Di pintu masuk tamaddun Shali di Siwa. Replika kota besar tanah liat pada zaman kegemilangannya. Besar, tinggi dan tersergam.
Siwa dikatakan sebuah tempat yang terpencil. Terkeluar
dari laluan utama. Tidak diketahui wujudnya sehingga berzaman-zaman. Walaupun
tamaddun Greek dan Roman bertapak di sini namun apabila kedua-dua empayar itu
lemah, Siwa seolah-olah lenyap dari sejarah. Seperti penduduk lain di Afrika,
tanah liat menjadi sumber tamaddun juga di Siwa. Rupanya terdapat tamaddun
tanah liat yang besar di sini. Bertapak di atas bukit-bukit di tengah Siwa.
Ianya merupakan kompleks penempatan, pertanian dan peribadatan. Semasa
pemerintahan Greek mungkin mereka menganut dan menyembah tuhan-tuhan Greek.
Kemudiannya bertukar menjadi Kristian. Sukar juga untuk mengislamkan mereka.
Pada awal pemerintahan Maawiyah, penduduk Siwa gagal diislamkan. Setelah
beberapa ketika barulah mereka akur menganut Islam. Sekarang ini keseluruhan
penduduk Siwa adalah penganut Islam. Monumen yang ada hanya sejarah lama mereka
yang telah mereka tinggalkan. Hanya tarikan pelancong buat masa ini.
Kaum yang tinggal di Siwa adalah kaum Shali. Antara
serpihan kaum Berber yang ramai menghuni Utara Afrika. Kerana Siwa terkeluar dari
kesibukan Lembangan Sungai Nil, kaum Shali dikatakan antara penduduk asal
Libya. Siwa terletak jauh dari kesibukan perdana di Mesir. Jauh juga dari
kesibukan perdana di Libya. Berkurun-kurun lamanya mereka membina tamaddun
sendiri yang unik di Siwa. Walau bagaimanapun tamaddun tanah liat yang mereka
manifestasikan menyerupai tamaddun tanah liat di banyak negara Afrika yang lain.
Ada negara di Afrika yang membina masjid hanya menggunakan tanah liat pada
temboknya. Di Siwa tanah liat adalah banyak kerana wadi di sini adalah sumber
air yang sangat banyak. Ketika teknologi simen dan pasir belum wujud yang
paling mudah ialah menggunakan tanah liat.
Kota kaum Shali adalah kawasan penempatan yang besar
dan kompleks. Kawsannya sangat luas. Merangkumi beberapa buah bukit. Suhu agak
tinggi ketika penulis dan rombongan menjelajah kota kaum Shali. Hanya beberapa
bahagian sahaja yang sempat dijejaki. Mereka menggunakan batang pokok tamar
sebagai tiang, gelegar dan kerangka bangunan. Kemudiannya kerangka itu dibalut
dengan tanah liat. Tebal dindingnya. Tinggi bangunannya. Berlapis dan berkelok.
Besar dan agam. Sebuah kota yang lengkap sebagai tempat tinggal dan kota yang
mempertahankan mereka dari ancaman luar. Puing-puing yang ada menunjukkan
bahawa pada ketika kemuncak peradaban mereka kaum Shali adalah gagah dan hidup
berkecukupan. Pertanian menghidupkan mereka. Peradaban menjadi pemangkin kepada
kemajuan mereka.
Tidak ada rekod jelas apa agama mereka sebelum ini.
Mungkin kedatangan orang Greek mengubah kepercayaan mereka kepada tuhan-tuhan
Greek. Kebetulan juga ma’bad (tempat acara agama) terdapat di sekitar Siwa.
Juga dibina dari tanah liat. Tentunya sumbangan kaum Shali dan tamaddun mereka.
Kepada orang Malaysia mungkin kota tanah liat sesuatu yang sukar diterima akal.
Benar, jika kita berfikir bahawa Mesir adalah seperti Malaysia. Banyak hujan
dan lebat pula hujannya. Tentulah kota tanah liat tidak boleh bertahan lama. Pada
hakikatnya tidak. Mesir adalah negara panas dan kering. Penuh dengan padang
pasir. Dalam entry yang lama terdahulu ada penulis ceritakan mengenai
hujan di bumi Anbia Mesir ini. Hujan lebat adalah sesuatu yang luar biasa di
sini. Berlaku juga sekali sekala. Tetapi kekerapannya mungkin sekali dalam
sepuluh tahun. Atau lebih lama. Yang selalu berlaku ialah hujan gerimis sekitar
10 atau 15 minit. Gerimis lebat adalah suatu rahmat. Malah bagi orang di Mesir
hujan rintik-rintik yang mungkin beberapa minit sudah sangat besar rahmatnya
dari Allah S.W.T. Hujan rintik itu menjadi peristiwa besar yang dirayakan
dengan doa. Selagi hujan tidak berhenti selagi itulah mereka berdoa. Membuka
tingkap rumah atau bangunan yang ada. Menghadap langit dan memandang titisan
hujan.
Kerana tiada hujan lebat maka kota tanah liat seperti
yang dibina oleh kaum Shali tidak terancam air. Kekal keras dan kukuh. Walau
bagaimanapun setiap ciptaan manusia tiada yang kekal abadi. Kota itu runtuh
disebabkan gempa bumi yang berlaku di kawasan ini. Apabila kaum Shali
diperkenalkan dengan kehidupan yang lebih maju mereka meninggalkan kota
kediaman mereka. Mereka mula hidup dengan membina rumah-rumah persendirian.
Mereka juga menjalankan perniagaan dengan dunia luar. Sekarang ini mereka
seperti juga rakyat Mesir yang lain. Selain dari pertanian dan air yang besar
impaknya kepada Mesir, Siwa adalah antara destinasi pelancongan. Tinggalan Greek
dan Roman antara tarikan yang ada di sini. Selain daripada itu kesenian kaum
Shali juga menarik perhatian dunia luar untuk ke Siwa.
Besar
Tinggi
Menjulang awan
Laluan bersama runtuhan
Batang pokok kurma yang menjadi kerangka bangunan
Tangga itu menunjukkan tinggi
Dari kemuncak
Bukit bersebelahan
Yang tinggal hanyalah bekasnya
Dari puncak kota
Yang ditinggalkan hanyalah tanah liat yang sudah runtuh.
Siwa dari puncak Kota kaum Shala
Lantai dari tanah liat.