Sayyidina Umar pernah berkata, “Jika aku tidak pernah melihat Rasulullah mengucupmu nescaya aku tidak akan mengucupmu.” Itulah Hajr al-Aswad. Batu hitam yang sejarahnya panjang. Pertikaian kabilah Arab yang sukar dirungkai. Boleh sahaja menjadi perang antara mereka. Siapa yang layak mengangkat batu itu diletakkan di tempatnya. Di penjuru sama yang kekal hingga ke hari ini. Kaabah yang sudah sekian kali diubahsuai tetap meletakkan batu itu di tempatnya yang abadi. Lalu diputuskan bahawa sesiapa sahaja yang pertama memasuki kawasan masjid akan diminta meletakkan hajr al-aswad ke tempatnya. Sesungguhnya Allah memuliakan Rasulullah. Dialah al-Amin yang terpilih. Namun bukan Rasulullah secara bersendirian yang mengangkat dan meletakkan batu itu. Dibentangnya sehelai kain. Diletakkan batu itu di tengah-tengah. Empat ketua kabilah memegang setiap penjuru. Rasulullah seorang sahaja yang meletakkan batu. Kendur segala ketegangan. Lunturlah marah yang meluap-luap. Lembutlah hati kerana tetap memainkan peranan. Ada sentuhan setiap kabilah pada batu itu. Beribu-ribu tahun manusia berasak-asak hendak mengucupnya. Lambaian isti’lam berjuta-juta banyaknya. Garisan hajr al-aswad menjadi saksi itu.
Musim haji tahun ini 1432H sedang memuncak. Wukuf hanya beberapa hari sahaja lagi. Bermulalah musim yang penuh debar. Saudara seislam berpusu-pusu dari seluruh dunia. Perhimpunan terbesar dalam sejarah manusia. Tidak ada peristiwa sebesar ini dalam sejarah manusia dari dahulu hingga sekarang. Saban tahun jutaan manusia berhimpun di lembah kontang sewaktu Siti Hajar dan Nabi Ismail dihunikan di situ. Sunyi, lapang dan tiada langsung apa-apa perlindungan. Lambang-lambang bahawa keturunan Nabi Ismail banyak sengsaranya dalam kehidupan dunianya. Yang abadi dan membahagiakan hanyalah alam akhirat. Usahanya di dunia. Bercucuk tanam di sini. Berbakti di sini. Mencari pahala dan redha Allah. Nanti apabila sampai di akhirat kita hanya menuai hasilnya. Semuanaya dibalas dengan ganjaran yang melebihi dari sepatutnya. Tiada yang kurang. Semuanya gandaan nikmat belaka.
Pada tahun 1999 kali pertama saya jejakkan kaki di bumi haramain (dua bumi haram). Yang bermaksud Makkah al-Mukaramah dan Madinah al-Munawarah. Saya melakukan haji ifrad. Bila sampai di Makkah lebih untuk beribadat sahaja. Sentiasa berihram. Kira-kira 16 hari lamanya. Berusahalah menghindarkan diri dari hal-hal yang memungkin tersabit dam. 13 perkara yang haram semasa ihram. Yang berat lebih mudah dihindar. Yang kecil dan mudah terkadang-kadang terbuat. Rambut gugur kerana mengelap badan selepas mandi. Mungkin tercalit minyak wangi dan banyak lagi. Selepas wukuf dan tamat tawaf ifadah masih ada lagi 16 hari untuk dihabiskan. Sejak dari tanahair saya kosongkan minda supaya tidak bernazar apa-apa. Tidak berniat apa-apa yang pelik. Selepas selesai haji barulah bebas mengulang-ulang umrah. Bila-bila masa boleh melaksanakannya. Pagi boleh. Petang boleh. Lepas Isya’ boleh. Tetapi yang paling tenang selepas tengah malam. Sebelum subuh. Suasana lebih sunyi dan hening. Walaupun di dalam masjid orang tetap ramai tetapi ramai yang kelihatan keletihan. Ada yang tersandar di dinding dan tiang. Mungkin terlelap menunggu Subuh.
Berhari-hari saya memandang sukarnya orang hendak mengucup hajr al-aswad. Bertolak-tolak. Berhimpit-himpit. Ketika itulah saya melihat hal-hal yang tidak wajar. Ada jemaah wanita yang tudungnya entah di mana. Telekungnya entah di mana. Ia gelak berenang di atas kepala jemaah lelaki. Aduh! Di mana silapnya kerana tidak menghormati rumah suci Allah yang paling agung. Saya tanya isteri saya jika dia teringin hendak mengucup batu hitam yang dikira sunat itu. Dia mengangguk kepala. Kami susun strategi. Kami renung dahulu batu itu. Solat hajat menyusul. Kami memohon semoga Allah memudahkan hajat kami. Itupun tidak kami terjah pada hari itu. Berhari-hari kami mohon bantuan Allah. Kami ingin mengucup batu itu. Batu yang sinonim dengan Rasulullah.
Tiga hari kemudian kami memulakan langkah dari rukun Yamani. Orang masih lagi ramai. Memang sesak. Doa kami panjatkan. Mulut kami tidak henti-henti berdoa. Memang perlahan gerakan kami. Agak lama juga untuk sampai ke penjuru yang terletak batu idaman. Saya rasa lebih sejam hanya untuk bergerak beberapa langkah sahaja. Sesudah menghampiri begitu lama sampailah kami kira-kira semester lagi. Ketika itu isteri saya diserang rasa takut yang amat sangat. Manusia di sekeliling terasa terlalu menghimpit fizikalnya. Sebenarnya saya kejap memeluknya dari belakang. Melindunginya dari himpitan ribuan manusia. Besar-besar belaka. Tingi-tinggi belaka. Gagah-gagah belaka. Saya pujuk supaya cekal maju ke hadapan. Hendak berundur sudah terlalu jauh. Lagipun penjuru itu sudah terlalu dekat. Kami teruskan berdoa. Kuasa Allah dengan sekelip mata kami tercampak betul-betul di hadapan batu itu. Apa terjadi? Tunggu.
Kami berdua bukan sahaja tiba-tiba berada di penjuru tempat beradanya batu hitam itu. Yang paling menakutkan saya ialah isteri saya benar-benar terjelepuk di lantai. Di bawah hajr al-aswad. Kakinya lembik. Lulutnya lemah. Dia tidak boleh bangun. Tiada daya langsung untuk bangun. Saya menahan tangan ke dinding kaabah. Mengawal supaya isteri saya tidak terpijak atau apa-apa yang mungkin berlaku. Dalam pada itu saya jerit sekuat-kuat hati saya, “Bangun, bangun.” Saya kira agak lama. Seperti masa terhenti. Terjelepuk bukan perkara main-main. Memang mencemaskan. Cuma saya masih mengawal kewarasan. Saya terus memanggil isteri saya supaya membuat tindakan untuk berdiri. Lama sungguh penantian itu. Eternity. Yang saya ingat tiada apa-apa bunyi di sekeliling saya. Sunyi sesunyinya. Saya hanya dengar suara saya menjerit mengarahkan isteri saya supaya berusaha bangun. Rasa bimbang yang amat sangat.
Allah melindungi kami. Tiada pula ada gerakan menolak dari belakang. Seolah-olah semua orang tidak digerakkan oleh Allah. Kami benar-benar dalam perlindungannya. Allhu akbar. Setelah lama yang entah berapa kali saya menjerit isteri saya bangun perlahan-lahan. Katanya dia terdengar suara saya menyuruhnya bangun. Digagahinya untuk bangun. Bila dia separas hajr al-aswad saya suruh dia menciumnya. Kemudian saya tarik badannya ke belakang untuk saya pula menciumnya. Saya genyeh mulut dan pipi saya sepuasnya. Saya menjadi terlalu gagah bak sang perwira. Saya paut tubuh isteri saya lalu saya bergerak dengan mengundur ke belakang. Saya tarik diri saya sekuat-kuatnya. Saya kait tubuh orang lain supaya mereka ke hadapan dan saya mendapat lorong untuk bergerak ke belakang. Terlalu cepat pula kami keluar dari kelompok manusia yang begitu ramai itu. Asakannya dari segenap penjuru. Logiknya amat sukar untuk dapat mengucup hasr al-aswad. Kuasa Allah memudahkan segala-galanya. Alhamdulillah.
Rasa syukur yang tidak terhingga. Tiada pula terasa letih kerana berperang dengan keadaan. Berpeluh mungkin. Kami tuju ke Multazam. Antara tempat paling mustajab untuk berdoa. Kami solat sunat dua rakaat. Banyaklah doa kami. Redha Allah jua yang kami pinta. Selepas solat dan berdoa lazimnya kami membaca al-Quran. Ketika itu sesuatu yang sangat di luar dugaan telah berlaku. Entah bila berlakunya kami tidak tahu. Apabila isteri saya membuka beg sandang Tabung Hajinya dia mendapati terletak di atas al-Qurannya lipatan kertas. Bila kami belek-belek rupanya wang kertas Amerika Syarikat. US dollar. Hendak tahu berapa nilainya? USD100. Bingung juga kami. Dari Malaysia kami tidak membawanya. Di Makkah kami tidak menukar wang untuk mendapatkan dollar. Tidak ada orang memberi. Sewaktu kami tawaf dan mengucup hajr al-aswad beg isteri saya berzip. Digalas di dalam telekung lagi. Memang tidak terdedah langsung.
Bingung juga kami sebentar. Kami bukan jumpa di jalanan. Bukan pula terambil dari sesiapa. Puas kami bertanya dengan ustaz Tabung Haji. Tiada jawapan pasti. Kami tanya ustaz muasasah. Juga tiada jawapan pasti. Akhirnya kami anggap wang itu sebagai anugerah Allah. Kami ambil keputusan untuk menggunakan wang itu bagi membeli apa sahaja yang boleh menggembirakan saudara mara di tanahair. Oleh-oleh dari makkah. Bimbang juga kerana mungkin nanti terlebih timbangan. Mulut saya terpacul berkata, “Kalau lebih timbangannya kita bayar nanti.” Benar di Madinah al-Hujjaj barang kami terlebih 10 kg. Sekilo 20 rial. Perlu membayar 200 rial. Saya cuba minta dilepaskan bayaran. Tidak dapat kerana ketuanya ada di situ. Saya minta kurang. “Berapa?” katanya. Saya jawab, “100 rial.”. dia setuju. Begitulah di tanah suci mulut jangan menyebut yang bukan-bukan. Semuanya kontan. Sebutan menjadi doa.
Mengucup ajr al-aswad bukan rukun haji atau umrah. Bukan perkara wajib yang jika tidak dibuat dikenakan dam. Ia hanya suatu amalan sunat. Telah dipelopori oleh Rasulullah. Diikuti oleh para sahabat. Para tabiin pula menyusul. Disulam oleh tabi’-tabiian. Hinggalah kepada kita sekarang ini. Semoga haji mereka mabrur belaka.