Monday, December 31, 2012

Membangun Hobi Kendiri Yang Memberi Erti



Di Canada baru saya amat mengerti apa sebenarnya erti hobi. Kesukaan untuk suka-suka. Mengisi masa lapang yang santai. Mengubah dari rutin biasa yang selalu menjemukan. Bagi setengah orang menjadikannya stress. Ketegangan yang selalu datang apabila hidup sampai ke tahap burn-out. Lesu kerana berada dalam situasi yang sama berulang-ulang. Variasinya tidak dicipta. Pengurusan bosan dan burn-out tidak dicari. Dari zaman anak-anak kita diperkenalkan dengan berbagai hobi. Rupanya hobi sanat diambil berat oleh orang Barat. Orang Putih. Orang di negara maju. Orang kita, orang Asia, orang Islam tidak menjadikannya sebagai sebahagian dari pentingnya hidup. Ramai berpendapat hodi hanya membuang masa. Membuang wang. Membuang tenaga. Membuang peluang-peluang lain yang mungkin tercipta. Ramai yang mengetahui bahawa masa adalah emas. Bagaimana kita menterjemahkannya yang membezakan antara kita dengan orang yang lebih advanced budayanya.

Dalam perjalanan ke Ottawa saya melihat dengan lebih dekat erti hobi. Canada adalah sebuah negara yang sangat luas. Ramai juga penduduknya yang berada di kawasan luar bandar. Bukan seperti kita, luar bandar bermakna hulu, jauh terperosok di bukit, gunung dan sungai atau tasik. Di negara maju tempat tinggal bukan menunjukkan perbezaan taraf hidup atau taraf sosial. Semua kemudahan dihampirkan kepada mereka. Jalaraya jangan dibilang. Elektrik dan air adalah keperluan asas. Di mana sekalipun mereka berkampung kesemua keperluan itu disediakan untuk mereka. Hak setiap warganegara. Namun penduduk luar bandar di Canada dan di Malaysia sagat jauh bezanya. Bak langit dan bumi. Cuba kita pulang ke kampung. Atau tayang kembali dalam minda kita suasana di kampung. Apa mereka buat sewaktu lapang. Bermain wau? Memancing? Bersembang? Paling banyak barangkali. Kita kuat bersembang. Cerita yang berulang-ulang. Akademiknya hilang. Fakta tidak dicari. Kenyataan tanpa bukti yang boleh dipercayai.

Tajuk besar tidak pernah dibiasakan. Ancaman alam. Kelemahan pendidikan. Ekonomi yang tidak mencukupi. Agama yang selalu disalah erti. Sosial yang semakin menakutkan. Orang kampung selalu terbuang masanya. Tidak tahu apa yang seperlunya dilakukan untuk mencari kelebihan kemahiran. Di Canada hobillah yang menyelamatkan mereka dari hanya bersembang. Hampir setiap  rumah memiliki bengkel. Kesemuanya mengikut pilihan dan kesukaan mereka. Penghuni rumah atau tanah menentukan jenis bengkel yang menjadi pilihan mereka. Maksudnya mereka merealisasikan minat mereka dalam bentuk hobi. Bengkel itu tidak perlu besar. Tidak perlu gah. Tidak perlu lengkap. Sekadar suka-suka. Yang pentingnya mereka ada masa untuk dihabiskan memenuhi kehendak naluri mereka. Mereka suka kepada sesuatu yang dibuat secara suka-suka. Suka-suka itu lazimnya memberi manfaat untuk diri, keluarga, komuniti dan negara. Hobi menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.


 
Asas kepada proses meniup gelas. Panas. Lembut. Mudah lentul. Kemahiran yang tinggi. Mereka yang berpengalaman boleh merekacipta berbagai-bagai bekas kaca atau gelas.


 
Warna bukan masalah. Ada bahan. Ada teknik. Ada komitmen. Ada kesungguhan.

 
Bagi botol yang besar perlu dibantu untuk memutar dan mengawal proses membesarkannya.
 
 
Fritz Glass
 
Aduhai. Berwarna-warni. Perlu dikembangkan di sini. Tentunya nanti memberi impak yang besar kepada industri pelancongan dan seni.

 
Orang kita tidak lagi melibatkan diri dengan hobi seperti ini. Alangkah baiknya jika ianya menjadi suatu aktiviti bermanfaat. Masa terisi. Hasilnya menawan. Dalam jangka panjang boleh mendatangkan kemewahan ekonomi.

IMG_1503.JPG
 
Lihatlah betapa indahnya hasilan meniup gelas. Ia menjadi hasil seni.


Saya sampai di bengkel meniup botol.  Membuat botol istilah orang Malaysia. Sukar hendak saya ceritakan kerana saya tidak mahir dalam ilmu kejuruteraan. Apa yang saya lihat ialah botol dibuat melalui tiupan. Kawalan udara, kawalan suhu dan kawalan gerakan menentukan kualiti botol atau apa sahaja yang dibuat dalam bentuk gelas. Silica yang panas diadun dan diletakkan di hujung sebuah laras panjang yang ditiup mengikut kemahiran pelakunaya. Lebih mahir maka lebih baik hasilnya. Lebih halus. Lebih predictable. Berbagai bentuk botol yang unik dibuat. Berbagai warna. Setiap satunya tidak pernah sama antara satu sama lain. Meniup botol secara manual tentulah tidak dapat membangunkan sistem yang mantap dan standard. Konsistensi yang mapan. Mungkin sengaja botol-botol itu dicipta begitu supaya tercipta kelainan-kelainan mengikut selera. Bagi mereka yang hasil kerjanya memusakan mereka boleh mengkomersilkannya pada harga yang lumayan. Buatan tangan. Bukan buatan mesin. Bukan tool dan die. Bukan acuan tetap. Seronok juga melihat peniup botol yang melakukan berbagai aksi untuk mengawal tiupan dan rekabentuk yang dijangka. Begitu juga dengan kraf yang lain. Kebetulan sahaja di utara Amerika ramai kaum Red Indian. Mereka sudah bukan lagi nomad.  Tidak lagi memburu bison di Prairie. Ramai antara mereka terlibat mengkomersilkan kraf mereka. Sepenuh masa mereka melakukan aktiviti memperbanyakkan kraf mereka.

Rasanya terlalu banyak untuk disenaraikan. Cumanya saya ingin pindahkan kesemuanya ini ke tanahair kita yang tercinta. Ramai orang kita tinggal di kampung. Tanah mereka luas berbanding tanah bandar yang dikira mengikut meter persegi. Alangkah bagusnya jika orang kampung diberi kemahiran yang boleh dijadikan hobi yang komersil pada masa hadapan. Harus diintegrsikan dengan sistem persekolahan supaya di sekolah guru-guru memberikan tumpuan kepada hobi yang diminati pelajar-pelajar. Subjek kemahiran hidup tidak hidup di hati pelajar. Sains rumahtangga tidak juga menjadikan orang perempuan di Malaysia terlibat dengan industri butik atau pastry. Maaf. Masih ramai yang banyak mengumpat. Barangkali kita sudah lupa kraf kita sendiri. Mana gasing yang ligat. Mana barangan tembaga dari Terengganu. Kraf kayu dari Kelantan. Bagi mereka yang biasa ke IKEA di Kuala Lumpur mungkin terlintas untuk memperkembangkan kraf. Banyak barangan IKEA adalah hasil kraf individu yang kreatif. Kreativiti  menawan hati dan citarasa. Dipasarkan ke seluruh dunia. Dikilang di negara yang kos buruhnya paling rendah. Lazimnya Negara Cina. Kelebihan kraf yang ada melangkaui bangsa dan budaya. Melampaui banyak aspek negara, iklim dan gaya hidup.  

Tambahan pula hobi tidak banyak membabitkan wang. Ramai orang yang tidak banyak membuang wang dengan terlalu banyak melancong atau shopping yang tidak menentu arah. Memenuhi minat melakukan hobi yang boleh dikomersilkan mungkin akhirnya mendatangkan keuntungan. Banyak idea-idea luar biasa yang dicapai melalui kegilaan kepada hobi. Kita di kampung Allah anugerahkan dengan terlalu banyak bahan asli yang boleh mengambangkan hibi. Hobi pula jangan terlalu terikat dengan standard. Apa orang buat kita tiru. Yang itu perlu dielakkan kecuali masing-masing berkolaborasi untuk menkomersilkan produk negara secara massa. Hobi lebih unik. Memenuhi minta yang santai. Yang tercipta ialah hasil seni. Bukan komersil. Kita harus tahu membezakan antara kedua-duanya. Pada ketika-ketika tertentu kita melihat banyak kegilaan yang panas-panas suam. Kadang-kadang ada, kadang-kadang tiada. Gila yang tersekat-sekat. Tidak lestari dan berkesinambungan. Tidak salah kita meneroka hal-hal yang bernilai sejagat. Namun begitu idea kecil dan seni yang bermanfaat juga boleh mengisi ruangnya sendiri. Orang kita banyak potensi ke arah itu. Budayanya kena betul. Falsafah hidup perlu disesuaikan. Pemikiran mesti dibuka untuk menerima perubahan. Hati dan nurani mesti mencintai masa dan kerja. Demi masa.