Tuesday, April 2, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Anak Yang Menjadi Suami dan Bapa


Apabila isteri mengandung, lazimnya hati suami berbunga lebat. Kembang dan semarak. Akan lahir nanti zuriat yang menyambung keturunan. Lahir anak-anak lelaki dan perempuan yang didoakan soleh dan solehah. Hati seorang suami selalu tersentuh bahawa zuriatnya bakal tiba. Memenuhi segala ruang kecil hatinya. Yang nanti harum semerbak membuka ruang lain orang-orang sekeliling.  Saudara mara dan sahabat handai bertali arus menghulur tahniah. Maka sahihlah bahawa keturunannya tiba dengan tangis kuat yang membelas seorang ibu. Air susu dan dakapan sayang yang memanjang hingga tuanya. Begitulah halus dan teguhnya kasih sayang seorang ibu terhadap anak yang pernah berada di rahimnya. Yang hanya dapat ditatap seorang suami yang akhirnya bergelar bapa. Dari seorang menjadi dua, tiga dan bertambah-tambah jika isteri memang barakah kesuburannya. Allah menganugerahkan anak-anak yang menyejuk mata memandang. Menyirami dingin hati yang kasih. Lalu anak-anak membesar membina kemanusiaannya mengikut acuan yang dibina.
Anak lelaki dan anak perempuan adalah anak-anak kepada pasangan kedua ibu dan bapa. Yang berbeza hanya jantinanya. Yang berbeza adalah dewasanya. Anak perempuan akan meninggalkan ibu dan bapa kerana tanggungjawab yang sudah diserah kepada suaminya. Suaminyalah yang menggalang ganti tugas memimpinnya hingga tua dan insyaAllah hingga akhir hayatnya. Hati bapa berada antara lega dan sayu. Lega kerana tugasnya diambilalih oleh suami anak perempuannya. Sayu kerana anak yang membesar di hadapan mata sudah diserahkan kepada orang lain. Menjadi keluarga orang lain. Islam menggalurkan keluarga mengikut nasab suami. Nasab lelaki. Maka anak perempuan menjadi susur dan galur kepada keluarga suaminya. Bukan lagi susur galur bapanya. Seorang cucu ada aliran darah seorang datuk dan moyangnya. Tetapi hak berada di sebelah bapanya, datuknya dan moyangnya di sebelah bapanya. Maknanya seorang bapa telah menyerahkan anak perempuannya kepada susur galur suaminya. Yang tinggal ialah hak aliran darah. Hak hubungan ibu dan bapa. Sebab itu apabila seorang perempuan bercerai atau menjadi balu maka hak keluarga suaminya untuk menjaga kebajikannya. Keselamatannya. Maruahnya. Di sinilah yang barangkali perlu ada penegasan supaya sempadan hak itu diketahui. Di sepakati. Diambil berat. Hak agama bermakna hak Allah dan Rasulnya. Ada nilai pahala dan dosa. Pahala untuk yang mematuhinya. Ada dosa bagi yang mengingkarinya.
Apakah anak lelaki berbeza bila menjadi suami? Apabila seorang lelaki menikahi seorang perempuan maka tertanggung di atas bahunya segala tanggungjawab seorang suami. Jika sebelumnya ia bertanggungjawab terhadap kedua ibu bapanya sekarang ia menambah tanggungjawab. Ia bakal menambah tanggungjawab itu apabila menjadi bapa kelak. Turut bertanggungjawab kepada masyarakat, agama dan negara. Tetapi seorang bapa sangat takut jika anak lelakinya gagal menjalankan tanggungjawab itu. Yang semakin bertambah kuantiti dan kualitinya. Dia menjadi harapan ramai orang. Termasuk harapan negara. Maka apabila anak lelaki berumahtangga seorang bapa terlebih sayunya. Sebagai bapa ia ingin menurunkan segala petua yang boleh diikut. Kesabaran yang selalu menuntut. Ketabahan yang selalu membalut. Ketekunan yang perlu ditambah-tambah. Menjaga pendidikan, keselamatan, ekonomi, kebajikan  dan kesejahteraan keluarga. 

Pernikahan bagi seorang lelaki adalah menggalas pada bahunya tanggungjawab besar. Hak lelaki besar. Hak lelaki tinggi. Allah memilihnya menjadi pemimpin  kepada wanita. Kepada isteri dan anak-anaknya. Namun hak itu bukan mutlak. Apabila seorang isteri berada di sampingnya bermakna seorang suami berada dalam situasi berdua yang selalu bersama. Fikirannya berganda. Usahanya berganda. Di situ ada barakah. Ada mawaddah. Ada nikmat sebagai suami yang selalu mengagahi segala kepayahan. Kesukaran yang diringankan. Rezeki yang Allah cukupkan. Seorang lelaki harus lebih berlapang dada. Di kanannya ada kedua ibu dan bapa. Di kirinya ada isteri dan anak-anaknya. Di hatinya ada Allah dan RasulNya. Jalannya mesti lurus. Langkahnya mesti ke hadapan. Lagaknya mestilah tenaga dan aura. Pada dirinya tidak perlu wujud segala kelemahan. Apatah lagi kedaifan berfikir. Lemah mencari helah yang perlu dihindari. Ia perlu dilihat gagah. Di hadapan untuk memimpin. Di belakang untuk membantu. Di samping untuk orang lain menyandarkan harapan.
Siapa isteri kepada suami jika bukan wanita solehah. Wanita Islam selalu keliru dengan dirinya. Agama dan adat selalu salah letaknya. Apabila suami menjadi pemimpin maka isteri adalah orang yang dipimpin. Salahnya ditunjukajar. Jalannya diluruskan. Bengkoknya dilurutkan. Larinya dibantu. Lambatnya digesa. Betulnya dirangsang. Pasangan yang sama kufu sangatlah dituntut. Jalan fikirnya selari. Menyaingi satu sama lain. Tinggi dan rendahnya sama dialun. Gelombang dan badai difahami aturnya. Agenda berkeluarga seharusnnya membawa kepada suatu arah dan matlamat yang sama digapai. Sama digarap. Sama dikecapi. Tidak semua yang di hati harus dicapai jika natijahnya tidak mendamaikan.  Setiap tindakan restu merestui. Setiap langkah diatur dan disusun mengikut rentak yang dibina. Tidak mungkin suami dan isteri bertingkah rentak gendangnya. Tidak mungkin tarinya bertingkah rentak. Bersuami isteri bukan tawa dan tangisnya yang lebih utama. Kemanisan antara keduanya hanya dikecapi melalui kecekalan hati yang tinggi.
Dalam hubungan bersuami isteri banyak perbezaan pendapat. Selalu ambil jalan yang terbaik. Ada kompromi yang perlu diambilkira. Pertimbangkan yang syarie. Bukan emosi atau gah diri. Agenda kebahagiaan ialah membahagiakan pasangan. Bukan kebahagiaan diri. Jika masing-masing berusaha membahagiakan pasangan masing-masing maka tidak ada pihak yang menuntut berlebih-lebihan. Yang diusahakan ialah untuk memberi kebahagiaan. Alangkah manisnya hidup beriringan bahagia. Manis dikenang. Manis diingat. Suka yang diadun dengan kedamaian dan ketenteraman di hati. Carik-carik yang ada disimpul tepi. Dilipat jauh. Dihulur kepada masa supaya hilang dari ingatan. Apabila hidup untuk membahagiakan maka yang duka jangan disimpan dalam kamus keluarga. Lahirkan yang indah dan menyinar senyum panjang yang membelah zaman lama yang bakal mendatang. Hadapi dengan senang kerana berumahtangga hasratnya mencari kebahagiaan yang menyenangkan. Kembali kepada Allah. Pernikahan adalah kerana sunnatullah. Kelak di akhirat Rasulmu akan berbangga dengan kehadiran zuriat yang soleh dan solehah. InsyaAllah.