Kami berada di puncak Tursina hanya
selama lebih sedikit dua jam. Dari 3.50 pagi hingga 6.15 pagi. Dua jam yang
penuh dengan berbagai cabaran dan dugaan. Sejuk dan angin yang kencang dan menerjah-nerjah.
Penat sudah tidak boleh diceritakan lagi. Sudah habis tenaga apabila sampai
sahaja di puncak. Tiada tempat berlindung. Angin yang memukul muka sangat kuat.
Seperti menampar-nampar muka. Bersamanya berterbangan pasir dengan kuatnya
menghentam kami. Dari mana pasir itu?
Kami tidak tahu. Mungkin dari bukit yang berhampiran. Surau yang ada hanya
dibuka sebelum solat Subuh. Untuk melahirkan rasa kesyukuran yang amat sangat
kami lakukan juga solat sunat. Berdoa kepada Allah dan sampaikan apa yang tersimpan
di hati. Sebelum itu untuk wuduk ringkas sangat menyakitkan kulit. Air yang
kami sapu di muka, tangan dan kaki benar-benar seperti ais. Sejuk sesejuknya.
Jari jemari penulis seperti kaku dalam sarung tangan. Jejari kaki pula seperti
tidak terasa. Kami solat sambil duduk. Atas batu. Ruang pula sangat sempit.
Cukup untuk duduk. Tidak mungkin untuk sujud sepenuhnya. Keadaan tidak
mengizinkan. Solat Subuh juga kami lakukan seperti itu. Puncak itu tempat Nabi
Musa a.s. bermunajat. Mesir adalah bumi anbia. Sinai pula sebahagian dari bumi
Syam. Berbanyak doa sangat perlu. Mudah-mudahan doa kita dimakbulkan Allah seperti
makbulnya doa Nabi Musa a.s.
Setelah melakukan pendakian tentu peserta
kehabisan cebisan tenaga fizikal. Mereka mencari tempat berehat. Badan pula
letih yang teramat sangat. Hanya tidur sahaja yang menjadi ubatnya. Puncak adalah tempat yang
tinggi secara relatif. Tidak semua orang boleh berada di puncak. Tidak semua
yang berada di puncak kekal lama di puncak itu. Dalam dunia realiti ramai antara
mereka yang pernah berada di puncak gayat dengan puncak itu. Keadaan dirinya
berubah dari baik menjadi lebih baik. Atau dari baik menjadi hilang
kebaikannya. Datang perasaan yang bukan-bukan sehinggakan tindakannya tidak
dimengerti oleh orang lain. Apatah lagi apabila yang dipentingkan hanya dirinya
sendiri. Orang di sekeliling tidak diberi perhatian. Tidak dirujuk. Tidak
dimanfaatkan.
Ada peserta yang tidak berkesempatan meraikan
keberadaan mereka di puncak itu. Keadaan pula memang mendesak. Sejuk, angin kencang
dan keletihan menguasai suasana. Kerana itu ada peserta terus menyewa selimut.
Terlalu sejuk. Mereka berlindung di sebalik selimut. Terelak dari terjahan
angin kencang yang menujah puncak bukit Tursina itu. Pada pengamatan penulis,
mereka kesemuanya tertidur dengan segera. Jika Nabi Musa a.s. bermunajat di
puncak ini maka kita ambil iktibar dari pengalaman baginda itu. Bersyukur
seikhlasnya kerana dianugerahkan tenaga yang bukan kepalang untuk berada di
puncak yang syahdu itu. Rupanya berada di puncak merupakan suatu tanggungan
berat yang tidak tergalas oleh perasaan. Ketika sejuk dan angin kencang
menampar-nampar yang difikirkan hanya tempat melindungi diri dari sejuk dan
terjahan angin.
Penulis dan isteri tidak dapat
melelapkan mata. Di puncak itu kami merasakan kesejukan yang teramat sangat.
Tidak memungkinkan kami selesa
melelapkan mata. Peristiwa pendakian itu sendiri terlalu besar untuk diingat.
Tidak terancang sebelumnya bahawa pendakian itu dapat kami lakukan. Sesudah
berada di puncak tidak ada lagi gambaran indah kecuali bersyukur kepada Yang
Maha Agung. Berzikir sebanyaknya. Memohon perlindungan dari sejuk yang terlalu
mencengkam. Ada peserta yang kehilangan
betah bertahan. Ada yang merayu supaya kami turun segera. Mungkin agenda kami
berbeza. Untuk berada di puncak suatu kehadadiran luar biasa. Memanfaatkan
keberadaan itu sesuatu yang perlu diperindahkan. Bukan semudah melangkahkan
kaki. Menjejak yang tinggi tentunya sesuatu yang jarang terlaksana. Sesudah
dijejak terpana sebentar dengan anugerah Ilahi. Syukur padaMu ya Allah.
Angin bukan sebarang angin. Dari mendaki
hingga di puncak kencangnya menggugat tubuh. Terlayang jika tidak tahu
menguasai diri. Betul juga. Apabila angin sedang mendesah dan kita pula
berjalan, tubuh kita hilang imbangan. Isteri penulis berasa terlayang sebentar. Makcik, kalau ada angin kencang, jangan jalan. Nasihat spontan seorang peserta lelaki kepada
isteri penulis. Betapa kencangnya angin ketika itu. Di bawah pula gaung yang
curam. Sangat mengerikan. Sewaktu turun begitu juga. Angin kencang tiada
hentinya. Sepanjang di puncak diselimuti angin. Sepanjang menuruni bukit juga
dibayangi angin kencang.
Rakaman gambar dan rakaman perasaan
berbaur dengan kerisauan yang memuncak-muncak. Tahankah kami untuk menunggu
hingga pukul 6.00 pagi? Hingga selapas waktu solat Subuh. Selepas nanti
matahari pagi memunculkan wajah indahnya di sebalik ufuk timur waktu pagi yang
sangat dingin dan sedikit kabus yang menyelubungi puncak pagi gunung dan bukit
di kejauhan. Bergetar perasaan dek sejuk itu. Sejuk sesejuknya. Suhu di Fox
Camp dirakamkan sekitar 3°C. Rasanya suhu di puncak Tursina sudah di bawah
paras beku. Salji sahaja yang tidak turun. Namun kesan salji tetap ada di sekeliling
bukit di sekitarnya. Jari tangan dan kaki kaku kesejukan. Sarung kepala bukan
lagi menutup kepala. Ditarik ke bawah untuk menutup hidung, telinga dan mulut.
Menjejak kaki di puncak hanya rakaman
suatu titik masa. Suatu detik waktu. Suatu noktah sebahagian dari suatu
peristiwa. Di puncak itu sendiri penuh dengan cabaran yang bukan calang-calang
banyaknya. Sejuk kadang-kadang bukan kebiasaan kita. Angin kencang juga bukan
kebiasaan kita. Apabila keduanya bergabung maka kita yang dipuncak tergapai-gapai
harapan mencari lindung yang tiada. Ketabahan sahaja yang perlu diredam. Doa
sebanyak mungkin yang diucapkan bibir dan hati. Betapa pasir yang menerjah
datang menambah derita seketika itu. Bahawa puncak bukan tempat main-main.
Ianya tempat istimewa yang penuh dengan gambaran keistimewaannya. Tempat yang
syahdunya menebar alam. Bahawa di situ Nabi Musa a.s. munajatnya diterima
Allah. Di situ dialog Taurah yang indah antara Nabi Musa a.s. dan Robbnya. Kita
hanya merakamkan secebis dari peristiwa besar itu. Jika Nabi Musa a.s. berada
di puncak itu selama 40 hari maka pengalaman dua jam tentulah tidak seberapa.
Terlalu sedikit untuk disebut. Terlalu kecil untuk dirakam. Terlalu sangat
tidak signifikannya. Namun begitu merasakan yang sedikit itu memberi kesempatan
untuk kita menginsafi bahawa ada orang lain yang lebih derita dari kita. Lebih
azab dari kita. Begitulah perlunya banyak bersyukur. Banyak memperhambakan
diri. KeranaMu Allah. Aku pohonkan keampunanMu. Ku pohonkan keampunan kerana kekuranganku.
Bantulah aku untuk terus lurus di jalanMu.
Demi
Puncakmu Tursina
I
– Nukilan Penulis
Syahdu
menggapai fajar
Sebuah
dialog Taurah
Musa
yang sendiri dan Robbnya
Puncakmu
saksi abadi berzaman
Saat
jejak kakiku
Senarai
panjang jejak langkah
Batu,
kerikil dan pasir
Dalam
terjahan sejuk angin
Tanpa
makbulnya doa
Tekad
dan kudrat hilang upayanya
Sebuah
hati meredam rindu
Robbku
dan Robbmu Musa
Rindu
di puncak
Syahdu
sebuah cinta
II-
Nukilan Isteri Penulis
Demi
puncakmu Tursina
Allah
mengizinkan aku di sini
Demi
puncakmu Tursina
Cintaku
kepadamu mekar mengabadi
Demi
puncakmu Tursina
Menaut
tambat qalbu yang terasing
Demi
puncakmu Tursina
Tenaga
dipadu
Menggelora
semangat
Rapi
langkah diatur
Ku harungi batu batan
Kecil besar
Menapak rela sakit
Aduh!
Menyerah? Oh! Tidak
Tekad berjuang
Cita idaman pasti diburu
Ku harungi batu batan
Kecil besar
Menapak rela sakit
Aduh!
Menyerah? Oh! Tidak
Tekad berjuang
Cita idaman pasti diburu
KeranaMu
ya Allah
Ku
himpunkan kesabaran
Bersama doa tanpa noktah
Bersama doa tanpa noktah
Suatu
pengorbanan
Kejayaan
menanti
Jejak
kaki di puncak tinggi
Tamat sudah sebuah kisah. Jaya sebuah
puncak. Merakamkan suatu detik masa yang berlalu dengan cepat. Laluan panjang
yang digarap hanya sejarah yang berlalu. Dalam sejarah itu ada pelaku. Kita
hanya hamba. Pelaku tanpa nama.