Saturday, February 5, 2011

Winter Pertama Yang Meresap Sejuk

Kita selalu mengalami sesuatu yang pertama. Banyak yang indah pada pengalaman pertama. Teruja sepanjang mengenalnya. Terasa rugi mengabaikan yang pertama itu. Apatah lagi jika itu adalah cinta pertama. Cinta itu bermacam bentuknya. Ramai manusia yang jatuh cinta pada sesuatu yang pertama. Kita boleh jatuh cinta untuk apa sahaja. Manusia banyak cabang minatnya. Rencam dan terlalu banyak. Sukar membayangkan pengalaman pertama melihat snow. Salji atau salju itu entah bila turunnya. Mungkin dinihari malam itu. Pagi itu apabila saya memandang keluar tingkap, snow berada di mana-mana. Dari tanah hingga ke dahan dan ranting pepohon. Maaf. Dedaun sudah tiada. Luruh pada musim sebelumnya. Mungkin dua purnama yang lalu. Snow memutih dari tanah ke bumbung, Putih-seputihnya. Jernih bak kapas.

Beberapa ketika di Pittsburgh, khususnya di Oakland, hanya sejuk sahaja dirasa. Bagi orang Malaysia seperti saya, sejuk itu amat terasa. Kita di sini waktu hujan sudah cukup terasa sejuk. Suhu barangkali tidak pernah turun di bawah 75 darjah celcius. Itupun memakai baju tebal. Tutup pendingin hawa dan kipas. Malam tidur di bawah selimut tebal. Orang sekarang menggunakan comforter. Ramai pula berkurung dalam rumah. Takut keluar dalam cuaca tidak menentu. Bila ada angin sepoi-sepoi bahasa, masing-masing memeluk tubuh. Terasa sejuk mencucuk tulang. Sampai di US sejuknya di bawah paras beku. Ada masanya negatif 20 darjah celcius. Bila ada angin, sejuknya bertambah. Mungkin menjunam hingga negatif 50 darjah. Boleh bayangkan? Gila dibuatnya. Saya kira di dalam peti aispun tidak sesejuk itu. Angin mencipta wind chill. Merendahkan lagi suhu. Berganda-ganda kesannya.

Menunggu snow agak lama juga. Tidak bermakna bila masuk winter sahaja pada bulan November secara automatik snow terus turun. Snow turun melewati bulan Disember. Saya kira di Pittsburgh snow pertama saya turun pada pertengahan Januari 1985. Pada waktu malam. Saya tidak sedar berapa suhu sebenarnya. Cuma pada waktu siang bila snow turun selalunya suhu di atas paras beku. Bukan pada 0 darjah celcius. Kadang-kadang pada suhu belasan darjah. Di udara tentulah lebih sejuk. Sebab itu cecair membeku dan turun. Pada kebanyakan masa snow itu bila menimpa baju terus cair. Tanpa meninggalkan bekas. Ia sebenarnya terlalu halus. Benar-benar seperti kapas.

Saya memilih Pittsburgh kerana pada perkiraan saya di sini ada salji. Apabila melihat peta saya melihat garisan lintang. Melihat kedudukannya saya menjangkakan ada salji turun di sini. Jauh-jauh pergi ke negara orang, teringin juga melihat snow. Bermain dengannya. Memijak dan memegangnya. Meramas dan membalingnya. Membuat snowman walaupun tidak pernah melihat orang membuatnya. Nanti snowman itu kekal sepanjang winter. Selagi suhu belum mencairkannya. Dalam seumur hidup itu mungkin kali pertama dan kali terakhir melihat snow. Banyak tempat lain yang saya pohon. Allah makbulkan juga hajat saya. Membawa isteri dan anak-anak bersama kehadiran snow. Kepada orang lain mungkin ianya hanya mimpi sahaja. Kami berpeluang menjejaknya. Hidup bersamanya. Alhamdulillah.

Pagi itu asyik benar saya menikmati kebesaran Allah. Tidak semua negara Allah timpakan salji. Hanya di negara-negara yang berhawa sederhana atau sejuk sahaja. Atau yang di tanah tinggi seperti di banjaran Himalaya. Atau Kilimanjaro di Afrika. Negara-negara lain seperti kita hnaya mendengar cerita. Memandanglah gambar. Menonton video dan filem. Dengar ulasan dan berita. Realitinya tiada siapa yang tahu jika tidak berada di lokasi. Dalam situasi itu. Apa sebenarnya snow. Yang memutih warnanya. Bersinar bila membeku kerana menjadi ais.

Mula-mula mengalami snow turun sangat mengasyikkan. Kepada kita semuanya snow. Kepada orang putih bukan begitu. Ada yang namanya flakes. Ada pula sleet. Dan banyak lagi nama lain. Semuanya berbeza bentuknya. Waktu turunnya. Sejuk dan hangatnya. Jika ribut salji (blizzard) dahsyat yang turun. Bukan snow sahaja. Campur pula dengan sleet. Kedua-duanya memberi kesan yang berbeza. Snow menyenangkan. Kadang-kadang menghibur dalam keadaan biasa. Tanpa angin. Dalam suhu yang tidak begitu sejuk. Sleet juga begitu. Cuma sleet lebih sejuk bila disentuh. Bentuknya dalam kepingan yang sangat nipis dan halus. Seperti ais diparut untuk buat ABC. Cendol mungkin.

Snow yang dinamakan flakes benar-benar seperti kapas berterbangan. Halus. Putih melepak. Ada rupa tetapi disentuh hilang. Berterbangan tanpa arah. Jika ada sedikit angin, terbangnya dibuai-buai. Meliang-liuk. Lambat baru jatuh ke tanah. Ringan dan terlalu ringan. Asyik memandangnya. Al-maklumlah kali pertama memandangnya. Tidak dapat digambarkan perasaan ketika itu. Dibuai-buai seperti di awang-awangan. Seronok benar. Bagi anak-anak yang bersama saya mungkin yang sulung dan yang kedua terkesan dengannya. Yang ketiga dan keempat mungkin samar-samar. Yang kelima terlalu kecil ketika itu. Baru berumur lebih setahun. Selama di US saya merasakan dua kali winter. Dua kali merasakan sejuknya. Saya kira mungkin untuk saki baki umur saya, tidak mungkin akan bertemu snow lagi. Allah Maha Besar. Tahun 1990 saya bertemu lagi snow. Di Toronta, Canada. Bulan Oktober snow sudah mula turun walaupun ketika itu belum sejuk sangat. Subhanallah. Bila Allah memberikan nikmatnya tiada diduga datangnya. Alhamdulillah.

Pada winter pertama itu saya anak beranak cuba menghargai kehadiran snow itu. Berbalut baju tebal. Jaket tebal untk memanaskan badan. Seluar berlapis-lapis. Setokin dua tiga lapis. Sarung tangan lagi. Bila sudah biasa semuanya menjadi biasa. Alah bisa tegal biasa. Dalam jaket tebal badan berpeluh. Sarung tangan sudah boleh ditanggalkan. Tahan juga dengan sejuk snow. Kami berjalan-jalan ke park. Di sana park adalah kawasan lapang. Lapang sangat. Dipenuhi dengan rerumput hijau yang melaut pada musim summer. Hangat dan damai. Ada satu ciri pada orang putih yang tidak ada pada kita. Mereka mempertahankan ruang yang lapang. Padang, bilik, dewan, bangunan dan fikiran. Berada di tempat lapang tentulah memberi kesan psikologi. Dengannya fikiran menerawang lapang. Sebab itu mungkin kreativiti mereka tinggi. Ada sahaja idea baru yang lahir. Prasarana untuk menjadi kreatif itu bermula dengan ruang yang lapang.

Puas bermain snow. Membina snowman seperti satu kemestian. Besar atau kecil hanya saiz. Yang penting, snowman itu jadi bentuknya. Kerana dari snow, jadilah snowman. Sibuklah dihias. Sibuklah bergambar bersama. Suatu islah kegembiraan. Winter bukan untuk dihindar azabnya. Sebaliknya dinikmati. Ada manfaat bagi manusia. Setiap kejadian Allah tiada yang sia-sia.


















Gambar ini agak mahal juga rasanya. Di belakang saya kelihatan nama Universiti besar. University of Pittsburgh.


















Gambar berlatarbelakangkan Cathedral of Learning. Tersergam dengan ruang besar yang diberi nama a place for reflective thinking.


















Seluruh keluarga saya hadir di sini. Cathedral itu menjadi saksi kehadiran kami. Ia bukan gereja tetapi lambang keutuhan pendidikan.













Anak-anak saya dengan snow. Nikmat yang tidak berulang bagi setengah mereka. Hanya yang sulung dan yang kedua akhirnya menjadi graduan universiti di sana kemudiannya.













Sudah tidak takut dengan snow. Sejuk itu bukan lagi ancaman. Menjadi lumrah kerana sudah biasa. Asing pada awalnya sahaja.













Mereka bergambar di hadapan rumah. Halaman rumah penuh dengan snow.


















Isteri saya jadi macam Italiano pula.


















Dua yang besar menikmati sungguh snow itu. Mereka sudah besar. Yang sulung graduan dari University of Michigan sementara adiknya graduan dari University of Pennsylvania.


















Ini anak keempat yang paling pendiam. Dalam snow itu dia
gembira nampaknya.


















Yang kelima ketika itu bersama ibunya. Sudah tahan dengan sejuk.













Ini pada winter yang kedua. Berbaju tebal. Snownya juga tebal.













Anak beranak membuat snowman ini. Sama besar dengan anak yang ketiga. Tidak memakai baju tetapi bertopi dan memakai muffler.













Tiga beradik yang kecil bermain salji.


















Bapanya yang lebih. Tetapi jika bapanya tidak mula buat, anak-anak mana tahu snowman tu apa.













Di dalam rumah. Nampak sejuk. Pakai baju tebal untuk panaskan badan.













Di park bermain salji.


















Anak keampat. Sudah berani dengan kesejukan.


















Anak-anak yang sama. Winter yang berlainan. Sejuknya sama di mana-mana.


















Anak kedua, Dahlia. Seronok pada winter begitu.


















Dua beranak merasakan winter.









Di hadapan sekolah mereka. Dalam perjalanan pulang. Entah mereka ingat entah tidak. Sudah 26 tahun yang lalu.
Winter itu sejuknya tidak terkata. Allah Maha Besar. Sesuai sahaja tubuh badan manusia dengan apa sahaja cuaca atau iklim. Kelestarian manusia yang hanya Allah sahaja yang mengetahui. Kita hanya dapat merasa. Membuat penilaian sesuai atau tidak mengikut pemikiran manusia. Mengambil iktibar akan kebesaran Allah Yang Maha Pencipta. Hanya dengan kun fayaqun segalanya tercipta. Nikmatilah sementara ada usia. Semoga diakhirat nanti ada manfaaat nikmatnya.