Burung Enggang/ Kenyalang yang sininonim paruhnya.
Hari ini, Sabtu 28
Januari 2017, buat pertama kalinya penulis menjejakkan kaki di bumi Sarawak.
Bumi kenyalang. Bumi enggang. Kenyalang dan enggang adalah burung yang sama. Di
Sarawak disebut kenyalang. Di semenanjung disebut enggang. Burung yang sama
tetapi dua namanya. Di Sarawak burung enggang sangat terlalu istimewa statusnya.
Negeri dan hutannya luas. Habitat enggang yang memudahkannya membiak. Simbol kedaulatan, keperwiraan dan kegagahan. Sangat
dekat di hati peribuminya. Bulunya sinonim dengan setengah etnik di Sarawak. Dijadikan
sebahagian regalia kaum lelakinya. Jika dahulu regalia itu untuk berperang
tetapi sekarang ianya untuk sambutan perayaan seperti hari Gawai. Dan enggang
menjadi lambang rasmi negeri Sarawak.
Di kampung penulis,
enggang dikira pupus. Habitatnya telah musnah.
Hutan telah habis diteroka, dipugar dan dijadikan kebun-kebun penduduk
kampung. Subur dengan pokok-pokok getah, nanas, kelapa dan sekarang kelapa
sawit. Habitat semulajadi enggang diganti dengan perkebunan penduduk dan
kawasan tempat tinggal. Tempat mencari rezeki dan berbudi kepada tanah. Begitulah
apabila yang datang memusnahkan maka yang dimusnahkan hilang dari menajdi
warisan berzaman. Hanya tiggal sejarah dan kenangannya sahaja. Kita tidak peka
dengan pentingnya alam dan kita lupa bahawa kita perlu menyatu dengan alam. Sewajarnya
kita bukan mengganti tetapi berintegrasi. Melakukan kohabitasi. Sama-sama hidup.
Sama-sama mencari makan. Sama-sama berkompromi dan hidup harmoni bersama alam
persekitaran yang sama.
Sewaktu penulis mula
tinggal di rumah sekarang ini, kelihatan beberapa burung enggang terbang
hinggap di pokok besar berhampiran dengan rumah. Seperti sesuatu yang muncul
kembali dari suatu kemusnahan. Mungkin datangnya dari bukit-bukau di sekeliling
Bandar Penggaram. Namun begitu sejak 10 tahun kebelakangan ini tiada lagi
enggang yang datang. Bukan itu sahaja: terdapat juga tekukur, merbuk, merbah,
murai, raja udang, tiung dan pipit. Kesemuanya bagaikan hilang. Tiada lagi
bunyi tekukur. Tiada lagi dekut merbuk. Tiada lagi bisingnya murai. Tiada lagi
decit pipit. Burung raja udang berwarna biru hilang entah ke mana. Kemusnahan yang
kita alami sebenarnya sangat meluas. Sangat serius. Kemusnahan yang tidak akan dapat dipulihara. Tidak
dapat dikembalikan lagi ke asalnya. Kemusnahan yang memang memusnahkan.
Menyeberangi Laut Cina
Selatan mengingatkan penulis zaman silam yang telah datang tetapi menghilang. Kemajuan,
perubahan lanskap alam, perubahan persekitaran merealisasikan impian dan
wawasan hidup senang pasca kemerdekaan. Namun impian itu banyak memusnahkan
banyak warisan alam. Warisan kita sendiri. Kemusnahan habitat semulajadi dan pencemaran memusnahkan apa yang ada. Undang-undang perlindungan tidak memberi
erti. Pemuliharaan tidak juga dapat membetulkan keadaan. Menjaja kemajuan
rupanya menidakkan kita dari perlunya mendakap warisan berzaman. Bak kata pepatah,
yang dikejar memang dapat tetapi yang dikendung berciciran. Warisan yang hilang
bukan murah harganya. Harga warisan yang tiada nilai taranya. Teralalu mahal. Masalahnya
tiada siapa yang peduli. Keuntungan yang
sedikit menutup kewarasan dalam membina pembangunan. Kemusnahan bukan isu
apabila keuntungan menjadi matlamat segala-galanya.
Apabila usia berlalu,
banyak yang telah ditinggalkan. Anak-anak muda masih galak bermain mercun dan
bunga api. Mereka tidak tahu bahawa warisan nenek moyang dan generasi mereka
telah pupus. Benar kata orang, apa ada pada yang lama. Hanya sejarah yang bukan lagi
realiti. Tetapi tanpa yang lama apa sebenarnya yang baru. Ciptalah sebanyak
mana yang baru jika tanpa berlandaskan yang lama maka kamus bahasa akan semakin
menipis. Banyak perkataan dan istilah yang hanya boleh dieja dan disebut. Pergi
ke google dan wilkipedia tetapi hanya bayangan dan cerita yang ada. Suatu
sejarah yang malas hendak dibaca. Apa lagi jika panjang berjela-jela. Pada hal
lebih mudah memelihara warisan dari mencipta warisan baru yang kebanyakannya hanya silih berganti. Tiada yang lestari.
Dalam apa-apa
perjuangan kita jarang mendapat kesemua
yang kita perjuangkan. Apatah lagi jika hala tuju kita terlalu terfokus. Kita mencapai
kemajuaan tetapi dengan harga yang sangat mahal. Kita memusnahkan warisan yang
lebih mahal dari kemajuan. Kita selalu hanya mengambil jalan mudah. Jalan cepat.
Jalan pintas. Jalan berhati-hati bukan lagi pilihan. Jalan menyelamat bukan
juga pilihan. Enggang tetap enggang. Kenyalang tetap kenyalang. Apakah kita rela
menjadikannya hanya warisan dalam kenangan?