agak. Panel akan menjadi geram dan malas hendak bertanya. Calon yang jangka masa temuduganya sangat singkat sudah diketahui bahawa dirinya gagal. Calon yang terlalu banyak disoal juga mungkin sekadar untuk mengesahkan kelemahan calon tersebut. Ada kalanya calon berhadapan dengan situasi berikut:

1                    Soalan terlalu berat hingga tidak terjangkau fikiran untuk menjawabnya.
2                    Terlalu banyak hingga meletihkan.
3                    Calon malas bercakap.
4                    Suara terlalu lemah. Diminta untuk menguatkan suara.
5                    Tiada intonasi pada suara.
6                    Gagap, tersekat-sekat dan banyak gangguan dalam berkomunikasi seperti: hah, emm, err. Atau sekadar menggelengkan kepala atau mengangkat bahu.

Kepada panel, apa-apa perlakuan yang dianggap negatif dijadikan alasan untuk tidak mengambil seseorang calon menjadi pekerja baru. Yang dicari ialah:

1                    Calon yang banyak idea.
2                    Bijak bercakap dan berhujjah.
3                    Santai tetapi tidak sambil lewa.
4                    Mesra tetapi tidak mengada-ngada. Masih menjaga adab dan adat temuduga.
5                    Tidak memprotes atau melepaskan emosi apabila memberi pendapat.
6                    Berfikiran luas. Skop pengetahuannya mencakup berbagai bidang.
7                    Ada kecenderungan mendengar pandangan orang lain. Menerima nasihat dan cenderung untuk mempelajari sesuatu yang baru.  

Akhirnya calon yang berpotensi untuk walk the talk akan berjaya. Maksudnya bukan sahaja calon itu berkelayakan di atas kertas (ijazah berjela) tetapi ia memiliki kemahiran yang diperlukan untuk melakukan tugas yang akan diberikan kepadanya. Memiliki sedikit kemahiran atau bersedia untuk mendapatkan kemahiran. Ada sedikit pengalaman berkaitan dengan jawatan yang dipohon. Sebenarnya sukar untuk dinyatakan dengan perkataan. Tetapi calon yang berjaya masih terdedah dengan berbagai kemungkinan.

1                    Go-error. Calon yang dipilih didapati tidak elok prestasinya.
2                    Drop-error: Calon yang baik tidak diperakukan.

Walau bagaimanapun setiap calon hendaklah mempersembahkan yang terbaik dari berbagai aspek.
1                    Tahap akademiknya. Diperlihatkan kecerdasan mindanya yang terbaik.
2                    Kemahiran kemanusiaan yang tinggi kerana seseorang itu perlu berinteraksi dan berkomunikasi dengan rakan sejawat dan stake holder organisasi serta pelanggan.
3                    Berinteraksi dan berkomunkasi dengan baik.
4                    Hormatkan orang lain.
5                    Meraikan perbezaan.
6                    Fokus dan serius dari segi semangat dan hasrat diri.

Mengangkat diri bukan semulajadi. Ia perlu dibina dengan banyak belajar. Banyak melihat sekeliling. Menimba pengalaman dari orang lama. Amalkan yang terbaik dan buang amalan yang tidak produktif.

Saturday, September 14, 2019

MENGENALI DIRI SENDIRI




Kita sering merasakan bahawa diri kita adalah yang terbaik di kalangan semua manusia yang berada di sekeliling kita. Ada dua implikasi terhadap perasaan ini.

Pertama: impak positif.
Kedua: impak negatif.

Secara positifnya kita merasa yakin diri. Banyak yang perlu disumbangkan. Semangat kita selalu bergejolak untuk melakukan yang terbaik dalam hidup kita. Kita ingin mempengaruhi orang lain supaya menjadi kita  yang istimewa. Kita ingin mengubah dunia. Banyak yang perlu kita lakukan untuk merealisasikan impian dan hasrat diri yang selama ini terpendam. Andainya peluang itu tiba, maka keinginan untuk mempamer yang terbaik kebarangkaliannya sangat tinggi akan berjaya.

Secara negatifnya dapat dilihat dari dua sudut. Orang di sekeliling kita mungkin tidak suka cara kita kerana mengganggu hidup damai dan harmoni yang sedang mereka lalui selama ini. Mereka tidak berapa akur untuk berubah, tidak membantu perubahan berlaku, mekanisma perubahan tidak boleh berlaku. Impian untuk melihat perubahan akan mengecewakan. Dari sudut ini, hanya mereka yang benar-benar memiliki keyakinan diri yang tinggi sahaja yang akan survive.   

Oleh yang demikian, fitting into the system adalah alternatif yang terbaik. Dari dalam, kita cipta dinamisme perubahan. Untuk berubah:

1                 Ubah diri sendiri dulu. Ubah penampilan, ubah pertuturan, ubah pergaulan, ubah tingkahlaku lebih positif, ubah cara berinteraksi dengan orang lain. Bersikap terbuka. Banyak belajar kendiri, belajar kerana di”sekolahkan” oleh orang lain, belajar dari kesilapan.
2                 Melihat sekeliling untuk mengesan di mana perubahan paling sesuai boleh dilakukan.
3                 Lakukan perubahan yang tidak terlalu ketara. Cuma orang mungkin mengesan suatu perubahan telah belaku.
4                 Ingat, tidak ramai orang yang perlukan perubahan, tidak mahu perubahan, tidak mengetahui perlunya perubahan dan tidak akan membantu sebarang perubahan.

Di pejabat, meja kita mengadap kaunter dan pintu. Lazimnya begitu. Pada perasaan semua orang kita boleh mengesan jika ada orang datang. Tetapi pada hakikatnya ketika orang itu sudah berada di hadapan meja kita, baru kita perasaan. Ini kerana sewaktu melakukan tugas di meja, kita lebih banyak menundukkan kepala melihat apa yang kita lakukan dan bukan melihat apa yang ada melangkaui meja kita.  Sebaliknya jika meja kita selari dengan kedudukan kaunter ekor mata kita memainkan peranan. Ia fizikal dan psikologikal. Ekor mata kita boleh mengesan pergerakan lebih jauh dari yang kita bayangkan. Sebelum pelanggan sampai di kaunter, kita sudah berdiri menyambut kehadirannya. Melakukan perubahan yang sangat kecil sebegitu pasti mendapat tentangan. Bukan dari rakan sekerja bahkan dari ketua pejabat. Pengalaman peribadi penulis.

Menyesuaikan diri dengan perubahan dilihat sukar jika kita:

1                    Tidak mahu berubah.
2                    Tidak mahu menyesuaikan diri.
3                    Tidak membantu perubahan supaya berlaku.

Sebagai staf yang tidak ada kuasa, banyak yang boleh kita lakukan:

1                 Jadi ahli yang aktif dalam mesyuarat, taklimat dan perubahan. Jangan simpan perasaan, cadangan, idea atau saranan-saranan yang boleh dikongsi dengan orang lain.
2                 Belajar menyampaikan idea dan hujjah dengan bahasa, istilah dan intonasi suara yang mengesankan.
3                 Apabila sesuatu cdangan dikemukakan, buat kajian segera sepantas kilat. Kesan jika ada kelemahan. Buat cdangan balas yang lebih menasabah, lebih ekonomik, lebih menasabah kebarangkalian untuk berjaya.
4                 Mereka yang banyak bercakap tidak disukai. Itu fakta. Tetapi jika disampaikan dengan bersahaja tanpa emosi, orang lain akan memberikan perhatian mereka. Isi dengan data, dengan dapatan kajian, dengan fakta semasa.

Dalam organisasi kita mungkin bukan siapa-siapa. Jangan jadikan itu sebagai alasan untuk:

1                    Tidak aktif.
2                    Tidak melahirkan idea.
3                    Malas bercakap.
4                    Kecewa, merungut, mengumpat dan memperlekehkan orang lain.
5                    Meninggalkan amalan yang baik.

Menyesuaikan diri ini amat penting dalam jangka panjang. Kerja bukan mudah diperolehi. Apa yang ada perlu dijadikan kerjaya yang berjaya pada masa hadapan. Ada kesabaran untuk mencapai cita-cita diri. Kejayaan tidak boleh dicapai dalam masa singkat. Bukan sehari atau dua hari. Jika kita menjadi unfit dalam organisasi, lebih baik keluar sebelum dikeluarkan. Kadang-kadang kita turun merendah diri untuk membiasakan diri dengan hal-hal di peringkat bawahan. Apa salahnya pegawai:

1                    Menyusun meja dan kerusi.
2                    Menyapu sampah.
3                    Membuang sampah.
4                    Membancuh kopi sendiri.
5                    Bancuh kopi untuk orang lain.

Melakukan kerja-kerja “bawahan” lebih memesrakan diri, dihormati dan dihargai. Malah disegani orang keliling. Kita tidak boleh jadi detached dengan realiti hidup bermasyarakat. Lebih banyak yang boleh kita lakukan, lebih hormat orang kepada kita. Syaratnya bukan menunjuk-nunjuk dan bukan pula untuk diwar-warkan atau dikomersilkan. Yang paling baik ialah lakukan dan senyapkan. Biar dilihat bukan untuk didengar.

Sebenarnya ramai orang gagal bermasyarakat atau bersosial. Sebabnya:

1                    Mereka hanya banyak melihat dan bukan membantu.
2                    Mereka membantu sedikit dan melepaskan kerja itu untuk dilakukan oleh orang lain.
3                    Mereka tidak memiliki rasa malu kerana hanya mampu melihat bukan membantu.
4                    Mereka perlu “diketuk” untuk bergerak. Inisiatif tiada pada diri.
5                    Mereka meninggalkan orang lain untuk melakukan kerja sementara mereka lesap tanpa      bayang.
6                    Suka menyalahkan orang lain (blame game). Orang lain sahaja yang salah.

Ramai orang lupa bahawa diri kita diperhatikan orang lain. Baik kita, ketara. Buruk kita juga ketara. Dalam peribahasa Jawa, “Seng apik ketitik, seng olo ketoro.” Maksudnya yang baik itu dilihat baiknya. Yang buruk pula dilihat juga buruknya. Dalam organisasi ramai ahli yang mengelak untuk melakukan kerja dan tugas yang terbaik. Tetapi merekalah yang ingin bahagian ganjaran yang lebih banyak. Mereka lupa menilai diri. Setakat mana sumbangan mereka untuk melaksanakan sesuatu aktiviti. Kualitinya entah di mana. Kuantitinya tidak kelihatan.

Memperbaiki diri perlu dengan cara refleksi diri atau muasabah diri:

1                    Apakah kita telah melakukan yang terbaik?
2                    Apakah cukup kuantiti tugas yang kita lakukan?
3                    Adakah kualitinya melebihi keperluan?
4                    Adakah ianya menyumbang kepada kejayaan bersama? Atau terlalu sedikit?
5                    Adakah kita memiliki perasaan “cukuplah tu”?
6                    Apakah lagi yang perlu kita perbaiki? Diri kita, hasil kerja kita, pencapaian kumpulan,        pencapaian unit, pencapaian jabatan, pencapaian organisasi.
7                    Apakah bidang lain yang perlu kita pelajari?
8                    Bagaimanakah cara untuk menjadi lebih efektif dan lebih efisien?

Carilah di luar sana dengan banyak membaca, banyak bertanya, banyak melihat, banyak berseminar dan banyak berinteraksi dari mereka yang lebih arif. Belajar dari mereka yang banyak pengalaman. Mereka yang berjaya. Mereka yang lebih tua dalam industri atau organisasi. Belajar untuk menjadi lebih baik dan terbaik.