Tuesday, June 12, 2012

Sungai Thames Nadi England Yang pulih Cemarnya


Jambatan di belakang kami dinamakan The Tower Bridge. Kapal boleh melaluinya. Jambatan itu tinggi. Di tengahnya boleh dipisahkan. Boleh dinaikkan. Sewaktu itu kapal boleh hilir mudik.


Big Ben dibina di tepi Sungai Thames. Begitu juga Parliment House. Banyak bangunan ternama berada di tepi sungai. Lambang pentingnya sungai itu.

Senibina di Barat berbukti nyata. Hebat binaan yang tertegak di bumi mereka. Kota-kota mereka diserikan dengan bangunan-bangunan yang kekal lama. Cantiknya meningkat semakin ianya berumur.



Bila dikenang kembali semuanya menenggelamkan khayalan. Ia benar. Ia realiti. Saya dan keluarga pernah berada di London. Di tebing Sungai Thames. Santai begini tidak mungkin berulang lagi. Kelima-lima anak saya sudah berkerjaya. Sudah berkeluarga. Zaman itu hanya mengembalikan kenangan. Imbauan masa lampau. Suatu perjalanan yang merentas masa. Telah berlalu. Mungkin akan diulang oleh orang lain. 

Dalam dunia ini sungai banyak fungsinya. Ada fungsi positif. Ada juga fungsi negatif. Sungai secara fitrahnya banyak manfaat. Keharusan menggunakannya sangatlah tidak terkira banyaknya. Pada asalnhya sungai adalah sumber air. Ianya  adalah sumber kehidupan. Airnya untuk minuman. Membasuh dan mandi manda. Sungai juga untuk sistem pengairan seperti di Lembah Nil di Mesir dan Lembangan Mississippi di USA. Banyak empangan yang hebat dan besar dibina di sungai-sungai. Dalam sejarah manusia Empangan Maarib di Yamen adalah empangan besar yang pertama seumpamanya dibina manusia. Kesuburan dan kemakmuran di selatan Semenanjung Arab bergantung kepada empangan itu. Kita mengkaji sejarah tentang tamadun yang dibina di sepanjang Sungai Indus di India, Sungai Furat di Iraq dan Sungai Yangtze dan Hwang Ho di Cina. Di Eropah tiada siapa yang dapat menidakkan besarnya sumbangan Sungai Danube yang merentas beberapa negara terutama Germany. Ada sebuah lagu klasik yang diberi nama Blue Danube.

Maka belayarlah manusia di sungai-sungai yang besar seperti Amazon di Brazil. Perahu, sampan, kolek, jalur dan lading mudik dan hilir mengikt arus air. Mereka menghilir bila air surut. Mereka mudik bila air pasang. Alam yang dikuasai Allah digunakan secara maksimum. Ikut alirannya. Dari sungai makanan bertimbun-timbun. Ikan tidak pernah habis dari dahulu hingga sekarang. Cuma kualiti dan kuantitinya sahaja semakin merosot. Sebab musabab kerana kerosakan yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia. Begitu juga sungai menjadi jalan pengangkutan yang tiada tandingannya. Kayu balak hanyut melaluinya. Sagu yang bertual-tual dihanyutkan mengikut arusnya. Malah buah kelapa juga diangkut melalui air. Maka kebaikan terlalulah banyaknya melalui air sungai yang ada si mana-mana negara. Sungai menjadi nadi. Menjadi punca kehidupan. Ada masanya sungai menjadi survival sesebuah komuniti. Sesebuah kelompok manusia. Sesebuah negeri atau negara.

Sungai sangat nostalgik kepada banyak bangsa. Tamadun dibina di tebing-tebing sepanjang sungai. Namun dalam apa keadaanpun setiap sesuatu ada kontranya. Ada paradoxnya. Allah menciptakan sesuatu ada lawannya. Sinonim dan antonimnya. Manfaat diringi juga dengan mudaratnya. Sungai menjadi tembok keselamatan. Perisai dari serangan musuh. Kebetulan sungai adalah jalan yang selalu menjadi jalan utama. Serangan dari musuh jarang datang dari darat. Semak, bukit-bukau, paya dan haiwan liar sukar diatasi. Hanya sungai yang memudahkan. Makan minum tiada pencemaran. Ikan dijala dan dipukat. Atau dikail. Mandi manda memang sangat memudahkan. Musuh juga berfikiran yang sama. Jalan mudah menyerang negara orang tentulah melalui sungai. Banyak bandar dibina di tebing sungai yang strategik kedudukannya. Kota yang dibina boleh dipertahankankan dari banyak penjuru. Kedatangan musuh dari sungai mudah dipatahkan. Banyak armada kalah dan berundur kerana kota yang dibina tidak berjaya ditembusi atau dilalui.

Kembara saya telah melalui beberapa sungai yang besar impaknya. Ada antara sungai-sungai itu yang sudah hilang peranannya. Ditukar pula menjadi tarikan pelancong. Ambil sahaja Sungai Melaka. Sudah menjadi terlalu tidak signifikan untuk apa sekalipun. Suatu ketika dahulu tertegak di muaranya sebuah kerajaan yang gah dan besar. Menyeberang Selat Melaka. Ke Selatan meliputi Riau. Sungai Melaka hanya menjadi kenangan. Nostalgik zaman. Malamnya sahaja yang menggamit keindahan. Malacca River Cruise barangkali sedikit menghilangkan kedukaan masa lampau. Ada kilauan cahaya yang beriak di air untuk melegakan kerisauan lalu. Masih ada harapan untuk kembali menegak kekuatan. Sungai-sungai lain di Semenanjung sudah hilang serinya. Sungai Pahang kekal dengan besar dan ganasnya pada musim tengkujuh. Sungai Klang hanya sampah. Mati segala impian. Sungai yang lain cemar dan kotor. Kita seperti tiada lagi perlukan sungai. Lupa dari sungai kita perlukan airnya. Dipam ke rumah untuk melestarikan kehidupan yang masih panjang di hadapan. Sangat mudah membunuh sungai. Sampah sarap menimbun dan menimbusnya. Alirannya terhalang. Kemusnahan kepada ekosistem. Membunuh tebing dengan banjir dan bah. Kemusnahan dari akibat tangan manusia tang tidak panjang. Benarlah kadang-kadang tangan kita hanya panjang sejengkal. Tidak mahu berfikiran jauh. Bahawa yang sedikit-sedikit itu lama-lama menghapuskan manfaat sungai. Tenggelam dalam sampah. Tenggelam dan bau busuknya. Tenggelam dalam hinanya.

Begitulah Sungai Thames di London. Antara kota besar yang juga besar sejarahnya. London jauh dari muara Sungai Thames yang menghala ke Laut Utara. Berliku tetapi di tebing Sungai Thames itu London ditegakkan. Kapal dagang berlabuh di tepiannya. London menjadi mewah sebagai kota dagangan. Rupanya kemewahan ada tabir musibahnya. Manusia tidak banyak mempertimbangkan akibat. Tidak memikirkan konsekuen. Yang difikirkan hanya diri sendiri. Falsafah nakal dari Barat yang menegakkan ekstensialism, materialism dan individualism. Idealism sudah tidak lagi menjadi pegangan. Paradigma berfikir manusia menjadi tumpul. Mereka menganggap bahawa laut adalah tong sampah besar. Mereka percaya sungai mengalirkan sampah ke laut. Mereka lupa bahawa sampah yang tidak sampai ke laut kembali ke hulu dibawa arus air pasang. Sampah itu terdampar di tebing-tebing sungai. Akhirnya sampah-sampah itu menjadikan sungai semuanha sampah-sampah belaka.

Di US umpamanya sungai sangat dimuliakan. Apabila ada sahaja bahan pencemar yang dikesan di sungai maka proses merawat air untuk minuman dan makanan dihentikan sertamerta. Langsung tiada kompromi. Pemerintah dan pihak berwajib tidak perlu menangguh berfikir. Kesejahteraan rakyat tidak pernah diperjudikan. Tidak pernah cuba dianiaya. Air yang sudah ditakung juga dibuang demi menjaga kesihatan rakyat. Produktiviti mereka dijaga. Dipertahankan. Rakyat dan negara adalah gandingan yang memberikan nilai positif. Menjana sinergi. Sebab itu di US rakyat selalu didahulukan. Air dari paip boleh terus diminum. Selamat kerana tiada pencemaran. Tiada bahan yang yang merbahaya. Suatu konsep yang berbeza dengan yang difikirkan di negara membangun. Negara yang belum maju. Yang masih mengejar banyak bayang-bayang elusif. Kita di sini air masih belum bersih dirawat. Klorinnya sangat tinggi. Air paip memang tidak layak diminum terus dari paip. Tidak wajar diminum terus begitu sahaja. Bila dibuat air teh tidak terasa tehnya. Air itu jadi birat dan mengeluarkan bau yang tidak enak.

Pihak berwajib di London mengalami pening kepala yang berpanjangan. Sungai Thames sudah terlalu tercemar. Airnya tidak layak langsung untuk diharungi oleh manusia. Tidak layak untuk direnangi. Kotor dan sampah yang mencengkam. Segala kehidupan air musnah sama sekali. Tiada apa yang boleh hidup. Manusia boleh berfikir. Manusia boleh mencari jalan yang terbaik. Keputusan dibuat. Peraturan digariskan. Perundangan digubal. Rakyat diperlukan menyumbang. Membantu. Memahami. Membari komitmen. Maka air kumbahan dirawat dahulu. Sisa dari kilang dirawat dahulu. Yang dilepaskan ke sungai adalah air yang sudah dirawat. Yang bersih. Yang tiada pollutant langsung. Jika ada hanya yang paling minimum. Tidak menambah untuk menjejaskan kualiti air. Prosesnya perlu kesabaran. Mengambil masa yang panjang. Namun usaha yang disegerakkan menampakkan kejayaan. Memberikan impak baik. Sungai Thames mencerahkan airnya. Pencemaran berkurangan. Akhirnya Sungai Thames menjadi bersih. Hidupan air kembali ceria. Merenangi dalamnya. Menyusup di bawah alirannya. Sesungguhnya alam ini untuk manusia. Jika musnah maka musnahlah manusia yang mengharapkan kesinambungannya. Kelestarian manusia itu sendiri.

Selagi orang Malaysia tidak berfikir untuk menjadi positif maka selagi itu kita berhadapan dengan masalah sungai. Pencemaran yang terus berpanjangan. Pelupusan sampah masih di tahap mencuba jaya. Belum ada sistem yang mantap.  Rakyat masih tumpul berfikir. Sungai bukan tong sampah. Longkang bukan tong sampah. Parit bukan tong sampah. Air bukan tong sampah. Banjir  bukan tong sampah. Laut bukan untuk tong sampah. Jika kita tidak menguba sikap maka sampah-sampah itu akan memusnahkan kiga semua. Sumber air akan tercemar semuanya. Malah air hujan bukan lagi bersih. Udara mencemarkannya. Manusia mencemarkan udara. Ke mana lagi untuk kita hidup. Inilah sahaja planet biru (blue planet) yang mengandungi air. Yang boleh dihuni manusia. Satu-satuna tempat yang boleh hidup. Tiada tempat lain. Tolonglah bantu diri kita sendiri. Kita sendiri yang boleh merubah semua ini. Diri kita sendiri. Hati kita. Jiwa kita. Semuanya kita. Tiada orang lain.