Sunday, February 28, 2021

Menunggu Syurga

 


 

Alhamdulillah, hari ini Allah anugerahkan lagi seorang cucu.

Yang ke-28. Seorang perempuan yang ke-10. Menunggu dua lagi. In sya Allah hingga hujung tahun 2021 ini akan genap 30.  

11 orang daripadanya sudah melepasi 12 tahun. 16 orang lagi di bawah 12 tahun.

4 orang melepasi ijazah pertama mereka. Seorang masih di IPT. 3 orang lagi hafiz. 2 lelaki dan seorang perempuan.

Esok bermula satu episode lagi. Seorang cucu lelaki akan memulakan sekolah kebangsaan. 10 orang lagi belum bersekolah.

 

Riang juga memikirkan ramai cucu. Alhamdulillah masih ingat turutannya dan nama masing-masing.

 

Apakah tandanya sudah tua apabila ramai cucu? Mungkin juga begitu kerana usia susut ditelan masa. Kita melangkah semakin jauh. Masa berlalu sangat pantas. Telah melalui beberapa zaman yang tidak semua orang melaluinya.

 

Asalnya berjalan kaki.

Melalui zaman berbasikal.

Zaman menggnakan motorboat dan sampan.

Zaman keretapi dan bas henti-henti.

Zaman bas ekspres.

Bermotorsikal.

Berkereta.

Terbang merentas benua dan dunia.

Zaman gadget dan teknologi.

 

Ke mana lagi hendak dituju? Masa semakin hampir sudahnya. Tidak juga berada jauh. Setia di sini sahaja. Pi mai pi mai tang tu juga. Kita tidak menampilkan apa-apa yang istimewa. Sekadar mampu melaksanakan mengikut kudrat yang ada. Pada diri tidak terasa apa-apa. Dari dulu hingga sekarang dirasa serupa sahaja. Tetapi bak kata almarhum guru saya, tulang-temulang di dalam  terasa reputnya. Tenaga sangat surut. Semangat tinggal di hujung usia.

 

Langkah tetap diteruskan selagi belum sampai noktahnya. Banyak agenda diri dan keluarga. Namun banyak juga menyorot ke belakang. Mengingat lagi di mana perhentian yang terakhir. Ke mana perhentian yang akan menjadi destinasi baru. Pusing keliling, ramai sahabat yang telah pergi dahulu. Paling memberi kesan ialah perginya ramai ulamak, waris para anbia’. Tanda-tanda ilmu  Allah angkat. Yang tinggal sisa-sisanya. Baki bekal untuk generasi terkemudian. Melestarikan generasi ketiga banyak juga ruang lingkupnya. Cucu-cucu masih kenal datuk dan neneknya. Mudah-mudahan dapat melihat generasi keempat.

 

Zaman covid 19 ini mengingatkan surah ‘Abasa ayat ke-34-37 (80:34-37). Ketika pandemik covid 19 diisytiharkan masing-masing mencari perlindungan diri.

Terpisah dari ibu dan ayah.

Terpisah dari suami dan isteri.

Terpisah dari adik-beradik.

Terpisah dari sahabat taulan.

 

Beberapa ketika kita lupa mereka semua. Sekarang kita mula merindui orang-orang yang dekat di hati. Tetapi PKP menghalang pergerakan. Darurat melarang banyak rentasan. Tiada rentasan daerah. Tiada rentasan negeri. Jauh sekali rentasan negara. Namun kita tetap merentas masa melalui media. Masih dapat melihat wajah-wajah tersayang. Melihat tawa dan senyum mereka. Melihat bangun tubuh mereka. Sudah berbulan-bulan tidak menyentuh wajah-wajah itu. Tidak dapat memeluk dan mendakap mereka. Tidak dapat mencium mereka. Tidak dapat mendokong mereka. Rindu dan rindu sahaja yang ada.

 

Semuanya seperti raptai hari kiamat. Huru hara yang haru biru. Tiada siapa yang kita ingat kecuali sibuk dengan urusan diri yang tidak menentu. Ia akan berpanjangan dari sangkakala pertama , sangkakala kedua, padang mahsyar, hisab, titian sirat dan in sya Allah ke syurga dengan rahmat Allah. Kesemuanya masa yang sangat lama ini, kita lalui bersendirian. Hanya di syurga nanti baru kita mencari orang-orang yang kita sayang. Setelah kita tenang, aman dan tenteram. Setelah merasa damai, baru kita teringat kembali semua yang kita sayangi dahulu di dunia.

 

Pandemik ini peringatan. Covid ini amaran. Ujian ini ingatan dari Allah. Bahawa kita akan melalui lebih banyak ujian pada masa hadapan. Lebih banyak dan lebih berat. Pastinya berskala besar dan dahsyat. Oleh itu bersegeralah kita melakukan yang terbaik untuk meraih redha Allah. Usia hidup kita semakin singkat dan akan terus singkat. Hanya tinggal esok atau lusa. Belum tentu kita sampai tulat atau langkat. Pekan terasa sangat lama dari saat ini. Oleh itu:

 

Berbuatlah amal yang paling banyak dan paling baik.

Selalu menginsafi diri bahawa kita akan pasti kembali kepada pencipta kita, Allah SWT.

Masa semakin suntuk dan semkin dekat penamatnya.

Banyakkan belajar kerana kita banyak tidak tahu.

Banyak memberi kerana itulah yang akan menunggu kita di sana. Kirimkan dahulu ke akhirat. Banyakkan infaq.

 

Antara datuk dan cucu hanya berbeza usia. Bertemu sebentar mengenal dan bersapa. Kita akan berpisah jua bila sampai masanya yang Allah tentukan. Dunia ini fana dan tidak ada yang kekalnya. Di sana nanti kita akan berkampung dan kekal abadi bersama . In sya Allah dengan izin Allah dan dengan rahmatNya. Kita Kembali ke kampung asal kita yang bernama syurga.