Tangga adalah tangga. Walaupun sekarang banyak rumah yang tidak bertangga, kita masih faham makna tangga. Peranannya. Bentuknya. Dari tangga jadilah tetangga, rumah tangga atau berumahtangga. Bagi orang Jawa pula apabila disebut nonggo maknanya suka lama di rumah jiran. Lazimnya kerana suka banyak bercerita hal orang lain. Dalam istilah agama mengumpat. Dari zaman dahulu hingga sekarang tangga sinonim untuk naik dan turun. Naik kerana kita ingin ke atas. Berada di atas. Di puncak yang paling tinggi. Tangga juga untuk turun ke bawah. Naik dan turun adalah proses biasa dalam hidup. Naik untuk berada di atas dan turun untuk berada di bawah. Itu istilah biasa. Istilah biasa-biasa untuk makna biasa. Untuk orang yang biasa-biasa. Istilah yang maknanya hanya itu-itu sahaja. Terlalu literal. Lurus macam bendul. Jika kita ambil iktibar yang besar, tangga memberi erti yang berbagai. Kita boleh memberi makna yang jauh lebih besar. Lebih bernilai estetika. Kesan psikologi yang mendalam. Menjadikan kita pemikir supaya sesuatu yang mudah diberi erti yang mendalam jauh mendepani pemikiran basa-biasa.
Apa sebenarnya yang berada di atas hingga kita galak sangat untuk naik ke atas. Kepada orang biasa atas maknanya tinggi. Bagi yang lemah semangatnya atau yang cita-citanya rendah atau yang sememangnya tiada cita-cita, tinggi adalah sesuatu yang tidak perlu difikirkan. Biarlah tinggi terus dengan tingginya. Biarkan untuk orang-orang mampu menaiki tangganya untuk ke atas sana. Bayangkan kita hidup bersama orang kaya tetapi kita tidak belajar dari prosesnya menjadi kaya. Tidak belajar dari apa yang dibuatnya untuk menjadi kaya. Kita berjiran dengan profesor tetapi tidak belajar caranya menjadi pandai. Menjadi terkenal. Membaca dengan banyak. Mempelbagaikan ilmu pengetahuan yang mungkin dipelajari. Kita tinggal bersama orang alim tetapi kita tidak mengikut jejaknya. Tidak mendalami agama sepertinya. Tidak beramal sepertinya. Kita hidup bersama ramai profesional tetapi kita sekadar kenal. Sekadar makan sedulang. Sekadar solat sesaf dengannya. Setakat bertegur sapa. Malang sungguh diri kita kerana dikelilingi oleh orang-orang yang hebat tetapi kita tetap tinggl dengan hidup tanpa apa-apa kehebatan.
Kepada orang-orang tersebut di atas tangga membawa mereka ke atas. Berada di atas. Memandang luas sekeliling mereka. Menggapai awan yang rendah. Memandang jauh dengan wawasan dunia dan akhirat. Menyumbang sebesar-besarnya kepada khalayak. Apabila kita bertemu ajal kita tinggalkan anak yang soleh, amal jariah yang berpanjangan dan ilmu yang bermanfaat. Orang-orang yang berada di atas banyak peluangnya untuk meninggalkan kesemua itu. Anak-anaknya berilmu. Amal jariahnya banyak. Ilmunya ditinggalkan untuk orang kemudian. Kaya untuk diinfaqkan. Ilmu untuk dikongsikan. Anak-anak yang berilmu dididik untuk meneruskan legasi kebaikan keluarga. Tinggi dan atas selalu dikaitkan dengan sifat positif. Ianya merujuk kepada kejayaan, darjat, pangkat, keindahan dan panaroma hidup yang lebih luas. Santai dan melapangkan. Ada kaitannya dengan berumah besar dan cantik. Lengkap dengan keperluan banyak bilik dan ruang. Damai dan membahagiakan. Berkenderaan yang selesa sama ada untuk ke tempat dekat atau destinasi yang jauh. Sama ada untuk mencari ilmu, untuk beribadat atau untuk beramal kepada masyarakat. Kita elakkan erti negatif sifat tinggi. Elakkan bongkak, dengki, takbur atau iri tidak menentu.
Atas adalah tempat tinggi untuk orang-orang yang inginkan hal-hal yang besar manfaatnya. Menjadi orang-orang yang luar dari biasa-biasa. Banyak kelebihannya berbanding dengan orang lain. Mereka membina kehidupan yang boleh memberi manfaat besar kepada orang lain. Mari kita lihat tangga secara fizikalnya. Bentuknya mungkin lurus atau beringkat-tingkat atau bulat. Ada tangga kayu, konkrit atau dihias dengan karpet tebal. Ada yang luas dan ada yang sempit. Ada yang tinggi dan ada yang rendah. Yang pastinya ada anak tangga. Kita memijak anak tangga yang pertama sebelum anak tangga yang kedua, ketiga dan yang terakhir. Mungkin tangga itu bersambung ke tangga yang kedua, ketiga dan sebagainya. Terdapat pula tangga yang bergerak perlahan ke tingkat-tingkat yang berlainan di atas atau di bawah. Sekarang cuba lihat di bangunan yang tinggi. Ada tangga yang deras geraknya. Lif membawa penumpangnya sangat cepat ke tingkat-tingkat yang lebih tinggi menggunakan tangga. Boleh menggunakan tangga untuk kecemasan. Tidak mungkin setiap masa kita menggunakan tangga untuk naik ke tingkat 79 dan untuk turun dengan tangga dari tingkat itu. Tangga biasa untuk rumah yang bertiang. Rumah tanpa tiang tiada tangga. Di rumah yang bertingkat-tingkat tinggi tangga sudah bukan berfungsi seperti rumah rendah. Ada tangga deras yang digunakan.
Kita ambil iktibar. Orang yang memiliki tangga menggunakannya setiap masa untuk naik dan turun rumah. Tangga itu berada dalam minda walaupun dalam gelap malam yang gelita. Tidak perlu dilihat untuk ingat berapa anaknya. Tahu setakat mana tinggi kaki diangkat. Akan terpijak anak tangga yang dikehendaki. Maka kita selesa dengan tangga itu. Waktu siangnya mungkin kita duduk selesa mengambil angin atau berbual kosong dengan ahli keluarga dan jiran tetangga. Tidak mungkin hal itu berlaku di bangunan pencakar langit. Di bangunan yang tinggi-tinggi. Naik ke atas dengan deras kerana teknologi menyediakan tangga yang deras. Kerana suasana dan persekitaran perlukan kita bergerak deras. Kepada orang-orang yang berada di bangunan itu naik ke atas dengan pantas. Turun mereka untuk memenuhi keperluan. Naik semula menyambung tugas besar yang selalu dari atas ke bawah. Arahan dari atas. Perintah dari atas. Khabar dari atas. Pandangan jauh dari atas. Semua yang dari atas didongak. Diintai. Didengar. Kebanyakannya dipatuhi. Siapa yang memberi perintah. Memberi arahan. Membuat berita. Menyampaikan khabar. Tentunya orang besar. Orang terkenal. Orang yang ada kewibawaan dalam bidang mereka.
Siapa sebenarnya orang-orang yang di bawah tangga. Yang tangganya rendah. Sempit. Reput. Tidak berhias. Mereka diperintah. Disuruh arah. Malah kadang-kadang dipaksa rela. Kenapa. Sifat mereka rendah. Berada di bawah. Dilihat kecil. Lemah. Tiada daya fizikal dan ilmu untuk bangun tinggi. Tiada kudrat jalan fikir yang boleh meninggikan diri. Maka kita perlu belajar. Perlu mendalami banyak ilmu dan kemahiran. Pendidikan menjadikan kita lebih baik dari berada di tampat yang rendah. Jika tidak di atas sekalipun kita masih boleh berada di pertengahan tangga. Masih ada peluang terlibat merancang. Memberi arahan kepada yang di bawah. Masih diangap tinggi oleh kebanyakan orang. Kerana itu juga kita harus menilai semula tangga dan ertinya dalam keadaan sekarang. Ia untuk memberi erti yang sewajarnya supaya tangga itu membawa kita ke mercu pilihan kita sendiri. Tetapi tidak selamanya berada di bawah. InsyaAllah ilmu dapat membawa kita ke atas. Motivasi disesuaikan dengan masa dan keadaan. Dengan keperluan semasa dan akan datang. Buang semua pandangan haizat. Pandang ke bawah dengan keinsafan bahawa kita dahulunya dari bawah. Bawah bukan hina. Ianya tempat kita membina asas. Kita kembali turun ke bawah untuk kembali ke dasar. Tempat kekal kita di bawah. Atas pastinya hanya tempat sementara.
Memang tangga ada fungsi turunnya. Walau bagaimanapun jangan terus-terusan turun kerana untuk naik nanti sudah hilang gagah tenaga yang diperlukan. Berhati-hatilah berhadapan dengan tangga. Dorongan naik cukup banyak. Dalam pada itu perangkap turunnya juga terlalu banyak. Tangga yang ada di hadapan kita direncanakan fungsinya. Naik atau turun ada fungsinya yang dihajatkan. Biar kita memanjat naik tetapi jangan sampai menggelongsor turun hingga tidak mampu untuk naik lagi. Naik mestilah berhati-hati. Berpaut pada yang perlu. Berpijak pada yang kukuh. Menghadapi gayat berada di tampat tinggi. Berfikir positif supaya tidak gagal berada di atas. Jika demikian ditakuti turun menjadi deras. Jaga puncak kerana anginya lebih banyak dan deras. Panasnya juga mungkin lebih terik kerana lapangnya suasana. Jangan pula lupa turun. Takut nanti diturunkan orang. InsyaAllah kita selamat di bawah naungan Allah.