Friday, January 21, 2011

O'Hare Airport

Ada saya sebut sebelum ini. Lapanganterbang ini di Chicago. Antara yang terbesar di Amerika. Tentulah antara yang tersibuk. Jika orang yang minat sukan lasak, di sinilah duduknya Chicago Bear. Pasukan bolasepak Amerika Syarikat. American Football. Bukan bola sepak macam kita main. Bola sepak dia. Ciptaan dia. Popular di Amerika. Pemainnya boleh jadi jutawan jika mencapai kejayaan. Dibayar mahal sebagai pemain. Bertambahlah mahal sebagai bahan iklan. Malah namanya akan gah sebagai jenama sesuatu produk. Di Malaysia pun ada. Dunkin Donuts. Dunkin adalah nama seorang ahli sukan. Saya tak ingat sukan apa. Tetapi ahli sukan. Namanya gah seluruh dunia sebagai jenama donat. Sudah lama bersara. Entah-entah sudah tiada. Tetapi namanya masih boleh mengkayakan waris-warisnya. Cuba ambil iktibar. Kejayaan dalam apa bidang sekalipun akan dihargai. Besar nilainya. Menjadi simbol kepada faedah-faedah lain yang menyusuli kejayaan itu.

22 Disember 1984 saya dan keluarga berada di O’Hare Airport itu. Penuh sesak. Terlalu ramai orang. Muzik yang didengar serupa sahaja di mana-mana. Jingle bell, jingle bell, jingle all the way. Diakhiri dengan Merry Christmas and Happy New Year. Itulah budaya di sana. Cuti Christmas itu disambung dengan cuti tahun baru. Maknanya selama dua minggu mereka pastinya bercuti. Minggu terakhir Disember semuanya dalam holiday mood. Mereka semua down tool. Celebration all the way. Saya pula daif tentang itu. Tiada juga orang yang menasihati. Kerana itu timingnya tidak menepati sepertinya. Sepatutnya saya ke sana pada pertengahan bulan Januari. Seminggu selepas New Year belum ada tanda-tanda kelas hendak bermula.

Orang Putih lebih banyak individualistik. Pentingkan existentialism mereka sendiri. Bila sudah membuat keputusan sukar dirombak walau atas alasan apapun. Walaupun menyambut Christmas, mereka lebih suka menyendiri. Mungkin dengan kekasih. Harapan mereka yang lebih di utara ialah merayakannya sebagai White Christmas. Bukan berwarna putih. Mereka tidak perlukan warna itu. Yang mereka harapkan ialah snow turun pada malam Christmas itu. Esoknya pada 25 Disember itu, bumi terhampar putih melepak diselaputi salji. Putih di mana-mana. Putih seputihnya. Saujana mata memandang. Melaut dari sekeliling rumah hinggalah ke bukit dan ke gunung. Dari tanah hinggalah di dahan dan ranting kayu. Hinggalah ke bumbung-bumbung rumah. Pendek kata apa sahaja yang menghadap ke langit pastinya putih diselaputi salji itu.

Dalam dingin winter itulah terselit keindahannya. Di dalam bangunan semuanya hangat. Bangunan apapun pastinya hangat kerana ada alat pemanas. Begitulah di dalam kereta dan di dalam bas. Atau lori sekalipun. Memerap di rumah dalam cuti yang panjang dikira membahagiakan. Tidak perlu kerja kerana tiada siapa yang bekerja. Semua orang merayakan dua hari bahagia itu. Christmas dan New Year.

Mereka tidak kunjung mengunjung. Jarang sangat berlaku. Tidak juga mereka menziarahi keluarga mereka. Tidak untuk menjenguk ibu dan ayah. Kakak atau abang. Nenek atau saudara mara. Cuti itu untuk dinikmati sendiri. Mungkin ada teman-teman yang merayakannya. Hanya untuk beberapa orang. Bukan seperti kita dengan open house. Jemput semua orang. Itu bukan budaya mereka. Itu budaya kita. Dua budaya yang berbeza. Samalah juga bila mereka mengadakan majlis perkahwinan. Yang dijemput hanya keluarga terdekat dan rakan-rakan yang paling rapat. Berapa orang? Kadang-kadang hanya 20 orang. Cukup. Bukan 2,000 orang seperti kita. Majlis itu dihebahkan tetapi bukan untuk mengundang orang turut serta. Makluman sahaja.

22 Disember di O’Hare Airport itu mengajar saya untuk mengerti budaya orang. Denganya saya perlu memahaminya supaya ada rasa hormatnya hal-hal yang ada nilainya dalam budaya orang lain. Kita tidak boleh mengukur sesuatu itu dengan perspektif kita. Kayu ukurnya bukan kita. Kita tidak memegang kunci itu. Tidak boleh dengan persepsi kita. Nilai baik atau buruk itu mengikut nilai penganutnya. Bukan yang menyaksikan.

Memandang keluar lapanganterbang itu mengasyikkan juga. Di landasan sudah ada tompokan-tompokan salji yang turun mungkin pada hari-hari sebelumnya. Nampak sudah keras menjadi ais. Tetapi bukan di landasan. Hanya di tepi-tepi bangunan di lapanganterbang itu. Jika di landasan, lapanganterbang itu pasti ditutup untuk lalu lintas udara. Landasan yang licin boleh mengakibatkan kapalterbang tergelincir dari landasan. Selalunya lapanganterbang itu dibersihkan setiap kali salji turun. Ada kaedah yang dijalankan untuk mencair dan membuang salji itu. Banyak garam ditabur di jalanraya supaya dapat mencairkan salji. Akan juga disodok dengan traktor. Jalanraya dan landasan dipastikan sentiasa bebas salji.

Di O’Hare Airport inilah saya bertemu dengan teknologi di bilik air. Benarlah kata orang tua-tua. Banyak berjalan luas pandangan. Nampaknya saya bukan sahaja melihat pemandangan, saya sebenarnya memandang, memerhati, menghalusi dan cuba memahami. Jauh benar bezanya apabila berada di O’Hare ini. Saya sudah di bumi yang namanya Amerika. Waktu itu Presidennya ialah Ronald Reagan. Saya masih ingat moto ucapannya sewaktu dia menyerang Libya. “You can run but you cannot hide. We have the right to protect ourselves.” Retorik sungguh. Walau apapun saya di USA sekarang. Di sinilah bermulanya permukiman saya selama 18 bulan. Masa singkat untuk mengutip apa sahaja pengalaman indah berada di seberang laut. Berada di negara atas angin. Berada di hemispiar utara. Di negara orang Putih. Di negara yang musimnya sebanyak empat. Entah musim mana yang perlu disebut dahulu. Yang saya tahu selepas winter pastinya musim bunga datang mengindah. Kemudian datanglah musim panas yang menghijau. Buah-buah di ladang bergayutan. Kemudian hadirlah musim yang paling manis. Paling indah. Bila merah dan kuning mewarnai alam. Musim luruh yang bebilang namanya. Ada dipanghil fall. Ada puua memanggilnya autumn. Apa ada pada nama. Yang penting bagi saya ialah nikmat pengalaman itu. Sekali sahaja dalam seumur hidup. Saya merasakan itulah fall/autuman saya yang pertama dan terakhir. Tidak mungkin dua atau tiga. Kerana itu saya nikmati semau-maunya. Merah dan kuning yang mengukir zaman. Indahnya melampaui segala imbauan. Mimpinya berpanjangan.