Dalam keidupan di dunia ini manusia terikat dengan heirarki yang mutlak. Ada senarai keutamaan yang tidak boleh diubah. Yang teratas tentulah Allah Yang Khaliq. Yang Maha Agung. Yang Maha Besar. Pada hierarki kedua ialah Rasulullah. Allah dan Rasulullah adalah mutlak kedudukannya. Tiada langsung keraguan padanya. Kita kasih dan mencintai Allah dan mencintai Rasulullah melebihi nyawa kita sendiri. Heirarki ketiga ialah ibu bapa. Heirarki keempat pula ialah guru. Dalam mengatur kehidupan, hierarki itu sentiasa diberi keutamaan. Menderhakai mana-mana satu bermakna ada bala yang pasti datang. Mentaati Allah dan Rasulullah tiada dalih-dalihnya lagi.
Ibu bapa adalah makhluk terdekat dengan seseorang manusia. Kedua-duanya yang menjadi penyebab lahirnya manusia yang namanya anak-anak. Ada peraturan besar yang menuntut anak-anak wajib taat sepenuhnya kepada ibu bapa. Setia berbakti kepada mereka. Memenuhi segala keperluan mereka. Segera melaksanakan tuntutan mereka. Menggembirakan hati mereka. Menyenangkan hati mereka. Allah menggariskan bahawa redha Allah adalah bersyarat. Allah redha andainya ibu bapa redha. Jika ibu bapa tidak redha maka secara automatik Allah tidak redha. Maksud saya andainya kedua ibu bapa itu mematuhi hukum-hukum Allah. Tidak menderhakai Allah. Ketika itu anak-anak wajib mentaati kedua ibu bapanya.
Anak-anak yang berada dalam redha ibu bapa dijamin mendapat redha Allah. Begitulah besarnya peranan ibu bapa kepada pembinaan generasi manusia. Apabila anak-anak masih kecil mereka menjadi tanggungjawab ibu bapa. Namun bila mereka menjadi dewasa tanggungjawab itu adalah timbal balik. Ibu bapa adalah tanggungjwab anak-anak yang sudah dewasa. Tidak kira apa pekerjaannya. Tidak kira apa kerjayanya. Tidak kira kedudukan ekonominya. Tidak kira kedudukan sosialnya. Ibu bapa hendaklah diberi keutamaan. Wajib memberikan yang terbaik kepada ibu bapa. Zahirnya. Batinnya. Hatinya. Perasaannya. Hidup dan matinya adalah tanggungjawab anak-anak. No question asked. Its final.
Ibu bapa adalah manausia biasa. Lahir dan dilahirkan. Kesemuanya dari keturunan Nabi Adam yang dijadikan dari tanah. Akhirnya akan pulang ke tanah juga. Maka yang namanya ibu bapa itu berbagai ragamnya. Itulah cabaran yang perlu dihadapi oleh semua anak-anak. Sepasang ibu bapa jenuh menghadapi kerenah anak-anak yang seramai 13 orang. Yang lelaki l;ain perangainya. Yang perempuan lain juga. Yang besar lain. Yang kecil lain. Dari bayi hingga dewasa ibu bapa menanggung kesemuanya. Jangan marah jika mereka mengungkit. Mereka telah penat. Telah letih. Telah lesu. Bila anak-anak sudah dewasa mereka ingin berehat. Menikmati masa-masa yang hilang. Yang telah pergi bersama mendewasanya anak-anak. Masa yang telah menghakis keindahan semasa muda. Masa yang perginya tanpa dinyah. Tanpa disuruh. Tanpa diminta. Masa yang telah berlalu pergi. Berlalu dan menjauh. Meninggalkan kedut dan kerut. Parut di sana sini. Ketuaan yang tidak diminta datangnya. Yang dimingta ialah anak-anak yang mengerti.
Selama bertahun-tahun anak-anak dibesarkan seadanya mengikut kemampuan. Mengikut keperluan. Mengikut layaknya keupayaan mereka. Dalam kekayaan, anak-anak tetap ada ragamnya. Yang menyakitkan. Yang menyesakkan. Yang menggundah gelanakan. Yang mencucuk di mata. Yang menghiris di hati. Yang merebus perasaan. Sebagai ibu bapa tentulah banyak sabarnya. Dari bayi hingga dewasa anak-anak diberi yang hak mengikut keupayaan mereka. Ada yang lebih. Ada yang kurang. Kita pasti tidak pernah ingat ragam kita dahulu. Rajuknya memanjang. Dengusnya memanjang. Marahnya memanjang. Mintanya yang bukan-bukan. Pernahkah kita imbau kesemua itu? Tiada siapa yang kembali ke zaman kecilnya. Ke zaman remajanya. Ke zaman bujang dan daranya. Kita sekarang tegak mempertahankan diri kita seolah-olah kita tidak pernah melalui kesemua detik-detik masa itu. Detik-detik yang menyakitkan ibu bapa. Lebih menyakitkan jika mereka orang yang kurang berada. Mereka menjadi hina kerana ketidakmampuan yang rendah nilai sosialnya.
Apakah sebenarnya kedua ibu bapa kita betah dengan semua ragam kita? Jawapannya kesemuanya terpendam di hati mereka. Ada yang mungkin berjaya diluahkan. Tetapi kebanyakannya disimpan lama. Berlalu dibawa masa. Hanya berbekas bila melihat anak-anak menjadi tua. Ada antara anak-anak yang tidak pernah hilang perangainya sejak kecil. Ada yang berubah. Maka lihatlah bahawa ibu bapa membuat pilihan di hati. Pilihan yang halus tetapi perasan dilihat. Perasan dirasa. Ada kilau-kilauan yang terpancar berbeza. Lain silaunya. Dalam usia tuanya ibu bapa memilih kasih antara anak-anaknya. Ada yang perasaannya melebih. Ada yang mengurang. Fitrah ibu bapa. Mendekat kepada yang kuat tarikannya. Menjauh kepada yang kurang tarikannya. Anak-anaklah yang perlu menterjemahkan gerak geri mereka. Mentafsir bahasa tubuh mereka. Lerek mata mereka. Bahasa pertuturan mereka. Senyum dan tawa mereka. Memek muka mereka. Walhal seluruh tingkah lakunya dipamerkan sama ada hatinya penuh atau kurang. Mana mungkin manusia dapat menyembunyikan kesemua yang terpandam di hati. Tingkah laku menunjukkan apa yang datang dari dalam.
Anak-anak harus belajar mengenal ibu bapanya. Jadilah jauhari yang mengenal manikam. Bagi anak lelaki syurganya adalah ibu bapanya. Bagi anak perempuan tentulah syurganya suaminya. Banyak hal yang selalu disalah terjemah. Ibu bapa dilihat banyak ragam. Sesunguhnya kepada kedua ibu bapa anak-anak tidak pernah besar. Sentiasa kekal tetap menjadi anak. Kerana itu ibu bapa selalu kritikal terhadap anak-anaknya. Bukan kepada cucu-cucunya walaupun sayangnya berlebihan. Sayang kepada cucu kerana kecil mereka. Tetapi sayangkan anak-anak kerana kecil mereka tidak pernah besar di hati kedua ibu bapa. Sebab itu tegur sapanya tetap seolah-olah anak itu mesih kecil. Nasihatnya seolah-olah anak-anak belum besar. Kedua ibu bapa tetap mahu anak mereka menjadi manusia yang terbaik. Yang menyukakan hati. Yang menyejukkan mata. Yang mendamaikan perasaan. Anak kesayangan.
Setelah menjadi dewasa ada ibu bapa yang mendapat apa yang dihajati. Mungkin hidup senang. Mungkin nanak-anak menjadi. Mungkin anak-anak perihatin dengan keperluan mereka. Mungkin anak-anak selari pemikirannya. Jika andainya ada ketidak selarian maka ibu bapa menjadi manusia yang kurang puas. Anak-anak tidak menjadi sumber ketenangan. Ada sahaja yang dilihat menyakitkan mata. Menyakitkan hati. Menyakitkan perasaan. Berlaku conflict of personality. Maka menjadi tugas anak-anak untuk menyelami semua peristiwa lalu. Sejarah keluarga. Kembali memahami siapa ibu dan bapa masing-masing sebenarnya. Apa yang kekal kukuh membentuk peribadi. Jatidiri. Apa yang telah terkurang. Apa yang minta ditambah. Ragam ibu bapa ada yang dimintanya. Malangnya permintaan itu mungkin sukar ditunaikan oleh anak-anak.
Elok dibuat analisis. Dibuat catatan. Dibuat pemerhatian. Anak-anak sangat mudah menyalahkan ibu bapa. Dirasa mereka tidak sayangkan anak-anak. Tugas anak bukan untuk menilai kedua ibu bapanya. Tugas anak ialah untuk memberikan yang terbaik untuk keduanya. Kesempurnaaan menadi anak. Berbakti tanpa syarat. Walau apapun rupa bentuk ibu bapa itu, tugas anak adalah memberi bakti. Menyempurnakan tanggungjawab. Percayalah Allah akan meminta laporan tentang itu di akhirat kelak. Jika ibu bapa tidak bersyukur, mereka yang akan menjawabnya sendiri di hadapan Allah nanti. Oleh yang demikian anak-anak hanya diperlukan berbakti. Bukan membangkang. Bukan menempelak. Bukan menahan. Bukan memperlekeh. Bukan memperkecil ibu bapa. Jangan sekali menghina. Apatah lagi mencerca. Merajuk tidak mengira masa dan tempat. Menjauhkan diri dari keduanya. Allah sangat-sangat melarang anak-anak menyakitkan hati kedua ibu bapanya walaupun dengan perkara yang dianggap kecil seperti “ah!”.
Jangan menyongsong angin ibu bapa. Jangan memasamkan muka. Jangan tidak melayani perbualannya. Jangan membantah cakapnya. Jika tidak setuju belajarlah memberi jawapan yang halus sopan lembut. Membantah tetapi dengan senyum yang meleret. Dengan tingkah laku yang senang dipandang. Banyak cara untuk ibu bapa yang berlainan ciri dan wataknya. Banyak kategori mereka. Ada yang senang dan ada yang susah. Ada yang sihat dan ada yang sakit. Ada yang berlapang dada dan ada yang jumud. Sebagai anak kesemuanya perlu dihadapi dengan berlapang dada. Dengan rasa berbesar hati. Buka minda. Buka hati. Buka perasaan. Satu sahaja pesan saya. Perbuatan kita terhadap kedua ibu kita adalah pendidikan kepada anak-anak kita. Yang mereka lihat diambil iktibar. Yang mereka dengar diambil pengajarannya. Itulah pendidikan yang mengajar mereka untuk berbakti kepada kita. Dia belajar dari kita. Jika baik akan dikembalikan kepada kita. Jika tidak baik akan kembali juga kepada kita. Kitaran alam yang selalunya pasti.
Tindakan terhadap ibu bapa yang banyak ragam tentu berbeza mengikut kemampuan masing-masing anak yang menghadapinya. Ini cerita orang kampung saya. Bapanya sangat panas baran. Bila marah habis periuk belanga dilontar keluar rumah. Kain baju dibuang-buang. Si isteri yang taat mengarahkan anak-anak supaya mengutip semua yang sudah berselerak itu. Begitulah selama bertahun-tahun. Ceritanya berulang-ulang. Cerita itu sampai kepada arwah ibu saya. Maka dinasihati isteri tadi supaya tidak mengutip semua apa yang sudah dibuang. Apa yang sudah berselerak. Biarkan begitu. Rupanya itu menjadi pengajaran kepada si suami. Akhirnya dia sendiri yang mengutip kesemuanya dan dikembalikan ke tempat asalnya. Si isteri tidak memasak kerana periuk belanga sudah di luar rumah. Baju suami tidak berganti kerana yang kotor tidak dibasuh. Rumah yang jadi sarang tikus tentu tidak menyenangkan mata memandang. Sejak itu barannya berkurangan. Panasnya reda.
Ibu bapa sayangkan anak-anaknya. Cara mereka menterjemahkannya berbeza. Walaupun mereka Nampak ganas kasih sayang mereka tetap ada. Kita yang kena memainkan peranan. Selalulah telefon jika berlainan rumah atau dipisahkan jarak jauh. Bertanya khabar. Memberi khabar. Tanya sihatnya. Tanya susahnya. Tanya apa hendaknya. Jadualkan pula program balik menjengah ibu bapa. Jika tidak boleh seminggu sekali mungkin setiap dua minggu atau setiap bulan. Jananlah berbulan-bulan tidak menjenguk mereka. Setiap hari mereka menunggu anak-anak pulang. Mengubat rindu dan sayang. Ada lompang kosong yang perlu diisi. Kadhairan anak cucu pengubat kerisauan yang mencengkam ibu bapa. Terutamanya mereka yang tidak pandai mengisi masa lapang. Mereka hanya membuai rasa bosan sendiri.
Bila balik banyakkan mengadap muka mereka. Agama memberatkannya. Pahala memandang muka ibu bapa sama besarnya dengan memandang Ka’abah. Tidak perlu gunakan banyak wang untuk tambang pergi ke Mekah. Bila ada peluang pandang ibu dan bapa. Dengar bualnya. Dengar ceritanya. Dengar celotehnya. Dengar cadangannya. Dengar mintanya. Dengar kias berkiasnya. Dulu semasa anak-anak masih kecil ibu bapa banyak bercakap. “Leter”lah agaknya. Bila anak-anak sudah dewasa, tidak ada siapa yang mendengar mereka. Oleh itu bila balik ke rumah ibu bapa, banyakkan memandang mereka. Tolong jangan mengadap TV. Jangan sibuk dengan video. Jangan kalut dengan Bluetooth. Hindarkan CD atau VCD. Kesemuanya tidak menungkin memberi pahala. Hanya wajah ibu dan ayah yang ada nikmat pahala. Ada riak-riak syurga.
Banyak mendengar. Tolong jangan banyak menyampuk. Bila mendengar pandang wajah keduanya dengan penuh minat. Jangan alihkan pandangan. Jangan pandang ke lain. Jangan buat kerja lain. Jangan sibukkan yang lain. Lebih-lebih lagi menjawab telefon atau sms. Hindarkan dulu. Sekejap sahaja. Jika ada panggilan perlu, panggilan akan datang bertalu-talu. Menjawab telefon atau sms tidak sama pentingnya dengan memandang dan mendengar percakapan ibu dan bapa. Mereka perlukan perhatian penuh. Kita balik kerana hendak memandang mereka. Hendak bersama mereka.
Cubalah menyelami pemikiran ibu bapa. Kembali kepada fitrah mereka. Sejarah hidup mereka. Lihat pengalaman mereka. Sesuaikan dengan pengalaman setempat atau mereka pernah merantau. Pernah ada pengalaman luar. Tahap kelayakan akademik mereka. Cara mereka dibesarkan. Pengalaman masa mereka muda. Semuanya menjadi sumber untk dimengerti. Bila kita mengetahui sedalam-dalamnya tentu lebih mudah untuk mengawal tingkah laku kita. Masa telah banyak berubah. Kebaikan semakin lama semakin berkurangan. Kemuliaan juga semakin terhapus. Maklumlah bahawa apa sahaja kebaikan kepada ibu bapa diberi ganjaran yang besar oleh Allah. Kemuliaan yang dihamburkan kepada ibu bapa Allah janjikan syurga.
Berjemaahlah dengan kedua ibu bapa. Mana yang mampu jadi imam. Jika tidak minta bapa menjadi imam. Yang lain jadi makmum. Nanti bila dia menoleh ke belakang yang dilihatnya ialah isterinya, anak-anaknya dan cucu-cucunya. Sejuk hatinya kerana sebagai imam dia dapat mengawal kesemua ahli keluarganya di belakangnya. Cium tangannya selepas solat. Peluk jika terasa sayang yang teramat sangat. Minta ampun setiap waktu. Jangan tunggu raya sahaja. Biasakan mencium dan memeluk ibu dan ayah. Elektrik yang mengalir akan menyejukkan perassan. Apatah lagi yang dipeluk cium adalah cucu-cucunya. Kimia yang akan bertali arus. Tiada putus-putus.
Banyakkan berdoa untuk mereka. Sampaikan hasrat hati kepada Allah setiap kali selepas solat. Ceritakan kepada Allah akan kedudukan perkara. Akui kelemahan diri. Minta bantuan mengukuhkan tekad. Mohonlah apa yang selayaknya. Doakan kesejahteraan kedua ibu bapa. Doakan kesihatan mereka. Doakan iman mereka. Islam mereka. Mohon Allah ganti barannya atau marahnya dengan kasih sayang. Dengan kelembutan. Lebih terbuka. Lebih santun. Curahkan kepada Allah. InsyaAllah Allah akan mendengar. InsyaAllah Allah akan memberi rahmatNya.
Bila bertandang, bawalah makanan yang disukainya. Apa sahaja. Mungkin sayur. Mungkin buah. Mungkin makanan lain. Ingat hari jadinya. Hari ulang tahunnya. Hulurkan cenderamata mengikut kemampuan masing-masing. Belilah bahan makanan. Jika mampu penuhkan peti ais. Masaklah kerana ibu bapa teringin juga merasa air tangan anak-anaknya. Elok juga begitu supaya ibu bapa dapat menilai sama ada anaknya sudah mampu atau tidak memberi yang terbaik untuk suami masing-masing. Untuk cucu-cucu. Nanti ada nasihat atau tip yang berguna untuk menambahkan lagi tambatan hati suami.