Seperti suatu tradisi tidak bertulis ianya selalu diulang-ulang. Difahami dan diamalkan. Seperti di mana-mana sekalipun makan dan minum bukan sesuatu yang menjadi masalah besar. No big deal. Begitulah apabila ada pelajar yang akan pulang ke Malaysia. Ramai yang akan menjamu makan malam. Mungkin memakan masa setiap malam berminggu-minggu lamanya. Yang berkeluarga memberi makan. Yang bujang juga memberi makan. Ukhwah sesama pelajar selalunya sangat akrab. Menjadi saudara apabila sama-sama di perantauan. Di tanahair hanya bertegur sapa. Hanya ketawa bersama. Senyum bersama. Diperantauan semuanya bagai berubah. Sesama sendiri menjadi sangat rapat. Sangat dekat. Ada sahaja masa untuk turut bersama. Berjauhan dari tanahair menjadi suatu barakah pula. Ada rakan-rakan baru yang dekat dan mesra.
Dalam proses hendak balik semua periuk belanga sudah dibungkus. Pinggan mangkuk sudah dihantar pulang. Biasalah makan dengan paper plate. Makan ala kadar. Ready to fly home. Malaysia, here we come. Hati terlonta-lonta hendak menemui orang-orang yang ditinggalkan. Yang lama tidak ditatap wajahnya. Dulu lain sekarang lain. Telefon sahaja penghubung. Mungkin surat yang malas hendak ditulis. Poskad sekali sekala. Internet belum meluas. Gunanya terhad. Lagipun di kampung manalah ibu dan mertua saya ada telefon. Mana ada komputer. Sekarang bolelah. Banyak benar peluang menjenguk orang jauh dalam talian. Facebook, twitter dan banyak lagi. Bukan seperti sekarang tidak ada lagi halangan untuk berasa dekat. Buka komputer boleh conferencing. Boleh chatting. Boleh face to face. Telefon barangkali terhad jika berada antara benua. Menyeberang lautan. Teknologi yang semakin mendekati realiti.
Makan malam yang diberikan oleh sahabat-sahabat bukan semudah menyuap nasi ke mulut. Sebelum dapat makan kena selalu juga hulur-hulur makan. Mulut mahu manis. Tingkah laku bersama sahabat dijaga. Indahnya ialah ada ubi ada batas. Ada budi ada balas. Saya teringat masa dulu-dulu. Hidup di kampung sangat simple. Semudah-mudahnya. Hidup di kampung yang serba kurang diimbangi dengan keikhlasan hati. Banyak memberi. Bukan meminta. Yang diberikan bukan apa-apa. Bukan tinggi nilainya. Pisang sesikat dua. Kelapa sebutir dua. Durian sebiji dua. Rambutan seikat dua. Yang cantiknya bila ada orang bertandang datang pastinya tetamu itu pulangnya kekenyangan. Bukan beefsteak. Bukan tomyam. Bukan sate. Bukan chicken chop. Bukan barbeque. Hanya nasi berlaukkan gulai lemak pucuk ubi. Disulam dengan ikan kembung masin. Atau ikan kering bulu ayam. Mungkin pastinya sambal belacan atau sambal lemak kelapa yang rasanya berakhir dengan tahi minyak. Lemak manis. Dalam masa kira-kira sejam sempat lagi mengukur kelapa. Orang kampung dah lama amalkan CPM (Critical Path Method) atau PERT (Program Evaluation and Review Technic). Mereka tanak nasi. Kukur kelapa. Ada pula yang siang pucuk ubi atau yang lain. Santan siap pucuk ubi siap. Dalam belanga gulai mendidih panas menyentap selera.
Pisang masak sentiasa ada. Keliling rumah penuh dengan rimbunan pisang. Yang masak pasti ada setiap masa. Lazimnya digoreng. Atau direbus dan dimakan dengan kelapa parut. Lebih enak dibuat pengat. Belum lagi nagasari. Belebat pisang. Pisang nipah memang banyak boleh diolah. Namun pisang yang lain biasa dimakan mentah. Rastali, lemak manis, boyan dan kapas. Itulah makanan harian. Itulah juga pencuci perut. Anak kampung makan pisang bukan sebiji dua. Sesikat boleh habis sekali duduk. Tidak mengapalah. Pisang dahulu tiada racun serangga. Masaknya kerana Allah. Makan kenyang tetapi tiada mudaratnya. Alhamdulillah. Makan dan makan. Memberi makan dan makan tidak terkira lagi. Menjadi budaya yang difahami bersama. Tetamu seperti wajib diberi makan. Memang betulpun. Prinsip Islam begitu. Tetamu diraikan. Dijamu hingga kekenyangan. Seperti pantang jika ada tetamu tidak diberi makan.
Dalam masa bertandang yang sekejap sahaja makan tengahari sudah siap. Jika petang sekalipun makanan akan disediakan. Sudah jadi budaya memberi makan. Sangat senang tuan rumah menyediakannya. Sebab itu orang Melayu suka duduk di ruang dapur. Besar manapun rumah itu, di dapur juga duduknya. Kenapa? Mudah melayan tetamu sambil menyediakan minuman. Makanan. Sambil memasak. Berbuallah dengan becoknya antara tuan rumah dan tetamu. Tetapi yang dewasa sahaja. Yang sudah berumahtangga. Yang bujang minta maaf. Jangan menyampuk. Jangan ikut campur. Hanya yang dewasa sahaja berhak bercakap. Mungkin satu lagi sebab mengapa anak Melayu tidak banyak bercakap. Bungkam selalu. Senyap dan sunyi. Becok bila bersama rakan sebaya sahaja. Di rumah tiada suara. Di hadapan orang tua menyingkir jauh. Pandai-pandai membawa diri.
Biasakanlah memberi makan. Bila tetamu datang cepat-cepat ke dapur. Setelah menyahut salam jemput tetamu naik ke rumah atau masuk ke dalam rumah. Setelah bersalam dan bertanya khabar ala kadar terus ke dapur menjerang air, memasak nasi, buat atau goreng kuih. Buat air sejuk terlebih dahulu. Yang panas kemudiankan. Jika tidak ada, cukup dengan chilled water sahaja dahulu. Cepat-cepat masak. Gunakan teori PERT atau simplex. Atau mungkin decision tree. Makanan untuk menjamu tetamu perlu segera. Sejam boleh siap alangkah datangnya selera. Sangat merumitkan perasaan jika terlalu lama menyediakan minuman dan makanan. Bukan yang berat-berat. Seperti di kedai makan yang utama sediakan minuman terlebih dahulu. Bila sudah ada minuman, yang lain-lain mudah diurus. Itulah kebiasaan orang berkeluarga. Di rumah mesti disediakan makanan tertentu. Mungkin biskut. Roti canai segera. Kuih muih segera. Atau apa sahaja yang mudah disediakan dan tidak perlu lama.
Pergilah ke rumah rakan, handai taulan atau saudara mara. Andainya air minuman dihidangkan dengan cepat, kita berasa lega. Kita rasa sangat dihormati. Diraikan dengan sepenuh hati. Ada masanya minuman ditunggu tidak datang-datang. Sembang sudahlah panjang. Mulut payah hendak lekang. Air liur sudah keluarnya jarang. Kering kontang. Dengar-dengar di dapur tiadanya bunyi. Rasanya penghuni rumah itu ramai. Anak dara ada dua atau tiga. Itu belum bibiknya lagi. Mana airnya. Mana hidangannya. Bukan payah. Air masak pun cukup. Jika tengahari chilled water lebih menyegarkan. Hal-hal seperti it menjauhkan rakan dan taulan. Saudara mara menghindar. Mereka bukan mahukan yang lazat. Bukan yang enak. Ala kadarpun cukup. Yang senang-senang. Biskut kering. Buah-buah yang tahan disimpan. Cukuplah untuk meraikan kehadiran. Ajak keluar bagi yang berkemampuan. Kedai sekarang ini bukan jauh dari rumah. Banyak kedai makan. Keluar rumah mungkin ada sebuah dua.
Itu adat Melayu. Adat Islam. Kita meraikan untuk nanti diraikan. Kita menghormati supaya nanti dihormati. Kita memberi layanan supaya nanti kita menerima layanan. Banyaklah memberi tanpa memikirkan balasannya. Allah yang akan membalasnya. Yakinlah ketentuan Allah. Keikhlasan adalah sebaik-baiknya. Jika tidak di dunia balasannya, di akhirat pasti mendapatnya. Memberi bukan lagi-lagi meminta. Jangan pula mengungkit. Hilang pahala. Hilang manfaat. Mungkin pula jatuh darjat. Halalkan apa yang sudah diberi. Jika boleh beri lagi. Dan lagi. InsyaAllah besar ganjarannya. Paling kurang hati tenang dan senang. Mudah-mudahan hidup penuh barakah. Diredhai Allah. Penuh rahmatNya.