Kali pertama saya jejakkan kaki di bumi Madinah adalah pada suatu Subuh. Itulah hari pertama saya di Madinah al-Munawarah setelah terbang dari Senai pada hari semalamnya. Turun sahaja dari bas kedengaran laungan azan yang mendayu sayu. Allah, aku di sini ya Rasulullah. Aku di bumimu sekarang. Terlonta-lonta hati untuk berjemaah kali pertama di Masjid Nabawiyyah. Masjid yang dibina oleh manusia teragung yang menjadi kekasih Allah. Nabi akhir zaman. Penghulu segala nabi. Nabi besar segala junjungan.
Jadual Tabung Haji menyenaraikan bahawa solat pertama di Madinah ialah pada waktu Zohor. Waktu sampai kali pertama menjejak kaki di bumi Madinah itu tentulah kalut. Letih dan lesu kerana perjalanan dengan bas yang jauh dari Jeddah. Kira-kira 400 km. Sejak lepas Isya’ hingga waktu Subuh. Belum lagi urusan bagasi yang banyak bertimbun di perkarangan apartment. Alhamdulillah hanya beberapa minit dari pintu belakang Masjid Nabawi. Syukur alhamdulillah. Rezeki dari Allah untuk hambanya seperti saya dan rombongan.
Saya kebetulan bersama anak saudara isteri saya. Yusof juga namanya. Kami berdua memutuskan untuk berjemaah kali pertama subuh itu. Terlalu dekat masjid itu. Terasa berdosa jika tidak pergi. Terasa sangat rugi. Datang beribu-ribu kilometer jauhnya. Tidak mungkin peluang ini disia-siakan. Terlalu jelas depan mata. Kami sudah sampai. Ayuh kami langkahkan kaki menjengah pagar. Memang dekat. Sekadar terlindung bangunan lain. Allahu Akbar. Ini masjidmu ya Rasulullah. Aku jejak dalamnya. Di mana makammu? Arah entah ke mana. Imej-imej peta tentang kedudukan makam hilang seketika. Sebelum sampai, dihafal semuanya. Seperti sangat pasti akan diziarahi. Rupanya dalam kekalutan itu ada yang lebih utama. Nanti dulu hati. Sabarlah. Banyak masa di sini. Di bumi ini. InsyaAllah 8 hari yang akan penuh dengan kesyahduan. Rindu yang telah lama berpanjangan. Akan diubat dan terubat nanti. Sudah terlalu dekat ya Rasulullah. MasyaAllah gejolaknya hati ini. Rontanya sukar dikawal.
Saya teringat kembali, sewatu berkursus haji selama tiga tahun dulu banyak cerita yang berat-berat. Kami diingatkan bahawa mengerjakan haji itu semuanya seperti susah. Banyak masalahnya. Panasnya tidak boleh dicerita. Berkongsi bilik hingga sesak tidak boleh bergerak. Tidur beralaskan tilam setebal tiga sentimeter. Ya tiga sentimeter. Makanan yang bercatu. Kenderaan yang berbagai ragam. Belum drebar yang banyak ragamnya. Muasasah yang banyak ceritanya. Semuanya digambarkan sebagai payah. Mungkin untuk membiasakan hati supaya bersedia. Supaya hadirkan hati dengan seikhlasnya. Entahlah.
Saya bertanya kepada seorang kenalan yang pergi setahun lebih awal. Bila saya tanyakan pengalamannya, lama dia terdiam. Mencari perkataan yang sesuai agaknya. Atau mengumpul semula pengalaman baru yang dilaluinya. Jawapannya cukup santai tetapi menenangkan hati saya. Katanya, pengalamannya tidak sesusah seperti yang digambarkan oleh ustaz-ustaz yang memberi kursus dulu. Kebetulan saya mengunjungi seorang sahabat di Subang Jaya. (Datuk Dr Mansor Mat Isa. Dulu Profesor di UM. Sekarang penasihat kewangan kerajaan Arab Saudi.) Saya tidak tahu dia juga baru kembali mengerjakan haji. Saya melihat rambutnya baru tumbuh selepas dicukur waktu bertahlul awal dulu agaknya. Dalam sembang saya tanyakan juga pengalamannya. Jawapannya juga sangat santai. Katanya bersesak-sesak di Raudah (di Masjid Nabawi) adalah perkara biasa. Beginilah, katanya, semua orang ingin melaksanakan ibadat yang sesempurnanya. Maka redhalah berkongsi ruang. Sama-sama mencari yang terbaik. Dua cerita itu melapangkan dada saya. Hilang kegusaran kerana kesukaran yang digambarkan. Begitulah pengalaman-pengalaman yang berbeza bagi mereka yang pernah berada di haramain itu. Nantilah ada rezeki saya ceritakan pengalaman saya sendiri.
Dijangkakan semua tetamu Allah berada di bumi Madinah selama 8 hari. Cukup 40 waktu solat fardhu. Jaminannya syurga. Oleh kerana subuh itu saya mendahului jemaah yang lain maka saya mendapat 41 waktu. Alhamdulillah. Rezeki dari Allah. Kali pertama memasuki Masjid Nabawi, hati berbaur antara gembira dan terpana. Antara realiti dengan impian. Antara percaya dan kagum. Ceritanya, gambarannya dan bayangannya telah lama di mata dan di hati. Subuh itu saya berada di dalamnya. Alllahu Akbar. Tanyalah mereka yang pernah di situ. Akan luluh hatinya. Akan tergenang air matanya. Masjid itu masjid Rasulullah. Di situ tapak-tapaknya berlalu. Di situ duduknya menyatu dengan sahabat-sahabatnya. Di situ tidur dan baringnya kerana rumahnya di sebelah masjid. Hidupnya, hari-harinya, urusannya dan wafatnya di masjid itu. Hari itu saya di situ. Menjejak Rasulullah yang menjadi kecintaan manusia dan menjadi kekasih Allah. Allahu Akbar. Subhanallah.
Masjid indah ini merakamkan seuatu yang sukar diceritakan. Pengalaman dalaman yang meresap. Mengusap bibit kasih. Yang menancap dalam rasa. Saya bersama Rasulullah ketika itu. Subuh itu solat dahulu. Berhimpit bersama jemaah lain. Saudara lain dari seluruh dunia. Mereka datang dengan caranya tersendiri. Membawa bersama mereka berbagai mazhab dan cara. Benar bagi semua yang tergolong sebagai sunnah wal jamaah. Walau bagaimanapun haramain tidak menolak mazhab dan fahaman lain. Mereka yang mendakwa dirinya Islam boleh masuk belaka. Yang bukan Islam memang tidak boleh masuk. Ada halangan teknikal dan spiritual. Payah hendak diterangkan. Haramain sudah diharamkan bagi yang bukan Islam. Arahan Rasulullah sebelum wafatnya.
Apapun di sekeliling saya adalah saudara-saudara seagama. Saya katakan kepada anak saudara saya bahawa di akhirat nanti insyaAllah kita akan bersama lagi. Kebersamaan itu nanti insyaAllah akan kekal di akhirat sana. Mudah-mudahan kami semuanya mendapat haji yang mabrur. Pagi itu. Subuh itu bermulanya hidup saya di bumi Madinah. Bumi yang penuh barakah. Bumi yang sangat damai. Anas bin Malik tidak pernah beralas kaki bila berjalan di bumi Madinah. Ramai yang hairan. Ada yang ingin tahu. Tenang jawabnya, masakan aku berlapik memijak bumi Madinah. Bukankah jasad Rasulullah ada di bumi ini. Aku ingin sentiasa menyentuh kulitnya bila berjalan di bumi ini. Aku ingin dekat dengan Rasulullah. Itulah kasih sayang yang sangat mendalam. Sayang yang tidak terbatas dengan ruang dan waktu. Kekal abadi hingga ke akhir zaman.
Solat pagi itu sangat damai. Ingin berlama-lama menikmati kehadiran diri. Tetapi tugas belum selesai. Bagasi perlu diangkat. Ada jemaah yang perlukan pertolongan. Bilik perlu dicari. Barang perlu disusun. Itu belum cerita sarapan lagi. Mana nak makan. Namun hati sudah mula berbunga. Madinah al-Munawarah sangat damai pagi itu. Menjengah keluar tingkap melaut mata memandang di kejauhan. Bumi Madinah sangat datar dan landai. Dari jendela, menara Masjid Nabawi jelas kelihatan. Suhu di luar agak sejuk. Bulan Februari 1999 masih berbaki musim dingin. Madinah yang terletak di sebelah utara menerima angin sejuk dari utara. Subuhnya dingin. Pengalaman di USA dahulu mengajar saja untuk mengurus kedinginan itu. Tetapi terperangkap juga dengan kelalaian menjangkakan keadaan. Tidak ada maklumat untuk menjangkakan perubahan suhu.