Pada pertengahan bulan April 1986 rasanya saya sudah menghantar pulang barang-barang yang dibeli. Kebanyakannya barang-barang untuk kegunaan sendiri. Tetapi biasalah apabila kita keluar negara atau ke mana sahaja kita pergi kita teringat orang-orang yang ditinggalkan. Ibu bapa, adik beradik dan mungkin rakan taulan. Kerana itu dicuba juga menggagahi untuk menyediakan seadanya sebagai cenderahati kerana ingatan yang lekat di hati. Ingatan yang selalu mendamaikan. Teringat sewaktu bersama. Perpisahan selama 18 bulan bukannya lama tetapi terasa lama. Pada ketika-ketika tertentu ingatan selalu melayang juga kembali ke negara sendiri. Tanah tempat tumpah darah. Tampat bermain. Tempat dilatih menjadi manusia. Tempat jatuh lagi dikenang. Pada waktu yang lain terasa pula alangkah indahnya berada di negara orang. Bukan semua orang berpeluang seperti itu. Namun sirih pulang ke gagang juga akhirnya. Belut puang ke lumpur. Bangau pulang ke belakang kerbau. ;pinang pulang ke tamput. Di situ asal saya. Ke situ kembalinya. Kembali kepada fitrahnya.
Barang yang dihantar sudah berkotak-kotak. Yang di dalam beg berbagai bentuknya. Tetapi sale di supermarket masih tetap rancak. Dalam banyak iklan terdapat jualan teko corelle. Berkejar saya dan isteri ke supermarket itu. Maaf, lupa pila namanya. Berhampiran dengan Three-River Stadium. Stadium yang selalu digamatkan dengan The Pirates (baseball) dan Pittsburgh Steelers (American Football). Kami pergi sudah agak petang. Jangkanya sebelum Maghrib kami akan pulang ke rumah. Malangnya kami tidak melihat ramalan cuaca petang dan malam itu. Pada bulan April kadang-kadang saki baki winter masih ada walaupun sudah berada dalam spring. Memang kami membeli teko itu. Ingin diagihkan kepada adik beradik. Saya tidak tahu sama ada mereka masih menyimpannya atau tidak. Untuk simpanan kami masih ada hingga sekarang. Sesudah 26 tahun. Sesudah 13 orang cucu.
Teko ini saya beli pada tahun 1985. Masih cantik seperti dalam gambar itu. Harganya USD25. yang saya pada winter terakhir ialah teko yang sama tetapi tanpa bunganya. Putih melepak. Diskaun 80%. Tinggal USD5 sahaja. Sekarang coraknya sudah berbagai. Di Malaysia tidak larat hendak membeli. Mahalnya bukan setakat tukaran wang. Banyak plusnya. Markupnya. Mampu pandang dan belek sahaja.
Amerika Syarikat disifatkan sebagai land of plenty. So bountiful. Negara mewah. Banyak barangnya yang menjadi kegilaan di seluruh dunia. Antaranya ialah barangan ceramic. Corelle hanya satu jenama. Sebenarnya syarikat Corning di New York State mengeluarkan banyak barangan ceramic yang digemari di Malaysia seperti Visions. Pada awal tahun 1986 itu saya dan seorang teman berkereta ke Corning Inc untuk membeli beberapa set barangan ceramic dari jualan gudangnya. Suasana sejuk yang menggembirakan. Puas dapat membeli dari sumbernya. Ketika di ruang pemerannya terlalu banyak pilihan. Yang tersekat hanya wang di poket. Tidak semuanya dibeli. Dirancang yang perlu sahaja. Set-set barangan yang cukup untuk keperluan jamuan-jamuan kecil di rumah seperti rakan-rakan rapat dan kenduri kendara yang mungkin diadakan di rumah. Tidak perlu dipinjam dari orang lain. Jika disewa sekalipun belum tentu memenuhi selera hati. Mungkin tidak kena dengan tema atau suasana yang hendak dicipta.
Berada di luar negara banyak pengalaman baru. Saya rasa ramai pelajar Malaysia yang rasa begitu. Pegawai-pegawai Malaysia yang bertugas di luar negara lagilah lebih tinggi ghairahnya. Itu belum lagi mereka yang mewah apabila berada di luar negara. Terlalu banyak yang menjadi idaman. Setengahnya menjadi kegilaan yang luar biasa. Jika kita berpeluang bertandang ke rumah pegawai-pegawai yang bertugas di luar negara penuh rumahnya dengan barangan idaman. Tidak semestinya yang berupa barangan mewah. Seperti dalam cerita saya tentang jualan gudang di US banyak barangan yang menjadi murah kerana diskaun dan sale yang agak gila-gila. Jika yang mengidam ceramic dari Britain rumahnya berlambak dengan Royal Doulton atau Royal Albert. Coraknya sangat menarik. Pelbagai pula jenis dan bentuknya. Dari set meja hinggalah aksesori hiasan dinding dan almari.
Itu belum yang sangat gemarkan barangan kristal. Pilihannya mungkin barangan dari Germany. Aduhai! Terlalu banyak yang memukau. Sekali lagi bajet sahaja yang memisahkan. Lazimnya barangan kristal adalah berupa gelas tinggi, mangkuk, pinggan atau jag air. Banyak lagi sebenarnya. Terlalu banyak. Itu belum barangan ceramic dari France. Di Malaysiapun banyak. Ramai yang membeli berset-set. Penuh rumah. untuk digunakan bila perlu. Selalu juga yang mengujakan ialah barangan ceramic dari Jepun. Antaranya ialah jenama Noritake. Di Malaysia beribu-ribu harganya. Yang pendapatannya berlebih-lebih sahaja yang mampu membelinya. Orang seperti kita hanya layak mencuci mata di tempat shopping yang besar-besar sahaja. SOGO barangkali. Melihat harganya sudah cukup menakutkan. Rasanya jika dibeli takut pula untuk menggunakannya. Takut sumpik. Takut retak. Takut pecah. Itu belum takut dicuri. Barangan mahal tentu banyak risikonya. Banyak halangannya. Banyak yang merisaukan.
Sewaktu di US dahulu mana-mana yang teringatkan barangan ceramic kegilaan mereka mudah sahaja mendapat penyelesaiannya. Jualan udang biasanya menawarkan jenama tertentu. Tetapi bilangannya sangat terhad. Bila pintu gudang dibuka sahaja maka menyerbulah masing-masing ke arah tujuan khsusus yang telah dirancang sebelum datang. Hanya barang itu sahaja yang diingini. Barang lain tidak perlu difikirkan. Itu sahaja yang mampu diangkut dengan tangan kosong. Apatah lagi jika menaiki bas. Sangat terhad barang yang dapat dibeli. Yang ringan barangkali. Yang berat seperti pinggan mangkuk terpaksa dipujuk hati supaya tidak terlalu ghairah. Bagi yang membawa kereta sendiri banyaklah yang boleh dibeli dan dibawa pulang. Masing-masing ada agenda yang tersendiri. Mengurus rumahtangga sendiri. Ada perancangan untuk rumahtangga di Malaysia. Suatu pengalaman yangg sukar dimengerti. Mungkin ada manfaatnya. Belajar dari kehidupan yang bebagai.