Ada kata umalak bahawa tanda-tanda kecil kiamat sudah habis kesemuanya. Allah telah perturunkan untuk peringatan manusia. Satu persatu diperlihatkan supaya kita semua beringat-ingat. Dr. Sharaf, seorang ulamak hadith dari Jordan mengesahkan perkara itu. Ibaratnya malaikat Israfil sudah lama menunduk. Sangkakala yang dipegangnya sudah hampir benar untuk ditiupnya. Tiupan itulah yang akan menamatkan semua yang hidup. Sebagai penganut Islam kita semua maklum bahawa tiupan sangkakala itu adalah penamat wujudnya alam ini. Itulah penanda kiamat. Saat yang memisahkan kita antara hidup dengan mati. Bahawa semua yang bernyawa pastinya mati. Tidak seorangpun yang tinggal. Hinggalah kepada malaikat Izrail sebagai makhluk terakhir yang akan Allah matikan.
Sekarang kita sedang menyaksikan tanda-tanda besar bahawa kiamat semakin hampir. Jika sebelum ini banyak peperangan di sana sini, sekarang kita sedang menyaksikan keributan lain yang Allah tentukan. Pemanasan global adalah suatu fenomena. Apabila ais di Kutub Utara menjadi cair, air laut tentulah meningkat parasnya. Pulau-pulau di Dubai sudah diberitakan semakin mendap dan tenggelam. Pulau Singapura dijangka tenggelam dalam masa 30 tahun lagi. Atau mungkin lebih cepat lagi. Banyak tasik dan sungai di Cina yang kering kontang. Banyak pula tempat di kaki Gunung Himalaya yang menjadi tasik kerana menampung cairan ais dari puncaknya. Di Afrika air semakin kurang. Kemarau bertahun-tahun berpanjangan. Tasik-tasik semakin kering. Takungan air hanya untuk jangka masa yang lebih singkat dari beberapa tahun dahulu. Tontnlah siri National Geographic untuk mengesahkannya.
Banyak lagi fenomena alam sebagai tanda-tanda yang Allah perlihatkan kepada kita. Gunung berapi tidak berhenti-henti ledakannya. Gempa bumi memusnahkan apa yang ada. Tanah runtuh menenggelamkan apa sahaja dilaluannya. Banjir besar berlaku hamper di semua benua. Di Utara dan di Selatan. Di Timur dan di Barat. Kemusnahan sudah tidka dapat diceritakan lagi. Lihatlah. Lihatlah dengan mata hati. Dengan minda yang menginsafi. Tidak cukupkah apa yang Allah perlihatkan? Bagaimana lagi hati manusia harus diinsafkan? Tanyalah kewarasan kita. Tanyalah setakat mana kita sebenarnya siuman. Jangan kiamat itu datang baru hendak datang insaf. Ketika itu nanti jalan taubat sudah tertutup. Pintu taubat sudah terkatup. Peluang taubat sudah terhalang.
Banyak negara menjadi huru hara. Ada sahaja yang tidak kena. Ramai pemimpin yang disasarkan sebagai tidak bersesuaian. Ramai seperti yang pernah disabdakan Rasulullah. Bahawa akan tiba masanya nanyi manusia yang tidak layak menjadi pemimpin. Mereka banyaj membuat keputusan yang tidak bersandarkan pertimbangan agama. Mereka sebenarnya sesat agama. Dan yang lebih malang lagi mereka menyesatkan orang lain. Pemimpin seperti ini sangat ramai. Pengikut-pengikutnya patuh melulu. Sesat dan disesatkan. Macam-macam gelaran dilemparkan kepada mereka yanjg sekarang memimpin. Ada yang dikatakan kuku besi. Ada pula yang tidak demokratik. Ada yang demokratik tetapi ikut acuan sendiri. Yang menjadi diktator juga ramai. Negara-negara tersebut berhadapan dengan kemelut politik. Kemelut ekonomi. Kemelut sosial. Malah ada juga yang mengalami kemelut agama. Kesemua krisis itu payah pula hendak ditangani. Jika dulu banyak pergeseran berlaku antara negara. External forces. Tetapi kini kemelut-kemelut itu adalah internal. Sesama rakyat atau antara rakyat dengan pemerintahnya.
Setelah Presiden Tunisia ditumbangkan, perhatian dunia dialihkan pula ke Mesir. Rakyatnya sedang galak untuk menyingkirkan Hosni Mubarak. Trend itu mungkin tidak akan berhenti di Mesir. Akan ada lagi yang dalam senarai Allah. Potensinya ada di mana-mana. Menunggu saat dan sebab musabab yang hanya Allah sahaja yang mengetahui. Bila tiba saatnya nanti, kita akan termaklum juga. Allah Yang Maha Besar. Yang Maha Mengetahui.
Dalam saat-saat begini saya teringat Umar Abdul Aziz. Khalifah yang tersohor namanya hingga kini. Selalu disebut sebagai rujukan. Kadang-kadang sangat ironis. Ramai pemimpin Islam yang berkiblat ke Barat. Rasanya kesemua pemimpin Arab berlari ke Amerika untuk merujuk apa sahaja kes dalam negaranya. Pertolongan yang dipinta adalah dari US. Dari Presiden USA. Tidak ada lagi semangat cintakan Allah. Cintakan Islam. Susah untuk difikirkan. Kenapa ke Barat dan bukan selesaikan dengan semangat setiakawan sesama Islam. Rujuklah al-Quran dan hadith seperti pesan Rasulullah saw. Tiada yang lebih baik dari Rasulullah.
Pemimpin Islam nampak kecil. Dipandang kecil. Tidak signifikan langsung di mata Amerika. Seperti budak-budak jalanan sahaja. Barangkali hanya Syria, Libya dan Iran yang sedikit berani bertentang mata dengan USA. Yang lain pasti menunduk walaupun tidak dipandang. Begitulah bila jiwa sudah lemah. Jatidiri menjadi layu. Semangat menjadi lesu. Pemikiran menjadi buntu. Lemas dan menuju mati. Jumud dalam banyak hal. Siapakah agaknya yang masih ada kewarasan untuk memilih agama dari segala-galanya. Bahawa semuanya akan mati. Bahawa nanti akan ditimbang kebaikan dan keburukannya. Bahawa nanti akan ada pembalasan setimpal dengan apa yang kita buat.
Dalam saat-saat cemas ini saya selalu teringat Umar Abdul Aziz. Khalifah Umar hanya sempat mengepalai pemerintahan Bani Umayyah selama tiga tahun setengah sahaja. Dalam masa yang singkat itu, negara sangat makmur. Semua orang berada dalam kecukupan. Mereka ingin menjalankan tuntutan zakat. Malangnya dikatakan bahawa semua orang hendak memberi zakat. Tidak ada pula orang yang ingin memerimanya. Ya! Mereka ingin membayar bukan menerima. Benarlah membari itu lebih baik dari menerima. Bila iman memancar kuat dalam jiwa, tuntutan Islam itu juga kuat memancar keluar. Semuanya itu dicapai dalam masa lebih tiga tahun sahaja. Jenayah tentulah tiada. Makan dan minum tiada masalah langsung. Siapa yanag perlu jadi penjenayah dalam keadaan seperti itu.
Bayangkan, serigala tidak memakan kambing yang digembala di padang. Kambing yang bebas meragut rumput. Yang tidak diawasi setiap masa oleh gembalanya. Serigala yang ganas itu menghormati Umar. Khalifah yang sinonim dengan keadilannya. Terlalu banyak cerita yang dikaitkan dengan dirinya. Sebelum Umar hadith hanya dihafal. Bukan dibaca. Kesemuanya dalam hati manusia. Bukan di bibir. Pada masa pemerintahannya, Umar mengarahkan supaya hadith dibukukan. Didokumentasikan. Hakikanya hadith terkumpul dalam beberpa versi. Bukhari dan Muslim mengungguli dalam hal ini. Kesemua hadith yang merka kumpulkan adalah hadith sahih. Tiada yang hasan atau mursal atau daif atau sebagainya. Ketelitian Bukhari mengumpul hadith tiada tolok bandingnya. Selain dari meraka berdua banyak lagi pengumpu hadith seperti Nasai, Abu Daud, Ibn Majah dan ramai lagi.
Umar Abdul Aziz terlalu adil sebagai khalifah. Hidupnya dalam ketakutan sekiranya terbuat dosa. Sentiasa mencari keredhaan Allah. Amanah yang ditanggungkan ke atas bahunya bukan sumber kebanggaan. Bukan untuk menjadikannya ego. Bukan menjadikannya sombong hingga menjadi zalim. Bukan untuknya menyalahkan kuasa. Bukan untuk mengambil kesempatan dan peluang. Bukan untuk beraja di mata dan bersultan di hati. Sebaliknya ia sangat amanah. Ia sangat adil. Ia sangat tawaduk. Jika diberi pilihan ia tidak mahu memegang tampuk kuasa itu. Ia tidak mahu menjadi khalifah. Oleh kerana itu ia menjadikan dirinya selalu adil. Selalu saksama. Hingga sekarang namanya diingat memanjang zaman. Dikenang selalu sehingga disifatkan sebagai khalifah kelima layaknya. Sayangnya manusia adil seperti Umar tidka panjang hidupnya. Manusia yang baik selalu dicemburui orang lain. Didendami kewujudannya. Sejarah menyaksikan bahawa dia diracun oleh keluarganya sendiri. Darah dagingnya sendiri. Mungkin tidak seperti Habil dan Qabil. Namun saudara mara sendiri kadang-kadang menjadi musuh yang paling ketat. Sukar untuk dikenalpasti kerana bergerak dalam selimut pemimpin itu sendiri. Sejarah ini berulang-ulang selagi ada yang namanya manusia. Kita hanya perlu berwaspada. Itu sahaja.
Keadilan itu sebagai payung. Melindungi dan menaungi. Impaknya disebarkan. Semua makhluk yang berada di bawah naungannya tunduk kepada keadilan itu. Yang ganas dapat dijinakkan. Yang zalim dapat dilembutkan. Yang tersasat boleh dikembalikan ke jalan yang lurus. Bahawa pemimpin yang adil menyerlahkan keadilannya ke mana-mana kepimpinannya diiktiraf. Jalankanlah keadilanmu. Semoga ianya dilihat dan dirasa nikmatnya. Nimat kebenarannya. Nikmat kesejagatannya. Allah akan membantumu. Syurga balasannya.
Bila agaknya kita akan menemui kesinambungan legasi Umar Abdul Aziz ini. Bila agaknya kita akan bersama seseorang yang menajdi klonnya. Aduhai bila agaknya saat-saat tibanya Imam Mahadi dan Nabi Isa as. Saya seru diri saya dan semua pembaca. Kita sama-samalah kembali kepada yang hak. Yang hakiki. Tiada yang lain sebaik apa yang digariskan Allah. Tidak ada suatu apapun yang menyaingi Allah. Kita beriman kepada Allah. Kerananya kita wajib patuh suruhanNya dan meninggalkan laranganNya. Tiada pilihan yang lain. Noktah.