Saya pernah ke rumah seorang sahabat. Kebetulan tengahari. Lalu dihidangkan makan tengahari. Mudah sahaja. Nasi , sayur dan ayam goreng. Tiada masalah. Selera saya dan isteri saya makan. Kita baca hikayat lama. Mungkin Hikayat Awang Sulong Merah Muda. Raja makan sangatlah sopannya. Sesuap dua ketiga sudah. Raja makan hanya tiga suap. Rasulullah SAW pula makan lagilah mudah. Kenduri Rasulullah SAW hanya sedulang buah kurma. Orang Islam dituntut makan tetapi berhentilah sebelum kenyang. Yang penting makan. Bukan kenyang. Bukan juga kekenyangan. Jika sampai sesak nafas bukan makan namanya. Ada istilahnya yang tersendiri. Mungkin dalam situasi lain. Tidak sopan menyebutnya.
Bila jauh dari kampung halaman makan dan minum bukan perkara yang menyusahkan. Apa sahaja boleh dimakan asalkan halalan toyyibah. Sebenarnya kita perlu banyak berada dalam situasi yang berbeza. Kita belajar menyesuaikan diri melalui situasi-situasi tersebut. Ramai antara kita yang berkerjaya. Masak memasak bukan lagi budaya yang unggul tuntutannya. Makan selagi ada makanan yang boleh dimakan. Saya bina keluarga saya bukan terlalu menuntut mereka makan makanan ruji. Memanglah orang Melayu sukar memisahkan diri mereka dari nasi dan lauk pauk. Namun anak-anak kita perlu dilatih supaya mengenal diri. Makan kenyang bukan satu keperluan. Makan sahaja yang diperlukan. Tidak semestinya nasi. Banyak makanan lain yang mengenyangkan. Malah lebih baik dari nasi.
Saya cenderung kepada makan yang memudahkan. Selama di Amman Jordan ini saya hanya makan nasi sekali sehari. Alhamdulillah seluar sudah mula longgar. Pagi saya makan roti dengan air kopi. Di kampus jarang juga makan. Minum teh atau kopi percuma di pejabat. Balik dari kampus pukul 1.45 petang sampai di rumah. Tanak nasi sementara kami mengerjakan solat Zohor. Selepas solat mungkin goreng telur. Kadang-kadang telur dadar dicampur sayur, daun bawang, bawang besar dan putih, cili hijau (merah belum jumpa). Cukuplah nasi dan telur dadar. Sesekali makan berlaukkan ikan. Daging dan ayam agak mahal. Makannan laut tersangat mahalnya. Dirancang untuk berjimat. Udang beku sebesar jari kelingking kira-kira RM25. Bila gian beli juga.
Kebanyakan masa saya makan roti. Namun begitu isteri saya suka benar makan lempeng. Lempeng Melayu. Lempeng kosong. Cecah dengan sayur campur. Cili hijau campur bawang besar dan putih, kentang, daun bawang dan sedikit ikan bilis yang kami bawa. Mungkin dua atau tiga ekor. Sudah cukup banyak. Sesudah digoreng percikkan kicap manis yang kami bawa. Aduhai menyelerakan sungguh. Ada sesuatu yang istemewa tepung di sini. Tepungnya segar dan bila dimasak terasa tepung. Tiada campuran. Empat kilogram kira-kira RM6. Lembut bila dibuat lempeng. Roti yang saya beli berhari-hari tidak keras walaupun dalam winter. Kulit muka saya keras tetapi roti tidak keras.
Pelajar Jordan sangat ringkas. Urusan makan mereka. Seperti juga orang barat. Kebanyakan mereka makan roti sandwic sahaja. Sandwic mereka roti panjang 10cm. Dibelah dan diisi sama ada dengan daging, ayam atau sayur-sayuran. Sandwich itu dibalut dengan alluminium foil dan dimasukkan dalam beg plstik. Tangan tidak kotor. Serpihan makanan jatuh dalam beg plastik. Bila siap makan bungkusan plastik itu terus dibuang ke dalam tong sampah. Pada dasarnya praktikal. Di universiti amalan kebersihan terurus dengan baik. Di kalangan masyarakat awam ianya agak bertentangan. Sensitif juga hal kebersihan ini. Mungkin nanti ada kesempatan lain saya menulis mengenainya.
Berada di luar negara tidak boleh asyik menjaga selera biasa. Banyak yang perlu ditukar gayanya. Bekalan makanan banyak. Bolehlah tahan murahnya. Boleh makan kentang, tomato, kobis, kobis bunga, brocolli, timun, bayam, kacang buncis, kobis ungu dan berbagai lagi. Santan kelapa dalam tin ada dijual. Kelapa ada juga dijual sebiji, sebiji tanpa sabut. Gulai lemak atau kari bukan lagi satu kerinduan. Selasa malam yang lalu kami masak gulai ayam untuk dimakan dengan roti. Anas yang datang dari Britain selera sungguh menikmatimnya. Berulang-ulang kali dia menambah kuah kari ke dalam pinggannya. Katanya makanan Melayu bukan asing kepadanya. Rakannya datang dari Brunei dan nusantara.
Malam ini kami ada tuisyen Bahasa Arab di rumah. Waktu saya menulis ini (pukul 6.00 petang di Amman) sudah siap pengat keledek campur pisang dan jagung. Keledek banyak di sini. Keledek merah. Pisang memang kegemaran. Di mana-mana ada buah pisang. Mungkin dari Afrika. Pendek kata makanan bukan masalah bagi orang Malaysia. Selagi kita boleh fleksibel tiada apa yang menjadi masalah. Kecualilah kita alah dengan sesuatu jenis makanan. Jika berlaku begitu sukar mengatasinya. Namun begitu banyak makanan halal yang tidak menyusahkan. Cumanya kita kenalah menukar selera. Menukar kebiasaan. Yang penting sihat walafiat. Boleh menyempurnakan hajat di hati. Diredhai Allah. Makanlah selagi larat. Berhenti makan jika ada mudarat. InsyaAllah kita dalam peliharaan Allah.