Thursday, April 24, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Nilai Sebuah Impian

Tidak semua orang memiliki impian. Malah ada orang telah lama malas untuk bermimpi. Kepada mereka mimpi sudah bukan realiti lagi. Suatu kepayahan yang tidak perlu difikirkan lagi. Cukuplah dengan apa yang ada. Datang yang diterima. Mengharap tidak mampu terlalu lagi. Cuba lihat diri kita. Berapa berat mata memandang tentu berat lagi bahu yang memikul. Kehidupan sebenarnya semakin menyempit. Pendapatan yang ada mungkin cukup untuk makan tetapi bukan untuk menikmati taraf hidup yang setara tinggi. Penulis masih berada dalam zaman kanak-kanak sewaktu perjuangan untuk menuntut kemerdekaan sampai di kemuncaknya. Pilihanraya pertama pada tahun 1955 cukup kuat dalam ingatan. Suatu janji telah diuwar-uwarkan.Tanahair tercinta ini milik kita. Kemerdekaan bererti kita yang perintah. Kita boleh buat apa yang kita suka. Ironisnya arwah datuk penulis sendiri menyanggah usaha hendak merdeka itu. Apalah merdeka jika sebatang jarum pun kita tidak mampu untuk membuatnya. Pada hakikatnya bukan seorang dua yang berkata begitu. Namun kemerdekaan menjadi hahikat. Penulis ingin kembali ke zaman itu. Pilu juga mengingat sanggahan arwah datuk sebegitu. Cuba pembaca tanya diri masing-masing, ada atau tidak orang kita yang sudah pandai membuat jarum. Sudah mahir membuat jarum. Sebatang pun cukuplah, jika ada. Sedih barangkali. Sesudah lebih setengah abad kita merdeka kita memang masih sesungguhnya belum pandai membuat jarum! Bagaimana hal sebegini masih terabai. Apa yang kita lakukan sehingga kita mengabaikan sesuatu yang kecil dan murah. Barangkali juga mudah. Sepertinya tiada sesiapa yang memikirkannya. Baik pemimpin, baik rakyat. Apabila kita melihat sekeliling kita, yang terpapar ialah kepayahan yang masih banyak. Kepayahan baru yang bertambah. Di desa kekal dengan keberadatannya. Hidup tidak seberapa. Malangnya mereka yang tinggal di bandar juga terkapai-kapai berusaha mencukupkan apa yang ada. Di kampung masih ada yang dua kali kais untuk sekali makan. Bukan lagi kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Di bandar mungkin peribahasanya berubah. Kejar pagi makan petang. Kejar petang makan pagi. Pergerakan yang tidak menjanjikan apa-apa kemewahan. Mungkin ramai jadi pesimis kerana kesinambungan kemerdekaan tidak merealisasikan janji awal bahawa negara ini kita yang perintah. Di atas kertas memang begitu. Legally yes. Malangnya kita lupa perut yang perlu diisi. Rumah untuk dihuni. Kenderaan untuk bergerak. Kesihatan untuk dijaga. Pendidikan untuk ditambah. Keperluan hidup yang semakin mendesak. Banyak yang di luar kemampuan orang biasa-biasa. Situasinya semakin membesar. Kerumitannya semakin banyak. Permasalahan asas dari dahulu masih banyak yang belum selesai. Paling parah ialah majoriti orang kita yang jauh tertinggal di belakang. Penulis teringat istilah ergonomic terlalu biasa di USA pada tahun 1985 tetapi di Malaysia hanya baru-baru ini disebut orang. Maknanya kita tertinggal selama kira-kira 30 tahun. Orang di kampung tertinggal lebih setengah abad. Tentulah menjadi kerisauan kerana yang tertinggal itu orang kita. Hanya sebahagian kecil sahaja orang kita yang melihat dunia. Yang keluar dari kepompong kemiskinan. Yang mindanya terbuka luas meneroka alam. yang lain kekal begitu. Peningkatan yang sangat sedikit secara relatif dengan orang lain yang bangunannya mencakar langit. Yang gedungnya melebihi beberapa padang bola. Orang kita masih terlalu ramai yang belum pandai dan tidak pandai. Mereka hanya pengguna teknologi yang patuh tanpa mengetahui. Patuh pada pemimpin hingga tidak upaya membuat perubahan diri dan keluarga. Lyndon B. Johnson pernah datang ke Malaysia. Yang ditinggalkan hanyalah FELDA Lyndon B. Johnson. Lusa datang Barrack Hussein Obama. Kita tidak tahu apa yang akan ditinggalkannya. Kedatangan khas itu tentunya membawa "keistimewaan" yang tidak dapat dijangka oleh orang di desa dan di peringkat bawah. Tidak semua orang akan memahami apa yang tersirat. Apakah benar domino theory menjengah kembali. Malaysia antara yang rebah seperti rebahnya negara Islam dalam kelompok Arab Spring. Ekonomi kit asedang sakit. Maka USA membawa ubatnya. But there is always a catch. Tidak ada yang percuma. Mesti ada cagaran. A reciprocal gain kepada USA. Kit atelah banyak kehilangan segala-galanaya kerana compromise yang terlalu banayk. Kita akan banyak kehilangan yang lebih banyak lagi pada tahun-tahun yang akan datang. Untuk berfikir menjadikan penulis berasa takut. Jik akita banyak fikirkan ketakutan datang menghambat. Penulis terfikirkan anak dan cucu penulis sendiri. Apa lagi yang tinggal untuk mereka apabila sampai masanya penulis tiada nanti. Hutang memang banyak untuk ditangggung. Yang lebih menakutkan ialah mereka kehilangan tanahair tercinta. Penjajahan modern bukan lagi secara ketenteraan. Politik dan ekonomi. Dibantu dengan teknologi. Apa sahaja kemungkinan boleh berlaku. Seperti Dajjal sudah berkeliaran. Ikut aku, hidup. Tolak aku, mati. Kita berhenti di sini untuk tidak bermimpi lagi. Hiduplah dalam jaga. Curiga pada yang ada. Semoga Allah melindungi kita semua. Selamat dari fitnah dunia. InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment