Siri Pertama:
Haji Abas bin Abdullah
Usia : 100 tahun
Isteri : Hajjah Aminah binti Abas
Usia : 90 tahun
Alamat: No 6, Jalan Nuri 3, Parit Sulong, Batu Pahat, Johor.
Anak : 11 orang
Cucu : 47 orang
Cicit : Lebih 100 orangPiut : Beberapa orang
Alhamdulillah dalam usianya 100 tahun Allah menganugerahkan kepadanya kesihatan yang melampaui usianya. Kesihatannya relatif baik. Makan dan minumnya masih dalam selera yang menasabah. Masih kuat berjalan. Mampu lagi melakukan kerja-kerja harian rumahtangga seperti menyapu dan membasuh. Tidurnya cukup dan terjaga jadualnya. Lingkaran rakan taulannya ramai. Tentulah begitu kerana kawasan yang pernah didiami di beberapa kampung. Saudara mara pula beribu ramainya. Mereka yang seangkatan dengannya sudah lama tiada. Di Pekan Parit Sulung ramai yang mengenalinya.
Semasa kempen Pilihanraya Pertama Persekutuan Tanah
Melayu pada tahun 1955 nama ini antara yang pernah hampir dengan YTM Tunku
Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Pertama Malaysia. Ia pernah bersama Tunku dalam sebuah sampan dari
Sekolah Kebangsaan Sungai Nipah di Parit Penghulu ke Sekolah Kebangsan Parit
Jawa. Melalui Sungai Simpang Kiri, Batu Pahat. Jauhnya kira-kira dua kilometer. Ketika itu Tunku dalam siri jelajahnya ke seluruh negara. Bertemu orang kampung. Membawa hasrat untuk memerdekakan negara tercinta. Membebaskan hati nurani rakyat ramai agar memiliki negara ini di dalam tangan mereka sendiri. Tidak lagi menadah hampas yang disaring penjajah sebegitu lama. Ratusan tahun kita dijajah sejak dari Portugis ke Belanda, Inggeris, Jepun dan Inggeris semula. Pilihanraya pertama pada tahun 1955 itu adalah petanda noktah jalan menuju kemerdekaan. Ya! Merdeka dengan menjulang Jalur Gemilang. Susur galur bangsa terbilang. Kembali garang merangsang kegemerlapannya yang tersendiri. Ada beberapa perkara yang menurut Tunku menjadi hak orang Melayu. Perlu dipertahankan walaupun ramai anak cucu yan tidak mengerti lagi implikasi dan natijahnya kepada bangsa dan negara. Lima kesemuanya tetapi pada kali ini hanya dapat disebut empat sahaja. Intipati kata-kata Tunku: Perdana Menteri, Ketua Hakim, Pegawai Daerah dan Penghulu adalah terdiri dari orang Melayu. Tradisinya begitu. Sejak dari sebelum merdeka hinggalah sekarang.
Hajjah Aminah dan anak sulungnya, Hajjah Rugayah.
Kata-kata Tunku ini masih segar dalam ingatannya. Tunku adalah sejarah negara. Kempen Pilihanraya Pertama itu adalah adalah sejarah negara. Setiap kali terimbau kisah itu ingatannya kepada Tunku menjadi segar kembali. Kisah kira-kira 60 yang lalu itu tidak mungkin dilupakannya hingg ke akhir hayatnya. Dia adalah antara insan yang menyumbang ke arah kemerdekaan. Apabila berbicara mengenai kisah bersama Tunku itu matanya bercahaya, bicaranya rancak dan bertenaga. Ketika itu dia sangat dekat dengan Tunku, anak raja dari Kedah yang akhirnya menjadi Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu yang pertama juga Perdana Menteri pertama Malaysia. Bak anak raja turun dari kayangan. Haji Abas terpesona dengan kehadiran Tunku yang tidak pernah diduganya. Tentu sekali bersalaman dan berada dekat menjadi pengalaman besar dan sangat bererti. Hingga sekarang ia masih menjadi sesuatu yang sangat diimbaunya bersama anak-anak, menantu dan cucu-cucunya. Sejarah itu masa lampau. Mereka yang berada pada zaman itu sahaja yang berasa dekat di hati.
Dilahirkan di Banjarmasin, Kalimantan, Indonesia.
Keluarganya keturunan Banjar Halimuntai. Sewaktu zaman kanak-kanaknya
keluarganya membawanya ke Tanah Melayu. Sekitar Batu Pahat, Johor. Tentunya pada
waktu itu Batu Pahat bukan daerah yang serba serbi menarik. Hanya Bandar Penggaram
sahaja yang telah dibangunkan oleh Dato’ Bentara Luar. Bandar Batu Pahat pun
bukan seperti yang ada sekarang. Barangkali sejarahnya boleh dikaji seperti
yang ada dalam simpanan Persatuan Sejarah Batu Pahat. Bagi Haji Abas dan
keluarganya mereka mudik Sungai Batu Pahat arah ke Simpang Kiri. Sementelahan pada
zaman itu satu-satunya jalan perhubungan ialah sungai. Di tepi-tepi sungailah
kawasan penenpatan yang wajar ketika itu. Rumah-rumah yang dibina bertiang
tinggi untuk mengelakkan ditenggelami banjir yang biasanya datang setiap tahun
apabila tiba musim tengkujuh.
Bersama cucu-cucu dari anak bongsunya.
Ekosistem ketika itu masih terpelihara. Hutan masih
banyak dan tebal. Hujan dan panas terjadual dengan kuasa Allah. Begitu juga
dengan musim buah-buahan yang juga terjadual. Iklim banyak pengaruhnya. Ketika itu
kenduri kendara ada musimnya. Bernikah kahwin juga ada musimnya. Maka kehidupan
juga mengikut iklim dan musimnya. Sebelum getah diperkenalkan oleh R. N. Ridly
di Kuala Kangsar pada tahun 1930an kehidupan orang Batu Pahat banyak bergantung
pada alam. Sungai menjadi kuncinya. Setiap rumah pasti memiliki sampan sama ada
besar atau kecil. Untuk digunakan di sungai atau untuk ke laut. Selain untuk
pengangkutan sampan adalah kenderaan untuk mengail, menjala atau untuk memasang
bubu. Kesemuanya untuk makanan secukup hidup. Ikan untuk dimasak atau untuk
dikeringkan. Persediaan untuk musim tengkujuh dan banjir. Beras boleh
diperolehi di kedai-kedai runcit di kuala-kuala parit yang terkenal. (Al-maklum
di Negeri Johor banyak parit. Setiap kampung lazimnya dinamakan parit seperti
juga di Negeri Selangor dan Perak). Makanan lain termasuklah pisang, ubi kayu,
ubi keledek, ubi keladi dan jagung.
Bergambar bersama cucu-cucu dari anak keempat.
Haji Abas
tinggal di beberapa buah kampung si sepanjang Sungai Simpang Kiri. Antaranya
Parit Jawa, Parit Kangkar Senangar, Parit Maimun dan Parit Mohamad. Ibunya
bernama Intang. Dia anak sulung. Tiga orang adiknya telah meninggalkannya. Usia
100 tahun tentu banyak input kehidupan yang tidak terbilang banyaknya. Banyak
kenangan bukan sahaja memberi pengajaran kepada anak, cucu, cicit dan
piut tetapi juga boleh dikongsi oleh orang lain. Kepada penulis ia seorang
tokoh keluarga walaupun tidak pernah menerima anugerah Tokoh Keluarga. Sekadar
pernah menerima anugerah jasamu dikenang dari pemimpin tempatan kerana
penglibatannya dalam UMNO sejak zaman Tunku dahulu. Pengalaman yang direntasi
nelalui beberapa zaman tentu banyak yang boleh dikutip untuk mewarnai warisan
keturunannya.
Cicit dan piut pertama. Susur galurnya dari cucu pertama.