Hajjah Rugayah (kanan) bersama adiknya Hajjah Arfah (di kanan Hajjah Rugayah). Semasa masih gadis puas juga pedas telinga. Sekarang masing-masing sudah bercicit. Sudah melampaui zaman untuk dikenang. Barang yang lepas tidak lagi selalu dikenang. Tinggal bekasnya di hati.
Pada tahun 1960 anak gadis Haji Abas dipinang orang.
Orang kampung sebelah. Parit Maimun. Kampung yang pernah didudukinya suatu
ketika dahulu. Dari keluarga yang sangat dikenali oleh Haji Abas. Keluarga
mereka mesra sejak dahulu. Haji Abas memiliki kemahiran sosial yang tinggi. Dia
boleh berkawan dengan sesiapa sahaja. Merentasi etnik. Merentasi keturunan.
Merentasi agama. Parit Maimun dihuni oleh ramai orang Jawa. Anak antara mereka
yang meminang anak gadis Haji Abas. Kecil tapak tangan nyiru ditadahkan. Tanpa
banyak berkira, pinangan itu diterima. Bermulalah suatu lagi episod dalam
kehidupan Haji Abas. Dia bakal menerima menantu. Seorang Jawa sedangkan dia
berketurunan Banjar. Tidak ada masalah kepada keluarganya. Sementelahan pula
sudah ada antara saudara Haji Abas dan Hajjah Aminah yang berkahwin dengan
orang Jawa dan dengan etnik Melayu.
Hajjah Rugayah bersama cicit pertamanya.
Mungkin anak gadis dahulu berbeza dengan anak gadis sekarang. Perkahwinan diatur oleh keluarga. Anak gadis dahulu tidak gedik. Tidak
senyum dan gelak. Anak gadis Haji Abas malah banyak menangis. Memasak menangis.
Tidur malam menangis. Basah bantal dan lengan baju. Tentu orang sekarang sukar
mengerti. Orang sekarang menangis kerana rindu yang amat sangat. Terlalu lama
rasanya untuk bersama. Tidak untuk anak gadis Haji Abas. Bersarang banyak serabut
dalam fikirannya. Ada perasaan takut yang bukan-bukan. Takut bersuami. Seorang
lelaki yang entah siapa-siapa. Tidak dikenalinya. Entah bagaimana rupanya.
Entah dan banyak entahnya seperti yang difikirkan dalam benaknya.
Ada lagi yang menghambat tangis anak gadis Haji Abas. Apabila berkahwin nanti tentunya ia akan dibawa pergi oleh suaminya. Ya, dibawa pergi oleh suami. Dia tidak tergamak meninggalkan ibu dan ayahnya. Meninggalkan adik-adiknya. Meninggalkan rumah yang membesarkannya. Dia juga tidak tahu bagaimana kehidupannya dengan bakal suaminya nanti. Ketidakpastian yang selalu bermain dalam fikirannya. Takut dan serba takut. Ada suara nakal yang mengusik. Kononnya orang Jawa kuat makan belacan. Lucu bunyinya. Hal sekecil itu merimaskan anak gadis Haji Abas. Kepada Haji Abas dan Hajjah Aminah peminangan itu sesuatu yang melegakan. Orang dahulu serba tidak kena. Jika ada anak gadis membesar, banyak mata yang menjeling. Banyak mulut yang berkata. Ada sahaja yang tidak kena. Paling besar rasanya ialah usia anak gadis orang. Melebihi usia 15 tahun sudah dikira tidak laku. Zaman yang pendidikan bagi orang kampung masih bukan keutamaan.
Di sebelah kanan Hajjah Rugayah adalah dua orang adik iparnya. Di kirinya pula tiga orang adiknya. Seorang dari adik perempuannya dan seorang dari ipar perempuannya tiada dalam gambar.
Hajjah Rugayah bersama keluarga anak sulungnya, Haji Yusof, berdiri nombor dua di sebelah kanan. Gambar ini di hadapan rumahnya sekarang.
Pertunangan itu tidak terlalu lama. Berkahwin juga
anak gadis Haji Abas. Bermenantu juga Haji Abas. Perkahwinan yang diatur keluarga
itu bukan kerana kekayaan. Bukan kerana harta benda. Bukan kerana wang ringgit.
Sudah jodohnya. Sudah sampai masanya. Tertutup sebentar mata dan jelingan
orang. Terkunci sebentar mulut orang. Tidak ada lagi suami yang dicemburukan.
Tidak ada menantu yang dicemburukan. Tidak ada bujang yang dicemburukan.
Pemergian anak Haji Abas dan menantunya diiringi dengan doa dan harapan. Semoga
mereka bahagia. Tinggallah mereka di bandar. Di Bandar Penggaram. Menantu Haji
Abas bekerja di bandar. Dari mereka lahirlah cucu pertama Haji
Abas. Cicit pertama dan piut pertama. Allah menyayangi menantu Haji Abas yang
pertama. Sewaktu anaknya berjumlah lapan orang, Allah menjemputnya. Tinggallah
keluarganya membesar di bawah jagaan ibu mereka, anak Haji Abas. Susah juga hidupnya menjadi ibu tunggal. Seolah-olah kepayahan Haji Abas membesarkan anak-anaknya berulang semula. Alhamdulillah cucu-cucu Haji
Abas menjadi. Jauh meninggalkan kemiskinan Haji Abas. Jauh meninggalkan
kepayahan ibu bapa mereka membesarkan mereka dahulu.
Menantu Haji Abas istimewa orangnya. Sudah lebih
dewasa dari isterinya. Pernah berumahtangga dan mempunyai seorang anak. Banyak
membantu Haji Abas dalam banyak hal. Oleh kerana dia memiliki sebuah
motorsikal, banyak kali Haji Abas meminta tolong bantu mana yang perlu.
Bersamanyalah Haji Abas ke rumah saudaranya untuk meminjam wang bagi menjelaskan yuran peperiksaan MCE - Malaysia Certificate of Education (SPM)anaknya. Dalam suasana
banjir, motor meredah jalan yang menyulitkan kerana desakan hidup. Dalam susah payah itulah didengar
dentuman cadangan yang mengecewakan. Haji Abas diminta memberhentikan anaknya
dari bersekolah. Menoreh getah lebih baik pada pendapat mereka. Mungkin benar dalam jangka pendek. Tetapi pada kenyataannya
bersekolah dan berpendidikan lebih tinggi adalah lebih baik. Jika dahulu
menoreh boleh menjamin hidup tetapi sekarang pekebun kecil getah ramai yang
menjerit kerana harga getah agak murah sedangkan harga barang-barang keperluan
melambung tinggi. Dalam hal ini pertimbangan Haji Abas lebih wajar.
Aalhamdulillah.
Dua orang anak Haji Abas menumpang hidup di rumah anak dan menantunya ketika bersekolah di bandar. Banyak jasa pasangan ini kepada adik-adiknya. Yang bersekolah di bandar diurus makan dan minumnya. Diurus pakaiannya. Dijaga keselamatannya. Pada hal hidupnya bukan sesenang seperti yang dijangka. Kesemuanya dilakukan demi tanggungjawab terhadap adik-adik. Meringankan beban ayah dan ibu mertua. Dia tidak pernah mengeluh. Senyuman, yang dipamerkan apabila pulang dari kerja. Tidak memperlihatkan rasa penat kepada isteri dan adik-adik. Untuk meringankan sarahidup, diusahakan sebuah tanah kerajaan di sebuah tempat yang dinamakan Kaki Bukit. Berhampiran dengan Taman Perdana sekarang. Dicucuk tanam dengan keledek, jagung dan sayur-sayuran. Kesemuanya untuk keperluan sendiri. Tidak ada yang dijual. Begitulah aktivitinya selepas waktu kerja. Mungkin adik-adik yang lain tidak mengetahui. Dua orang adik yang tinggal bersamanya kadang-kadang turut membantu pada waktu lapang.
Sayang kerana tidak berkeupayaan untuk membayar wang primium, tanah itu menjadi milik orang lain. Sekarang menjadi penempatan Melayu di Bandar Penggaram. Allah menggantikan usahanya yang tidak berjaya memiliki tanah di Kaki Bukit. Dibeli sebidang tanah di Solok Wan Moh dengan menjual rantai emas isterinya. Itulah sahaja yang sangat berharga. Tanah itu bermandikan airmata isterinya. Di situlah mereka menetap. Dia meninggal di situ. Anak-anaknya dibesarkan di situ. Isterinya (anak Haji Abas) meneruskan hidup dengan banyak usaha. Menual kuih setiap pagi. Mengambll upah menjahit pakaian. Pada bulan Ramadhan sibuk berniaga di bazar Ramadhan. Berkat usahanya, dia adalah antara anak-nak Haji Abas yang awal menunaikan fardhu haji pada tahun 1999. Setelah menunaikan fardhu haji, hidupnya semakin tenang. Kesemua anak-anaknya berkerjaya. Sekarang ini kawasan itu menjadi kawasan yang sangat kommersil. Dibangunkan sebuah mall dan premis perniagaan yang lain. Nilai tanah kawasan itu melambung naik.
Menantu Haji Abas bertambah selepas itu. Enam daripadanya berketurunan Jawa. Dua pula berketurunan Banjar. Seorang berketurunan orang Muar. Cucu dan cicit Haji Abas sudah tidak lagi dikenali mengikut etnik. Pada darah mereka mengalir semangat Haji Abas. Anak-anak Malaysia pasca merdeka.