Monday, July 22, 2013

Bingkisan Dari Kaherah Mesir: Banyak Tanda Islam Kembali Dagang



Dalam sebuah hadith Rasulullah bersabda yang mafhumnya, Islam asalnya dagang dan akan kembali dagang.  Sewaktu Islam bermula di Mekah tentangan terhadapnya sangat kuat. Orang Quraisy menjadi musuh paling tegar kepada orang-orang Islam ketika itu. Setelah penganutnya bertambah, tentangan itu semakin kuat. Setelah Islam bertapak di Madinah semua tentangan dapat dipatahkan. Piagam Madinah menjadi mercutanda bermulanya sebuah negara Islam. Asas bentuk perlembagaan di semua negara di dunia. Dari situ Islam berkembang ke timur dan barat. Bumi Arab terletak antara dua kuasa besar dunia ketika itu. Di timur empayar Farsi (Iran). Di barat pula Roman. Perebutan untuk menakluki bumi Arab berterusan antara kedua empayar. Pada asalnya tentulah Islam dianggap tidak signifikan. Bukan ancaman kepada kedua-dua empayar. Manusia merancang dan Allah merancang. Perancangan Allah jua yang lebih baik. Ternyata masa menyaksikan bahawa Islam menguasai bumi Arab. Bumi anbia. Empayar Roman yang terlalu kuat dikalahkan oleh tentera Islam. Barat dapat diundurkan dari bumi Syam. Di timur tentera Farsi juga dapat dikalahkan.  Maka Islam bersinar dari timur ke barat. Usaha dakwah mengembangkannya ke seluruh dunia. Laluan sutera membawa Islam ke negara Cina lebih awal dari Tenggara Asia. Banyak negara di Eropah diperintah oleh Islam. Sayangnya ia berakhir ketika zaman Uthmaniah. Ottoman Empire.

Rupanya kejayaan selalu melekakan. Memberikan keselesaan yang mengkhayalkan. Muslim berhenti berfikir untuk memajukan diri. Berhenti untuk memenangkan Islam terus menerus di bumi Allah. Kekayaan, kemewahan dan kegemilangan tidak diterjemahkan menjadi usaha berganda untuk menjadikan Islam agama yang menutupi seluruh bumi ini. Usaha-usaha dakwah terhenti. Usaha-usaha ilmiah terkandas. Sejarah ilmu dalam Islam dilanjutkan oleh barat. Mereka membuka lembaran-lembaran baru bidang ilmu. Penerokaan demi penerokaan dikendalikan dengan jayanya. Asasnya ilmu Islam. Maka mereka mendakwa semuanya datang dari barat. Selama 1,000 tahun yang hilang itu mereka ganti dengan ilmu mereka. Walhal ilmu itu datangnya dari Islam. Diteroka oleh sarjana Islam. Malangnya orang Islam tidak dapat mempertahankan hak itu. Hak paten tidak ada dalam Islam. Namun kemenangan tetap kepada Islam. Orang barat tidak dapat menafikan siapa Ibn Sina, Ibn Rusyd, Hulagu Khan. Mereka tidak dapat menafikan ilmu falaq, ilmu matematik, ilmu algebra, algoritma, perubatan, pembedahan, kimia, fizik, kejuruteraan dan banyak lagi jika hendak disenaraikan. Semua itu terhenti kerana usaha barat melakukan usaha penjajahan melalui perdagangan, perluasan tanah jajahan untuk menguasai dunia, menguasai agama dan politik.

Penjajahan ekonmi dan minda paling menonjol. Agama ditiadakan nilai ekonomi. Maka orang Islam memutar laku hingga meninggalkan asas agama. Ilmu agama hanya syarat untuk menjadi Muslim. Tidak lagi menjadi tiang yang disandarkan segala-galanya. Akhirnya Islam menjadi agama yang besar tetapi sifat Muslimnya hilang kewibawaan. Menjadi buih yang mudah pecah walaupun ditiup angin sepoi-sepoi bahasa. Kekuatan Islam zaman gemilangnya dahulu pudar. Malah manuskrip ulama’-ulama’ terkenal banyak yang diterbitkan di barat seperti Jerman. Banyak lagi yang hilang dari simpanan. Masa, perang dan perubahan iklim memusnahkan banyak manuskrip-manuskrip yang tiada nilai harganya. Apa yang kita lihat sekarang ialah negara Islam yang mundur. Orang Islam yang dilihat hina. Ilmu seperti dicabut dari orang Islam. Orang Islam sekarang belajar dari orang barat. Bangsa yang dalam kegelapan selama 1,000 tahun sebelum Perang Salib pada kurun yang ke-11 dahulu.

Penjajahan budaya semakin menjadi-jadi. Orang Islam semakin terjebak dengan hal-hal yang menjauhkan mereka dari rupa bangsa agama. Sosialisma dan komunisma pula menganggap agama sebagai candu. Mereka mencipta sistem yang membuang agama. Tetapi sebenarnya tiada siapa manusia yang boleh lari dari agama. Lari dari Allah. Karl Marx mencipta sistem yang dianuti di seluruh dunia. Hatta di negara Islam. Cukai pendapatan yang diamalkan di semua negara adalah ciptaan Karl Marx. Amerika yang memerangi komunis begitu bersungguh mengamalkan cukai pendapatan Karl Marx yang dianggap bapa segala komunis. Ramai pemimpin pada bibir mereka menyebut benci pada komunis. Tetapi pada lahiriahnya mengamalkan sistem komunis. Sedikit demi sedikit Allah menunjukkan kebenaran. Sistem ekonomi barat tidak dapat bertahan lama. Sebuah demi sebuah negara barat berada dalam keadaan muflis. Turki hampir berada dalam kelompok itu. Alhamdulillah kepimpinan yang ada mengubah dasar. Menyelamatkan Turki dari kemelesetan. Hutang yang beribu dollar dapat dilunaskan. Ekonominya meningkat kerana bertunjangkan Islam. Ada semangat Islam. Mereka kembali kepada Islam.

Ramai orang yang persepsinya terbalik. Islam diberi persepsi negatif. Tidak maju, tidak suka kemajuan dan ada sifat mundur. Persepsi yang diada-adakan. Yang dimomokkan kepada orang Islam. Malangnya ramai pula pemimpin Islam yang menjadi burung kakak tua. Mengulangi kata-kata orientalis. Kata-kata musuh Islam. Mereka tidak mempertahankan Islamnya. Sebaliknya bergabung dengan barat untuk menghina agamanya sendiri. Tidak ada ssatu ayat atau nas yang menunjukkan Islam agama yang tidak mahu kemajuan. Islam bersifat hadhari. Maju ke hadapan. Sewaktu berperang dengan orang Yahudi tentera Islam menggunakan teknik yang berbeza dengan amalan. Kerana itu Allah memenangkan tentera Islam. Nabi Daud umpamanya diberi kelebihan boleh menguasai besi. Besi lembut di tangannya. Dengannya berbagai barangan dapat dibuat. Kemajuan banyak datang dari agama. Dari Allah. Nabi Sulaiman terkenal dengan kehebatannya dalam senibina. Puteri Balqis terpedaya dengan lantai istana yang seperti air. Dari seorang puteri yang angkuh ia tunduk kepada Islam.  Nabi Nuh pula manusia pertama yang membuat kapal. Arahannya datang dari Allah. Spesifikasinya dari Allah. Proses dan prosedurnya dari Allah. Tidak mungkin Islam agama mundur. Yang mundur ialah pengamalnya yang melupakan dasar agama yang mereka anuti.

Situasi semasa memang memihak kepada barat. Apabila Iran memajukan sistem persenjataannya, barat mengecam sedangkan mereka lebih banyak memajukan senjata berbahaya. Banyak sekatan dikenakan kepada Iran. Semua negara Islam digesa memboikot Iran. Malangnya mereka patuh kepada arahan barat.   Begitu juga apabila Pakistan memajukan teknologinya, barat melaga-lagakannya denegan India, musuh tradisi Pakistan. Penduduk negara Cina yang beragama Islam melebihi 50 juta orang. Mereka ditindas dan dihina. Tidak diberi kesempatan yang meluas walaupun mereka menyumbang besar dalam ekonomi Cina. Saya teringat Panglima Awang. Seorang pahlawan Melaka yang menjadi tawanan Portugis. Seorang pahlawan terbilang yang dijadikan hamba oleh Portugis. Semuanya gara-gara Melaka kalah kepada Portugis pada tahun 1511. Bangsa yang dijajah menjadi hina. Hilang kekuatan. Ilmu dan kepandaian berfikir hilang dari minda. Mereka menjadi tenang tanpa berfikir. Apatah lagi apabila British menjadi penjajahnya. Mereka bijak menenangkan fikiran. Hal-hal yang sensitif tidak diganggu. Agama dan adat dibiarkan mengikut arus. Sebaliknya kekayaan tanah jajahan diangkut ke Britain. Apa sahaja yang berharga diangkut kembali ke negara mereka. Yang ditinggalkan ialah jiwa yang pasif. Jumud. Tunduk kepada salutan kebaikan British.
  

Siapa barat sebenarnya. Siapa USA. Atau ada lagi yang lebih tinggi dari USA. Banyak penemuan yang menjurus bahawa ada kelompok yang menguasai dunia. Mereka yang mengatur arah perjalanan sesebuah kerajaan di dunia. Kesemuanya mengarah untuk menghancurkan Islam. Untuk terus menghina Islam dan penganutnya. Kerana itu kita melihat orang Islam seperti tidak dipandaikan. Tidak dibuka mindanya. Hanya mulut mereka disuap. Dikenyangkan perutnya. Didendangkan dengan hiburan yang melampau-lampau.  Semangat juang hilang. Istilah jihad diterbataskan. Usaha dikecilkan. Pemimpin yang bekerja. Rakyat tidak perlu payah-payah. Penjajahan minda yang akhirnya menjadikan Muslim berada di bawah tapak kaki orang lain. Itupun orang Islam tidak sedarkan dirinya berada di bawah. Mereka gembira diinjak dan pijak. Orang Islam juga yang menghina saudaranya sendiri yang Islam seperti mereeka. Mereka ada di mana-mana. Andainya mereka memahami agama mereka sendiri tentu mereka tidak jadi begitu. 

Bingkisan Dari Kaherah: Ramadhan Yang Mencari-cari



Dari kecil kita dididik untuk berpuasa. Ibu bapa yang perihatin mempastikan anak-anak dilatih berpuasa sejak dari kecil lagi. Masih ingatkah kita, kita bermula dari perlahan-lahan. Mula-mula berpuasa setengah hari. Hari kedua ¾ hari. Hari ketiga alhamdulillah sempurna sehari suntuk. Senang sahaja ibu bapa mengajar. Sesiapa yang tidak berpuasa dilarang turut campur semasa ahli keluarga yang lain sedang berbuka. Aduh pedihnya. Orang lain kesemuanya sedang berhari raya Maghrib itu. Berhari raya kerana sehari suntuk berpuasa. Menahan lapar dan dahaga.   Maka yang tidak berpuasa dihukum. Berat sungguh dirasakan hukuman itu. Orang lain makan dengan lazatnya. Kita hanya kecur air liur dari jauh. Ayah pula buat-buat tak pandang. Hendak menangis  salah sendiri kerana tidak berpuasa. Hendak minta simpati terasa berat. Kelu lidah. Esoknya kita berpuasa semula. Cukupkan sehari, dua hari hingga tamat Ramadhan. Ada beberapa perkara yang harus kita perhatikan:

1        Anak-anak dahulu lebih patuh kepada ibu bapa. Hendak tahu sebabnya? Antaranya kerana mereka bergantung sepenuhnya kepada susu ibu. Naluri dekat kepada ibu dan bapa sangat kuat. Apa kata ibu dan bapa dipatuhi.
2        Makanan yang disediakan adalah halal 100%. Jadi darah dan daging yang halal. Minda mereka menjadi bersih.
3        Ibu bapa dahulu adalah good practicing Muslims.   Menjadi contoh kepada anak-anak. Tiada bantahan kerana tiada pilihan lain.

Sekarang cuba lihat di sekeliling kita. Ramai anak-anak yang tidak berpuasa. Mereka sudah baligh. Sudah berakal. Mukallaf. Islam. Sudah besar panjang. Tidak berpuasa sudah tidak lagi bersembunyi-sembunyi. Tidak lagi menyorok di belakang semak atau tembok. Makan dan minum seperti tiada apa-apa kepada mereka. Merokok berkepul-kepul di udara. Ramai yang nampak.

1        Mereka tidak lagi rasa bersalah.
2        Tidak ada autoriti yang mereka takuti.
3        Ibu bapa sudah hilang kawalan.
4        Institusi keluarga makin parah punahnya.
5        Institusi agama semakin jauh dari harapannya.

Kerosakan akhlak Muslim ini bukan berlaku di mana-mana negara slam. Ia berlaku di banyak negara Islam. Tiga hari berturut-turut saya melihat pemuda Mesir Islam yang tidak berpuasa. Pada hari Sabtu saya melihat seorang pemuda minum air di tengah bandar. Usianya sekitar 16 tahun. Semalam seorang kanak-kanak yang berusia sekitar 12 tahun makan buahdi tengah jalan. Pagi ini saya melihat seorang pemuda yang berusia 20an merokok di beranda sebuah kedai yang belum dibuka. Dalam pada usaha meningkatkan kesedaran Islam, ramai pula yang lupakan Islam. Amalan agama menjadi sangat terasing dalam kejelasan yang tiada kelamnya. Ramadhan hanya sebulan. Sebulan dalam setahun. Padanya diturunkan al-Quran. Mu’jizat paling agung kepada Rasul terakhir yang menjadi penghulu kepada semua Rasul-Rasul. Hebatnya menjadi Muslim sehingga Nabi Musa memohon untuk menjadi umat Nabi Muhammad. Nabi Musa sendiri adalah nabi ‘ululazmi. Antara lima nabi yang dilabelkan sebagai mengatasi nabi yang lain-lain.

Pada suatu malam bulan Ramadhan turun pula lailatulqadar. Hanya pada satu malam dalam setahun. Hanya pada bulan Ramadhan sahaja. Pahalanya sangat besar.  Walaupun boleh dikira sebagai nisbah, pahala sebenarnya adalah hak Allah. Maknanya bulan Ramadhan adalah bulan barakah. Banyak pahala yang boleh diperolehi walaupun dari perbuatan baik yang sedikit. Maka pada bulan ini diwajibkan semua yang berkalayakan berpuasa. Di samping itu perbanyakkan berbuat apa sahaja yang dinamakan baik. Malangnya Muslim hari ini bukan Muslim yang penuh sopan dan beradab dalam bulan Ramadhan. Jika orang yang layak untuk tidak berpuasa dilarang makan di hadapan orang yang berpuasa, apatah lagi mereka yang tiada apa-apa uzur syarie. Dilarang meninggalkan puasa. Dilarang makan di hadapan orang yang berpuasa. Yang terang-terangan tidak berpuasa:

1        Mereka menghina agama mereka sendiri.
2        Merendahkan martabat orang Islam di mata orang bukan Islam.
3        Mereka akan merosakkan keturunan mereka apabila berkahwin nanti. Jika ibu dan bapa tidak berpuasa bagaimana nanti mereka dapat mendidik anak-anak mereka.
4        Pada hakikatnya mereka menzalimi diri mereka sendiri. Yang menerima seksa dan azabnya nanti ialah diri mereka sendiri. Tidak mungkin orang lain. Jika ibu dan bapa tidak mendidik mereka maka ibu bapa akan dipersoalkan di hadapan Allah nanti.
5        Antara lain orang bukan Islam sukar didakwah kerana contoh dari orang Islam sangat meragukan.

Apabila kita berada dalam kemewahan, kita selalu lupa kepada diri kita. Kita mengandaikan bahawa kemewahan itu suatu hak mutlak. Keistimewaan kerana kita manusia. Setiap perintah Allah ada rasionalnya. Di dunia ini memang kita mewah. Tetapi jangan lupa di bahagian dunia yang lain  ramai manusia yang kelaparan. Rakyat Palestin ramai yang makannya hanya sedikit. Suasana yang tidak damai di negara mereka bukan sahaja menghimpit perasaan bahkan juga menghimpit perut mereka. Bayangkan saudara kita di Syria. Entah makan entahkan tidak. Yang menjadi pelarian mungkin disediakan makanan oleh Bangsa-Bangsa Bersatu. Yang kekal di Syria tentu panjang deritanya. Bagaimana pula puak Rohingya di Myanmar. Panjang juga deritanya. Itu belum di negara-negara di Afrika yang mengalami kemarau bertahun-tahun lamanya. Bergantung kepada bantuan kemanusiaan dari negara lain. Manusia lain. Manusia yang sebenarnya saudara mereka. Anak-anak Nabi Adam dalam bentuk rupa yang berbeza.

Allah mewajibkan kita berpuasa supaya kita dapat merasakan penderitaan orang lain. Belajar untuk berhadapan dengan situasi yang mengakibatkan kita berlapar. Bagaimana orang yang berpenyakit. Mereka dalam kemewahan tetapi terpaksa berlapar kerana tubuh badan mereka tidak boleh menerima makanan.  Bagaimana apabila dunia terbalik. Orang kaya yang jatuh miskin. Dari puncak kemewahan mereka melarat tidak tentu makan dan minum. Maknanya puasa adalah latihan supaya kita boleh berhadapan dengan situasi yang berbagai dalam kehidupan kita. Ramai orang yang sesat di hutan berhari-hari lamanya.  Kapalterbang terhempas. Ada penumpang yang hidup. Makan? Mana ada. Berlapar. Terapung di laut berhari-hari. Lapar. Situasi puasa bukan berlaku dalam bulan Ramadhan sahaja. Cuma kita dididik supaya selalu berpuasa kerana lapar boleh datang dalam berbagai-bagai rupa dan bentuknya.

Jika kita merujuk kepada perubatan, rasanya terlalu banyak kebaikan berpuasa. Berbagai penyakit berkurangan deritanya jika berpuasa. Kerehatan kepada tubuh badan. Kepada perasaan. Kepada jantung. Kepada buah pinggang. Kepada perut. Sistem penghadaman berehat seketika. Bukan selama-lamanya. Di Malaysia puasa tetap masanya. Dari sebelum Syubuh hingga pukul 7.00 petang. Hanya selama 14 jam. Orang di Kaherah berpuasa selama 16 jam. Di bahagian lain dunia ada yang berpuasa dari pukul 2.00 pagi dan berbuka pada pukul 9.00 malam. Lebih lama lagi. Mungkin ada sedikit kelainannya berbanding di Malaysia. Di sini tidak terasa lapar. Atau dahaga. Bila berbuka cukup dengan sedikit makanan. Pasar Ramadhan memang tidak ada. Tidak ada yang menggoda selera. Mungkin dua senduk nasi sudah memadai. Berbuka semalam saya makan bertambah kerana ada gulai lemak udang. Selepas makan pening kepala kerana kekenyangan.  Maksudnya sesudah berpuasa berhari-hari, perut kita semakin kecil. Nafsu makan semakin berkurangan. Tubuh badan tidak pula terasa terlalu lesu hingga terpaksa merengkak atau mengesot. Masih boleh membasuh baju. Mengemop lantai. Memasak. Pergi belajar. Membneli barang di kedai.


Berpuasa menjadikan kita manusia normal. Hati dan jiwanya mungkin semakin kental. Belum tentu mereka yang tidak berpuasa memiliki stamina seperti orang berpuasa.

Bingkisan Dari Kaherah: Profesional Yang Menghormati Profesional Lain



Pada tahun 2003 dahulu saya mengikuti kursus Sijil Pengajian Al-Quran di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Ketika itu saya baru cuba berjinak-jinak dengan pengajian Islam. Sesudah berusia 57 tahun saya mencuba menukar haluan untuk memahami Islam secara dekat. Ketika itu juga saya memiliki persepsi agama yang cetek. Seperti orang lain saya tahu syahadah. Saya tahu solat. Saya tahu berpuasa. Saya tahu zakat. Saya tahu  tentang menunaikan haji. Saya juga tahu tentang beriman kepada Allah, malaikat, rasul, kitab, hari qiamat dan qada’ dan qadar. Sebagai practicing Muslim itu sahaja yang saya tahu. Seperti orang lain juga saya beranggapan sudah cukup apa yang saya ada. Apabila saya berhadapan dengan ustaz dan ustazah saya juga beranggapan bahawa status mereka sama. Suatu ketika seorang sahabat sekelas bertanya tentang sesuatu hukum. Pensyarah ketika itu (muda orangnya) menjawab bahawa dia tidak tahu. Jika hendak jawapannya bertanyalah kepada pensyarah yang pakar dalam bidang itu. Ada beberapa implikasi yang saya pelajari:

1        Tidak menjawab tidak bermakna tidak tahu.
2        Pensyarah yang tidak mahu menjawab itu bukan pakar dalam bidang yang ditanya.
3        Ia bukan seorang berautoriti dalam bidang yang ditanya. Maksudnya walaupun jawapanya adalah betul tetapi dia bukan pakar yang sewajarnya memberi jawapan.
4        Menghormati kepakaran orang lain adalah disiplin ilmu. Kita tidak boleh melampaui kepakaran orang lain. Kecuali kita sendiri memiliki kepelbagaian kepakaran.
5        Kita yang suka bertanya wajar pula mengetahui kepada siapa sesuatu soalan itu perlu ditujukan.
6        Apabila kita rasa keliru atau tidak tahu, maka di sinilah perlunya kita memulakan langkah untuk belajar. Untuk mengetahui apa yang selama ini kita selalu andaikan kita tahu. Yang pada hakikatnya kita sebenarnya banyak tidak tahu.

Seorang yang alim dita’rifkan sebagai orang yang ahli atau pakar dalam bidang atau disiplinnya. Tidak semua ustaz atau ustazah alim jika dia tidak menjadi pakar dalam mana-mana bidang pilihannya.  Mungkin jinayat, munakahat, iqtisod, siasah atau apa sahaja bidang yang boleh dipilih. Sama juga seorang saintis mungkin memilih bidang kepakarannya dalam bidang fizik atau kimia atau biologi. Yang memilik fizik mungkin menjurus kepada astro physic. Jika dia benar-benar mengetahui bidangnya maka dia dikira alim dalam bidang itu. Dalam bahasa Arab ulama’ tidak bermakna hanya orang-orang agama. Ulama’ adalah himpunan orang-orang yang pakar dalam bidangnya. Ada sesuatu yang harus kita fikirkan. Kesemua ilmu adalah milik Allah. Maka semua profesional harus menyedari bahawa ilmu yang ada pada dirinya adalah ilmu Allah. Dipelajari kerana Allah. Diamalkan kerana Allah. Disampaikan kerana Allah. Hidup dan matinya orang yang diberi ilmu itu kerana Allah.  Dia harus bersyukur kerana Allah menganugerahkannya ilmu itu. Pada masa yang sama Allah menganugerahkan ilmu lain kepada orang lain. Kebetulan profesional yang lain adalah ilmu agama. Di Malaysia pula orang yang mahir agama dipanggil ulama’. Tidak diketahui salah siapa. Orang lain yang pakar tidak dipanggil ulama’. Barangkali itu perkembangan bahassa itu sendiri. Mengambil bahasa orang lain lalu diberi konotasi yang berlainan.

Saya perhatikan tidak ada ulama’ di Malaysia yang tidak bekerjaya. Atau tidak berkerja. Atau tidak terlibat dengan aktiviti yang istiqamah. Hanya kerana mereka berjalan ke sana dan ke mari tidak bermakna mereka tidak memiliki pekerjaan. Yang sudah berusia emas mungkin tidak lagi bekerja kerana mereka pesara. Pernah bekerja. Dr. Yusof Al-Qaradawi yang sudah lanjut usianya pernah bekerja. Sekarang banyak menulis. Berderet-deret bukunya. Berjela-jela panjangnya. Dr. Zulkifli al-Bakri pernah menjadi pensyarah di USIM. Dia bersara pilihan. Memang dia tidak kelihatan seperti orang bekerja tetapi antara tugasnya:

1        Penasehat Lembaga Urusan dan Tabunh Haji.
2        Penasehat syariah Bank Muamalat.
3        Ahli Majlis Fatwa Negeri Sembilan.
4        Ahli Majlis Fatwa Negeri Terengganu.
5        Pengkuliah tetap di beberapa masjid, pejabat dan jabatan di seluruh negara.
6        Penulis buku yang proplifik.

Secara peribadai saya pernah memberi komen bahawa dia seorang yang banyak menulis buku. Dia tidak mengiakan komen saya. Sebaliknya menambah, jika tidak banyak undangan berceramah mungkin lebih banyak lagi buku yang cuba dihasilkannya. Untuk pengetahuan pembaca, buku-byku beliau bukan buku picisan. Buku-bukunya adalah hasil penyelidikan yang menggarap topik-topik yang relevan dengan masyarakat. Ketika berceramah dia tidak pernah membawa teks. Semuanya dikeluarkan dari minda dan hatinya. Keluar cair seperti air meluncur. Alhamdulillah.

Kesemua ustaz dan ustazah yang selalu keluar wajahnya di TV adalah profesional. Mereka masih bekerja dan berkerjaya. Jika yang berusia melampaui usia bersara mereka sebenarnya pesara. Saya rasa (pendapat peribadi saya) tidak ada kewajaran seorang ustaz atau ustazah mendominasi minda orang Islam. Tidak mungkin. Hukum hakam yang diberikan datangnya dari al-Quran. Ada nas yang sahih. Disokong dengan hadith-hadith yang sahih terutamanya Bukhari dan Muslim. Selain itu dari Nasaie, Abu Daud, Ibn Najah dan yang lain-lain. Apabila saya berjinak-jinak mendalami agama Islam saya dapati banyak pintu yang terbuka. Seorang alim tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan fatwa. Tidak semudahnya mengeluarkan hukum. Kita yag kurang mengetahui selalu beranggapan begitu.  Hukum selalunya dirujuk kepada al-Quran sebagai sumber utama. Selalu diutamakan. Kemudiannya hadith pula ditelusuri. Dilihat pula catatan ulama’-ulama’ kabir zaman dahulu. Ulama’ yang mursyid. Ulama’ yang terbilang. Kadang-kadang untuk mendapatkan sesuatu fatwa diseminarkan pula. Didengar dari berbagai padangan dan sudut. Dari berbagai bidang kepakaran. Dari yang pakar fiqh kepada yang pakar al-Quran kepada yang pakar hadith kepada yang pakar bahasa Arab. Ada konsep takhrij dan ada konsep istinbat. Minta maaf, tidak ada yang main hentam keromo sahaja. Itu bukan tradisi ulama’.

Mungkin rasa kebertanggungjawaban masing-masing membawa ulama’ kepada pelbagai fikiran dan ideologi. Percayalah, jika anda memahami agama anda akan faham. Jika anda memahami Islam anda akan faham. Jika anda banyak mengetahui maka anda akan faham. Ulama’ akan terus bercakap kerana itu sahaja yang dia mampu. Tiada kemampuan tangan (kuasa). Mereka ada kemampuan untuk bercakap, maka mereka bercakap. Cuba semak butiran cakapnya. Cari tafsir mana yang dirujuk. Hadith mana yang diselidik. Anda akan faham bahawa dia bertanggungjawab kepada Allah. Jika ada, jika ada ulama’ yang terkeluar dari garis-garis yang sewajarnya maka ulama’ itulah yang harus ditunjuk secara spesifik. Merangkumkan semua ulama’ sebagai orang-orang yang malang bukan disiplin ilmu yang baik. Melanggar disiplin keilmuan. Seorang profesional yang mahir tentang penyelidikan dari sewaktu bacelor hingga Sarjana dan PhD tentu tidak sembrono bercakap. Harus ada kewajaran uuntuk melabelkan orang lain secara adil. Apatah lagi jika mereka memang ulama’ yang tugasnya memberitahu. Berdakwah. Menunjukkan yang benar dan yang salah. Kita yang daif tidak mampu melakukannya kerana itu bukan bidang kita. Kita bentangkan ilmu kita kepada ulama’. Nanti boleh dikaitkan dengan agama. Adanya nas al-Quran yang berkaitan. Hadith yang menyangkut.

Sekarang ini ramai saintis di IPT yang mendekati ilmu mereka dari kacamata agama. UKM dan USIM umpamanya melihat agama sebagai sumber untuk melebarkan penyelidikan mereka. Prof. Datuk Dr Yusof Othman umpamanya adalah tokoh Maal Hijrah. Penyelidikannya sekarang bertunjangkan al-Quran. Ayat-ayat al-Quran di bibirnya. Prof. Madya Dr. Mat Ropa Islamil adalah seorang pakar Matematik dari UPM. Dia mahir bahasa Arab tinggi. Berminat dengan al-Quran. Nas dan hadith juga di bibirnya. Kita lihat pula Dr. Danial, Dr. Jamnus dan ramai lagi profesional yang berada dalam kelompok agama. Ustaz Hazrizal (Saiful Islam) adalah ulama’ muda yang aktif. Dia memiliki syarkat konsultannya sendiri. Saya cuba berputar banyak kali. Tidak saya temuai ulama’ yang aktif ke sana dan ke sini terdiri dari orang-orang yang tidak bekerja. Tidak pernah bekerja. Apabila saya ke rumah Datuk Hassan Din al-Hafiz, buku rujukannya berkeliling bilik dan meja. Bila di rumah dia membuat rujukan. Memang dia tidak bekerja sebab dia sudah bersara. Semua orang tahu dai bekas imam masjid negara. Imam besar Istana Negara. Ceramahnya merentas benua dan negara seperti UK, Australia, Singapura dan Brunei. Apa hendak diirikan. Itu kepakarannya. Ustaz Dr. Zahazan pernah menjadi pensyarah di UIAM. Sekarang orang penting di syarikat penerbitan Telaga Biru. Masih bekerja. Menyunting dan menulis buku.

Mungkin orang agama diberi honorarium atau saguhati yang tinggi. Itu penilaian masyarakat. Menghargai ilmu. Menghargai orang yang memiliki ilmu. Kita yang selalu belajar sangat mengetahui bahawa belajar bukan kerja yang mudah. Bersengkang mata. Banyak yang perlu dibuat dalam jangkawaktu yang tertentu. Ada time frame. Ada jadual. Ada dateline. Terkejar ke sana dan terkejar ke sini. Perpustakaan dijengah selalu. Apabila kitab yang diperlukan tiada maka berkira pula untuk membelinya. Menjerat perut untuk membeli kitab. Mengurangkan makan kerana ilmu. Kadang-kadang hidup tunggang langgang. Maka apabila sudah ada ilmu, Allah memberinya rezzeki. Terbuka orang untuk memberi yang sewajarnya. Sesuai dengan usahanya dahulu semasa belajar. Susah payahnya dahulu dibayar tunai oleh Allah. Kerana ilmu agama jauh perginya. Apa ilmupun jika disalut dengan agama akan pergi jauh. Fitrah manusia sukakan agama. Apabila muncul ulama’ yang berkalibar tentu masyarakat menjadi ghairah dengan ilmunya. Maka ulama’ itu menjadi profesional yang wajar diberi penghormatan sebagai profesional. Tidak wajar pula profesional lain melihat mereka dengan padangan sinis. Dilihat dengan sebelah mata sahaja.


Marilah kita perbetulkan persepsi kita tentang ulama’. Mereka bukan sebarang orang. Rasulullah SAW dalam hadithnya bersabda bahawa ulama’ adalah pewaris anbia. Merekalah yang bertanggungjawab meneruskan kerja-kerja menyebar dan memakmurkan agama kepada orang-orang yang mengaku menganut agama. Seorang profesional tidak menghina profesional yang lain. Semua orang penting dalam bidang masing-masing. Dalam disiplin ilmu yang bebeza. Namun jika ilmu tidak disalut dengan agama ianya menjadikan pakarnya menyisih dari tuntutan agama. Cuba memahami. Cuba kembali ke dasar. Semua ilmu dari Allah. Allah yang menganugerahkan ilmu itu kepada sesiapa yang dipilihNya. Kerana itu jangan terasa besar kerana memiliki ilmu itu.