Friday, June 24, 2011

Perantau Yang Merantau

Sudah 26 tahun. Lebih Suku abad lamanya. Anak kelima saya yang waktu itu berumur setahun setengah sudah berumur 28 tahun. Sudah berkerjaya. Sudah berumahtangga. Namun kenangan di perantauan masih selalu datang. Banyak yang positif. Banyak yang indah. Sumber nostalgik. 26 tahun mungkin suatu jangkamasa yang panjang. Membalik-balik lembaran masa seolah-olahnya baru beberapa ketika sahaja. Terasa belum terlalu lama. Masih segar malar - evergreen.   

Berada di Pittsburgh, USA bagai mimpi yang tidak pernah padam. Bagai tidur yang berpanjangan. Semuanya itu pengalaman peribadi. Saya kongsi bersama isteri dan lima orang anak. Perempuan kesemuanya. Saya bertujuh beranak. Hanya saya seorang sahaja yang lelaki. Membawa lima orang anak bukan sesuatu yang mudah. Banyak urusan yang perlu dilaksanakan. Diri sendiri pula sibuk dengan akademik yang dikejar. Yang akhirnya ialah segulung ijazah kedua. Setelah yang pertama dahulu pada tahun 1979. Tahun 1986 adalah tujuh tahun berikutnya.

Sesekali bila rindu datang, saya buka kembali album lama yang memahat segala sejarah diri dan keluarga. Terbang ke USA bukan suatu impian yang pasti. Rezeki yang datang dari Allah tidak dapat saya telah. Saya rebut satu peluang yang terbuka. Ada ruang untuk lebih baik. Pilihannya banyak. Cuma saya memilih USA kerana mungkin pengaruh Amerika yang kuat kepada saya sejak saya kanak-kanak lagi. Cerita-cerita mengenai USA selalu terpapar untuk dibaca. Ada tarikannya yang tersendiri. Tarikan the land of plenty itu lebih kuat. Maka terbanglah saya dan keluarga. Membelah awan nan biru. Langit yang tinggi. Lautan segara yang mengufuk. Realitinya saya tidak melihat bumi. Kapalterbang jauh di atas angkasa. Antara kapalterbang dan bumi selalu ada awan yang menlindungi pandangan. Cuma Lautan Pasifik yang banyak dilihat. Sinaran air dek pancaran matahari.

Manusia terlalu kecil dan kerdil. Dirinya hanya titik-tituk yang bergerak. Punya rasa dan gerakhati. Mencari apa yang tiada. Mengambil apa yang dihulur. Menerima apa yang diletak di telapak tangan. Jauh berjalan luas pemandangan. Sangat mahal pemandangan itu. Sukar dinilai. Lazimnya pengalaman yang dimanfaatkan sangat mematangkan. Mendewasakan. Memberi ruang untuk melonjakkan diri. Mengetahui yang orang lain tiada peluang mengetahui. Melalui rentetan peristiwa yang bersilih ganti. Berjurai-jurai datang dan pergi. Dari winter merentas spring. Lalu menjengah summer. Masa yang beredar menemukana saya dengan fall/autumn. Kitarannya kembali kepada winter. Di hujung spring yang kedua saya kembali ke tanah air.

Berada di USA tentu mengujakan. Tetapi hati rindu kepada semua yang ditinggalkan. Ibu saya seorang terkuntang-kuntang. Saya hanya mampu menghantar poskad atau surat. Ketika itu, tahun 1984-86 telefon belum ada di kampung saya. Tahun 90-an baru dihubungkan dengan dunia luar melalui suara. Kerjaya yang ditinggalkan juga menjadi kerinduan. Berinteraksi dengan pelajar banyak mengujakan saya. Hingga saat ini kadang-kadang ingatan saya dijentik oleh bekas pelajar yang masih ingat. Mungkin kebersamaan dahulu ada manfaatnya.  Tentu sahaja saya rindukan tanahair tercinta. Lanskap buminya. Gunung-ganangnya. Bukit-bukaunya. Pepohon nan hijau. Buah-buahan dan sayur-sayuran. Makanan dan masakan. Udara dan kesegarannya.

Jangkamasa 18 bulan bukannya lama. Puas memang puas. Jika diberi peluang, saya ingin mengulang-ngulaninya berulang-ulang. Rasanya tidak ada kebosanan untuk berada di sana. Waktu saya di Canada dahulu, hanya semusim sahaja. Sangat-sangat tidak puas. Ah! Terlalu nostalgik. Rindu lagi snow yang memutih. Bunga yang memercup. Summer yang menghijau. Fall yang memerah. Hanya di sana semuanya dapat dialami. Mengalaminya secara live. For real. Itu yang sangat mahal. Gambar hanya suatu detik masa. Video hanya rakaman. To be there for real was simply great.

Sewaktu di sana cuaca memang seperti menyulitkan. Khususnya winter. Mungkin di awal spring. Seluruh tubuh dibalut pakaian tebal. Yang menghangatkan. Yang menghidupkan. Dari kepala hingga ke hujung jari tangan dan kaki. Dinginnya mencengkam hinga ke tulang sumsum. Yang paling dalam. Begitulah manusia mengadaptasikan dirinya dalam semua keadaan. Begitulah juga pendidikan memandaikan manusia. Antara kebaikan paling besar pendidikan ialah membina manusia yang boleh membuat keputusan dan menyelesaikan masalah. Manusia yang kelihatan kerdil dan lemah menggunakan akalnya untuk mengatasi apa sahaja masalah yang mendatang atau yang dijangkakan. Kerana itu musim dan cuaca bukan penghalang atau ancaman. Sebaliknya musim diterima sebagai sesuatu lumrah. Yang biasa. Kemudiannya musim menjadi sumber ekonomi. Dari makanan hingga pakaian. Musim yanbg berganti menjadi peluang menghidupkan kehidupan manusia.

Pada summer yang pertama iaitu tahun 1985 saya nikmatinya bersama keluarga. Kami lingkari kampus University of Pittsburgh. Jejak-jejak kami ada di sana.  

Pada satu bangku yang tunggal di satu kawasan lapang yang luas. Di belakang saya Cathedral of Learning. Tinggi menjulang kira-kira 40 tingkat. Dubbed as the tallest university building in the world. Cuaca agak terik. Pepohon menghijau. Summer pertama yang sangat mengujakan. Kemeja-T yang saya pakai banyak ceritanya. Bagi orang Amerika kemeja-T sebegitu diperbuat dari kapas. Hanya kapas sahaja. Saya boleh pakai berulang kali, berhari-hari. Tidak ada bau peluh. Udara yang kering mengnyah bau dari pakaian yang dipakai.

Bersama anak ketiga (kiri sekali), anak kedua (kedua dari kiri), anak kelima (dua dari kanan). First hand experience kepada mereka. Segalanya a blurr kepada mereka. Banyak yang tidak mereka ingat. Lihat hijaunya pokok di belakang meeka.

Yang kelima. Baru setahun setengah ketika itu. Sekarang seorang peguam. Lulusan UIAM.

Yang kedua tentu lebih ingat. Kebetulan dia belajar di US juga. Waktu ini dia lebih menikmati suasananya. Sudah mengerti. Sekarang pensyarah di MMU Cyberjaya.

Jarang saya bergambar berdua. Isteri saya bukan mengandung. Bajunya disapa angin Pittsburgh.

Anak ketiga. Bersamanya pada hari yang lain. Sekarang pensyarah di Politeknik Merlimau. Ketika itu usianya lima tahun.

Di sebuah air pancut.

 
Di satu sudut universiti.

Seperti orang Amerika. Bersantai di padang adalah suatau nikmat. Rahmat. Bermandikan cahaya matahari yang selalu dirindu. Setahun hanya semusim.
Waktu summer universiti agak lengang. Holiday in summer.

Cepatnya masa berlalu. They were so adorable.

Anak keempat. Badangnya kekal comel. Jurutera di Ranhill.

Lima orang yang bersama saya merentas benua. Yang sulung di tengah seorang guru di Pasir Gudang.

Dua beradik yang dekat usianya.

Sebuah arca.

Bunga di jambangan masih memutih. Indah. Dua sejoli sedang bersama. Hati jadi rindu serindunya.

Di belakang mereka bebunga yang merah warnanya.  Bunga memarak dari spring hingga summer.

Hanya tinggal kenangan. Ia tidak akan datang lagi. Tidak mungkin waktu berputar semula. Hanya boleh diingat. Itulah kenangan. Saya masih merasakan keindahan Pittsburgh.